Nak Anak Jadi Bijak & Yakin Diri, Ibu Ayah Elakkan 4 Perkara Ini

Share

Setiap ibu bapa pastinya mengimpikan anak membesar dengan baik, aktif dan mempunyai perkembangan yang positif. Namun dalam usaha memastikan anak sentiasa selamat, ada kalanya kita terlalu banyak menetapkan batas sehingga tanpa sedar mengehadkan ruang mereka untuk belajar dan meneroka.

“Adam, jangan pegang benda tu, kotor!”

“Jangan panjat! Nanti jatuh.”

“Tak payah merangkak dekat situ. Mari Mama dukung.”

Ayat-ayat seperti ini mungkin kedengaran biasa dalam kehidupan seharian, terutama apabila si kecil sudah mula aktif bergerak ke sana sini. Kita mahu memastikan mereka tidak tercedera, tidak terkena kotoran dan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Tetapi, adakah setiap perkara yang kita larang itu benar-benar perlu dihalang?

Hakikatnya, bayi memang dilahirkan dengan sifat ingin tahu. Apabila mereka mula meniarap, merangkak, mencapai objek, memegang sesuatu atau cuba berdiri, sebenarnya mereka sedang belajar mengenali dunia di sekeliling.

Pergerakan dan aktiviti kecil yang dilakukan setiap hari turut memainkan peranan penting dalam perkembangan kemahiran motor. Daripada meniarap, bayi belajar mengawal tubuh. Apabila merangkak, mereka mula menguatkan otot dan koordinasi. Kemudian mereka belajar duduk, berdiri dan akhirnya berjalan.

Sebab itu, ruang untuk bayi bergerak dan meneroka amat penting.

Sudah tentu keselamatan perlu menjadi keutamaan. Ibu bapa boleh menyediakan persekitaran yang selamat dengan mengalihkan objek berbahaya, menutup kawasan yang berisiko dan memantau pergerakan anak.

Namun, tidak semua perkara perlu dijawab dengan perkataan “jangan”.

Jika setiap percubaan anak sentiasa dihentikan kerana takut kotor, takut jatuh atau takut berlaku sesuatu, lama-kelamaan mereka mungkin kurang mendapat peluang untuk mencuba sendiri.

Lebih baik kita ubah pendekatan. Daripada terus melarang, cuba pantau dan bimbing mereka.

Biarkan anak meneroka perkara yang selamat, walaupun sedikit bersepah. Biarkan mereka cuba bergerak sendiri dan belajar daripada pengalaman, selagi berada dalam persekitaran yang terkawal.

Melindungi anak bukan bermaksud menghalang setiap langkah mereka. Kadangkala, perlindungan terbaik ialah menyediakan ruang yang selamat supaya mereka berani mencuba, belajar dan berkembang mengikut kemampuan sendiri.

Anak yang diberikan peluang untuk meneroka bukan sahaja mengembangkan kemahiran fizikal, malah berpeluang membina rasa ingin tahu, keyakinan diri, kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah sejak kecil.

Jadi, sebelum berkata “jangan”, cuba tanya diri sendiri:

“Ini memang bahaya untuk anak, atau sebenarnya saya cuma terlalu risau?”

Kerana ada masanya, perkara yang kita anggap kecil dan menyusahkan itulah sebenarnya sebahagian daripada proses anak belajar membesar.

4 perkara ini eloklah dielakkan jika mahu anak membesar dengan sikap yang positif.

1. Terlalu melindungi

Sikap tidak mahu anak terdedah kepada bahaya memang sikap pelindung ibu dan ayah.

Namun jika kita keterlaluan tidak mahu anak berada dalam keadaan berisiko, anda sebenarnya telah menanamkan perasaan rendah diri, penakut dan sombong dalam diri anak anda sejak dia kecil lagi.

 

2. Cepat beri bantuan

Jika anak anda sedang dalam proses belajar kemahiran motor seperti duduk, berdiri atau berjalan, biarkan sesekali dia melakukan kesilapan dan merasakan kesakitan. Jangan terlalu cepat memberikan bantuan. Ia hanya akan membuatkan anak anda mudah lemah semangat dan cepat berputus asa kerana tahu ibu ayah akan datang membantu.

3. Mudah ‘cair’ dengan anak

Kadang kala sikap kita sebagai ibu bapa terlalu mudah ‘cair’ dengan anak-anak. Biarpun mereka melakukan kesilapan, dengan membuat mimik muka comel, ia sudah cukup membuatkan kita mudah memaafkan kesilapan mereka. Seharusnya kita tegas dengan pendirian kita sebagai ibu bapa. Kata orang melentur buluh biar dari rebungnya.

4. Cakap takk serupa bikin

Walaupun anak anda masih usia bayi tetapi mereka memerhatikan tingkah laku anda. Oleh itu pastikan anda memberikan mereka contoh yang baik dalam urusan mendidik mereka. Jangan terkejut jika satu hari nanti anak anda meniru perbuatan buruk anda. Misalnya bercakap kasar atau suka menjerit. TIdak mustahil si kecil juga akan pandai menjerit dan bercakap kasar bila tiba saatnya nanti.

Bukan mudah nak menjadi ibu bapa yang terbaik dan sempurna tapi berusahalah untuk bergelar ibu bapa yang sentiasa prihatin dan peka terhadap rangsangan positif perkembangan si anak.

 

Published by
Nor Yusoff