Pelbagai fesyen kasut bayi membuatkan ibu bapa seronok membeli untuk anak-anak. Maklumlah bila disarungkan pada kaki bayi, nampak comel sangat. Sebenarnya tindakan ibu bapa memakaikan kasut kepada bayi masih kecil akan membuatkan perkembangan otot telapak kakinya terbantut.
Tidak perlu kenakan kasut kepada bayi anda, cukup sekadar dengan memakaikan mereka stokin. Stokin juga biarlah sedikit longgar.
Dengan memakaikan stokin yang sedikit longgar kepada bayi, ia memberi kebebasan pada tulang-tulang kaki dan jari kaki mereka. Tidak perlu dipakaikan kasut kerana berjalan dengan kaki ayam pun mereka belum mampu.
Ads
Jika bayi dalam proses membesar, biarkan kaki mereka sentiasa bebeas agar mereka dapat meregangkan otot kaki sekaligus merangsangnya agar mudah digerakkan. Sebelum pandai berjalan, bayi gemar meregangkan tulang jari kaki mereka dengan cara tersendiri.
Perhatikan bayi anda. Mereka suka menggerakkan jari kaki serta pergelangan kaki. Bayangkan jika dipakaikan kasut, bagaimana mahu digerakkan? Tiada salahnya untuk anda gayakan bayi, tetapi jangan sampai membebankan perkembangan mereka. Dengan membiarkan kaki mereka sentiasa bebas, ia akan menjadi kuat dan proses mereka untuk berjalan juga lebih cepat.
Bila tengok rekaan kasut yang comel-comel tu, pendamkan perasaan dahulu. Tunggu sehingga mereka sudah boleh bertatih sendiri, kemudian belilah kasut yang selesa untuk mereka.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka anak yang dilahirkan cukup sempurna, secara tiba-tiba disahkan menghidap hydrocephalus with dandy walker malformation atau bahasa mudahnya memiliki saiz kepala besar. Tidak dinafikan sepanjang mengandungkan buah hatinya, Nor Fatihah Najiha Mohd Isa, lima tahun, dirinya mengalami alahan teruk dan kerap kali keluar masuk hospital untuk menambah kandungan cecair di dalam badan.
Sejak di trimester pertama hingga kandungan mencecah umur tujuh bulan, barulah alahan Nurul Wahida Hasbullah, 26 tahun, beransur baik. Itu pun setelah melalui proses pemindahan darah. Selepas itu, dia mula berselera makan dan bertenaga seperti biasa. Namun, perkara tersebut bukanlah punca kepada penyakit anaknya kerana Nor Fatihah Najiha atau panggilan manjanya Najiha dilahirkan sihat dan normal.
“Mula-mula neneknya tegur, kenapa kepala Najiha nampak besar ketika usianya dua bulan. Mungkin disebabkan saya melihat dia setiap hari. Jadi, tak sedar dengan perubahan tersebut. Kebetulan, selepas teguran itu, Naiha ada temujanji di klinik berdekatan untuk mengambil suntikan imunisasi.
Selepas menimbang berat, jururawat yang bertugas turut mengambil panjang bayi dan ukur lilit kepala. Ketika mengukur kepala, muka jururawat tiba-tiba berubah. Dia beritahu kepala anak saya besar dan ukur lilitnya naik mendadak berbanding bulan lalu. Jadi, dia minta saya untuk bawa anak ke hospital.
Melalui CT scan yang dijalankan di Hospital Seremban, doktor dapati memang ada lebihan cecair di otaknya dan sahkan Najiha menghidap hydrocephalus. Kami dinasihatkan untuk bawa Najiha ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut kerana di sana ada pakar dan pelbagai kemudahan khas untuk kes anak saya. Di sanalah, baru saya jelas dengan penyakit ini dan bermulalah episod Najiha berulang-alik ke hospital,” jelas Nurul Wahida.
Jika mengikut cadangan, Najiha perlu dibedah segera tetapi naluri keibuan Nurul Wahida memberontak untuk tidak izinkannya memandangkan anak kecilnya baru berusia dua bulan. Dengan berat hati, Nurul Wahida mengambil keputusan untuk membawa anaknya pulang untuk berfikir dan berikhtiar cara lain.
Berserah
Si ibu mengambil jalan tengah dengan membawa anak sulungnya berubat kampung. Barangkali serasi dengan cara alternatif ini, kesihatan Najiha yang konsisten biarpun saiz kepalanya makin membesar.
Namun, kegembiraan itu tidak lama apabila dia mengalami demam ketika gigi mahu tumbuh dan diserang sawan. Bimbang dengan sesuatu yang di luar jangkaan, Nurul Wahida membawa anaknya ke Hospital Kuala Pilah. Di sana, keadaan anaknya baik dan tiada serangan sawan. Jadi mereka dibenarkan pulang pada keesokan hari. Tetapi belum panas punggung, tiba-tiba sekali lagi sawan meyerang Najiha dan lebih teruk hingga mata hitamnya nampak hanya sedikit.
Langsung, ibu dan bapanya ke HKL. Kali ini Nurul Wahida menyerah kalah. Dia membenarkan doktor jalankan pembedahan segera untuk memasukkan shunt iaitu tiub silikon untuk mengimbangi dan mengeluarkan air dari kepala anaknya.
Hanya tawakal dan doa mengiringi Najiha yang berada di bilik pembedahan. Ternyata keputusan membawa Najiha ke HKL dengan segera adalah pilihan terbaik kerana jika lambat mungkin Najiha sudah tiada.
Dibedah berkali-kali
“Sebelum pembedahan itu, saya memang tidak tanya apa-apa kepada doktor kerana cemas dengan apa yang berlaku kepada Najiha. Mulanya, saya ingat pembedahan adalah satu-satunya cara untuk pulihkan anak saya, rupa-rupanya tidak. Selesai pembedahan, doktor terangkan satu-satu, barulah saya tahu situasi sebenar.
Selepas dua bulan, tiba-tiba tiub yang dipasang tersebut terkeluar di bahagian lubang punggung Najiha. Terkejut dengan perkara tersebut, saya dan suami terus bawa Najiha ke hospital. Sepanjang perjalanan dari Felda Lui Timur hingga HKL, Najiha muntah. Setelah menjalani pemeriksaan rupanya berlaku jangkitan dan Najiha perlu dibedah untuk menukar tiub.
Tidak lama kemudian ketika umurnya satu tahun enam bulan, sekali lagi berlaku jangkitan dan rutin yang sama perlu dilalui Najiha. Perlu dibedah dan tukar shunt. Perkara ini berulang-ulang dan dalam tempoh dua tahun, 12 kali Najiha tukar shunt,” luahnya sebak.
Cari alternatif
Melihat keadaan Najiha yang sebegitu, doktor mengambil keputusan untuk mencuba alternatif baru iaitu menggantikan shunt sedia ada dengan silver coated programmable shunt. Saat itu doktor mengandaikan Najiha alah kepada material shunt yang sedia ada. Tetapi kosnya perlu ditanggung oleh keluarga pesakit kerana barang tersebut tidak disediakan di hospital.
Khuatir dengan kesihatan anak yang makin meruncing, Nurul Wahida dan suaminya, Mohd Isa Zainal Abidin, yang bekerja sebagai pemandu lori berusaha mencari bantuan untuk anak tercinta. Kos yang diperlukan iaitu RM6500 merupakan jumlah yang besar buat keluarga kecil ini.
Entah bagaimana, terlintas di fikiran Nurul Wahida untuk berkongsi kisah anaknya di akaun media sosial milik suaminya bagi mengumpul dana. Tidak sangka perkongsian di Facebook mendapat perhatian sebuah organisasi bukan kerajaan, Telekung Project. Dalam masa 24 jam, dana yang dicari mencukupi.
Hanya Allah tahu perasaan kami kala itu. Tidak sangka secepat itu Allah memudahkan urusan. Nurul Wahida amat berterima kasih pada pihak Telekung Project. Usai pembedahan tersebut tiada lagi episod duka Najiha.
Alhamdulilah sejak pasang silver coated programmable shunt, tiada lagi jangkitan kuman. Saya bersyukur kerana Najiha tidak perlu dibedah lagi buat masa ini. Sekarang sudah dua tahun lebih dia pakai shunt baru dan nampaknya Najiha serasi. Cuma enam bulan sekali, kami akan bawa Najih untul follow up kesihatan dia,” ungkapnya syukur.
Sudah mampu berjalan
Pernah Nurul Wahida bertanyakan pendapat doktor, adakah Najiha mampu berjalan memandangkan dia memiliki sepasang kaki yang kecil tetapi beban kepalanya berat. Doktor tidak memberi sebarang jaminan kerana agak sukar kanak-kanak sepertinya berjalan.
Namun Nurul Wahida tidak pernah berputus asa dan sentiasa mendoakan keajaiban untuk anaknya. Dari kecil, dia mengajar Najiha untuk duduk sendiri. Tidaklah memaksa tetapi mengikut kemampuan dirinya. Kini, dia mampu berbangga kerana anaknya sudah mampu berjalan.
Dari kecil lagi saya biasakan Najiha untuk duduk, saya sendalkan bantal untuk dia duduk dengan baik. Untuk berjalan pula, saya pimpin dia berjalan. Saya tak pernah putus asa untuk lihat Najiha berjalan. Saya bawa dia pergi berurut setiap kali pulang ke kampung ibu saya. Lagi pun Najiha seorang yang aktif. Selama ini, biarpun tidak mampu berjalan, dia akan mengesot ke dapur.
Najiha makin bersemangat untuk berjalan apabila saya letakkan syarat jika dia mahukan adik, dia mesti boleh berjalan. Dengan semangat yang kuat di usianya empat tahun lebih, dia boleh berjalan. Hanya Allah sahaja tahu betapa gembiranya hati saya. Allah makbulkan doa saya untuk lihat Najiha berjalan dan dalam masa yang sama Najiha dapat adik yang dia inginkan selama ini,” ungkapnya sebak.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah menyalurkan sumbangan anda ke akuan, 7612355706 (CIMB) atas nama Nurul Wahida Hasbulah.
Kredit: Nur Syazwani Mehat, Mingguan Wanita
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak wabak Covid merebak, hampir keseluruhan cara hidup kita sebelum ini berubah. Semuanya perlu faham dan akur dengan keadaan semasa. Dulu mungkin kita tak pernah pun terfikir tapi sekarang tetap perlu hadapinya.
Dalam kalangan ibu hamil yang menunggu masa untuk bersalin, tempoh ini dianggap sukar dan tak boleh nak bayangkan macam mana nanti bersalin dan urus anak sendiri ketika dalam wad.
Soalan yang biasa ditanya, macam mana saya nak bersalin musim PKP ni? Betul ke tak boleh ada peneman dan sebagainya.
Berikut adalah perkongsian dari Puan Dalila Amli yang berkongsi pengalamannya bersalin anak sulung pada 7 Januari secara pembedahan dan semua diuruskan sendiri.
Ramai yang nak tahu macam mana keadaan bersalin masa tengah covid ni kan? Ok saya share ye. Semoga dengan perkongsian ni, dapat bagi ibu-ibu yang tunggu hari nak bersalin bersedia mental dan fizikal ya. Dan didoakan dipermudahkan segala urusan.
Fyi, ni pengalaman saya dekat Hospital Selayang, kelas ke-3. Hospital lain tak pasti. Boleh tanya dulu untuk kepastian.
1) Katil wad limited
Masa musim Covid ni, hospital memang agak padat. Jadinya, kekurangan katil. Kalau kita datang register, kita memang akan kena tunggu giliran untuk dapat bagi katil. Tiada jaminan dapat awal atau lambat. Kecuali kalau ada kelas ke-2 atau kelas pertama, siapa nak, pihak hospital akan tawarkan.
2) Tak boleh teman/melawat
Suami/mak/adik beradik pun tak dibenarkan teman atau melawat. Walaupun dalam labour room pun suami tak dibenarkan teman. Semuanya sendiri. Hanya ibu dan bayi sahaja. Suami boleh datang untuk ambil uri dan azankan bayi sahaja. Walaupun kelas pertama, kelas kedua atau FPP pun sendiri. Suami tak boleh teman.
3) Hantar barang hanya bagi pada guard
Kalau suami nak hantar barang, boleh pass pada guard. Suami memang tak dibenarkan masuk. Untuk memudahkan guard pass barang kat kita, boleh suruh suami tulis nama, no katil dan no wad siap-siap di kertas. Jadinya tak perlulah guard tu tercari-cari. Kita mudahkan urusan guard.
4) Suami tunggu di lobi
Sementara kita nak tunggu dapat katil, suami tetap tak boleh teman ye. Apabila dah daftar, dah tukar baju hospital, terus kita tak boleh ke mana-mana.
– Dinasihatkan, sementara belum dapat katil, tak payah bawa barang banyak-banyak dulu. Dah masuk wad baru minta suami hantarkan beg.
Kesimpulannya, dari A-Z memang ibu dan bayi sahaja dalam wad. Tak ada bantuan dari ahli keluarga. Memang agak struggle sikit tapi semuanya ok. Syukur juga sepanjang dalam wad jururawat dan ibu-ibu lain sama-sama tolong uruskan bayi.
Memandangkan semuanya sendiri-sendiri, kalau kita kuat sikit, bantu-bantulah jiran-jiran katil. Kasihan lagi-lagi kalau lepas czer. Selagi ubat bius belum habis, tak boleh bangun, dengan bayi menangisnya lagi. Jadinya, kita saling bantu membantu.
**Teringin nak beli barangan anak pada harga yang berbaloi, klik di sini
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jika anda sedang menyusukan bayi, anda mungkin mengambil berat mengenai kesihatan payudara. Malah, terdapat sebilangan wanita masih tertanya-tanya sama ada mereka boleh menyusukan bayi atau sebaliknya semasa menghidap kanser payudara dan benarkah menyusu boleh mengurangkan risikonya?
Ya, walaupun secara spesifiknya sukar dipastikan. Terdapat empat kajian yang perlu diperhatikan.
Analisis besar-besaran hampir 150,000 wanita yang diterbitkan di The Lancet pada tahun 2002 mendapati bahawa setiap 12 bulan penyusuan (sama ada dengan seorang kanak-kanak atau ramai kanak-kanak), risiko kanser payudara menurun sebanyak 4.3 peratus, berbanding wanita yang tidak menyusukan anak sama sekali.
Kajian 2009 lebih daripada 60,000 wanita yang diterbitkan dalam Arkib Perubatan Dalaman mendapati bahawa wanita yang mempunyai sejarah keluarga kanser payudara mengurangkan risiko mendapat penyakit sebelum menopaus hampir 60 peratus jika mereka menyusu.
Satu kajian yang diterbitkan tahun oleh Jurnal Institut Kanser Kebangsaan mendapati bahawa wanita keturunan Afrika mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk membentuk kanser payudara yang agresif dan sukar di rawat yang dipanggil estrogen reseptor negatif dan triple-negatif. Risiko sebenarnya meningkat apabila seorang wanita melahirkan tetapi penyusuan menafikan risiko ini.
Kajian usaha sama antarabangsa hampir 37,000 kes kanser payudara yang diterbitkan dalam Annals of Oncology mendapati pengurangan 20 peratus risiko pengembangan hormon risiko negatif kanser payudara terhadap wanita menyusu. Tetapi penulis kajian menyatakan kanser payudara subtipe sukar dirawat terutama dalam kalangan wanita yang mempunyai halangan untuk menyusu seperti obesiti, kehamilan awal atau kehamilan Afrika-Amerika atau keturunan Afrika Sub-Sahara, dan lebih banyak diperlu bagi menggalakkan wanita menyusu.
Kajian telah menunjuk kepada beberapa teori, walaupun tiada yang terbukti. Salah satunya adalah wanita yang menyusu mempunyai kitaran haid yang lebih sedikit sepanjang hidup mereka. Oleh itu, kurang pendedahan kepada estrogen, yang telah ditunjukkan menggalakkan beberapa jenis kanser payudara. Teori lain: Penyusuan menjadikan sel-sel payudara lebih tahan terhadap mutasi yang boleh menyebabkan kanser.
Selain itu, terdapat faktor gaya hidup yang sering dimainkan: Wanita menyusu (dan mengandung) cenderung untuk berhenti merokok dan minum alkohol, makan makanan yang lebih sihat, dan secara umumnya menjaga diri mereka dengan lebih baik. Tingkah laku ini dikenali untuk mengurangkan risiko kanser payudara anda.
Berapa lama perlu menyusu untuk mengurangkan risiko?
Untuk perkara ini belum ada jawapan yang muktamad. Tetapi penyelidikan seperti kajian The Lancet, telah menunjuk kepada trend bahawa lebih lama adalah lebih baik. Walaupun jika anda tambah dengan formula, ternyata apa-apa jenis penyusuan masih mengurangkan risikonya. Oleh itu, jangan ragu-ragu jika anda menghadapi masalah bekalan susu.
Bagaimana jika tidak boleh menyusu?
Jangan tertekan mengenainya. Dr Stuebe menyatakan, ia bukan mesej bahawa anda akan mendapat kanser payudara jika tidak menyusu.
Jangan lupa bahawa mungkin salah satu cara yang paling berkesan untuk membantu mengurangkan risiko kanser adalah melalui amalan gaya hidup sihat. Laporan 2008 yang diterbitkan oleh National Institutes of Health menyatakan satu fakta mudah yang perlu diulang:
“Hanya 5-10 peratus daripada semua kes kanser boleh disebabkan oleh kecacatan genetik, manakala selebihnya 90-95 peratus adalah asas dalam persekitaran dan gaya hidup.”
Ini bermakna, menyusu bukanlah satu-satunya cara untuk mengurangkan risiko kanser payudara anda. Senaman dan pemakanan sihat juga boleh membantu anda.