“Alah, bayi baru lahir bukan tahu apa nanti dia akan berkembang sendiri”. Tahukah mak ayah yang sebenarnya kita dah boleh merangsang perkembangan bayi sejak dari lepas lahir lagi.
Tujuan merangsang perkembangan bayi bukan untuk jadikan bayi kita lebih genius dari bayi orang lain tapi untuk memastikan perkembangannya normal. Berikut adalah perkongsian Terapis Cara Kerja, Puan Maryam Jamadi
Sepanjang pengalaman menjadi terapis, jangan terkejut kalau saya kata yang 70% mak ayah yang mempunyai anak kelewatan perkembangan tak tahu akan fakta ini dan terasa sayang sangat masa genting anak membesar sudah berlalu.
Walaupun bayi selepas lahir memang hanya terbaring, nampak macam tak faham apa-apa tetapi sangat rugi kalau mak ayah tak manfaatkan waktu ini untuk merangsang perkembangannya seawal mungkin.
NAK RANGSANG APA??
Jawapan saya, semua komponen perkembangan. Mak ayah perlu ingat yang 100% perkembangan otak anak bawah 2 tahun bergantung kepada rangsangan deria. Perkembangan deria inilah yang akan mempengaruhi perkembangan skil anak di masa akan datang. Sewaktu ini anak tak pandai cari, semuanya bergantung kepada persekitaran dan rangsangan dari mak ayah sahaja.
RANGSANG BAYI 0 – 3 BULAN
Ini tips saya:
1. DERIA VISUAL
– Memandang dan bercakap dengan jarak 8-10 inci kerana penglihatan bayi masih kabur-kabur lagi.
– Pemilihan mainan dengan warna dan corak yang kontra. Kontra yang kuat seperti merah, hitam dan putih.
– Tarik perhatian bayi dengan menggerakkan mainan dari kanan ke kiri, atas ke bawah dan sebaliknya secara perlahan-lahan.
– Kerapkan senyum dan buat ekspresi muka semasa bercakap ataupun berinteraksi bersama bayi. Lagi “over” lagi bagus.
INI PENTING UNTUK:
Skil pertuturan, Skil Fokus, Persepsi Visual, Koordinasi Mata dan Tangan
2. DERIA AUDITORI
– Bercakap dengan bayi menggunakan intonasi dan nada yang menarik serta berbeza-beza.
– Respon seperti berbual apabila bayi mula keluarkan bunyi selain menangis.
– Pemilihan mainan yang berbunyi seperti “rattles” dan mainan yang ada muzik.
– Goncang mainan yang berbunyi untuk tarik perhatian bayi dan gerakkan ke kanan dan kiri, atas dan bawah.
– Menyanyi atau berselawat bersama bayi.
– Dapatkan pemeriksaan pendengaran jika mak ayah dapati bayi tak respon terhadap suara mak ayah atau bunyi yang kuat. Lagi cepat lagi bagus.
PENTING UNTUK:
Skil Bahasa dan Pertuturan
3. DERIA SENTUHAN
– Tak perlu pakai sarung tangan dan kaki sekiranya persekitaran tak sejuk serta mak ayah bersama bayi jika risau bayi tercakar muka.
– Urut bayi sejak hari pertama kelahiran.
– Pemilihan mainan yang pelbagai tekstur.
– Kerapkan kontak kulit ke kulit.
PENTING UNTUK:
Perkembangan Fizikal, Skil Motor Halus, Skil Motor Kasar, Kognitif, “Special Bonding’ Mak Ayah dan Anak, Skil Sosial dan Perkembangan Emosi
4. DERIA SENDI
– Lakukan “Tummy Time” seawal baru lepas lahir. (Saranan saya selepas tali pusat bayi dah tercabut). Lakukan sekejap sahaja tetapi kerap. *Akan kongsikan di masa akan datang
– Urutan gusi.
– Kerap memeluk bayi.
– Membedung bayi melalui teknik yang betul.
PENTING UNTUK:
Skil Motor Halus, Skil Motor Kasar, Skil Menulis, Skil Pertuturan
5. DERIA RASA
– Urutan gusi.
– Jangan terlampau halang bayi belajar menghisap tangan, jari atau mainan! Ia adalah normal semasa meniti perkembangan bayi.
– Mohon jangan beri bayi “rasa-rasa” makanan orang dewasa, boleh merosakkan perkembangan deria rasa anak.
PENTING UNTUK:
Skil Urus Diri (Makan), Skil Pertuturan
6. DERIA BAU
– Kerap memeluk bayi untuk beri bayi bau unik mak ayah.
– Beri masa untuk bayi mencari puting sekiranya menyusu badan.
– Tinggalkan baju yang telah dipakai berdekatan bayi semasa kali pertama tinggalkan bayi bersama orang lain.
PENTING UNTUK:
Skil Urus Diri (Makan), “Special Bonding” Mak Ayah dan Anak
7. DERIA VESTIBULAR
– Menggunakan buaian dengan cara yang betul.
– Mendukung bayi dengan pelbagai posisi.
– Meniarapkan bayi di atas “gymball”.
PENTING UNTUK:
Skil Motor Kasar, Koordinasi badan, Kesedaran Ruang, Posisi Tubuh
Sudah terlampau banyak kes yang saya jumpa dimana mak ayah menyesal tak bantu perkembangan anak sejak lahir dan baru sedar bila anak dah pun terlewat perkembangan.
Saya harap dengan perkongsian ini dapat memberi idea pada mak ayah cara merangsang perkembangan bayi seawal sejak lahir.
Kenapa kena rangsang?
1. Usaha.
Kita usaha dahulu, jika memang ditakdirkan bayi kita mempunyai masalah perkembangan ataupun sindrom/disorder di masa akan datang sekurang-kurangnya kita tahu yang kita sudah buat yang terbaik untuk rangsang anak sejak lahir.
2. Intervensi awal.
Rangsangan ini juga penting untuk memastikan tahap perkembangan bayi dan keperluan intervensi awal sekiranya memerlukan. Lagi awal bayi dapatkan bantuan terapi, lagi cepat “progress” perkembangan bayi.
Tips ini juga boleh digunakan untuk bayi pra-matang dan bayi yang ada masalah kesihatan sejak lahir (perlu tanya pendapat doktor/terapis yang mengendalikan kes anak).
Sekian, semoga bermanfaat untuk mak ayah yang baru sahaja mendapat anak, ibu mengandung atau mak ayah yang merancang mendapatkan anak. Boleh simpan siap-siap tips ini.
Selamat merangsang perkembangan anak!
Kredit: Maryam Jamadi
Pediatric Occupational Therapist
BEYOND Home Therapy Selangor & Johor
KELAS ONLINE BREASTFEEDING PERCUMA dengan daftar Pa&Ma BF VIP Eksklusif member! Hanya RM20 sahaja. Daftar https://toko.ideaktiv.com/product/pama-bf-vip-eksklusif/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI