Setiap wanita yang berkahwin pasti ingin mempunyai zuriat sendiri. Namun tidak semua bernasib baik untuk hamil. Ia mungkin disebabkan masalah kesuburan atau juga beberapa masalah lain yang sering melanda kaum wanita.
salah satunya adalah Sindrom Polisistik Ovari atau PCOS. Sindrom polisistik ovari (PCOS) merupakan merupakan salah satu penyakit yang lazim dialami oleh wanita yang sukar hendak hamil.
Ia boleh memberikan kesan perubahan fisiologi kepada kitaran haid dan rupa fizikal seseorang individu yang menghidapnya.
Keadaan kesihatan ini akan menyebabkan masalah ketidakseimbangan hormon di dalam badan.
Ia juga boleh menyebabkan paras hormon androgen (hormon lelaki) meningkat melebihi paras normal.
Perkara ini boleh menyebabkan simptom seperti hirsutisme (tumbuh misai, janggut, bulu dada), keguguran rambut dan jerawat berlaku.
Walaupun wanita dengan masalah PCOS sukar untuk hamil, namun ada rawatan dan kaedah yang mampu meningkatkan kebarangkalian mereka untuk menimang cahaya mata.
Teruskan membaca untuk mengetahui tips cepat hamil bagi pesakit PCOS dengan lebih lanjut.
#1 Kawal berat badan untuk tingkatkan kesuburan
Kawalan berat badan tidak menjamin kehamilan, namun ia merupakan salah satu faktor yang boleh meningkatkan peluang anda untuk hamil.
Mereka yang mengalami masalah PCOS kebiasaannya bergelut dengan berat badan sendiri.
Ini berikutan proses patologi penyakit itu sendiri menyebabkan badan tidak memproses tindak balas insulin secara normal.
Kesannya, mereka yang mengalami PCOS mudah untuk mendapat masalah obesiti.
Obesiti boleh menyebabkan mereka yang didiagnosis dengan PCOS untuk tidak mengalami proses ovulasi.
Ovulasi adalah proses fisiologi yang melibatkan pengeluaran sel telur (ovum) ke saluran reproduktif untuk disenyawakan dengan sperma.
Tanpa ovum, persenyawaan tidak akan berlaku maka wanita terbabit akan mengalami kesukaran untuk hamil.
Menurut kajian yang dijalankan di sebuah Fakulti Perubatan di Washington, Amerika Syarikat (USA) penurunan berat badan dalam lingkungan 5% hingga 10% boleh menyebabkan kitaran haid bagi pesakit PCOS untuk menjadi teratur semula.
Ads
Jika digabungkan dengan penggunaan ubat kesuburan yang dibekalkan oleh doktor, peluang untuk seseorang itu hamil tinggi.
Walau bagaimanapun, bukan semua pesakit PCOS perlu menjalani penurunan berat badan sebelum mereka boleh cuba untuk hamil.
Perkara ini akan ditentukan berdasarkan kepada keadaan klinikal pesakit.
Pun begitu, memang sukar untuk wanita yang mengalami PCOS untuk menurunkan berat badan memandangkan hormon mereka tidak berfungsi dengan normal.
#2 Pemakanan seimbang antara tips cepat hamil untuk pesakit PCOS
Oleh sebab pesakit PCOS mudah untuk mendapat masalah obesiti, amalan pengambilan makanan seimbang perlu ditekankan.
Malahan, rawatan kesuburan akan lebih berkesan sekiranya seseorang individu itu berada dalam keadaan sihat.
Meskipun begitu, ada ke amalan diet khas yang boleh diamalkan oleh mereka yang didiagnosis dengan masalah PCOS?
Kebanyakan pakar mempunyai pendapat masing-masing berkaitan dengan hal ini.
Sebagai contoh, diet yang melibatkan kandungan karbohidrat rendah.
Kajian yang dijalankan oleh Fakulti Kejururawatan di Universiti Missouri-Kansas menunjukkan kaitan positif di antara pemakanan seimbang dan senaman berkala terhadap kitaran haid pesakit PCOS.
Masih tiada lagi dapatan yang menunjukkan, secara mutlaknya, amalan pemakanan sihat dan senaman berkala boleh membantu anda untuk hamil.
Ads
Namun, tubuh badan sihat penting bagi menjamin kehamilan yang sihat.
#3 Rawatan farmakologi untuk bantu pesakit PCOS hamil
Pelbagai jenis ubat boleh dipreskripsikan kepada pesakit PCOS untuk meningkatkan tahap kualiti kesihatan mereka secara menyeluruh.
Antaranya adalah ubat diabetes, metformin.
Oleh sebab pesakit PCOS mudah mendapat masalah kerintangan insulin, pengambilan metformin boleh membantu mengawal paras gula di dalam darah.
Mereka yang mengambilnya boleh menikmati pelbagai jenis kebaikan fisiologi seperti penurunan berat badan, kitaran haid yang lebih teratur, meningkatkan keberkesanan ubat kesuburan dan menurunkan risiko keguguran.
Ubat kesuburan seperti clomid pula lazim diberikan kepada mereka yang mengalami PCOS.
Tahap keberkesanannya tinggi namun terdapat individu yang rintang dengan ubat ini. Gabungan metformin dan clomid boleh meningkatkan keupayaan untuk membantu anda hamil.
Ubat lain seperti Letrozole dan gonadotropin akan diberikan sekiranya gabungan metformin dan clomid tidak berkesan.
Pemberian ubat ini boleh berbeza dan tidak semestinya mengikut urutan seperti yang dinyatakan.
Ia bergantung kepada kesesuaian semasa dan hanya boleh ditentukan oleh doktor yang memeriksa.
#4 Prosedur kesuburan, kaedah teknikal untuk bantu pesakit PCOS
Jika ubat tidak berjaya membuatkan anda hamil, langkah seterusnya adalah lebih bersifat teknikal.
Doktor akan memberikan ubat yang boleh menggalakkan proses ovulasi berlaku.
Setelah ovum berjaya diambil, ia akan disenyawakan di luar badan (makmal) menggunakan satu kaedah yang dikenali sebagai persenyawaan in vitro (IVF).
Telur yang diambil akan disenyawakan di dalam beberapa buah piring Petri, dan jika berjaya, embrio yang terbentuk akan dipindah masuk ke dalam rahim ibu.
Ujian kehamilan akan dibuat beberapa minggu selepas itu.
Kesimpulan
Cabaran yang perlu ditempuhi oleh pesakit PCOS untuk hamil agak tinggi.
Walau bagaimanapun, tidak mustahil bagi mereka yang menghidapnya untuk menjalani kehidupan normal seperti individu lain.
Jika anda mempunyai PCOS dan merancang untuk hamil, sila rujuk doktor perubatan anda untuk tips cepat hamil yang lebih berkesan.
Akhirnya, penantian anda untuk hamil berhasil. Meskipun rata-rata ibu akan berasa gembira dan teruja menantikan kehadiran cahaya mata, namun bakal ibu juga tidak lari daripada berasa takut dan bimbang menghadapi momen kehamilan dan bersalin. Bagi mempersiapkan anda dengan dunia kehamilan, setiap bakal ibu perlu menyediakan senarai perlu buat untuk memastikan anda mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang betul pada setiap peringkat kehamilan. Jika anda masih keliru, berikut adalah beberapa cadangan yang boleh anda pertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam senarai perlu buat semasa trimester pertama:
Kebanyakan wanita biasanya sudah mempunyai doktor mereka sendiri sebelum mula hamil. Bagaimanapun, tidak mengapa jika anda tiada doktor khas yang memeriksa kesihatan anda. Sebaik sahaja anda disahkan hamil, ini (mencari doktor kehamilan) adalah perkara paling penting yang perlu anda lakukan dalam senarai perlu buat semasa trimester pertama.
Persoalan lain yang sering ditanyakan oleh kebanyakan ibu hamil adalah sama ada untuk memilih bidan atau pakar obstetrik & ginekologi untuk penjagaan pranatal mereka. Jawapan anda dibuat berdasarkan sama ada anda inginkan kelahiran semula jadi ataupun tidak kisah jika terpaksa bersalin secara pembedahan C-section. Bidan akan menyokong anda untuk melakukan bersalin secara semula jadi dan bebas-perubatan, sementara pakar obstetrik & ginekologi adalah lebih menumpukan kepada bidang penjagaan ibu hamil dan mengawasi sebarang komplikasi kehamilan yang mungkin berlaku seperti masalah bayi pre-eklampsia, kelahiran bayi pramatang atau diabetes semasa hamil, yang memerlukan bersalin secara pembedahan. Satu perbezaan yang dapat dilihat adalah bidan memberikan lebih panduan mengenai pemakanan, senaman, dan perubahan emosi yang berlaku kepada ibu hamil, sementara pakar obstetrik & ginekologi banyak menumpukan kepada pemeriksaan status kesihatan anda.
Walaupun sebenarnya ini adalah perkara yang sepatutnya telah lama anda buat, namun kehamilan adalah salah satu tempoh terpenting di mana anda memang perlu memberhentikan kesemua tabiat buruk anda:
– Hadkan jumlah pengambilan kafein kurang daripada 200 mg sehari untuk mengelakkan keguguran.
– Bebaskan diri daripada semua bentuk asap rokok, alkohol, penggunaan dadah, dan semua bahaya lain kerana ia boleh meletakkan anda dan bayi kepada risiko mendapat pelbagai komplikasi kehamilan seperti kelahiran pramatang, kehamilan ektopik, keguguran, dan banyak lagi. Ia juga boleh meningkatkan peluang bayi anda mendapat berat badan rendah semasa lahir di mana ia amat dikaitkan dengan kelaziman SIDS (Sindrom Kematian Bayi Mengejut).
Penting untuk anda mewujudkan dan mengekalkan amalan gaya hidup yang sihat terutama semasa anda hamil. Ibu hamil perlu memastikan mereka mendapat cukup rehat sepanjang hari, dan tidur yang cukup di malam hari, serta mendapat diet harian yang seimbang bagi menyediakan jumlah vitamin dan mineral secukupnya untuk tubuh ibu dan bayi dalam kandungan. Pengambilan dos tambahan asid folik juga adalah perlu jika anda ingin mengurangkan peluang bayi mendapat kecacatan tiub neural.
Ibu hamil juga perlu mengelak daripada beremosi negatif dengan cara kerap bersenam dan mengekalkan interaksi yang sihat dengan orang lain. Jika perlu, ibu hamil boleh berjumpa dengan pakar atau ahli psikologi bagi membantu mengurangkan perasaan negatif yang ada dalam diri.
Ahli keluarga anda ataupun doktor tidak akan berada sepanjang masa bersama dengan anda. Oleh itu, setiap ibu hamil perlulah mempelajari semua maklumat umum mengenai kehamilan bagi mempersiapkan dan melindungi diri dan bayi. Sebagai bakal ibu, anda perlu tahu apa yang bakal anda lalui semasa kehamilan, perkara boleh dan tidak boleh dilakukan semasa tempoh ini dan sentiasa berhati-hati dengan simptom bahaya yang boleh berlaku supaya tindakan segera boleh dilakukan.
Sumber: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Si kecil mungkin tidak dapat memahami apa yang anda katakan, namun ia tidak bermakna anda tidak boleh berbual dengan anak.
Jom semak 7 perkara yang boleh anda katakan kepada si comel.
Perlu ke berbual dengan anak?
Siapa cakap tidak perlu untuk bercakap dengan si manja? Komunikasi antara ibu bapa dan anak adalah penting. Ia pastinya membantu mengeratkan ikatan kalian.
Malahan mengikut cadangan pakar, mereka menyarankan agar ibu bapa (terutamanya ibu) untuk mula berbual dengan anak walaupun sebelum si manja lahir.
Banyak kajian yang dilakukan membuktikan bercakap dengan anak akan dapat membantu dalam perkembangan kemahiran motor. Ia termasuklah keupayaan mereka untuk belajar kemudian hari.
Ada bukti yang menyatakan apabila anda kerap bercakap dengan bayi di dalam kandungan, ia membolehkan mereka mengenali suara anda. Bukankah itu sesuatu yang menakjubkan?
Tetapi menjadi persoalan kini, apakah topik yang membolehkan anda berbual dengan anak anda?
Topik berbual dengan anak
Walaupun anda dan si kecil mungkin menggunakan bahasa yang berbeza, bak ayam dan itik. Namun ia bukan faktor penghalang untuk anda tidak bercakap dengan si manja.
Berikut adalah antara 7 perkara penting yang boleh anda katakan kepada si comel:
Chak!
Kalau dalam English style ia akan berbunyi “Peek-a-boo”. Tetapi anda pasti lebih biasa dengan perkataan “Chak!”. Ia seperti 1 perkataan yang menyeronokkan untuk anda katakan kepada si comel.
Tanpa anda sedar, perkataan itu memberikan manfaat kepada fizikal dan mental si kecil.
Anda sedang membantu mereka membina hubungan mental antara apa yang dilafazkan dengan gambaran aktiviti.
Jika anda berasa seperti ingin bermain, katakan kepada si comel, “Chak!” sambil menutup dan membuka mata anda.
katakan kepada si comel
Mama tahu sakit, tapi segalanya akan okay!
Ia adalah lumrah anak yang sedang membesar, untuk terjatuh, mengalami luka dan berada dalam kesakitan. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya sakit, bukan?
Selagi ia bukanlah 1 kecederaan serius, maka itu adalah pengalaman buat mereka. Tetapi anda tetap perlu memastikan mereka mengetahui bahawa anda faham apa yang dilalui mereka.
Melafazkan “Mama tahu sakit, tapi segalanya akan okay!”, pastinya lebih baik daripada terus mengatakan “Alaaaa, sikit sahaja luka tu”.
Pandai anak Mama!
Siapa yang tidak sukakan pujian? Jika kita sebagai individu dewasa pun boleh kalah dengan pujian, apatah lagi si kecil.
Berikan penghargaan kepada mereka atas apa yang mereka lakukan bergantung kepada usia mereka.
Sebagai contoh jika si kecil berjaya mengemas barang mainannya, ungkapkan kata-kata pujian seperti, “Pandai anak Mama kemas mainan dia. Sayang dia”. Jangan kedekut pujian, okay?
Mana mainan awak, sayang?
Sudah tentu anda tahu di mana letaknya barang mainan, pakaian atau segala yang menjadi milik si comel. Tetapi tiada salahnya jika anda bertanyakan kepada mereka jika anda mahu berbual dengan anak.
Daripada anda memberikan apa yang mereka mahu, anda boleh tanyakan apa sahaja yang mudah untuk dicapai atau diambil sendiri oleh anak tanpa bantuan anda.
Ia bukan sahaja dapat membantu si kecil mengenal pasti barangan yang terdapat di rumah, tetapi dalam masa yang sama meningkatkan rasa ingin tahu dan sifat ingin meneroka mereka.
Siapa ini?
Daripada Hello Kitty, Pinkie Pie, Upin Ipin, Elsa Frozen hingga kepada Tok, Pak Long dan Abang Amsyar, si kecil akan perlu mengingati ramai individu dan pelbagai karektor dalam kehidupan seharian mereka.
Pastinya menyeronokkan jika anda bertanyakan kepada si manja tentang individu yang mereka kenal walaupun mungkin jawapan yang diberikan tidak tepat.
Ia secara tidak langsung akan dapat menggalakkan anak untuk bercakap dengan lebih banyak dan menggunakan perkataan-perkataan baharu. Sekali gus ia membantu mengembangkan penggunaan bahasa mereka.
Nak tak, sayang?
Hulurkan apa sahaja kepada si manja, pastinya mereka tidak akan menolak apa yang anda tawarkan. Tetapi mungkin anda boleh memberikan mereka beberapa pilihan.
Ini pastinya dapat memberikan manfaat interaksi sosial kepada mereka. Dalam masa yang sama mereka akan belajar untuk bertindak balas dengan mengatakan ya atau tidak.
Mama sayang awak
Rasanya tidak perlu untuk diterangkan lagi mengenai ungkapan tersebut. Ia sudah tentu perkara yang terbaik untuk anda katakan kepada si comel setiap hari dan setiap masa.
Ungkapan itu pastinya 1 cara untuk menyatakan rasa kasih sayang anda kepada si kecil. I love you, adalah perkataan mudah yang boleh anda ajarkan kepada mereka walaupun sebelum mereka dilahirkan lagi.
Eratkan jalinan kasih
Sebenarnya banyak lagi ungkapan yang boleh anda katakan kepada si comel dan banyak lagi perkara dan topik untuk anda berbual dengan anak.
Parents, jangan terlalu leka menghadap gajet. Sebaliknya luangkan masa bersama anak selagi mereka mahukan perhatian anda. Jangan lepaskan peluang dan masa yang ada, hargainya!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap tahun, pasti kebanyakan keluarga akan memilih beraya di kampung jika masih ada ibu bapa. Sama ada di kampung suami atau isteri, sudah semestinya salah seorang akan menjadi menantu.
Perkara ini nampak mudah. Takkan beraya pun nak kena ada garis panduan? Untuk orang yang biasa, betul. Tak perlu baca pun mereka sudah pandai bawa diri di rumah mertua apabila beraya di sana.
Tetapi, penulisan dari Encik Akhtar Syamir ditujukan kepada kita semua yang masih keliru bagaimana nak bawa diri atau mainkan peranan di rumah mertua pada musim perayaan.
Penulisan ini ditujukan untuk pihak suami dan pihak isteri. Ya, jangan kita ingat suami sahaja yang perlu ilmu ini, ramai juga para isteri yang masih terlepas pandang tanggungjawab mereka semasa di rumah mertua.
Adab Semasa Beraya di Rumah Mertua
1. Bantu mertua di dapur
Nampak seperti mudah, tapi ramai yang tak endahkan. Ramai yang mengelat. Tak kurang juga yang duduk berkurung dalam bilik. Ada juga yang buat-buat sibuk jaga anak walaupun anak tu dah besar dan tak perlu penjagaan 24 jam pun.
Yang mana tak begitu pandai masak, jangan jadikan tu sebagai alasan. Proses memasak tu bukan hanya campak benda dalam kuali je. Penyediaan bahan-bahan masakan tu pun penting.
Potong bawang, blender cili, potong ayam, daging, basuh pinggan, siapkan tempat makan, tolong kacau lauk dan macam-macam lagi boleh dibuat untuk membantu. Pokok pangkalnya nak dengan tak nak je.
Jadikan diri tu berguna. Percayalah yang banyak mata memerhati setiap gerak geri anda. Nanti tak pasal-pasal jadi bahan umpatan.
2. Mengemas
Perkara paling utama ialah mengemas tempat tidur selepas bangkit dari tidur. Di kampung, selalunya akan ramai tidur di ruang tamu. Jadi, selepas bangun tidur tu, kemaslah tempat tidur korang sekeluarga. Takkan nak tunggu Tuan Rumah kemaskan kot? Tak manis la macam tu. Nampak rumah bersepah, tolong la kemas sekali, atau tolong sapu ke. Kita balik kampung ni umpama kita menumpang rumah orang. Orang berbudi, kita berbahasa la. Tak gitu?
3. Tolong jagakan anak
Para suami, bila isteri sedang membantu mertua atau ipar mereka di dapur, tolong la jagakan anak tu. Jangan la sibuk sangat dengan urusan lain sehingga mengganggu isteri. Bagi ruang untuk dia jalankan peranan dia.
Memang la ada ketika perlu panggil mamanya untuk menyusu, tapi kalau bab salinkan pampers dan basuh kencing dan berak anak tu, rasanya sepatutnya takde masalah kot kalau nak buat sendiri?
4. Tolong bawa keperluan asas sendiri
Berus gigi, ubat gigi, sabun, syampu, pencukur dan lain-lain tu tolong bawa sendiri punya. Takkan la nak habiskan semua yang tuan rumah punya? Kalau satu keluarga tak mengapalah. Tapi kalau dah yang baliknya 4-5 keluarga? Botak kepala mertua nak topup tu semua.
Benda yang selalu orang tak terfikir nak bawa ialah extension plug. Benda ni sangat-sangat penting. Nak pulak kalau satu keluarga tu ada 4-5 telefon. Sebut pasal telefon, charger pun bawa la sekali. Orang lain nak cas telefon diorang sendiri. Kan dah menyusahkan je kalau asyik nak pinjam charger orang lain?
5. Bermesralah dengan mertua dan ipar
Masa inilah masa yang patut kita manfaatkan untuk merapatkan silaturrahim. Bukan selalu jumpa pun. Tanyalah khabar, berboraklah, cerita la pasal apa pun. Asalkan jangan terlebih-lebih cerita pasal politik. Memang akan menjadi satu perkara yang teramat bosan. Walaupun satu keluarga tu sokong satu pihak sahaja, tapi pasti akan penuh dengan kecaman dan lain-lain sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk cerita pasal keluarga, bukannya ahli politik itu ini.
6. Tinggalkan kerja di rumah
Kepada yang kaki bisnes tu, tinggalkanlah kerja di rumah. Jangan datang rumah mertua, asyik sibuk dengan kerja. Memanjang bergayut, telefon orang itu, orang ini. Cakap pulak kuat-kuat. Semabang kencang semacam. Orang lain pulak yang jadi tak selesa dengan kita.
7. Berhenti membanding-banding
Tolong la, berhentilah membanding-banding sesama keluarga. Nak muntah rasanya dengar anak orang tu degree sini, anak orang ni diploma sana, anak orang ni Doktor sini, anak orang tu Peguam kat sana.
Stop it ! Berhenti riak, berhenti berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk dan berlagak. Tak semua orang mampu, tak semua orang ditakdirkan berjaya dan tak semestinya kita perlu menilai orang dari segi tahap pembelajaran, pekerjaan dan duit semata-mata. Hargailah orang di hadapan kita tu sebagai saudara kita. Susah sangat ke?
8. Tolong jaga aurat
Aurat sendiri wajib jaga. Wajib bertudung dan pakai baju lengan panjang. Tak boleh la pakai baju lengan pendek je. Lengan tu aurat jugak. Banyak sangat mata bukan mahram yang nampak.
Bapa dan mak saudara sebelah pasangan bukan mahram ye. Tak perlu salam cium tangan. Sepupu bukan mahram, tak perlu laga-laga pipi la. Buat dosa je. Orang tua yang berlainan jantina pun bukan mahram kecuali mak, bapa saudara atau nenek dan datuk sendiri. Mertua tu sendiri memang mahram. Rasanya tak perlu bagitau.
Cara nak elak mudah je, senyum dan letak tangan kat dada. Yang penting tu senyum, supaya orang tu tahu yang anda hormat dia cuma anda tak boleh salam je.
Satu lagi benda yang sangat-sangat penting tapi orang tak endahkan atau pandang ringan. Aurat anak kecil. Terlalu ramai orang yang salin pampers anak depan orang lain. Walaupun baby, itu tidak memberi lesen untuk anda pamerkan kemaluan anak kepada orang lain. Lagipun, kita di zaman yang tenat sekarang, banyak kes pedofilia yang bernafsu terhadap budak kecil. Bayangkanlah, anda jamu nafsu dia dengan anak sendiri macam tu je.
Situasi mandi juga perlu diambil perhatian. Jangan la pergi berkemban depan ipar duai, mertua, sanak saudara. Perempuan satu hal, lelaki pun sama. Selamba pakai seluar pendek, nampak pusat depan isteri abang atau adik. Tutup la sikit. Anak-anak lepas mandi pun, janganlah dibiarkan mereka berbogel dari bilik air sampai ke bilik. Memang tak patut macam tu.
9. Membuli mertua
Ada yang dah hantar anak awal-awal kerana cuti raya kali ini didahulukan dengan cuti sekolah. Kononnya untuk bagi anak bergembira main dengan sepupu-sepapat. Lepas hantar anak, mak ayahnya pun balik. Tinggalkan anak dengan baju seluar je. Yang lain tak peduli pun. Anak nanti nak makan ape, anak nanti nak mandi, nak berak. Semua siapa yang nak buat? Dah sah-sah la mertua yang kena buatkan semua. Ingat mertua dah takde keje lain nak basuh berak cucu je setiap hari? Fikirlah sikit. Mertua pun kebanyakannya dah tua. Bukan tugas diorang nak jaga anak kita.
Anak tu pulak kalau yang dah besar darjah 1 ke atas kira ok la jugak, reti mandi berak sendiri. Ini dengan anak umur 3 – 4 tahun pun ditinggalkan macam tu je. Dah jadi keje mertua nak masakkan anak-anak yang tak puasa ni, bagi makan pagi, tengahari, malam. Bagus sangat jadikan mertua sebagai orang gaji. Kalau bayar gaji betul pun belum tentu diorang larat nak buat. Memang pentingkan diri betul. Fikir sikit, kita nak seronok berjalan pergi beli belah baju raya, anak ditinggalkan macam tu je.
10. Jangan memalukan pasangan
Manusia tak lepas dari perbalahan atau salah faham. Bila terjadinya kat rumah mertua, tolong la simpan masalah tu. Jangan ditunjuk depan orang ramai. Kalau malam tadi bergaduh dengan suami kat dalam bilik, jangan esoknya dok hempas itu ini depan suami. Kalau tadinya bergaduh dengan isteri, janganlah marah dia tengking dia depan mak ayah atau adik beradik dia. Jagalah air muka pasangan. Diorang mesti malu kalau dibuat begitu.
Bila bersama dengan keluarga lain, amat penting untuk jaga air muka atau aib keluarga dan pasangan. Jangan sekali-kali buat hal dalam rumah orang. Itu tandanya anda tak hormat kat pasangan dan tak hormat kat mertua yang juga tuan rumah.
11. Jaga harta benda mertua
Tolong awasi anak-anak anda. Janganlah merosakkan harta benda mertua. Memang kalau terjadi apa-apa mereka akan cakap, “tidak apa” atau “biasalah budak-budak”, tapi siapa yang tak marah kalau barang berharga kita orang rosakkan?
Lepas tu, nak guna atau nak pakai apa-apa milik mertua tolong la minta kebenaran dulu. Jangan gatal tangan guna set pinggan Corell atau set Tupperware mertua dengan selamba je. Kita tak tahu benda tu dibeli untuk pakai je atau perhiasan dan koleksi. Jadi, jangan memandai-mandai sebelum meminta kebenaran.
12. Basuh, sidai dan lipat baju sendiri
Yang mana balik beberapa hari tu dah tentu ada yang basuh baju sendiri. Jangan la dilonggok je mengharapkan mertua yang basuhkan. Dah la orang tua tu tolong basuh, dia jugak yang kena sidai dan lipat. Kalau balik nak menyusahkan, baik jangan balik. Tak kesian langsung kat mertua.
Paling penting, bawa plastik untuk buang pampers anak. Jangan selamba je buang tepi toilet atau dalam tong sampah biasa. Bau tu menyengat, bila campur jumlah 5 6 orang budak, memang busuk. Bila dah penuh pulak, rajin-rajinkanlah diri buang. Kesian mertua nak kena buangkan pulak taik anak kita.
13. Peka dengan barang dapur mertua
Jangan balik tangan kosong. Bawa sekali barang dapur atau beli kat sana. Tolong bantu dan topupkan barang dapur tu. Bukan murah-murah bahan mentah sekarang. Bayangkan memasak untuk 5 keluarga, ayam je dah berapa ekor habis sekali masak tu. Kalau duduknya pun 3, 4 hari dah berapa banyak habis tu?
Konsepnya mudah je. Permudahkan urusan mereka, jangan menyusahkan. Tak semua orang mampu untuk tanggung makan minum 5 keluarga sekaligus. Mertua di kampung bukannya kerja gaji ribu-ribu. Ada yang menoreh lepas sahur lagi. Kita sedap-sedapnya perabihkan duit diorang.
Buka mata, tanya mertua atau tanya isteri apa yang tak cukup. Lepas tu pergi beli. Tak perlu tunggu sampai mertua sendiri terpaksa pergi sendiri.
14. Jangan bangun lambat
Kat kampung tu ramai orang. Melainkan ada bilik khas sendiri, kalau tidur kat ruang tamu tu, bangun la awal. Jangan dah pukul 10, dah terang- benderang, budak-budak dah berlari sana sini, orang pun dah mula menyapu rumah semua, masih lagi terbongkang kat tengah rumah tu. Karang dengan yang tidur tu sekali orang sapu, baru ada akal.
15. Bonus. Khas untuk anak-anak mertua tu (ipar)
Jangan ambil kesempatan, bila ipar duai dah balik, jangan nak rasa macam tuan rumah sangat. Tak boleh la semua nak mengharapkan diorang je buat. Anda sebagai anak pun kena sama bantu dan list ini juga untuk anda baca dan amalkan.
16. Adab melayan baby
Bila berkumpul tu selalunya akan ada ipar atau biras yang baru melahirkan. Jadi, ada la baby comel yang ramai geram nak pegang, dukung, cium. Kena tahu yang baby ni antibodi dia tak kuat mana. Pakcik yang baru lepas merokok tu tak payah la nak pegang cium baby. Yang mak saudara pulak, kalau baru lepas potong ayam ke, sapu rumah ke, tak perlu la nak gomol baby orang. Habis semua kekotoran, bakteria tu kena kat baby. Bahaya.
Lepas tu, kalau anak tu baru umur 6, 10 tahun, tak perlu la bagi diorang pegang baby. Keselamatan baby tu sangat penting. Kalau jatuh sapa yang susah? Nak marah budak tu ke mak budak?
17. Bil elektrik dan bil air
Kipas on 24 jam. Aircond kalau ada pun on selalu. Tv jarang tutup. Lampu pun sentiasa banyak yang bukak. Belum masuk lampu lip lap lagi. Air pun banyak guna. Berbelas, berpuluh orang mandi setiap pagi.
Sebelum pulang tu, hulurlah sedikit buat bantu bayar bil elektrik dan air. Lega sikit hati mertua. Takde la mereka rasa terbeban dengan kehadiran kita sekeluarga.
__________
Sebagai menantu ni, walaupun anda dah berkahwin dengan suami atau isteri, tak semestinya anda tak perlu lagi ambil hati mertua. Mertua ni sama sahaja dengan mak ayah kita, layan mereka dengan sebaiknya. Mereka yang melahirkan pasangan kita. Itu jasa yang kita takkan mampu balas sepenuhnya. Tapi kita boleh berusaha untuk meringankan beban mereka.
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.