Aktor berbakat besar, Remy Ishak, telah diketahui ramai bakal bergelar seorang ayah tidak lama lagi. Katanya, dia sudah pun menyediakan senarai nama buat bayi yang bakal dilahirkan nanti.
Sumber foto: Instagram Remy Ishak
Remy turut berkongsi bahawa pemilihan nama untuk anaknya sudah dibuat sebelum berkahwin dengan isteri tercinta, Ezza Yusof.
“Nama anak sebelum kahwin lagi saya dah pilih, kalau dapat bayi perempuan nama apa. Kalau lelaki pun dah ada senarai.”
Menurut portal mStar, dia ada berbincang dengan isteri tentang nama-nama yang disukainya. Memandangkan isterinya itu jenis ‘sempoi’, maka tiada sebarang masalah dalam pemilihan nama anak.
Kata pelakon yang pernah menjayakan filem Sangkar bersama teman aktor, Zul Ariffin ini lagi, dia sememangnya sukakan gabungan nama.
“Sejak dulu lagi saya memang suka cipta gabungan nama tapi bukan merujuk kepada individu tertentu.”
Ads
Turut memberitahu yang dia tidak kisah dengan jantina anak yang bakal dilahirkan dan amat bersyukur diberi rezeki untuk menimang cahaya mata pada usianya 40 tahun.
Sumber foto: Instagram Ezza Yusof
Turut berkongsi keadaan isterinya yang sedang hamil sangat baik dan tidak mengalami alahan seperti orang lain tetapi lebih sensitif dari biasa.
Teruja bakal menjadi seorang ayah, Remy seakan-akan tidak percaya dan perasaannya juga bercampur-baur. Turut melahirkan rasa bimbang dengan didikan yang akan diberikan kepada anaknya dengan cabaran dunia sekarang.
Ads
“Zaman dah berbeza, itulah yang buatkan saya risau nak mendidik anak. Takut tersalah didik pula tapi doakan yang baik-baik buat saya dan isteri.”
Sekadar recap, Remy dan Ezza melangsungkan perkahwinan pad 21 Ogos 2021 selepas lapan tahun menjalinkan hubungan cinta.
Jangan buat main, kehamilan yang berisiko sememangnya harus diberikan lebih perhatian. Dan berpuasa ketika bulan Ramadan dirasakan tidak wajar kepada golongan ibu yang berisiko.
Menurut Dr Muhammat Izzat, doktor Kesihatan Wanita dan Kehamilan, wanita hamil yang berisiko sewajarnya tidak perlu berpuasa. Dan berikut merupakan golongan ibu yang dinasihatkan untuk tidak berpuasa.
Golongan ibu mengandung yang saya nasihatkan JANGAN berpuasa:
1) Ibu yang ada GDM dengan bacaan gula yang tak terkawal, termasuklah semua ibu GDM yang sedang on insulin.
Mereka yang ada GDM on diet control, boleh berpuasa sekiranya doktor merawat dah menilai yang mana ibu selamat berpuasa.
2) Ibu yang berisiko untuk dapat darah beku ( venous thromboembolism), termasuk ibu yang sedang penerima ubat cucuk untuk cairkan darah ( clexane/heparin) serta faktor-faktor lain yang doktor fikirkan akan meningkatkan risk si ibu untuk dapat darah beku.
Dehidrasi masa berpuasa boleh menerukkan keadaan, dan meningkatkan peluang untuk dapat darah beku untuk ibu-ibu yg berisiko.
3) Ibu yang ada pre-eclampsia, atau darah tinggi masa hamil yang memerlukan ubat darah tinggi yang perlu di makan on time.
4) Ibu pada awal kehamilan dengan muntah-muntah teruk, juga tak disarankan berpuasa.
5) Ibu yang tak berasa tak sihat atau demam.
6) Kehamilan yang ada IUGR ( baby terbantut tumbesaran)
7) Ibu yang mengandung kembar 2/3.
8) Semua ibu yang menyusukan anak atau sedang mengandung yang risaukan mengenai keselamatan dirinya atau anak dalam kandungan atau anak yg disusukan – dinasihatkan tak perlu berpuasa.
Boleh ganti puasa kemudian hari / bayar fidyah
Kumpulan lain yang tak termasuk, perlu pemeriksaan doktor terlebih dahulu untuk pastikan ibu selamat untuk berpuasa atau tak.
Untuk ibu yang boleh berpuasa, nanti saya share tips macam mana nak kekal bertenaga dan aktif semasa berpuasa.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kencing kotor dikenali sebagai jangkitan kuman dalam saluran kencing. Jangkitan ini biasanya didapati oleh golongan wanita kerana golongan ini mempunyai saluran pembuangan air kecil yang sangat pendek dan sangat mudah dijangkiti kuman.
Kenapa ibu hamil senang dijangkiti kuman dan kencing kotor? Ikuti penerangan dari pegawai perubatan, wanita dan kehamilan, Dr. Muhammad Izzat;
“Apesal doktor ni, tak abes-abes menyusahkan jer! datang follow up je nak air kencing, datang follow up je pegi suruh kencing dalam botol ni. kalau tak kencing tak boleh ke?? Ini nak masuk toilet pun beratur panjang” – Rungut seorang ibu muda
“alahhhh… awak ikut je lah ape doktor tu nak”
“abang faham tak? Saya ni bukannya ada kencing kotor. kalau tak sakit tak payah la sibuk-sibuk nak check”
“kencing saya pun jernih jer macam air paip, tak tahu la kenapa doktor tu sibuk sangat nak tengok air kencing! “ – Bentak ibu muda itu lagi.
‘Menyusahkan’ – itulah kata-kata kekecewaan yang diluahkan oleh ibu muda tersebut. Ternyata perkataan itu amatlah menyakitkan dan pahit untuk ditelan, namun yang demikian penggunaan nya sangat tidak tepat dalam konteks ini.
Betul ke pemeriksaan air kencing secara berkala ini sebenarnya memang menyusahkan ibu? Adakah kencing kotor ini bermakna air kencing berkeladak dan mempunyai sampah sarap, seperti dakwaan ibu muda tersebut?
Jom ikuti penerangan saya mengenai kencing kotor ketika hamil:
Kenapa wanita hamil lebih senang kena kencing kotor?
-ketika hamil, banyak perubahan fisiologi yang berlaku dalam badan ibu, lebih-lebih lagi pada sistem perkumuhan air kencing yang menyebabkan si ibu senang untuk mendapat jangkitan pada salur kencing.
-Isipadu pundi kencing bertambah dan otot-otot pada pundi kencing menjadi kurang tegang. 90% ibu mengalami perkembangan pada salur ureter disebabkan tindakan hormon progesteron yang tinggi ketika hamil dan juga tekanan daripada rahim yang membesar menyebabkan pengaliran air kencing menjadi perlahan sekaligus memudahkan bakteria terkumpul dan bermulalah jangkitan pada salur kencing
– 70 % ibu mengandung pula mempunyai gula dan protein dalam air kencing, memudahkan bakteria berkembang dan memulakan jangkitan pada salur kencing
– bila melakukan hubungan kelamin ketika hamil, salur kencing urethra terkadang tercedera menyebabkan bakteria dari vagina memasuki salur kencing
-Vagina boleh menjadi tempat takungan bakteria dari salur pencernaan kerana kedudukannya yang rapat dengan rektum dan usus besar, Maka bakteria dari rektum atau usus besar ini boleh memasuki salur kencing melalui urethra yang telah tercedera.
-Umur ibu yang meningkat, meningkatkan kemungkinan untuk mendapat kencing kotor juga
-ketidaknormalan pada sistem perkumuhan air kencing, atau ibu mempunyai penyakit kencing manis – lagi senang untuk dapat kencing kotor ini
Apa akan berlaku jika kencing kotor tidak dirawat?
– saiz bayi kecil ( Low birth weight ) berat bayi kurang 2.5kg – Bayi lahir tak cukup bulan/pramatang ( kurang 37 minggu ) – ibu boleh mengalami masalah darah tinggi ketika hamil/ pre-eclampsia -Anemia ( kekurangan sel darah merah yang membawa oksigen untuk ibu ) -Jangkitan pada air mentuban bayi ( chorioamniotis )
Yang prihatin terhadap ibu-ibu hamil,
Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan wanita & kehamilan
Sumbing (klef) bibir dan lelangit adalah pembentukan struktur bibir dan lelangit tidak normal serta tidak bercantum dengan normal semasa pembentukan janin seawal empat hingga lapan minggu.
Secara umumnya, klef boleh berlaku secara tersendiri atau dikaitkan dengan pelbagai sindrom.
Selalunya kanak kanak yang mana klef tidak dikaitkan dengan sebarang sindrom (isolated), mereka ini mempunyai tahap IQ yang sama dengan kanak-kanak normal yang lain dan tidak perlu dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).
Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Marzida Abd Latib, berkata pelbagai faktor dalaman atau genetik dan persekitaran dikatakan menjadi penyebab terjadinya klef.
“Ada pelbagai jenis klef bibir dan lelangit dengan pelbagai tahap sumbing dialami dan tiada satu klef pun yang seiras walaupun dari segi klasifikasi ia mungkin sama kategori.
“Ini menyebabkan rawatan klef selalunya bergantung pada ciri unik bentuk dan strukturnya, permasalahan dan keperluan pesakit itu sendiri,” katanya.
Kecacatan gagal dikesan
Walaupun pembentukan struktur bibir dan lelangit berlaku pada pembentukan janin seawal empat hingga lapan minggu, ia hanya boleh dikesan melalui ultrasonografi apabila kandungan berusia dalam lingkungan 20 minggu.
Dalam klef lelangit jenis submucous, ada masanya bayi ini tidak dapat didiagnosis sejak lahir kerana struktur lelangit nampak sempurna.
Ini menyebabkan golongan ini akan datang lambat berjumpa pakar apabila menyedari suara dan pertuturan sengau dan tidak sempurna.
Sumbing bibir dan lelangit memerlukan rawatan berpanjangan iaitu daripada bayi hingga dewasa dengan membabitkan pelbagai pakar seperti pakar sakit puan.
Mereka juga dirujuk kepada pakar pembedahan plastik, pakar pergigian atau maksilofasial.
Pakar telinga, telinga, hidung dan tekak (ENT), pakar pemakanan, pakar pertuturan, pakar kanak-kanak, pakar bius, jururawat terlatih, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai kumpulan sokongan yang lain.
Rujuk segera jika ada tanda awal
“Kita menyarankan, bayi yang baharu dilahirkan dan didapati mempunyai klef, mestilah dirujuk segera kepada pakar pembedahan plastik dan rekonstruktif.
“Pakar bedah plastik selalunya menjadi moderator yang akan menyusun atur keperluan kanak-kanak klef ini, merujuk dan berbincang dengan kepakaran masing-masing untuk rawatan menyeluruh,” katanya.
Sebelum merancang pembedahan klef, doktor akan memastikan pesakit sihat untuk pembedahan dan dirujuk ke pakar bius.
Sekiranya bayi klef ini mengalami permasalahan lain seperti fungsi jantung atau paru-paru tidak normal keadaan itu perlu diatasi diatasi terlebih dulu dan pembedahan plastik surgeri terpaksa ditangguhkan.
Keseluruhan rawatan berpanjangan sehingga pesakit berumur dalam lingkungan 20-an dan pesakit klef yang datang pada peringkat dewasa, pendekatan bagi pesakit sebegini sedikit berbeza.
Info
* Peringkat pembedahan:
– Dilakukan seawal mungkin apabila kandungan haemoglobin dalam darah mencecah 10 gram
– Berat bayi lima kilogram
– Umur bayi mencecah 10 minggu.
– Bayi berumur dalam lingkungan 9 -12 bulan.
Rawatan susulan:
– Terapi pertuturan
– Rawatan gigi
– Rawatan tampalan gusi
– Pembedahan hidung dan tulang muka
– Pembedahan lain sekiranya perlu.
* Lebih kerap berlaku dalam kalangan bayi lelaki berbanding perempuan
– Nisbah sebanyak 2 (lelaki) :1 (perempuan)
Masalah klef:
* Masalah pemakanan*
* Masalah pendengaran
* Masalah pertuturan dan bahasa
* Masalah gigi dan orthodontik
* Masalah estetik muka terutama bahagian muka tengah
* Masalah kurang keyakinan diri terutama apabila meningkat remaja.
* Masalah saluran pernafasan**
* Masalah pemakanan tidak begitu serius, melainkan bayi mengalami sindrom yang menyukarkannya untuk makan.