Menggunting ialah salah satu kemahiran asas yang perlu anak kuasai. Menggunting dapat menguatkan otot jari dan meningkatkan fokus anak.
Bila otot jari anak kuat, anak lebih mudah kuasai kemahiran menulis dengan baik. Bagaimana cara mudah nak ajar anak menggunting? Ikuti perkongsian dari cikgu Izzati Aziz ini.
3 TIPS MUDAH AJAR ANAK MENGGUNTING
Ada beberapa tips yang Zati nak share untuk ajar anak menggunting:
1. Pilih Gunting Yang Sesuai.
Kalau anak belum pandai gerak ‘buka dan tutup’ gunting, cari gunting yang auto buka. ( rujuk gambar).
Ads
Bila nampak anak dah boleh kawal jari, boleh ajar anak ‘buka dan tutup’ gunting guna gunting biasa.
Sebaik-baiknya, pilih gunting yang hujungkan bulat. Bukan tajam. Pemegang gunting yang berbeza saiz. (Rujuk gambar terakhir). Terapkan anak aspek keselamatan ye.
2. Pelbagaikan Medium untuk Digunting.
Ads
Untuk permulaan, ajar anak menggunting dengan benda yang mudah.
Bagi anak rasa ‘BERJAYA’ supaya anak seronok nak buat lagi dan lagi.
Antara bahan yang boleh digunakan seperti reben, tali, straw dan playdoh.
3. Gunting Dari Mudah ke Susah
Beberapa perkara perlu di ajar pada anak semasa menggunting.
Ads
Antaranya:-
🌷Kedudukan gunting perlu tegak semasa menggunting.
🌷Gunakan kedua-dua belah tangan. Pergerakan tangan dan gunting selari.
🌷Hanya kertas yang perlu digerakkan. Bukan tangan dan badan.
Ni step menggunting dari mudah ke susah:
✂️ Mula gunting kertas pendek. ( snipping)
✂️ Gunting garis lurus.
✂️ Gunting garis zig zag ( dari sikit ke byk zig zag.
✂️ Gunting garisan beralun (dari sikit ke banyak beralun.
✂️ Gunting bulatan
✂️ Gunting lingkaran
✂️ Last skali baru gunting pelbagai bentuk
Siapa yang nak ajar anak menggunting kat rumah, try ikut step ni. Insyaallah anak tak rasa stress kene terus gunting yang susah. Mak pun tak stress sebab faham step. Moga bermanfaat.
Masalah kelewatan bahasa mungkin tidak nampak serius bagi bayi, tetapi apabila kanak-kanak meningkat usia, jika ianya berterusan akan memberikan impak yang sangat besar dan berterusan kepada kanak-kanak jika tidak dirawat dengan sepatutnya.
Berikut adalah kesan-kesan yang boleh dilihat atau terjadi jika masalah bahasa pada kanak-kanak dibiarkan tanpa rawatan.
1. Emosi
Kanak-kanak dengan kelewatan bahasa sudah semestinya mengalami kesukaran untuk memahami apa yang dituturkan dan sukar juga untuk menyampaikan mesej kepada orang lain. Bayangkan kanak-kanak ingin meminta atau meberitahu sesuatu tetapi mereka tidak berupaya untuk menyebutnya disebabkan oleh kekurangan kosa kata mereka.
Sudah semestinya mereka akan merasa marah, kecewa, sedih dan sebagainya. Ini akan mengganggu perkembangan emosi mereka. Ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka yang lambat bercakap suka melakukan tantrum. Kenapa ini terjadi?.. Kerana dengan tantrum mereka dapat menarik perhatian ibu bapa untuk mendapatkan sesuatu yang mereka ingini dan mungkin juga mereka marah kerana tidak mendapat apa yang mereka ingini.
2. Sosial
Selain emosi, perkembangan sosial mereka juga boleh terganggu disebabkan oleh masalah kelewatan bahasa. BAGAIMANA?. Kanak-kanak dengan kelewatan bahasa bukannya tidak boleh berkawan, tetapi disebabkan oleh masalah mereka maka akan wujudlah jurang diantara mereka dan kanak-kanak sebaya. Mereka kurang pandai untuk berkomunikasi dan ada kalanya kanak-kanak lain akan mengejek dan membuli mereka.
Bayangkan apa yang mereka rasa dan kesannya pada psikologi mereka. Perasaan malu, rendah diri dan kurang keyakinan diri akan terbentuk dalam diri mereka lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak yang memasuki usia persekolahan. Walaupun perkembangan bahasa mereka akan berkembang apabila usia meningkat, tetapi kekurangan pendedahan dan pengalaman bersosial semasa mereka kecil akan menyebabkan mereka kurang pandai untuk bersosial dan menangani masalah dengan baik semasa berkawan atau berhubung dengan orang lain.
3. Kognitif
Perkembangan kognitif atau perkembangan mental kanak-kanak dengan kelewatan bahasa sudah semestinya akan terganggu kerana perkembangan bahasa adalah berkait rapat dengan perkembangan kognitif. Apabila mereka kurang berinteraksi, sukar untuk memahami percakapan orang lain, sukar untuk berkomunikasi dan berkongsi, maka kuranglah kebolehan mereka untuk mempelajari sesuatu yang baru sejak dari kecil yang mana pembelajaran tersebut akan mengembangkan kognitif mereka seperti kemahiran berfikir, menyelesaikan masalah dan memori mereka.
Jika kelewatan bahasa ini tidak dirawat dan berterusan sehingga kanak-kanak memasuki alam persekolah, mereka akan ketinggalan dan sukar untuk mempelajari matapelajaran akademik dengan baik.
4. Tingkahlaku
Sikap kanak-kanak dengan kelewatan bahasa juga ada kalanya berbeza jika dibandingkan dengan kanak-kanak normal yang sebaya. Mungkin tidak semua tetapi masalah kelewatan bahasa sememangnya akan memberi kesan kepada perkembangan tingkah laku kanak-kanak. Mana tidaknya, seperti yang disebut sebelum ini, masalah bahasa akan menyebabkan kanak-kanak sukar untuk berkomunikasi dan tidak tahu bagaimana ingin memberitahu sesuatu orang lain secara verbal, jadi, apa yang mereka boleh gunakan adalah pergerakan fizikal seperti memukul apabila marah atau berguling-guling di lantai.
Apabila emosi terganggu dan mereka tidak tahu mencurahkannya dengan cara yang betul akan terbentuklah masalah tingkah laku.
5. Masalah Pembelajaran (Akademik)
Ini adalah masalah yang selalu merungsingkan ibu bapa iaitu apabila kanak-kanak hendak memasuki alam persekolahan. Mana tidaknya, ibu bapa mana yang ingin melihat anak mereka ketinggalan di sekolah.
Jika kelewatan bahasa tidak dirawat dari awal, kanak-kanak sememangnya akan mempunyai masalah untuk mempelajari dan memahami mata pelajaran di sekolah. Selain itu, kesukaran mereka untuk memahami apa yang diajarkan di sekolah membuat kanak-kanak ini akan hilang semangat untuk belajar.
Saya bukan hendak menakut-nakutkan ibu bapa di luar sana terutamanya yang mempunyai anak dengan masalah kelewatan bahasa, tetapi langkah dan rawatan awal boleh membantu anak-anak ini berkembang dengan lebih baik. Sepertu yang saya selalu ingatkan, “jangan tunggu jika terdapat tanda-tanda kelewatan bahasa”. Teruskan usaha dan jangan mengalah.
Sumber: Aishah Kassim, Pakar Pertuturan Bahasa
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagai ibu bapa, kita semua mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Kita mahu mereka cemerlang di sekolah, bijak berbicara, dan mudah mengingati apa yang diajar. Namun, ramai yang tidak sedar bahawa kemampuan memori anak-anak bukan hanya bergantung kepada sekolah atau guru – tetapi bermula daripada rumah. Dalam video oleh Bintang Kecil, BK Doktor berkongsi panduan mudah tetapi penuh makna bagaimana ibu bapa boleh memainkan peranan besar dalam mengasah memori anak-anak sejak kecil.
Membaca buku itu penting, tapi menulis semula apa yang dibaca lebih memberi kesan kepada ingatan. Ibu bapa boleh mulakan tabiat ini dengan cara yang santai – contohnya, minta anak tulis semula cerita yang mereka baca, atau buat “jurnal harian” sebelum tidur. Bukan sahaja membantu daya ingatan, malah aktiviti ini juga mendekatkan hubungan ibu bapa dan anak melalui perkongsian cerita harian mereka.
Fokus adalah asas kepada ingatan yang kuat. Di rumah, ibu bapa boleh bantu anak-anak dengan mewujudkan suasana belajar yang tenang – jauh daripada TV, gajet atau bunyi bising. Tetapkan waktu belajar yang tetap dan jadikan ia rutin. Bila anak terbiasa fokus, bukan saja prestasi akademik meningkat, malah kemahiran menyelesaikan masalah juga bertambah baik.
Pemakanan seimbang sangat penting untuk otak anak. Tapi daripada sekadar menyuruh anak makan sayur atau ikan, kenapa tidak libatkan mereka dalam proses memasak? Ajak mereka potong brokoli, susun buah dalam pinggan, atau bantu pilih ikan tuna di pasar. Aktiviti ini bukan sahaja mendidik tentang pemakanan sihat, tetapi juga menjadikan mereka lebih terbuka untuk mencuba dan menghargai apa yang dimakan.
Ramai ibu bapa cepat mencari jalan pintas seperti suplemen atau vitamin otak. Tapi BK Doktor tekankan – apa yang lebih penting ialah aktiviti yang mencabar minda. Ibu bapa boleh ajak anak main permainan strategi seperti puzzle, teka-teki, kad memori, atau permainan tradisional yang merangsang pemikiran logik. Sekali-sekala, tanya mereka soalan ‘kenapa’ dan ‘bagaimana’ – ini akan menggalakkan anak berfikir secara kritis.
Anak-anak belajar paling banyak ketika mereka sedang seronok. Jadi ibu bapa perlu kreatif – contohnya, tukar lawatan ke zoo jadi sesi ilmu tentang haiwan, atau buat eksperimen sains kecil-kecilan di dapur. Semua ini adalah peluang untuk mengaitkan pembelajaran dengan pengalaman sebenar. Lagi menarik pengalaman itu, lagi kuat memori anak.
Peranan ibu bapa dalam membentuk daya ingatan anak adalah sangat besar – lebih besar daripada yang kita sering sangka. Dengan hanya meluangkan sedikit masa, mencipta suasana positif dan mendidik melalui aktiviti harian, kita sebenarnya sedang membina asas yang kukuh untuk masa depan mereka. Ingatlah, anak-anak bukan hanya belajar di sekolah – mereka belajar melalui setiap detik bersama kita. Maka jadilah pencetus memori yang bermakna dan kekal dalam hidup mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keinginan mempunyai anak yang pandai tidak semestinya belajar di tadika yang mempunyai yuran mahal. Semua ini bergantung kepada cara pembelajaran dan guru yang mengajar di tadika berkenaan.
Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof Madya Dr Bustam Kamri yang merangkap Dekan Sekolah Sains Sosial,Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mengakui bahawa tadika yang bagus dan berkualiti mendidik kanak-kanak membaca terletak kepada kemahiran guru yang mengajar.
Tadika yang mahal belum tentu dapat menjamin hasil yang dikehendaki oleh ibu bapa yang mengharapkan anaknya boleh membaca. Kualiti guru terletak kepada kelayakan keilmuan dan pengalaman mengajar kanak-kanak. Guru perlu mendapat pengetahuan pendekatan dan teknik mengajar membaca kepada kanak-kanak.
Apa yang jelas, guru perlu peka dengan kebolehan dan keupayaan setiap kanak-kanak di tadika.
Tumpuan perlu diberikan kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai kebolehan membaca mengikut perkembangannya.
8 TIP BANTU ANAK MEMBACA
Dr Bustam menyenaraikan lapan panduan seharusnya pihak tadika lakukan. Apabila sudah tahu mengenai lapan panduan ini, ibu ayah, boleh tanya kepada pihak tadika, bagaimana corak pembacaan di tadika.
1.Aktiviti membaca di tadika hendaklah dipelbagaikan supaya dapat merangsang kanak-kanak untuk belajar membaca.
2.Cara pendekatan mengajar membaca juga penting untuk menghasilkan kanak-kanak yang boleh membaca dan memahami apa yang dibaca.
3.Kaedah membaca secara menyeluruh, fonetik atau membaca terus hendaklah disesuaikan dengan latar belakang kanak-kanak yang berbeza.
4.Masalahnya kadangkala pihak guru yang mengajar tidak sedar dan menganggap semua kanak-kanak adalah sama minat, kebolehan, keupayaan dan pencapaiannya.
5.Bahan bacaan yang disediakan oleh tadika hendaklah dapat menarik perhatian kanak-kanak. Pemilihan bahan bacaan hendaklah disesuaikan dengan peringkat umur, minat dan kebolehan kanak-kanak yang pelbagai latar belakang.
6.Membaca hendaklah disusuli dengan aktiviti yang mempunyai perkaitan dengan bahan yang dibaca dan memberi pengalaman bermakna kepada kanak-kanak.
7.Persekitaran membaca di rumah adalah penting sebagai lanjutan aktiviti belajar membaca di tadika. Ibu bapa dinasihatkan mengambil tahu dengan bertanya pengalaman kanak-kanak kegiatannya semasa di tadika.
8.Berikan galakkan kepada anak untuk terus membaca. Ibu bapa jangan merasa kecewa apabila anaknya belum boleh membaca. Dijangka semua kanak-kanak apabila telah mencapai kematangan dalam lingkungan usia sembilan tahun boleh membaca dengan lancar sekiranya diberi bimbingan yang sesuai mengikut keperluan kanak-kanak.
APA ITU TADIKA KERAJAAN DAN TADIKA SWASTA
Di negara kita terdapat dua jenis tadika iaitu tadika bantuan kerajaan iaitu kelas prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Biasanya kelas prasekolah ini terdapat di dalam kawasan sekolah rendah. Ibu bapa perlu mendaftar lebih awal di prasekolah berkenaan.
Selain itu Ibu bapa boleh memilih kelas tadika yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Masyarakat dan Luar Bandar iaitu kenali sebagai tabika KEMAS. Biasanya tadika ini berada di kawasan luar bandar. Manakala tadika anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berada di kawasan bandar. Penubuhan tadika KEMAS dan tadika JPNIN bertujuan untuk membantu keluarga yang berpendapatan rendah . Oleh kerana prasekolah dan tadika ini anjuran kerajaan maka yuran yang dikenakan amat minima sesuai dengan kemampuan keluarga berpendapatan rendah.
Sekiranya ibu bapa berkemampuan dan tidak mahu menghantar anaknya ke tadika bantuan kerajaan mereka boleh memilih menghantar anak ke tadika swasta. Biasanya pengusaha tadika akan mengenakan yuran pada setiap kanak-kanak. Kadar yuran tidak sama pada setiap tadika. Perbezaan yuran bergantung pada keadaan di tadika. Ibu bapa boleh mengagak dengan melihat keadaan fizikal dan bangunan di tadika secara tidak langsung akan menggambarkan bayaran yuran yang bakal dikenakan. Sekiranya di luar kemampuan adalah dinasihatkan menghantar anak ke tadika bantuan kerajaan.
KELAYAKAN TENAGA PENGAJAR ATAU GURU
Guru tadika perlu mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Biasanya guru-guru di Kementerian Pelajaran Malaysia mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Mereka ini terlatih khusus dalam mengajar kanak-kanak di tadika. Kurikulumnya dibina bersesuaian dengan perkembangan kanak-kanak.
Setiap kelas prasekolah akan menggunakan kurikulum yang sama di seluruh negara. Begitu juga dengan kelas tadika anjuran KEMAS dan JPNIN juga menggunakan kurikulum yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bezanya kebanyakan guru yang mengajar di tadika KEMAS dan JPNIN berkelulusan diploma pendidikan awal kanak-kanak. Mereka juga mendapat latihan khusus untuk mengajar kanak-kanak di tadika.
Manakala guru-guru di tadika swasta terdapat berbagai kelayakan akademiknya. Pengusaha tadika yang berkemampuan akan mengaji guru yang berkelulusan sarjana muda dan juga diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Sekiranya pengusaha kurang berkemampuan akan mengaji guru yang berpengalaman dengan kelulusan lebih rendah daripada diploma iaitu kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Walau bagaimana pun guru-guru di swasta mendapat pendedahan kursus pendek yang dianjurkan oleh badan swasta dan kerajaan. Mereka juga perlu mematuhi syarat mengikuti garis panduan kurikulum yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kesimpulannya, tadika mahal atau tidak bergantung kepada sistem pembelanjaran di tadika itu. Misalnya, jika tadika itu murah yurannya, tetapi guru-gurunya berpengalaman sudah tentu banyak ilmu pendidikan yang boleh digunapakai untuk mendidik kanak-kanak. Yang penting, pastikan tenaga pengajarnya berkualiti dan mempunyai sijil dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!