Jika anak lambat bercakap memang buat ibu bapa risau cuma tak tahu nak buat apa. Ada juga hanya membiarkan ia berlaku tanpa sebarang tindakan disebabkan ada yang kata, “tunggulah sehingga enam tahun, anak boleh lah bercakap nanti” dan ada juga kata sebab genetik. Apa pun alasannya, ibu ayah tolong ‘take note’ bahawa jika dibiarkan begitu je, memang akan memberikan kesan kepada perkembangan anak. Memang nampak remeh, tetapi jika anak lambat bercakap ia akan menganggu kemahiran membaca, menulis dan sekali gus, hubungan sosialnya dengan rakan sebaya akan terjejas.
Nak tahu cara bagaimana nak handle anak yang lambat bercakap. Memang ada pelbagai cara yang kita ketahui dan baca sebelum ini. Mungkin boleh cuba pula cara tenaga pengajar Teacher Ayu dari Exel Qhalif moga menjadi panduan buat ibu ayah.
Anak sebegini perlu dorongan dengan teknik yang betul untuk menyebut sesuatu perkataan dengan betul
Ramai ibu bapa yang hadir berjumpa saya dalam keadaan panik, apabila umur anak menjangkau 3 atau 4 tahun tetapi masih menggunakan bahasa bayi. Ada juga anak yang hanya menggunakan satu patah perkataan bila menyatakan sesuatu. Tidak kurang yang hanya menunjukkan sahaja apa yang dimahu.
Sungguhpun begitu mengikut pengalaman dan pemerhatian saya anak-anak ini bijak. Sungguh bijak cuma mereka lambat bercakap. Tapi kenapa ia terjadi? Mengikut kajian terlalu banyak faktor yang menyebabkan ia terjadi, tetapi di sini saya ringkaskan kepada 5 faktor asas utama. In Sya Allah ia boleh dijadi kayu ukur buat kita semua.
Genetik
Mungkin kita biasa dengar orang berkata begini,
“Tak pelah anak kau tu lambat bercakap. Sebab masa kau kecil dulu pun lambat bercakap. Umur 5 tahun baru boleh cakap. Itupun pelat.”
YA! Mengikut kajian genetik mempengaruhi kebolehan dan kemahiran bercakap. Faktor keturunan ini samalah seperti yang mempengaruhi bentuk tubuh badan, iras muka dan sebagainya. Sungguhpun begitu, ia bukanlah satu perkara yang boleh dilepas pandang, tambahan pula di zaman serba mencabar sekarang. Komuniti pergaulan yang kita lalui dahulu tidak sama dengan yang didepani oleh anak kita sekarang.
Ads
Bukan faktor genetik semata, tetapi ibu bapa perlu dorong anak-anak bercakap semula tidak ketinggalan dalam pembelajarannya di tadika nanti
Pergaulan yang Terhad
Zaman yang serba mencabar dan demi memenuhi keperluan kehidupan hari ini, ibu dan bapa terpaksa mencari rezeki bersama. Sebahagian besar tanggungjawab membesarkan mereka ini diberi kepada bibik (orang gaji), nenek mahupun taman asuhan. Mereka tiada teman bermain atau melayan bercakap. Seperti yang dinyatakan tadi, komuniti pergaulan anak ini terhad tidak seperti kita seperti dahulu. Kita berpeluang bermain di luar dengan bebas. Aktviti seperti bermain police and thief, galah panjang, nyorok-nyorok bukan sahaja mampu membantu perkembangan otot mereka malah sangat merangsang komunikasi anak 2 atau 3 hala anak. Mereka perlukan ‘partner’ yang sama tahap pemikiran untuk dijadikan contoh dan mempengaruhi dalam merangsang idea dan tatabahasa mereka
Pastikan anak mempunyai hubungan sosial di luar rumah bersama rakan sebaya
Tiada Pengalaman Baru
Usaha ibu bapa inginkan anak pandai sangat boleh dipuji. Ibubapa inginkan anak mereka cepat belajar dan mengetahui sesuatu perkara baru. Maka bahan bantuan mengajar seperti buku dan permainan pembelajaran menjadi pilihan utama ibubapa.
Ibu bapa perlu tunjukkan gambar sungai. Katanya pada anak “Ini sungai” . Si anak pun mengikutnya untuk beberapa ketika apabila diulang. Kemudian ibubapa bertanya lagi “Apa ni?”. Cukup dua ke tiga muka surat mereka terus hilang minat untuk mengetahuinya. Si anak hanya menatap gambar sebagai hiburan mereka. Buku kemudiannya di campak ke tepi.
Kita perlu tahu, fitrah manusia tidak suka berterusan ditanya. Bayangkan satu perbualan di meja makan dengan rakan anda. Beliau terus bertanya kepada anda dari satu soalan kepada satu soalan yang lain. Pasti keesokan hari anda akan mencari teman makan semeja yang lain. Begitulah juga dengan anak-anak.
Ads
Rangsang mereka dengan pengalaman sebenar. Bawa mereka pergi berkelah di tepi sungai. Masukkan kaki mereka yang kecil itu ke dalam air supaya mereka tahu betapa sejuk airnya. Betapa deras arusnya. Bayangkan berapa banyak patah kata yang boleh kita perkenalkan? “Sungai, Sejuk, Dalam, Batu, pasir, Basah, Tuala, Pokok dan banyak lagi.. “ Semua deria mereka dirangsangkan dan menerimanya sebagai pembelajaran.
Ibu bapa perlu tunjukkan sesuatu gambar misalnya sungai. Katanya pada anak “Ini gambar sungai” . Si anak pun mengikutnya untuk beberapa kali dengan sebutan yang betul
Televisyen, Telefon Bimbit dan Tablet
Anak sekarang tidak dapat lari dari pengaruh ini. Ini memang zamannya. Tambahan pula, perisian sekarang penuh dengan permainan pembelajaran yang ‘interaktif’. Anak-anak sangat berminat dan menunjukkan kebolehan malah kebijaksaannya dalam menyelesaikan masalah permainan tersebut.
Mereka leka bermain berjam-jam sehingga habis bateri. Kelekaan ini menjadi salah satu faktor kita membenarkan mereka terus bermain. Ia juga memudahkan kita sebagai ibubapa menguruskan rutin kerja harian kita. Jika dilepaskan keluar bermain pula, dikhuatiri pula faktor keselamatan mereka.
Seperti yang saya katakan anak-anak ini memang bijak. Begitulah yang selalu saya temui, ibubapa berkata; “Anak saya bijak, mereka boleh selesaikan banyak masalah permainan yang ada dalam tab”.
Apa sebenarnya permainan? Permainan sepatutnya menyeronokkan serta mampu merangsang kelima-lima deria anak kita. Kuatkan otot mereka. Menyelesaikan masalah. Dan antara yang penting ialah merangsang pengalaman fizikal dan komunikasi mereka. Cuba kita bayangkan bermain galah panjang seorang diri, tiada jeritan, tiada helah, tiada kecekapan, tiada isyarat mata, tiada ketua, tiada kumpulan, tiada giliran dan tiada larian. Pastinya ia bukan galah panjang namanya. Elemen inilah yang menyuntik keseronokkan untuk mereka bermain dan berkomunikasi berterusan .
Ads
Perkataan seperti ini pasti akan digunakan dalam permainan galah panjang; “kau tipu, lari, lompat, kumpulan kau dah kalah, kena”. Inilah permainan sebenar. Ada ransangan deria, koordinasi mata, gerakan fizikal dan interaksi 2 atau 3 hala.
Anak berumur 0-3 tahun adalah waktu kritikal. Anak perlu dikenalkan dan belajar dari dunia sebenar. Bukan dunia maya. Pastikan mereka boleh bercakap dahulu barulah diperkenalkan perkara seperti ABC dan 123. Itu lebih penting
Hadkan pennggunaan televisyen dan gajet lain kerana ia memberi kesan buruk kepada perkembangan anak
Bahasa Yang Bercampur
Kita mungkin biasa dengar bahasa sebegini. “Papa gi work”. Mungkin untuk sesetengah anak mereka boleh terima. Tapi tidak semua anak sama tahap penerimaannya. Bayangkanlah ibubapa perkenalkan kereta dengan pangilan ‘car’, datang bibik pula memanggil ‘mobil’; nenek pula panggil ‘kereta’. Keliru si anak dibuatnya.
Tidak kurang juga pengaruh TV. Siaran kartun berbahasa Inggeris menjadi tatapan setiap hari. Ibubapa berbahasa Melayu. Bagaimana si anak ingin proses maklumat diminda?
Ibu dan bapa sepatutnya berbicang dan berpakat. Bahasa apa yang patut diguna untuk anak kesayangan mereka. Berhati-hati dengan perkara ini kerana ia sangat mempengaruhi kebolehan bertutur anak.
Terhadkan waktu anak menonton TV dan bermain telefon bimbit atau tablet. Bawalah mereka keluar berjalan dihujung minggu. Luangkan masa bermain bersama mereka setiap hari. Perkenalkanlah mereka dengan dunia yang luas ini. Mereka adalah insan yang dahagakan ilmu dan pengalaman baru. Janganlah biarkan TV berterusan menjadi guru mereka. Mungkin ia agak memenatkan tapi pastinya ada ganjaran dariNya yang menanti. Bukan untuk orang lain tapi untuk anak kita juga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Ummi, homework adik tak siap lagi! Nanti cikgu marah.” Kesian melihat rengekkan anak, lantas si ibu terus membantu anaknya menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh gurunya. Tersenyum anak setelah ibunya membantu menyiapkan tugasannya.
Pernah tak ibu ayah membuat kerja homework anak? Jika ya! Ikuti kusapan Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Prof Madya Dr Bustam Kamri yang juga merangkap Dekan Sekolah Sains Sosial,Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM). Harapan ibu bapa dan pihak tadika ‘noted’ mengenai hal ini. Isu ini memang dah lama diperkatakan dalam dalam masyarakat kita tetapi kadang kala kena ‘refresh’ supaya kita tidak lupa bahawa anak-anak ini ada tahap perkembangannya. Jom ikuti perkongsian ini Prof Madya Dr Bustam ini.
Jika tanya saya, memang saya kata tak wajar! Cikgu tadika bagi homework pada kanak-kanak dan ibu bapa pula tolong buat homework anak-anak sebab kesian.
Pengalaman semasa di Amerika dulu, saya dapati kanak-kanak di sana, darjah satu dan prasekolah memang tiada homework. Semuanya mereka buat di sekolah.
Dalam hal ini, jika ibu bapa membantu menyiapkan kerja sekolah anak ia akan memberi kesan yang tidak bagus buat perkembangan diri anak.
Antara sebabnya ialah anak barangkali menjadi seorang yang tidak boleh berdikari, tidak dapat menyelesaikan masalah, tertekan apabila kerja sekolah tidak siap dan tidak berani untuk mencuba.
Namun, jika tidak pilihan lain, ibu bapa jangan mudah mengaku kalah dan berilah dorongan kepada anak-anak jika perlu menyiapkan homework diberikan oleh guru. Pada masa yang sama berjumpa dengan guru tadika untuk berbincang mengenai hal ini supaya tidak menganggu perkembangan anak-anak.
NO HOMEWORK!
Bagi saya, seperti yang tegaskan tadi, saya tetap tidak bersetuju kanak-kanak tadika diberi homework. Ini kerana mereka masih diperingkat pemikiran konkrit iaitu aktiviti yang boleh disentuh dan dilihat. Ia merangkumi aktiviti menconteng, melukis, membaca buku cerita yang disukainya dan buat binaan blok.
Jika kanak-kanak diberi tugasan seperti menulis abjad dan nombor, ia adalah sia-sia kerana kanak-kanak tidak faham kerana pemikiran abstrak ini tidak sesuai buat anak-anak di tadika.
Memang kanak-kanak boleh tulis nilai dua dan tulis huruf jadi nama sendiri, tetapi mereka tidak faham nilai nombor itu dan bagaimana huruf itu jadi nama.
Oleh itu, pada usia ini kanak-kanak sesuai diberikan aktiviti yang nampak yang melibatkan sentuhan dan bukannya homework yang memerlukkannya penulisan yang menyebabkan mereka tidak faham dan rasa terbeban dan membuatkan kanak-kanak tidak gembira.
KONFLIK
Memang ada segelintir tadika tidak memberi homework kepada kanak-kanak, tetapi oleh kerana desakan ibu bapa yang bertanya, “tidak ada kerja sekolah ker?”, membuatkan wujud konflik di sini.
Bagi saya, seharusnya ibu bapa faham fitrah kanak-kanak yang memerlukan aktiviti yang berbentuk konkrit supaya mudah untuk mereka memahami.
Kesimpulannya, jika kanak-kanak yang didedahkan dengan homework dan dibantu oleh ibu bapanya untuk menyiapkannya, kesannya akan membuatkan anak itu tidak berani mencuba dan takut kepada kegagalan. Bukan hanya kepada kanak-kanak usia pra sekolah tetapi juga kepada kanak-kanak sekolah rendah juga. Ini kerana pendidikan adalah proses untuk mempelajari kemahiran pembelajaran.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Disangka masalah bermain mercun seperti putus jari dan sebagainya menjadi penyumbang peratusan ke wad pediatrik. Namun sangkaan itu meleset bila mana wad kanak-kanak di Hospital Besar Kuala Lumpur dipenuhi dengan kes-kes masalah pernafasan sepanjang cuti perayaan ini.
Menurut perkongsian Astro Awani, hampir 80 peratus kes kemasukan kanak-kanak ke wad pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilaporkan melibatkan masalah pernafasan di musim perayaan.
Ketua Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak HKL, Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose menasihatkan masyarakat mengambil langkah berjaga-jaga ketika melakukan aktiviti ziarah di musim Aidilfitri ini.
“Kes melibatkan masalah pernafasan dilihat mendominasi kali ini berbanding kes putus jari akibat mercun.
“Pihak kami menjangka kemasukan ke wad kanak-kanak terus meningkat di hari raya kedua dan ketiga,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya bersama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Asmayani Khalib di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu.
Tambah beliau, kes terbabit melibatkan penyakit pneumonia dan bronkitis berlaku akibat akibat virus yang tersebar di udara menerusi pesakit batuk atau sentuhan dengan pesakit.
“Terdedah dalam suasana yang ramai terutama musim perayaan ini antara salah satu punca peningkatan kes.
“Kita tahu hari perayaan ramai orang dalam ziarah ini menyebabkan terdedah jangkitan kuman. Masyarakat perlu cakna mengenai isu ini,” katanya.
Bagi mencegah jangkitan katanya, pastikan meneruskan amalan membasuh tangan dan memakai pelitup muka di tempat orang ramai amat digalakkan.
Biasa dah kita dengar orang memburu malam Lailatulqadar bila akhir bulan Ramadan ini kan? Tetapi kali ini nak kena dengar juga cerita keindahan malam Lailatulqadar yang di kongsikan oleh Mama Irma Hasmie dan adik-adik Bintang Kecil ni.
Apa sebenarnya malam Lailatulqadar dan apa perlu kita buat untuk 10 malam terakhir? Kenalah saksikan sampai habis 1001 Malam Istimewa diserikan oleh KARIHOME.
Ramai ibu bapa fikir bekal sekolah hanya tentang ‘isi perut’ supaya anak tak lapar. Hakikatnya, apa yang anak makan setiap hari sangat mempengaruhi fungsi otak mereka. Nutrisi yang betul bukan sahaja membantu anak kekal fokus dan cergas di kelas, malah turut menyokong perkembangan kognitif dan emosi mereka. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mendapat pemakanan seimbang mempunyai prestasi akademik yang lebih baik dan kurang mengalami masalah tingkah laku. Jadi, sudah tiba masanya kita ambil serius tentang isi kandungan lunch box anak-anak sekolah rendah kita.
Protein: Bahan Bina Otak
Sumber protein seperti telur, ayam, ikan tuna, dan kekacang penting untuk pembinaan sel otak dan hormon. Protein membantu neurotransmitter berfungsi dengan baik — bahan kimia penting untuk penghantaran mesej antara sel-sel otak. Ia juga bantu anak kekal kenyang lebih lama dan elakkan ‘brain fog’ di sekolah.
Sertakan pilihan sihat seperti:
Sandwich telur rebus
Bebola ayam homemade
Hummus bersama roti pita
Elakkan sumber protein seperti:
Sosej
Nugget beku
Makanan bergoreng dan diproses
Fakta Menarik: Kajian oleh Harvard Medical School mendapati kanak-kanak yang mengambil cukup protein pada waktu pagi menunjukkan peningkatan dalam perhatian dan keupayaan menyelesaikan masalah di sekolah.
Karbohidrat Kompleks: Tenaga Tahan Lama
Karbohidrat adalah sumber tenaga utama untuk otak. Tapi bukan sebarang karbohidrat — pilih karbohidrat kompleks seperti roti gandum, oat, nasi perang atau ubi keledek. Ini memberikan tenaga yang stabil dan tahan lama, berbanding karbohidrat ringkas seperti roti putih atau makanan bergula yang hanya beri lonjakan tenaga sekejap dan kemudian menyebabkan anak lesu. Sediakan nasi goreng dengan sayur dan telur, atau wrap oat dengan inti ayam dan salad sebagai alternatif sihat.
Fakta Menarik: Otak menggunakan hampir 20% daripada tenaga badan walaupun ia hanya 2% daripada berat badan. Tenaga ini datang sebahagian besarnya dari karbohidrat.
Lemak Sihat: Otak Perlukan Lemak
Otak kita terdiri hampir 60% lemak. Lemak sihat sangat penting untuk perkembangan otak, terutama dalam tahun-tahun awal pembelajaran. Sumber terbaik termasuk avocado, ikan berlemak seperti salmon atau sardin, kekacang, dan minyak zaitun. Lemak ini menyokong fungsi saraf, ingatan dan tumpuan anak. Boleh masukkan potongan avocado dalam sandwich, buat salad tuna dengan minyak zaitun, atau berikan sedikit kacang campur sebagai snek (pastikan bukan yang bergaram tinggi).
Fakta Menarik: DHA, sejenis asid lemak Omega-3, sangat penting untuk pertumbuhan otak dan mata kanak-kanak. Ia banyak terdapat dalam ikan berlemak seperti salmon.
Sayur & Buah: Antioksidan & Serat
Sayur-sayuran berwarna-warni dan buah-buahan beri seperti strawberi, blueberries dan anggur mengandungi antioksidan yang bantu melindungi sel otak daripada kerosakan akibat radikal bebas. Antioksidan penting untuk memperlahankan proses penuaan sel dan mengekalkan kejelasan mental. Serat pula membantu sistem penghadaman dan menstabilkan gula dalam darah, yang sangat penting untuk kekal fokus.
Potong timun, lobak merah, atau tomato ceri untuk dimakan mentah.
Sediakan buah segar yang dipotong kecil supaya senang dimakan anak di sekolah.
Fakta Menarik: Kajian mendapati kanak-kanak yang mengambil buah dan sayur dengan kerap mempunyai tahap kebahagiaan dan kesejahteraan mental yang lebih tinggi.
Air Kosong & Elak Minuman Manis
Ramai ibu bapa abaikan kepentingan air kosong. Otak anak sangat sensitif terhadap dehidrasi, walaupun hanya sedikit. Bila anak kurang minum air, mereka cepat letih, sukar fokus, dan mungkin jadi murung. Pastikan anak bawa botol air kosong ke sekolah dan digalakkan minum secara berkala. Elakkan beri minuman manis seperti kordial, air gas, atau susu berperisa dalam kotak — ia tinggi gula dan beri kesan negatif kepada mood serta tenaga anak.
Fakta Menarik: Kajian di UK menunjukkan hanya 1% dehidrasi boleh mengurangkan keupayaan kognitif sebanyak 10%.
Anak Fokus, Anak Cemerlang
Ibu bapa perlu sedar, prestasi anak di sekolah bukan semata-mata tentang buku dan guru. Pemakanan harian yang betul adalah asas kepada otak yang sihat dan cerdas. Setiap bahan dalam lunch box anak adalah pelaburan untuk masa depan mereka. Jangan ambil mudah soal lunch box – kerana dari situ bermula potensi sebenar anak. Sediakan bekal dengan kasih sayang dan pengetahuan. Anak yang sihat, cergas dan fokus akan lebih yakin dan berjaya dalam pelajaran serta kehidupan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kelahiran Chrystan menjadi momen penuh emosi bagi Chryseis Tan dalam kehamilan terakhirnya. Kisah C-section ketiga ini sarat syukur, ketakutan dan kasih sayang seorang ibu.