Sebenarnya terdapat pelbagai aktiviti cara rangsang anak menjadi kreatif di rumah. Anak-anak ini ibarat sehelai kain putih. Jika salah kita mencorakknya, ia akan menjejaskan perkembangannya.
Oleh itu,mulakan rangsangan anak sejak awal lagi sehingga mereka memasuki tadika supaya anak-anak dapat berkembang secara positif. Perkongsian seorang ibu, Puan Zarith yang menyediakan aktiviti berfaedah kepada anaknya untuk mengembangkan daya kreativiti dan emosi ini.
Sebagai seorang ibu yang menjaga anak sendiri 24 jam, kadang kala Zarith kehabisan idea nak main apa dengan anak-anak solehah ni. Baru-baru ni ada belikan Zuyyin sedikit buku aktiviti. Bukan Zuyyin je seronok bermain, Zayra pun gembira bila Zarith bagi dia pegang pen, dan guide dia menulis dan melukis. Gelak comel setiap kali berjaya nampak dakwat keluar terkena buku.
Yang penting kita guide mereka. Jangan biarkan mereka bermain sendiri.
Selain dari aspek keselamatan, bermain dengan anak-anak dapat mengembangkan lagi daya kreativiti mereka dan memelihara emosi mereka. Takde lah nanti anak-anak ingat kita sediakan permainan baru untuk elak mereka dari kacau kita buat kerja
10 aktiviti pilihan boleh lakukan untuk anak-anak
1.Mengemas baju
Selalunya pada waktu pagi, Zuyyin akan masukkan bajunya dan Zayra yang telah kotor ke dalam bakul untuk di basuh. Sambil masukkan, Zuyyin akan sebut warna baju-baju tersebut. Zuyyin juga akan membantu Zarith untuk sidai baju-bajunya di penyangkut baju yang kecil. Pada waktu melipat kain pula, Zuyyin akan tolong Zarith melipat bajunya dan Zayra serta menyusunnya sendiri di rak baju. Disebabkan Zuyyin dan mula bantu Zarith melipat sejak usianya setahun lebih, jadi sekarang ni lipatannya sungguh kemas, dah macam kita yang lipat. Kesemua aktiviti ini tak pernah Zarith memaksa Zuyyin melakukannya, Zuyyin dengan rela hati datang dan minta untuk membantu. Bila kita tak bagi, Zuyyin akan cakap “Takpe la bu, Zuyyin tolong ibu sikit je”. Terharu sungguh dengan anak dara yang sorang ni.
2.Mewarna
Selalunya Zuyyin suka mewarna menggunakan pewarna air (water color). Agaknya sebab ada berus dan air yang boleh dibuat main. tapi kami belikan juga Zuyyin crayon dan pensel warna supaya Zuyyin mempunyai pilihan nak pakai yang mana untuk hari tersebut. Bila bagi je Zuyyin kertas lukisan, pandai la Zuyyin melukis mengikut daya kreativitinya sendiri
Ads
3.Bermain pasir
Boleh letakkan sedikit pasir bersih dalam bekas yang telah diisikan dengan permainan dan timbus permainan tersebut. Berikan anak kita penyeduk pasir kecil untuk dia mulakan pencarian harta karunnya yang terbenam tu. Jika rumah berdekatan dengan pantai, boleh la kerap bawa anak bermain pasir di pantai. Ini akan merangsang daya sentuhnya dan juga kemahiran motornya untuk menggenggam pasir-pasir pantai itu.
4.Permainan adunan
Semasa Zarith memasak, Zuyyin juga akan berada di dapur. Pada waktu inilah Zuyyin diberi kebebasan untuk bermain di dapur. Zarith akan berikan Zuyyin sedikit tepung gandum, secawan air dan pelbagai pewarna makanan untuk dicampurkan ke dalam adunan yang Zuyyin dah buat nanti. Pewarna tersebut Zarith yang akan tuangkannya. Zarith akan biarkan je Zuyyin menggaul adunan tersebut dengan sudu/ senduk kayu.Boleh juga anda buatkan adunan itu menjadi bebola kecil yang berwarna warni, pasti anak anda sukakannya!
5.Pilih, cari dan asingkan
Gunakan benda yang berwarna warni seperti penyepit baju, getah rambut kecil-kecil, ataupun bebola kecil yang berwarna-warni untuk aktiviti ini. Semua bahan ini Zarith beli di MR. DIY je. Letakkan beberapa mangkuk yang berwarna-warni dihadapan Zuyyin, dan Zuyyin akan mula mengasingkan bahan berwarna-warni itu mengikut warna mangkuk tersebut. Sebagai contoh, dalam mangkuk kuning cuma boleh ada getah rambut kecil yang berwarna kuning sahaja. Dengan aktiviti ini, anak kita akan kenal warna.
Ads
6.Membersihkan
Selepas bermain ‘masak-masak’ di dapur, Zarith akan biarkan Zuyyin membersihkan sendiri tempatnya bermain. Zuyyin akan basuh pekakas yang telah digunakan dan lap tempat dia bermain dengan kain lembap. Pada mulanya kita kena tunjukkan contoh, kemudian barulah dia faham, yang setiap kali lepas bermain, dia kena bersihkan sendiri tempat bermain tersebut. Dengan cara ini, selain belajar berdisiplin, anak kita juga akan rasa dihargai, dan rasa diri mereka sama seperti orang dewasa
7.Bermain blok
Bermain blok boleh membuatkan anak kita pintar matematik.Zuyyin dan Zayra memang suka bermain blok. Cuma Zayra belum pandai untuk susun pelbagai bentuk. Zuyyin memang dah pakar. Bagi apa jenis blok pun, Zuyyin boleh mereka sesuatu bentuk yang menarik. Dari sini, anak kita dapat melatih daya konsentrasinya, kemahiran motor dan koordinasi tangan dan mata
8.Menyanyi dan menari
Kanak-kanak ni bila mendengar musik, badan mereka secara automatiknya akan bergerak mengikut rentak. Zuyyin pula Zarith ajarkan lagu-lagu zaman tadika seperti ais kacang, dari ulat jadi kepompong, dan banyak lagi. Sambil menyanyi, kita ajarkan gerakan ringkas. Zayra pun akan turut serta dalam permainan ini. Memang mereka seronok sangat bila diajak menyanyi dan menari. Selain dari melatih minda mereka untuk menghafal lirik lagu, ia juga melatih mereka untuk lebih mengenali bahasa. Sampai satu masa, Zuyyin sendiri yang akan ubah gerakan tarian mengikut apa yang dia faham. Sekarang ni, Zuyyin dah pandai cipta lagu sendiri dan paksa ibu dan ayah dengar. Lagu baru katanya. Maka ibu dan ayah la yang menjadi pendengar setia sambil bertepuk tangan. Ini adalah sesuatu perkembangan yang mengujakan. Anak kita menjadi kreatif!
Ads
9.Teka barang permainan
Bungkus beberapa barang permainan kesukaan anak kita, kalau boleh jangan gunakan pelekat yang banyak. Sebelum dia membuka barang permainan itu, suruh mereka teka apa yang ada di dalamnya.
10.Album gambar
Sediakan buku nota dan beberapa keping gambar sekeluarga. Bantu anak kita untuk tampal gambar tersebut kemudian tanya mereka adakah mereka kenal dengan orang yang ada dalam gambar tersebut. Zuyyin kenal setiap orang dalam keluarga Zarith dan Mr. Hubby, siap dengan nama penuh lagi sejak umurnya setahun lebih. Permainan ini dapat membantu mereka untuk menajamkan daya ingatan.
11.Bermain cop-cop kertas lukisan
Zarith potong kentang mengikut bentuk yang menarik dan Zuyyin copkan pada kertas lukisan warna-warna kesukaannya. Biarkan anak kita sapu sendiri warna kegemarannya pada kentang tersebut dan biarkan mereka copkan di atas kertas lukisan mengikut bentuk yang mereka suka. Disini kita akan dapat lihat kreativiti mereka.
Terdapat 15 lagi aktiviti yang dikongsi oleh ibu bapa diblognya www.ibuzarith.com yang boleh menjadi panduan anda untuk melakukan aktiviti rangsangan kepada anak. Cara ini dapat mengelak anak asyik bermain gajet dirumah.
Anak yang takut dan segan kepada orang lain menimbulkan masalah kepada mama dan papa. Persoalannya adalah normal bagi kanak-kanak normal berusia lima hingga enam tahun untuk takut kepada orang-orang di sekelilingnya?
Menurut Puan Nik Evina, Pensyarah Fakulti Pendidikan Awal Kanak-Kanak, UNITAR International University perasaan takut terhadap orang yang tidak dikenali adalah normal di kalangan kanak-kanak berusia lima hingga enam. Maka, ibu bapa perlulah mengambil menghadapi situasi ini dengan sabar dan mengendalikan emosi anak dengan baik. Elakkan daripada memarahi anak, sebaliknya ambil langkah untuk berbincang dan memberikannya masa untuk menyesuaikan diri.
Puan Nik Evina
IBU AYAH PERLU JELASKAN DAN BIMBING
Perasaan takut kepada orang ini selalunya timbul disebabkan kurang maklumat berkenaan individu yang mereka temui atau kenali. Sebagai contoh, situasi kanak-kanak yang pertama kali bersua muka dengan saudara-mara. Mereka akan menunujukkan perasaan dan reaksi kurang selesa, tidak berkomunikasi dan juga bertindak menjauhkan diri daripada saudara mara.
Ia boleh ditangani dengan cara ibu bapa memainkan peranan iaitu menjelaskan dengan lebih terperinci maklumat yang perlu diketahui oleh kanak-kanak seperti menjelaskan hubungan saudara mara.
Melalui kaedah ini, kanak-kanak akan melahirkan rasa percaya kepada orang yang baru dikenali dan sekali gus berjaya menjalinkan hubungan yang akrab. Proses ini akan mengatasi masalah kanak-kanak takut kepada orang-orang di sekelilingnya dengan adanya bimbingan dari ibu bapa.
KETAHUI PUNCA DAN AJARNYA CARA UNTUK HADAPINYA
Setiap kanak-kanak akan mengalami pengalaman yang menakutkan semasa mereka membesar dengan cara tersendiri. Pengalaman juga memainkan peranan untuk menghadapi situasi ini. Contohnya, pengalaman takut timbul apabila berjumpa dengan doktor di hospital kerana persekitaran tersusun dan bau ubat yang kuat. Selain itu, rasa takut juga boleh timbul apabila kanak-kanak melihat orang yang rapat dengan mereka kelihatan takut walaupun tidak mengalaminya secara langsung.
MEREKA AKAN CUBA MENGELAK
Disebabkan oleh pelbagai ketakutan yang dialami, mereka akan mengelak situasi tersebut sebanyak mungkin. Ini kerana mereka tidak dapat menanganinya sendiri dan menganggap dengan mengelak dari situasi tersebut dapat menyelesaikan masalah ketakutan itu. Jadi ibu bapa perlu mengambil peranan untuk membantu anak melaluinya dengan memberikan semangat, bimbingan dan pelukan.
IBU BAPA JARANG BERCAKAP DENGAN ANAK JADIKAN MEREKA TAKUT KEPADA ORANG
Personaliti ibu bapa atau genetik juga boleh menjadi faktor terjadinya karakter ini. Contohnya, personaliti ibu bapa yang kurang berkomunikasi atau kurang bersosial dengan orang ramai, ini akan diwarisi oleh kanak-kanak secara tidak langsung. Oleh itu, kanak-kanak yang mempunyai perasaan takut terhadap orang-orang disekelilingnya boleh dikaitkan dengan faktor genetik.
5 CARA BANTU ANAK ATASI KETAKUTAN
Bantu si manja menghadapi perasaan takutnya itu. Jangan biarkan ia berlarutan. Berikannya keyakinan dan dorongan.
Komunikasi adalah kaedah berkesan untuk membantu kanak-kanak mengatasi ketakutan mereka. Luangkan masa dengan kanak-kanak dan berbincang tentang ketakutan yang mereka alami.
Menghormati perasaan si kecil dengan mendengar apa yang mereka katakan mengenai ketakutan yang dihadapi. Dengan cara ini, ibu bapa dapat memahami dengan lebih mendalam dan mudah untuk membantu menangani masalah ini.
Ibu bapa juga harus mengelakkan dari menggunakan kekerasan bagi mengatasi perasaan takut.
Kaedah lain yang boleh digunakan adalah dengan bermain bersama kanak-kanak. Melalui bermain, kanak-kanak lebih terbuka untuk meluahkan perasaan mereka. Contohnya, bermain dengan anak patung atau boneka dapat memberi kanak-kanak pemahaman melalui main peranan (role play) dan menangani masalah takut berjumpa dengan orang-orang disekeliling.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebagai seorang ibu, pelakon Ezzaty Abdullah, 31, mengambil pendekatan mengajar sendiri anaknya, Harum Dalia, tiga tahun, selepas memberhentikannya dari pra sekolah pada Jun lalu.
Ezzaty berkata, keputusan itu dibuat selepas anaknya berdepan kesukaran belajar menerusi dalam talian sehingga terpaksa mengajarnya semula sebaik kelas tamat sebelum ini.
“Selepas mendaftarkan Harum di pra sekolah tahun ini, kelasnya perlu dilakukan dalam talian sejak April lalu disebabkan situasi pandemik. Bagaimanapun, dia mengalami kesulitan untuk faham sepenuhnya pengajaran menerusi cara itu.
“Daripada terus membazir bayar yuran, saya nekad untuk berhentikan dia dan ambil alih tugas itu sejak Jun. Bagaimanapun, saya tetap menggunakan silibus pengajaran ikut buku yang diberikan taska itu.
“Tapi saya tak mahu mengajarnya dengan formal sangat. Dalam sehari, saya ajar dia dua kali selama setengah jam dan selainnya berikan dia melihat video menarik yang boleh ajarnya mengeja atau kenal huruf,” katanya.
Menurut pelakon drama Rahimah Tanpa Rahim itu, dia gembira apabila Harum menunjukkan perkembangan yang sangat baik apabila sudah boleh mengeja namanya sendiri.
“Memandangkan dia masih kecil, saya tak terlalu memaksanya. Saya buat dengan cara lebih santai sebab saya sendiri pun pernah ada pengalaman mengajar kanak-kanak sebelum ini.
“Alhamdulillah, dia sudah boleh mengenal huruf, mengeja namanya, dan nama saya. Tapi nama bapanya belum lagi tapi tidak mengapalah, biar perlahan-lahan asalkan ada peningkatan juga,” katanya.
Ezzaty yang juga isteri pelakon Azwan Kombos turut mendedahkan Harum kepada aktiviti lain termasuk melukis. Menurutnya, dia akan menghantar anaknya itu ke sekolah fizikal bermula tahun hadapan.
Dah masuk hujung tahun ni, biasanya mama papa pasti buat persediaan anak-anak masuk ke sekolah. Apa yang patut kita nak buat supaya anak-anak tak kekok dan teruja nak ke sekolah?
Jom ikuti perkongsian ilmu bermanfaat dari Dr Tengku Putri Zainab Ab Malek (Pakar Perunding Pediatrik), Pn Nurul Sheriena Musa (Konsultan Perkembangan Kanak-kanak & Terapis Cara Kerja) serta sharing dari selebriti Yana Samsudin bagaimana dia melatih anaknya untuk belajar tiga bahasa. Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/tip-a-z-anak-ready-ke-sekolah/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Takut bila lihat anak menangis sehingga kebiruan. Bahaya atau tidak? Ini situasi yang sesetengah ibu bapa hadapi apabila anak terjadi sedemikian.
Sebenarnya Breath holding spell (menahan nafas) adalah keadaan di mana bayi atau kanak-kanak menangis kerana sakit, takut atau marah seterusnya muka bertukar menjadi pucat atau biru dan akhirnya pengsan.
Breath holding spell berlaku secara tiba-tiba, tidak disengajakan dan tidak dapat dikawal oleh kanak-kanak tersebut. Kebiasaanya episod menjadi biru itu mengambil masa kurang dari 1 minit, ia mungkin kelihatan seperti sawan namun ujian EEG sekiranya dilakukan (untuk memeriksa gelombang sawan di otak) adalah normal.
Walaupun episod breatholding spell kelihatan menakutkan buat ibu bapa dan penjaga namun ianya tidak membawa kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut. Episod breatholding sebenarnya agak lazim berlaku dan kira-kira 4-5% kanak-kanak mengalaminya. Ia bermula dari usia 6-18 bulan dan kebanyakannya berhenti berlaku ketika kanak-kanak berumur 4-7 tahun.
Adalah amat penting bagi ibu bapa membawa anak berjumpa dengan doktor pakar bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Ini untuk memastikan episod biru atau cyanosis bukanlah berpunca dari masalah jantung, paru-paru atau sawan.
Deskripsi
Breatholding spell kerap kali tercetus apabila kanak-kanak atau bayi itu marah, sakit atau kecewa (frustrated). Kanak-kanak itu akan mula menangis dan tidak mengeluarkan suara walaupun seolah-olah kelihatan seperti masih menangis. Mereka akan menghela nafas keluar dan tidak menarik nafas masuk.
Terdapat dua jenis breatholding spell bergantung kepada perubahan warna kanak-kanak. Episod cyanosis (biru) tercetus apabila kanak-kanak itu marah atau kecewa. Biasanya kanak-kanak akan menangis kuat selama kurang dari 15 saat, kemudian menjadi senyap, berhenti bernafas dan dengan pantas muka bertukar menjadi biru. Kebiasaannya mereka akan menjadi lembik dan pengsan. Kadang-kadang badan mereka boleh mengeras seolah-olah mereka mendapat sawan. Tidak lama selepas itu mereka akan menarik nafas yang dalam, bernafas seperti biasa dan mula sedarkan diri namun mungkin akan kelihatan penat selepas episod breatholding spell tersebut.
Selain dari cyanosis (biru) kanak-kanak atau bayi boleh mendapat serangan pucat yang selalu tercetus oleh kesakitan atau ketakutan. Sebagai contoh seorang kanak-kanak berlari, tiba-tiba terjatuh dan kepala terhantuk. Ini boleh mencetus breath holding spell bukan kerana kecederaan di kepala tetapi lebih kepada sakit yang tidak dijangka dan berlaku secara tiba-tiba. Kanak-kanak tersebut akan berteriak sekejap, betukar menjadi pucat seterusnya pengsan dan mungkin kelihatan sedikit kebiruan. Acap kali badan mengeras atau menggigil seolah-olah mendapat serangan sawan dan berlaku tidak sampai 1-2 minit. Selepas itu mereka akan sedarkan diri namun mungkin akan kelihatan letih dan tidur untuk beberapa jam. Episod ini dipanggil Reflex Anoxic Seizure di dalam bahasa perubatan.
Pada peringkat permulaan, breath holding spell terjadi setiap beberapa minggu atau bulan namun ia mungkin akan menjadi lebih kerap dan boleh berlaku hampir setiap hari.
Walaupun breatholding spell kelihatan menakutkan namun ia sebenarnya tidak membawa kesan kepada kanak-kanak tersebut seperti kerosakan otak atau penyakit epilepsi (sawan berulang-ulang).
Punca
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami breatholding spell adalah sebenarnya sihat. Breatholding spell berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka. Ia tidak dapat dikawal oleh kanak-kanak tersebut dan tidak bermaksud yang kanak-kanak itu mengalami masalah tingkah laku. Gangguan emosi mencetus tindak balas refleks yang menyebabkan perubahan dari segi pernafasan, nadi dan tekanan darah.
Ujian
Pemeriksaan dan pengambilan sejarah pesakit secara terperinci termasuklah deskripsi episod breath holding sudah memadai untuk membuat diagnosis. Ujian seperti scan otak (CT atau MRI) mahupun EEG untuk melihat gelombang sawan di otak selalunya tidak diperlukan. Namun jika simptom tidak tipikal maka ujian lanjutan mungkin dilakukan.
Rawatan
Sebenarnya tiada rawatan untuk breatholding spell melainkan jika kanak-kanak itu mengalami masalah kurang sel darah merah (anemia). Sekiranya darah merah rendah, maka zat besi tambahan mungkin boleh diberi untuk mengurangkan kekerapan episod breath holding.
Tindak balas biasa ibu bapa atau penjaga sekiranya anak menjadi biru atau pucat adalah dengan mengangkat dan mendukung kanak-kanak. Namun hakikatnya mendukung anak anda boleh menyebabkan episod cyanosis (biru) itu lebih berpanjangan. Begitu juga jika anak pengsan, baring dan meletakkan kepala lebih rendah dari badan mempercepatkan dan melancarkan pengedaran darah ke otak. Sebaiknya, kanak-kanak itu diletakkan baring mengiring dan di pantau sehingga kanak-kanak itu mula bernafas dengan baik dan warna berubah kepada sedia kala.
Adalah amat penting untuk tidak terlalu memanjakan dan memberi perhatian yang lebih hanya semata-mata untuk mengelakkan dari anak anda menangis agar tidak mendapat breath holding spell. Memang ia sukar namun tindakan ini hanya akan menyebabkan kanak-kanak itu mendapat masalah tingkah laku di kemudian hari. Layanan anda seharusnya sama seperti anak anda yang lain. Bukan mudah untuk membesarkan anak yang mengalami breatholding spell. Sebagai ibu bapa sekiranya anda merasa tertekan, adalah baik untuk medapat bantuan dari pakar psikologi atau pakar terapi untuk mempelajari mengenai ‘parenting technique’.
Rumusan
Breatholding spell tidak memudaratkan anak anda. Ia tidak sepatutnya menyebabkan kerosakan otak atau menjejaskan perkembangan anak anda. Ia mungkin mengerikan untuk melihat anak anda menangis dan menjadi biru atau pucat lalu longlai.
Kekerapan breath holding spell berkurangan apabila kanak-kanak berusia 2 tahun dan hampir 50% tidak mengalaminya ketika mereka mencecah 4 tahun.
Sekiranya anak anda mempunyai masalah biru atau pucat ketika menangis, berjumpalah dengan doktor untuk kepastian dan pemeriksaan lanjut.
Sumber: Dr Maryamjameelah Razali (www.doktorbudak.com)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.