Anak-anak kecil sememangnya sukakan sesuatu yang boleh diterokai bagi merangsang minda, skil motor halus dan kasarnya, skil bahasa dan perkembangan kognitif serta keperluan emosi mereka.

Menurut Dr Nurul Ain Zulkifeli, MD (UNIMAS) daripada Hospital Manjung, Perak, satu kajian yang pernah dilakukan oleh pengkaji di luar negara mendapati bahawa, anak-anak yang mendapat stimulasi yang baik sebelum umurnya menjangkau 5 tahun mempunyai masa hadapan yang lebih baik daripada anak-anak yang tidak menerima rangsangan yang sama semasa kecil.

Namun tiada alasan lagi bagi ibu bapa untuk tidak meluangkan masa dengan anak-anak walaupun sesibuk mana bekerja. Di sekeliling kita misalnya terdapat pelbagai aktiviti yang dapat merangsang minda anak untuk jadi lebih bijak. Malah di rumah juga banyak aktiviti yang dapat menguji kepintaran anak-anak kecil kita, tanpa mengeluarkan belanja dan kos yang tinggi.

Nak Anak Bijak, Rajin-Rajinlah Uji Minda Anak, Latih Anak Dengan 5 Aktiviti Ni Di Rumah!

1) Bermain jigsaw puzzle
Ibu bapa boleh sesuaikan tahap kesukaran jigsaw puzzle dengan umur anak. Dari hanya seminimum 6 keping puzzle kepada berpuluh-puluh kepingan kecil. Menyusun puzzle adalah cara yang termudah untuk melatih dan merangsang skil pemikiran anak melalui penyelesaian masalah kerana anak akan berusaha untuk memadankan imej dan warna kepingan kecil puzzle. Puzzle dalam bentuk gambar, abjad, bentuk dan pelbagai tema seperti nombor, haiwan, kenderaan dan sebagainya dapat menarik perhatian anak.

Otak anak dirangsang melalui cara mereka menyelesaikan masalah, berfikir bagaimana cara atau strategi untuk mencantum kepingan dan juga bagus untuk kemahiran motor halus. Apabila anak mengambil, mengutip, memegang dan mencantum kepingan puzzle dan di masukkan ke dalam slot, sedikit sebanyak minda mereka teruji.

Bermain jigsaw puzzle juga dikategorikan sebagai satu permainan yang paling mudah, ringkas dan murah kerana puzzle boleh dibeli atau boleh dibuat sendiri. Ibu bapa hanya perlu cari gambar yang menarik misalnya kartun kesukaan anak dan guntingkan. Tampal di atas kertas tebal atau kad manila dan guntingkan menjadi beberapa kepingan puzzle.

Nak Anak Bijak, Rajin-Rajinlah Uji Minda Anak, Latih Anak Dengan 5 Aktiviti Ni Di Rumah!

IKLAN

2) Bermain dengan warna
“Messy Play” melalui bermain dengan kepelbagaian warna dapat memberi keseronokan dan mengembangkan otak anak kecil dengan cepat. Ibu bapa boleh menyediakan kertas lukisan dan alatan melukis di rumah. Warna pula boleh dibeli dan pastikan yang bersesuaian dengan umur contohnya Crayola Water Colour yang amat selamat untuk anak berumur kecil.

Antara kepelbagaian aktiviti untuk bermain dengan warna adalah:
* Mencampurkan dua atau lebih warna untuk menghasilkan warna yang berbeza.
* Bermain warna dengan menggunakan alatan permainan anak-anak.
* Menggunakan medium seperti berus gigi, putik kapas, kapas, kain perca dan batang aiskrim untuk di buat corak.
* Menggunakan anggota badan sendiri.
* Penggunaan rempah ratus yang keras seperti bunga lawang dan kayu manis (juga elok untuk meningkatkan skil sensori anak)

Yang penting, kaitkan aktiviti mewarna dengan pembelajaran seharian dan libatkan anak ketika proses pembersihan selepas bermain aktiviti ‘messy play” ini.

Nak Anak Bijak, Rajin-Rajinlah Uji Minda Anak, Latih Anak Dengan 5 Aktiviti Ni Di Rumah!

3) Bercerita dengan anak
Anak suka mendengar dan juga ingin didengari. Fakta juga jelas mengatakan bercerita kepada anak-anak dapat merangsang perkembangan otak dan juga baik untuk emosi. Jadi tidak hairan jika model pendidikan prasekolah yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia menekankan perkembangan sosioemosi kerana perkembangan emosi yang matang menjadi asas pembentukan sahsiah individu yang seimbang.

IKLAN

Teknik bercerita boleh dipelbagaikan oleh ibu bapa bertujuan untuk menarik minat anak-anak. Contohnya:
* Pelbagaikan bahan bacaan dengan gambar dan warna yang menarik. Yang penting juga saiz perkataan yang digunakan.
* Sambil bercerita, ibu bapa boleh menggunakan alat seperti anak patung kesayangan anak perempuan atau alat bantu mengajar yang lain.
* Menggunakan teknik atau intonasi suara yang bersesuaian dengan jalan cerita.
* Bertanyakan pendapat atau ambil perhatian setiap daripada respons yang diberikan oleh anak. Itu tandanya anak sedang berfikir dan kreatif.
* Hidupkan kelainan suasana bercerita seperti ibu bapa memakai kostum yang dijahit sendiri bersama anak Gunakan watak-watak menarik seperti superhero kesayangan mereka.

Jadi bercerita pada anak di rumah amatlah penting. Hubungan fizikal, sosial dan emosi terjalin dua hala di antara keduanya. Cukup mudah.

4) Pretend & Play
Bermula seawal usia 3 tahun, anak sudah pandai bermain dan ‘memegang’ tanggungjawab ringan seperti menyuap anak patung kegemaran mereka makan dan medodoikan patung mereka ketika tidur.
Seperti kaedah bercerita juga, pretend & play memberi hak utama dan kebebasan kepada anak untuk memainkan peranan dan tanggungjawab mereka. Ibu bapa boleh menyediakan set permainan alatan doktor dan berlakon menjadi orang yang sakit dan sedang menerima rawatan dari anak.

Nampak ringkas tetapi aktiviti ini sangat merangsang perkembangan awal otak anak serta meningkatkan kebolehan sosial dan kematangan berfikir.

Nak Anak Bijak, Rajin-Rajinlah Uji Minda Anak, Latih Anak Dengan 5 Aktiviti Ni Di Rumah!

IKLAN

5) Bermain dengan tanah liat
Jika anak tidak dapat bermain di luar rumah atau ibu bapa terlalu sibuk untuk membawa mereka keluar. Alternatif yang ada, berikan mereka doh atau pun permainan yang berunsurkan tanah liat / play doh. Antara kebaikan aktiviti ini adalah dapat menajamkan skil pemerhatian dan daya berfikir, menjana minda dan kreativiti anak serta meningkatkan kemahiran mengikut arahan. Selain itu, bermain tanah liat juga;
* Membantu menguatkan otot dan meningkatkan koordinasi tangan dan mata
* Mempelajari tekstur bahan
* Membantu mengenal warna
* Membantu perkembangan sosial anak

Moga dengan pilihan aktiviti yang ringkas dan mudah ini dapat membantu ibu bapa dalam menceriakan dan mempelbagaikan aktiviti bersama anak di rumah. Yang penting hubungan ibu bapa dan anak terjalin dengan lebih erat dan mesra.

Jangan lupa untuk saksikan power talk istimewa #Nifightagainstcancer yang akan berbincang tentang topik kanser pada 18 November 2020 ini!

Artikel berkaitan: Nak Anak Bijak Tapi Mak Ayah Selalu Tersalah Langkah, Betulkan 2 Perkara Ni Dulu!

Nak Anak Bijak Kena Rangsang Otak Sejak Bayi 10 Aktiviti Ini Boleh Buat Bayi Bijak!

Nak macam-macam info? Jom join telegram Pa&Ma D Parents https://t.me/pamadparents

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI