
Obesiti lebih serius dari malnutrisi, anak kita dalam bahaya! Amaran ini disuarakan oleh Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) apabila buat pertama kali dalam sejarah, jumlah kanak-kanak dan remaja obes mengatasi masalah kekurangan zat makanan di seluruh dunia.
Fenomena ini memberi isyarat jelas bahawa ancaman obesiti bukan lagi isu negara maju semata-mata, sebaliknya sudah menjadi krisis kesihatan global termasuk di negara membangun seperti Malaysia.

Dari Kurang Zat Kepada Terlebih Kalori
Jika dahulu malnutrisi dikaitkan dengan anak yang kekurangan berat badan dan zat makanan, kini cabarannya beralih arah. Menurut UNICEF, pemasaran makanan ringan yang tidak beretika serta penggunaan makanan ultra proses semakin menggantikan buah-buahan, sayur-sayuran dan protein segar dalam diet anak-anak.
Akibatnya, ramai kanak-kanak lebih mudah mencapai berat badan berlebihan kerana pengambilan kalori tinggi tanpa imbangan aktiviti fizikal.
Statistik Yang Mengejutkan
Berdasarkan laporan UNICEF:
Kadar kanak-kanak dan remaja kekurangan berat badan turun kepada 10% pada 2022, berbanding 13% pada tahun 2000.
Sebaliknya, jumlah mereka yang berat badan berlebihan meningkat dua kali ganda dari 194 juta (2000) kepada 391 juta (2022).
Obesiti meningkat mendadak daripada hanya 3% pada 2000 kepada 8% atau 163 juta orang pada 2022.
Tahun ini, kadar obesiti global bagi umur 5–19 tahun dijangka mencecah 9.4%, sekali gus mengatasi kadar kekurangan berat badan yang kini berada pada 9.2%.

Bahaya Obesiti Pada Kesihatan Anak
Obesiti bukan sekadar isu bentuk badan. Ia meningkatkan risiko penyakit kronik sejak usia muda, antaranya:
Diabetes jenis 2
Tekanan darah tinggi
Masalah jantung
Kanser tertentu
Kebimbangan, kemurungan dan masalah keyakinan diri
Lebih membimbangkan, kanak-kanak obes berisiko besar membawa masalah ini hingga dewasa kelak.
Peranan Ibu Bapa Sangat Penting
Ibu bapa adalah benteng pertama dalam membendung obesiti anak. Antara langkah mudah yang boleh diamalkan:
Sediakan makanan sihat di rumah – kurangkan makanan bergoreng, manis dan diproses.
Galakkan anak aktif – sekurang-kurangnya 1 jam aktiviti fizikal setiap hari.
Hadkan masa skrin supaya anak tidak terlalu pasif.
Beri contoh teladan – ibu bapa juga perlu tunjuk gaya hidup sihat.
Hakikatnya, dunia kini berdepan peralihan masalah kesihatan daripada malnutrisi kepada obesiti. Sebagai ibu bapa, kita perlu sedar bahawa pencegahan obesiti bermula di rumah dengan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang.
Ingatlah, obesiti bukan sahaja menjejaskan fizikal, malah mental dan masa depan anak-anak. Jangan biarkan si manja kita menjadi sebahagian daripada statistik yang membimbangkan ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!













