Pelakon terkenal, Datin Nelydia Senrose berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan dirinya kini sedang hamil. Berita tersebut nyata mengundang rasa sebak dalam dirinya, malah disifatkan sebagai satu rezeki yang hadir tanpa diduga selepas penantian yang cukup panjang.
Menurut Nelydia, dia bersama suami tercinta, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, kini berada dalam fasa yang penuh keterujaan menantikan kehadiran cahaya mata pertama mereka. Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan dirinya dan kandungan.
Nelydia Senrose Hamil Selepas Penantian 7 Tahun
Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesejahteraan dirinya dan kandungan.
“Alhamdulillah, selepas tujuh tahun menanti, akhirnya Allah kurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka.
Saya sangat gembira dan bersyukur. Doakan saya selamat melahirkan anak nanti.
Ads
Saya akui sebelum ini saya tidak pernah berkongsi perjalanan tujuh tahun kami dalam usaha mendapatkan zuriat. Namun saya sentiasa percaya, Allah akan mengurniakan rezeki itu pada waktu yang tepat,” kongsinya dengan penuh emosi.
Tambahnya lagi, sepanjang tempoh penantian tersebut, dia tidak pernah berhenti berdoa dan terus meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ketentuan Ilahi. Kini, kehadiran zuriat yang dinanti-nantikan itu menjadi satu anugerah yang amat disyukuri.
Ads
Alahan Trimester Pertama Dialami
Berkongsi pengalaman awal kehamilan, Nelydia turut mengakui melalui fasa alahan seperti kebanyakan ibu hamil lain, terutamanya dalam tiga bulan pertama.
“Sepanjang tiga bulan pertama, saya mengalami alahan seperti ibu hamil lain. Tetapi saya tetap menikmati setiap momen itu.
Ads
“Sejujurnya, sebelum ini saya tidak pernah tahu bagaimana rasanya. Walaupun saya kurang selera makan, saya masih menikmati pengalaman tersebut,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia memilih untuk melihat setiap cabaran sebagai satu proses pembelajaran dan pengalaman paling indah dan berharga dalam hidupnya.
Terdahulu, Nelydia dan suami mendirikan rumah tangga pada 6 April 2019 dalam satu majlis tertutup di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Gja meluahkan rasa kecewa dalam satu video ringkas di platform TikTok berkaitan trend terkini dalam penulisan karangan pelajar sekolah yang menggunakan istilah daripada bahasa Indonesia.
Dalam video berdurasi kurang satu minit itu, Cikgu Gja menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan penggunaan kosa kata Indonesia seperti “rumah sakit,” “berencana,” “merancanakan,” dan “teman-teman” dalam karangan pelajar di sekolahnya.
Menurut beliau, fenomena ini semakin membimbangkan kerana ia menunjukkan pelajar tidak lagi dapat membezakan antara bahasa Melayu standard dan bahasa asing yang dipengaruhi oleh kandungan luar, terutamanya dari negara jiran, Indonesia.
“Perkataan yang selalu saya jumpa merancanakan, berencana, rumah sakit, teman-teman. Memanglah dalam bahasa Melayu ada perkataan teman tetapi penggunaan yang lebih sesuai adalah kawan.
“Kami pergi berkelah bersama kawan-kawan, bersama rakan-rakan bukan bersama teman-teman. Nampak sangatlah anda memang guna bahasa Indonesia,” jelasnya.
Menurut pemerhatian Cikgu Gja, antara punca utama penyusupan bahasa Indonesia ini ialah pengaruh media sosial dan kandungan hiburan digital. Ramai pelajar kini lebih banyak terdedah kepada video, drama dan lagu dari Indonesia melalui pelbagai platform yang secara tidak langsung mempengaruhi cara mereka berfikir, bercakap, dan menulis.
Malah Cikgu Gja turut menegaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu dengan betul adalah penting, lebih-lebih lagi dalam penulisan rasmi seperti karangan sekolah dan peperiksaan.
“Banyak yang saya jumpa dalam karangan awak. Apa ni? Kurang-kurang sikit tengok konten Indonesia. Jangan terbawa-bawa dalam cerita awak dengan bahasa Indonesia. Salah.
“Video ini bukan untuk hina mana-mana bahasa atau negara. Saya hormat Bahasa Indonesia, bahasa yang indah dan kaya budaya tetapi dalam karangan sekolah, murid perlu guna Bahasa Melayu yang betul, ikut silibus Malaysia.
“Ramai murid terpengaruh dengan konten luar, jadi ini cuma peringatan mesra untuk ibu bapa untuk bantu pantau dan bezakan penggunaan bahasa ikut situasi. Niat saya cuma nak mendidik dengan kasih,” luahnya.
Minta ibu bapa memantau
Cikgu Bahasa Melayu ini juga turut menyeru ibu bapa agar melihat segala content anak-anak agar tidak memberi kesan kepada pembelajaran anak-anak.
“Cikgu bebel bukan suka-suka. Tolong ye ibu bapa, pantau konten yang anak-anak tengok.
“Sebab sekarang karangan murid penuh perkataan macam, berencana, teman-teman, rumah sakit. Apa yang mereka tengok,itulah yang mereka tulis,” luahnya kesal.
Isu autisme kini bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat moden. Dengan kemajuan dalam bidang perubatan dan psikologi, semakin ramai ibu bapa dan pendidik mula memahami spektrum ini dengan lebih mendalam. Menariknya, jauh sebelum istilah autisme diperkenalkan oleh dunia Barat, konsep seumpamanya telah pun disentuh dalam khazanah keilmuan Islam sejak berabad-abad dahulu dikenal dengan istilah al-‘atah, sebagaimana dibahaskan oleh para ulama klasik dalam karya mereka.
Sebagaimana perkongsian Ikon Anak Istimewa Selangor merangkap pelajar Doktor Falsafah di Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nur Arif, menjelaskan menerusi pengamatannya, peningkatan kes autisme hari ini bukan semata-mata kerana bilangan penghidapnya bertambah, tetapi disebabkan kemajuan dalam aspek diagnosis serta kefahaman yang lebih mendalam terhadap spektrum gangguan ini.
Namun menerusi posting terbarunya, ikon tersebut mengeluarkan kenyataan yang agak ‘keras’ dan menyentuh sensitiviti ramai pihak terutama ibu bapa yang membesarkan anak autisme dengan penuh pengorbanan.
“Saya harap Allah tarik nyawa anak-anak autisme ini lebih awal sebab peningkatan dan kehadiran mereka ini tambah beban dan tiada manfaat untuk tamadun manusia. Saya simpati pada ibu bapa khususnya dan masyarakat umumnya. Anda semua terpaksa menanggung bala autisme ini daripada Tuhan.”
Kenyataan ini mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, ada yang setuju dan ada juga yang mengecam keras pandangan itu. Sebahagian netizen berpendapat kenyataan tersebut sangat tidak wajar kerana anak-anak autisme juga adalah anugerah dan ujian Allah yang perlu diraikan dengan kasih sayang, bukan dihina.
Dalam pada itu, menerusi perkongsian berasingan beliau menjelaskan bahawa peningkatan jumlah kes autisme. Katanya, era 80-an, autisme difahami sebagai keadaan yang sangat berat, iaitu apabila seseorang kanak-kanak tidak bercakap dan duduk dalam dunia sendiri. Kini, definisi autisme makin meluas kanak-kanak yang boleh bercakap tetapi pelik, tidak faham emosi orang, ada isu sensori dan masalah rutin turut termasuk dalam spektrum autisme.
Maknanya, lebih ramai orang dahulu yang tidak dikira autisme, kini dikategorikan sebagai penghidap autisme. Alat saringan juga semakin canggih, dan kini ramai doktor terlatih dalam diagnosis autisme.
Sungguhpun begitu, Islam sebenarnya telah mendahului dunia Barat dalam memahami kelainan ini. Dalam Islam, terdapat satu istilah yang disebut sebagai al-‘atah yang sangat mirip dengan autisme. Ciri-ciri ini telah lama dihuraikan oleh fuqaha’ Islam.
Para fuqaha’ mendefinisikan al-‘atah sebagai seseorang yang kurang kefahaman, pertuturan bercampur aduk dan kurang jelas serta pengurusan diri yang tidak efisien secara semula jadi (Abdul Qadir Awdah, Al-Tasyri’ al-Jinaiy al-Islamiyy).
Imam al-Jurjani dalam al-Ta’rifat mentakrifkan al-‘atah sebagai kekurangan pada akal, tetapi tidak sama seperti gila. Sebahagian pertuturannya seperti orang waras dan sebahagian lagi seperti tidak waras — sama seperti individu autisme yang mampu bercakap, tetapi pelik dalam tindak tanduknya.
Ulama terkemudian seperti Dr Abd Karim Zaidan menjelaskan bahawa al-‘atah ini adalah kelainan akal yang menyebabkan seseorang sukar memahami arahan dengan jelas, dan pertuturannya tidak dapat difahami sepenuhnya. Dari sudut hukum, mereka disamakan dengan kanak-kanak dalam hal akal.
Dari sudut perubatan pula, sebahagian penghidap autisme mempunyai jurang antara usia biologikal dan usia mental. Sebagai contoh, badan 30 tahun tetapi mental setara dengan usia 10 tahun. Walau bagaimanapun, tahap ini berbeza mengikut fungsi dan kemampuan individu autisme itu sendiri.
Ibnu Nujaym turut menjelaskan dalam kitabnya Al-Bahr Al-Raiq tentang keadaan orang dewasa tetapi berakal seperti kanak-kanak. Menurut beliau, al-‘atah mempunyai dua hukum: bila melibatkan akal, mereka dihukum seperti kanak-kanak; tetapi jika melibatkan syahwat, hukum mereka seperti orang dewasa. Oleh itu, walaupun akalnya seperti kanak-kanak, hukum-hakam berkaitan aurat dan wuduk tetap terpakai.
Kesimpulannya, walaupun pada era 80-an seseorang yang mempunyai ciri autisme tidak dikira sebagai autistik kerana kriteria diagnostik masih sempit, namun dalam Islam mereka sudah termasuk dalam kategori al-‘atah. Jelas bahawa Islam telah lama mendahului dunia Barat dalam memahami fenomena ini.
Rasulullah SAW bersabda: “Diangkat pena daripada tiga golongan: kanak-kanak sehingga baligh, orang tidur sehingga dia terjaga, dan orang al-‘atah sehingga dia faham.”
Perbahasan ini menunjukkan bahawa individu autisme bukan bebanan, tetapi ujian dan amanah yang memerlukan kefahaman dan kasih sayang, sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam sejak dahulu lagi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Momen penuh makna akhirnya tiba buat pelakon jelita, Afifah Nasir, apabila beliau selamat melahirkan cahaya mata sulung hasil perkongsian hidupnya bersama suami tercinta.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri menerusi laman Instagram miliknya, apabila Afifah memuat naik beberapa keping foto indah yang merakam detik penuh emosi bersama bayi lelaki mereka. Dalam salah satu gambar, kelihatan Afifah erat memeluk si kecil sambil ditemani suami tercinta di sisi, melengkapkan lagi rasa syukur seorang wanita yang kini bergelar ibu.
Lebih manis, pasangan ini memilih nama indah buat putera sulung mereka – Syed Armand Mateen, yang menurut Afifah adalah satu anugerah terindah daripada Allah.
Afifah menulis penuh makna di kapsyennya:
“Made with love, blessed by Allah. Alhamdulillah, our little miracle, Syed Armand Mateen, has finally arrived in this world..”
Ungkapan ringkas itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa besar rasa syukur dan bahagia yang kini menyelubungi hati seorang ibu baru. Afifah menzahirkan penghargaan atas kurniaan ini, yang bukan sahaja menjadi pelengkap dalam rumah tangga, malah membuka lembaran baru dalam kehidupannya sebagai seorang ibu.
Momen Afifah memeluk erat si kecil nyata menyentuh hati ramai pengikut yang turut membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah, doa, dan kata-kata semangat. Ramai yang turut berkongsi rasa terharu melihat kebahagiaan yang kini dirasai oleh pasangan ini.
Bagi Afifah, kehadiran Armand Mateen bukan sekadar “little miracle” tetapi juga simbol cinta dan rahmat Allah dalam rumah tangga mereka. Ia menjadi tanda bermulanya perjalanan baru yang pastinya dipenuhi cabaran, pengorbanan, tetapi juga kebahagiaan yang tidak ternilai.
Semoga Afifah dan suami terus diberi kekuatan serta kesihatan dalam menempuh fasa baru kehidupan ini, dan semoga si kecil membesar dengan penuh kasih sayang, keberkatan, serta menjadi anak soleh yang membanggakan keluarga.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!