Mama papa perlu tahu 12 perkara bayi suka buat ini. Terutama sekali mama & papa kali pertama. Ilmu ini perlu anda ketahui!
Sukar diungkap dengan kata-kata momen pertama melihat dan menyentuh bayi yang dikandung selama 40 minggu. Kini dia berada dalam dakapan anda. Jari jemarinya yang halus, kulitnya yang mulus, malah bau ‘syurga’ bayi ini melekat di minda hingga ke hari ini.
Bagaikan tidak percaya, namun itulah keajaiban Allah yang menganugerahkan permata yang tidak ternilai harganya buat seorang mama dan papa. Dia bayi yang hebat!
#1MENGGELIAT
Geramnya ketika melihat bayi kecil ini menggeliat lembut. Ada sesetengah bayi menggeliat sehingga badannya membentuk seperti huruf ‘S’ (dalam posisi mengiring). Boleh hilang segala lelah dibuatnya. Comel sangat!
Semasa bayi menggeliat, ia akan menggerakkan punggung yang kecil dan badan yang lembut akan bergerak ke kanan dan kiri. Kata orang tua-tua, bayi yang suka menggeliat cepat membesar. Namun tidak pasti sejauh makan kebenarannya. Ketika bayi menggeliat, pantau agar kulit mukanya tidak dicakar kukunya.
#2 MENGHISAP JARI
Damainya hati ibu kala melihat bayi menghisap jari. Comelnya permata hati mama setiap kali menghisap jarinya. Tangan dan jari ialah permainan pertama si manja. Sebab itu bayi suka memasukkan jari ke dalam mulut.
Bagaimanapun ibu perlu pastikan jari si kecil anda itu sentiasa bersih agar tidak terkena sebarang jangkitan ketika menghisap jarinya. Apabila tiba masanya, latihlah si kecil anda itu untuk meninggalkan tabiat itu.
#3 MENYUSU SUSU IBU
Sejak hamil, ibu nekad untuk susukan bayi selama yang mungkin. Dan pastinya bayi anda sangat bertuah kerana mendapat ‘titisan emas’ daripada seorang ibu yang sentiasa menyayangi dan melindunginya.
Tahukah anda bayi anda juga sangat suka menyusu secara langsung daripada anda kerana banyak kebaikan yang diperolehi terutamanya dari segi sentuhan kulit ke kulit.
Ads
# 4BUAI/DITEPUK/ZIKIR/LAGU LEMBUT SEMASA TIDURKAN BAYI
Alunan suara anda memberikan ketenangan kepada bayi. Ia termasuk zikir atau lagu dodoi yang anda nyanyikan. Begitu juga dengan buaian dan tepukan akan memberikan rasa tenang dan selesa kepadanya.
Malah bayi juga gembira bermain dengan anda walaupun anda menyanyi dengan suara yang agak sumbang. Walaupun anda lihat dia sangat kecil untuk memahami apa yang anda lagukan, namun percayalah lama-kelamaan dia akan faham jua. Bayangkan betapa indahnya saat si kecil terlelap dalam dakapan mahupun ribaan anda.
#5 DIPELUK DAN DICIUM
Tahukah anda bayi sangat suka dipeluk, dicium dan disayang? Dan dia sangat gembira jika anda berdua melakukannya. Pelukan yang kerap juga akan membantu merangsang perkembangan emosi dan fizikalnya. Anak-anak yang kerap dipeluk dan disentuh dipercayai lebih yakin diri, berasa diri sentiasa selamat dilindungi oleh ibu bapanya. Malah anda juga akan merasa magis sentuhan kasih sayang antara anda dan si anak. Jadi, pesanan penting untuk ibu dan ayah, luangkanlah masa sebanyak mungkin bersama si kecil anda itu.
#6BERSEMBANG ‘BAHASA ‘NYA
Seronoknya mendengar bayi anda berceloteh dengan bahasa bayi dengan lenggok yang tersendiri sampai meleleh-leleh air liurnya. Memang terhibur melihat reaksi comel itu. Dan anda sebagai ibu bapa perlu rajin bercakap dan memberi respons kepada bayi anda. Ketika bercakap dengan bayi, pandang ke dalam matanya.
Ads
Fasa babbling ini melatih bayi dalam kawalan suaranya. Berinteraksi dengan bayi akan membantu mengoptimumkan kecerdasan dan merupakan langkah awal untuk pembentukan peribadinya. Ingat ya ibu, sentiasa bercakap dengan lembut dengan bayi anda itu.
#7SENYUM DAN KETAWA
Dunia bayi dan kanak-kanak adalah satu dunia yang penuh warna-warni dan menghiburkan. Hidup mereka seharusnya tidak punya tekanan. Dan kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab memberi kebahagiaan buat mereka. Melihat dan mendengar gelak tawa si anak antara yang paling dirindu ibu bapa.
Walaupun bayi anda masih ‘merah’, mereka juga pandai tersenyum apabila diagah dengan pelbagai intonasi suara dengan mimik muka anda yang menghiburkan. Jadi, ibu dan ayah usahlah terlalu serius apabila berdepan dengan si kecil anda yang memang suka ketawa. Ada kala kita pula yang ketawa melihat dia ketawa.
#8SUKA MENIRU
Bayi memang suka mengajuk apa yang kita lakukan misalnya meniru mimik muka kita. Cuba anda berdua duduk di depan cermin atau komputer riba dengan memasang kamera. Buat mimik muka dan anda akan lihat si kecil anda itu menirunya dan anda berdua akan ketawa. Tukar mimik muka yang lain dan dia akan mengikutnya juga.
Begitu juga kalau anda buat muka sedih dan menangis tipu-tipu, bayi anda juga akan turut menangis. Aksi-aksi lucu ini akan meninggalkan momen indah untuk anda berdua. Malah ia satu ‘permainan’ yang sangat menghiburkan.
Ads
#9 BERMAIN
Bayi dan kanak-kanak memang sangat suka bermain. Luangkan masa bermain dengan anak mengikut kesesuaian usianya. Bola, permainan yang mempunyai muzik, anak patung dan lain-lain antara yang disukai. Sebaik-baiknya pilih alat dan kaedah permainan yang mampu merangsang pertumbuhan mental dan fizikalnya.
#10MASUK JARI TANGAN DAN KAKI KE DALAM MULUT
Tidak cukup satu jari, kalau boleh 10 jari mahu dimasukkan ke dalam mulutnya sendiri. Malah jari kaki pun nak digigitnya. Ini ialah salah satu perkembangan baik di mana bayi mula menyedari kewujudan kakinya. Memang seronok melihat gelagat si kecil ini namun pastikan jari-jemarinya sentiasa bersih.
#11MENANGIS
Bayi menangis merupakan perkara biasa, namun jika berpanjangan anda perlu meredakan bayi. Bayi menangis ada banyak sebab antaranya mungkin tidak selesa, kembung perut, lapar atau penat dan mahu tidur. Untuk menenangkannya cuba dukung, peluk atau memberinya susu. Anda juga boleh cuba mendodoikannya dan secara beransur bayi akan menghentikan tangisannya.
#12BAYI MENGUAP
Bayi juga kerap menyuap. Situasi ini begitu ‘menakjubkan’ apabila melihat mulut mungil bayi terbuka luas. Namun, jangan lupa itu untuk menutup dengan tangan anda. Daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk (melalui mulut yang terbuka.” Riwayat Imam Muslim. yang datang daripada permata hati anda. Justeru,anda harus segera menutup mulutnya jika bayi menguap.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tanyalah mana-mana ibu pun, pasti mengharapkan anak yang dilahirkan sihat sempurna hendaknya. Namun jika dah ketentuan dari Allah, nak tak nak tetap kena reda dan menerimanya dengan hati terbuka.
Percayalah ibu yang melalui ujian seperti ini, Allah dah janjikan ganjaran pahala atas kesabarannya membesarkan amanah tersebut.
Bagi seorang ibu, Liyana Jasni, kisah yang dikongsikan mengenai anak perempuannya yang diberi nama Anggun Inara berusia 1 tahun 5 bulan cukup meruntun hati. Tak sangka di sebalik kecomelan anak kecil ini sebenarnya tersembunyi kesakitan yang ditanggungnya.
Walaupun secara luaran nampak sihat sempurna, doktor mengesahkan Anggun Inara anak yang sangat istimewa kerana sejak dilahirkan tidak mempunyai pundi kencing, rahim dan kemaluan tak normal. Lebih menyedihkan apabila buat pinggangnya juga bermasalah tidak seperti bayi lain.
“Doakan pembedahan anak saya berjaya”
Bismillahirrahmanirrahim. Taktau nak mula macam mana sebab saya bukanlah penulis yang baik tapi saya nak anda semua tahu tujuan utama saya menulis ni bukan untuk meraih simpati. Saya nak mintak tolong semua orang doakan urusan pembedahan anak saya 23.08.2020 dipermudahkan. Since dia lahir dulu terlalu ramai doakan yang baik-baik untuk dia walaupon tak tau dia sakit apa. Terlalu ramai yang bagi dia hadiah/duit walaupon mummy tak pernah mintak. Thank you so much.
Anggun Inara binti Ahmad Ridzuan. Anak yang sangat special yang terpilih untuk segala dugaan ini. Dia nampak normal secara luaran kerana ketidaksempurnaan dia terselindung. “Masalah anggun ni sangat complex. Saya tak pernah jumpa case macam ni” ayat yang sama kami akan dengar dari mana2 doktor baik dari HO / MO / Specialist. Anggun dilahirkan dengan kemaluan yang tidak normal. Bahagian depan dia kosong/plain/takde apa apa bukan seperti kanak-kanak perempuan yang lain. Senang cerita macam doll tu laa kan kosong je kan? Hehe. Habis macam mana anggun kencing?
Ramai yang tanya macam mana kencing berak dia kan? Kencing pakai pampers macam biasa la walaupon lubang kencing dia kat belakang hehe. Yang berak kat stoma tu dia pakai kapas dan pampers lain. Kena cuci setiap 3-4jam. Anggun tak pakai colostomy bag tu sebab kulit dia sensitive dengan gam bag tu. Dah pernah try pakai then luka sampai melarat dan berdarah2 kulit dia. Plus rasanya lagi bersih kalau cuci 3jam sekali macam ni
32 jam lahir terus jalani pembedahan
Anggun ada 1 lubang kat belakang yang Allah SWT jadikan lubang kencing dia. Ada juga 1 lagi lubang dipanggil sacral dimple iaitu lubang pada tulang belakang. Lubang najis? Tak ada. Selepas 32 jam anggun dilahirkan, dia menjalani 1 operation untuk buat colostomy ataupon stoma. Usus dia dikeluarkan di tepi perot untuk bagi dia berak. Kesian anak mummy masa tu dah keras perot dia sebab tu doc cepatkan operation. Anggun dah jalani macam2 procedure untuk tengok organ dalaman dia. Fluroscopy, DTPA, CT SCAN, MRI. Tapi doc cakap tak dapat gambaran yang betul-betul jelas tentang organ dalaman anggun. Tapi yang pastinya buah pinggang anggun memang tak normal.
Fungsi buah pinggang semakin terjejas
Waktu dilahirkan memang 1 buah pinggang bengkak dan 1 lagi tak berada di “lokasi” yang sepatutnya. Fungsi? Tidak normal. Doctor cakap mungkin anggun juga takde pundi kencing/ rahim dan vagina. Hanya Allah yang tahu perasaan mummy daddy waktu tau ni semua tapi siapalah kami untuk mempersoalkan kejadianNYA. Kuat kuat kuat dan teros kuat. Tapi apa apa pon akan dapat tahu pada operation dia nanti. Jadi operation ni untuk apa? Disebabkan anggun hanya ada 1 saluran laluan yang berkongsi untuk kencing dan berak, doctor akan cuba pisahkan. Lubang kat belakang tu akan cuba dipindahkan dan akan buat 1 lubang najis. Semua ni bukan untuk kesempurnaan di mata kami. Tapi demi kesihatan anggun.
Masalah Anggun sangat complicated
Disebabkan berkongsi saluran tu la anggun dah 8 kali kena UTI & Urosepsis (jangkitan kuman pada kencing). Jadi operation ni adalah usaha supaya anggun dah tak kena jangkitan kuman lagi. Bila kena jangkitan kuman, fungsi buah pinggang anggun akan semakin terjejas. Latest bacaan urea adalah 10.6 dan creatinine 103. Sangat tinggi untuk baby 1 tahun 5 bulan. Ini lah sedikit cerita tentang anggun. Mummy nak cerita panjang sangat takut org bosan dah. Terlalu complicated masalah anggun. Sampaikan doc cakap the whole day 23/08/2020 tu nanti memang booking untuk operation anggun je.
Mummy dah tak senang duduk fikir berapa lama la anggun kena operate nanti. Tapi mummy tau anak mummy sangat kuat. Dah macam2 adik go through sepanjang 1y5m ni dan mummy daddy janji akan teros kuat demi adik. Semoga dengan perkongsian ni mummy dapat minta tolong dari semua orang untuk doakan semua urusan adik start dari sebelum – semasa – selepas operation dipermudahkan.
Semoga berjalan lancar dan adik cepat-cepat kuat untuk recover selepas operation. Terima kasih yang sudi membaca dan mendoakan Anggun Inara. Semoga Allah kurniakan rezeki dan pahala yang melimpah ruah untuk anda semua.
**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kita kerap mendengar istilah ‘bayi tertelan najis’ ketika dalam proses kelahiran atau dipanggil Sindrom Aspirasi Mekonium. Apakah keadaan yang sebenarnya berlaku?
Pada pagi itu, Anis (bukan nama sebenar)yang sudah melepasi dua hari daripada tarikh jangkaan bersalin melihat ada kesan air tanpa bau pada seluar dalamnya. Dia fikir itu adalah air kencing. Tetapi apabila diperhatikan ia sangat jernih dan tidak berbau hancing, membuatnya terfikir ia adalah lelehan air ketuban.
Kontraksi yang dirasai tidak terlalu kuat dan kesibukan di pejabat menyebabkan Anis berlengah untuk ke hospital. Sehinggalah pada tengah hari, air yang jernih tadi mula bertukar warna dan ada kepingan warna hijau di dalamnya. Maka dia terus bergegas ke hospital dan doktor menyarankan supaya dia segera melahirkan bayi menerusi pembedahan untuk mengelakkan bayi tertelan najis sendiri atau dipanggil Sindrom Aspirasi Mekonium.
Kita kerap mendengar istilah ‘bayi tertelan najis’ ketika dalam proses kelahiran atau dipanggil Sindrom Aspirasi Mekonium. Apakah keadaan yang sebenarnya berlaku? Menurut Dr Siti Aishah Daud, Pakar Obstetrik & Ginekologi Subang Jaya Medical Centre, Sindrom Aspirasi Mekonium merujuk kepada masalah pernafasan bayi. Ia sama ada disebabkan oleh bayi membuang najis dalam kandungan dan menyebabkan ia memasuki paru-paru.
Mekonium ialah najis berwarna hijau kegelapan yang dihasilkan oleh saluran gastrousus janin sebelum lahir. Ia terdiri dari sel epitilial usus, lanugo, mukus, air ketuban, hempedu dan air. Ia pekat dan melekit seperti tar. Pada kebiasaannya mekonium akan berada di dalam usus sehingga lahir. Selepas lahir bayi akan mengeluarkan mekonium selama beberapa hari dan diikuti oleh najis biasa yang berwarna kekuningan.
Tetapi dalam kes tertentu, bayi telah membuang air besar ketika di dalam kandungan lagi. Kebanyakan kes terjadi kepada bayi yang ‘stres’ (fetal distress) akibat oleh kekurangan darah atau oksigen. Lazimnya, ia disebabkan oleh masalah fungsi plasenta atau uri. Tetapi ada juga yang terjadi secara rawak tanpa sebab seperti kes Anis di mana bayinya tidak stres atau tertekan tetapi sudah melewati tarikh jangkaan bersalin.
BAYI TERTELAN MEKONIUM
Apabila mekonium dikeluarkan dan terbebas ke dalam air ketuban, ia kemudiannya akan disedut atau ditelan oleh bayi ke dalam paru-parunya. Hal ini juga akan menyebabkan tubuh bayi diselaputi najis dan menyumbat saluran pernafasan bayi selepas dilahirkan.
Pasukan yang merawat akan segera merawat bayi yang mengalami sindrom ini. Sejurus selepas dilahirkan, pasukan perubatan akan bertindak pantas dengan menyedut mulut, hidung dan tekak bayi untuk mengeluarkan mekonium jika bayi dalam keadaan lemah, tidak bernafas dan diselaputi mekonium. Mereka kemudiannya dirawat dengan antibiotik jika terdapat risiko jangkitan yang tinggi dan diberikan bantuan sampingan dengan oksigen juga akan diberi jika diperlukan. Bayi yang diberi alat bantuan pernafasan akan dipantau untuk mengelakkan sebarang komplikasi seperti pneumothorax atau PPHN.
SIAPA YANG BERISIKO?
Ibu yang berisiko menyebabkan bayi mengalami stres sehingga membuang najis ketika dalam kandungan
Kehamilan melebihi tarikh jangkaan 40 minggu menyebabkan uri tidak berfungsi baik. Kandungan yang melewati 40 minggu boleh menyebabkan uri `lebih matang’. Uri adalah organ yang memberi khasiat dan oksigen kepada janin di dalam rahim. Apabila uri matang, ia tidak dapat memberi oksigen secukupnya kepada janin. Air ketuban juga pada waktu ini juga akan berkurangan dan menyebabkan kandungan mekonium menjadi pekat. Oleh itu sindrom ini lebih kerap terjadi kepada kandungan yang ‘lebih hari’ (past due) berbanding dengan bayi pramatang atau cukup bulan.
Jangkitan kuman pada ibu.
Ibu yang menghidap diabetes semasa hamil.
Ibu yang menghadapi proses kelahiran yang mempunyai komplikasi menyebabkan ia lama atau sukar.
Ibu yang mengalami masalah tekanan darah tinggi.
Ibu yang merokok dan mengambil dadah.
KESAN TERTELAN NAJIS KEPADA BAYI
Sindrom ini boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kepada bayi. Antaranya ialah;
Mekonium boleh menyebabkan saluran pernafasan bayi tersumbat. Secara tidak langsung paru-paru terlampau berkembang sehingga menyebabkanPneumothorax iaitu keadaan di mana paru-paru bocor.
Ia juga boleh menyebabkan tekanan yang tinggi pada saluran darah di paru-paru atau Persistent Pulmonary Hypertension of Newborn (PPHN). Oleh itu bekalan darah ke paru-paru berkurangan menyebabkan bayi sukar bernafas.
Walaupun mekonium itu steril, kehadirannya di dalam saluran pernafasan boleh menyebabkan jangkitan/ keradangan paru-paru Pneumonitis.
Di dalam situasi yang jarang berlaku, Sindrom Aspirasi Mekonium yang teruk boleh menyebabkan kurang bekalan oksigen ke otak bayi.
USAHA UNTUK MENGELAKKANNYA
Memang ia tidak boleh dielakkan tetapi sekurang-kurangnya ibu boleh mengambil langkah berjaga-jaga. Tidakterhad kepada golongan yang berisiko sahaja. Bagi ibu yang disenaraikan berisiko tinggi, mereka perlu sentiasa berwaspada dan melihat sekiranya terdapat lelehan air ketuban bermula dari minggu ke-34 kehamilan.
Selain itu, segera mendapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor pakar sekiranya merasakan ciri-ciri bayi stres seperti bayi kurang bergerak, pendarahan, perut berasa senak dan kejang, tekanan darah naik serta kenaikan berat badan secara tiba-tiba.
Bagi mengurangkan risiko terjadinya Sindrom Aspirasi Mekonium, proses kelahiran perlu dipendekkan lebih-lebih lagi bagi bayi yang sudah stres di dalam kandungan. Kerjasama ibu dan pasangan menerima cadangan doktor untuk melahirkan menerusi pembedahan atau menggunakan alat bantu dapat mengurangkan masa kelahiran dan seterusnya mengelakkan terjadinya sindrom ini.
INFO: Kira-kira 5 % sahaja bayi yang membuang najis dalam kandungan akan mengalami Sindrom Aspirasi Mekonium. Bayi yang awalnya mengalami pernafasan laju akan mula bernafas secara semula jadi selepas empat hari. Sindrom ini jarang menyebabkan kerosakan kepada paru-paru.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selain daripada mengamalkan pemakanan yang diyakini boleh merangsang tubuh menghasilkan lebih banyak susu ibu, anda masih perlu melakukan beberapa amalan lain yang menjadi penyokong kepada usaha anda yang mahu menjayakan penyusuan susu ibu.
1. Jangan panik, bawa bertenang
Anda perlu kawal diri untuk sentiasa bertenang. Hal ini kerana tekanan yang dialami merupakan salah satu punca penghasilan susu boleh terganggu. Ramai yang tidak sedar dengan perkara ini. Ketahuilah, semasa diri bertenang walaupun ditimpa masalah, tindak balas hormon akan meneutralkan dan membantu dalam pengeluaran susu.Anda pasti perasan bukan? Semasa mengepam susu atau menyusukan bayi, apabila anda membayangkan perkara yang seronok, let-down susu lebih banyak. Malah, jika ketika itu diiringi dengan muzik lembut atau bacaan ayat al-Quran, ia sememangnya membantu anda untuk bertenang.
2. Sentiasa berfikiran positif
Ramai yang gusar tentang penghasilan susu untuk bekalan bayi. Tambahan pula ketika fasa growth spurt di mana bayi menyusu dengan lebih banyak ketika itu. Ketika inilah anda perlu setkan minda.
Otak merupakan organ utama yang mempengaruhi tindakan manusia. Apa yang anda fikirkan akan dijana oleh otak dan mesejnya akan dihantar ke sistem tubuh untuk tindak selanjutnya. Jadi, berfikirlah secara positif dengan sentiasa berfikir bahawa susu anda cukup untuk memenuhi keperluan si manja.
3. Fahami konsep penawaran dan permintaan
Anda perlu tahu bahawa lebih banyak susu dikeluarkan, lebih banyak lagi susu akan dihasilkan. Lebih kerap payudara dikosongkan, maka lebih banyaklah susu ibu akan terhasil. Oleh yang demikian, susukanlah bayi anda sekerap mungkin. Bayi menyusu mengikut kehendaknya sendiri. Tidak ada waktu dan jumlah susu yang tetap untuknya.
4. Pam payudara ikut jadual
Para ibu bekerjaya dan meninggalkan bayi di bawah jagaan pengasuh, perlu banyak stok susu perahan. Latihlah diri mengepam payudara sejak dalam pantang. Buat stok seawal yang boleh.
Semasa di tempat kerja, luangkan masa mengikut jadual yang anda tetapkan sendiri untuk mengepam. Pastikan sela masanya tidak melebihi tigam jam antara satu sama lain ya. Suri rumah pun digalakkan untuk mengepam payudara kerana jika berlaku hal kecemasan kepada diri anda seperti jatuh sakit, bekalan susu untuk bayi tetap ada.
5. Banyakkan minum airAir merupakan elemen penting dalam sistem tubuh badan manusia. Minumlah air sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas sehari. Air adalah ejen yang akan membantu dalam melancarkan proses pengeluaran susu ibu.
Bagi ibu menyusu, minum air kosong yang banyak secara kerap dalam kuantiti yang sedikit sehingga mencapai target tiga liter sehari. Jadikan air kosong sebagai teman rapat anda. Bawa ke mana-mana sahaja bekalan air itu. Jadi, anda akan sentiasa ingat untuk minum air pada waktu yang telah anda tetapkan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!