Sumber: Facebook Fadhlina Sidek / Berita Harian

Kecil-kecil cili padi! Baru berusia 11 tahun, namun keberanian dan keyakinan Nur Aamily Saffiya Muhd Zabari Izyan berdiri di pentas antarabangsa cukup mengagumkan.
Murid Tahun Lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat ini bukan sahaja membawa nama sekolah dan negeri, malah turut mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya meraih pingat emas dalam kategori Public Speaking di iWISE London Global Final 2026 yang berlangsung di University of Surrey, United Kingdom (UK).
Lebih membanggakan, Nur Aamily turut tersenarai sebagai antara tiga peserta terbaik keseluruhan bagi kategori Bahasa Inggeris, sekali gus membuktikan kemampuan anak Malaysia bersaing dengan peserta dari pelbagai negara.
Kejayaan luar biasa itu turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek yang menyifatkan pencapaian Nur Aamily sebagai satu contoh bagaimana keyakinan dan keberanian perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak usia muda.
Apa yang diraih Nur Aamily di UK bukanlah kejayaan antarabangsa pertamanya. Beberapa bulan sebelum itu, dia terlebih dahulu mencipta nama apabila menyertai pertandingan di Dubai dan berjaya membawa pulang pingat perak.
Tidak berhenti di situ, Nur Aamily terus melangkah lebih jauh sehingga berjaya menaiki pentas di United Kingdom pula.
“Februari lepas dia berucap di Dubai dan pulang dengan pingat perak. Ogos dia terbang pula ke University of Surrey di United Kingdom.
“Kali ini bukan sahaja menang emas Public Speaking (pidato umum), malah menjadi antara tiga peserta terbaik keseluruhan bagi kategori Bahasa Inggeris.
“Sebagai Menteri Pendidikan, inilah keyakinan yang kita mahu tumbuhkan dalam diri anak-anak kita. Sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal pula, saya tumpang bangga. Ini anak kita,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam, selepas menyantuni murid berkenaan.
Tentunya pencapaian ini cukup manis buat Nur Aamily Saffiya dan keluarganya. Pada usia ketika kebanyakan kanak-kanak masih berada di sekolah rendah, dia sudah berani berdiri di hadapan peserta antarabangsa dan menyampaikan pidato menggunakan Bahasa Inggeris.
Namun bagi Fadhlina, apa yang paling menarik tentang perjalanan Nur Aamily bukan semata-mata pingat emas atau kedudukan yang berjaya diraih.
Sebaliknya, keberanian seorang kanak-kanak berusia 11 tahun untuk mencuba, belajar dan meneroka peluang di peringkat antarabangsa merupakan sesuatu yang patut diberikan perhatian.
Dalam pertemuan bersama Nur Aamily, Fadhlina turut menghadiahkan sebuah iPad bagi membantu proses pembelajarannya serta memberi ruang kepada murid berkenaan untuk terus meneroka ilmu dan mengembangkan potensinya.
“Saya suka melihat anak-anak begini. Bukan semata-mata kerana pingat yang dibawa pulang, tetapi kerana pada usia 11 tahun, dunianya sudah begitu luas untuk diteroka,” katanya.
Beliau turut berharap Nur Aamily akan terus berusaha dan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
Di sebalik kilauan pingat emas itu, perjalanan Nur Aamily ke pentas dunia sebenarnya bermula dengan satu langkah kecil dari Malaysia.
Dia terlebih dahulu menyertai pusingan kelayakan secara dalam talian sebelum pencapaiannya melayakkan dirinya beraksi di Final Dubai Global pada Februari lalu.
Di Dubai, Nur Aamily berjaya meraih pingat perak. Pengalaman tersebut ternyata menjadi pembakar semangat apabila beberapa bulan kemudian dia kembali beraksi dalam iWISE London Global Final 2026 di University of Surrey pada Ogos.
Pertandingan berprestij itu menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari 29 negara.
Nur Aamily pula bersaing bersama 50 peserta bagi anugerah Best Performer sebelum berjaya menduduki tempat ketiga, selain membawa pulang emas dalam acara pidato umum.
Daripada pusingan kelayakan secara dalam talian, meraih perak di Dubai sehinggalah akhirnya membawa pulang emas dari United Kingdom, perjalanan Nur Aamily Saffiya membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk seorang anak melangkah jauh.
Apa yang diperlukan adalah peluang, sokongan, latihan dan keberanian untuk mencuba.
Pencapaian Nur Aamily bukan sahaja menjadi kebanggaan buat keluarga dan sekolahnya, malah turut menjadi inspirasi kepada anak-anak Malaysia yang lain agar tidak takut untuk mencabar kemampuan diri.
Siapa sangka, daripada sebuah sekolah rendah di Malaysia, suara seorang anak berusia 11 tahun mampu bergema hingga ke pentas dunia.
Syabas Nur Aamily! Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pencapaian hebat dan terus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!
Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia
MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000!
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek / Berita Harian