
Anak yang nakal biasanya bukan nakal tanpa sebab. Menurut perkongsian daripada Pakar Psikiatri dan Pensyarah UIAM (Kuantan), Dr Rozanizam Zakaria, kanak-kanak yang nakal selalunya mempunyai cerita di sebaliknya yang jarang difahami oleh orang dewasa.
Ikuti perkongsian ini dan bantu anak untuk jadi lebih baik. Nakal bukan bermaksud gagal, dan ia masih boleh dibantu dengan pendekatan yang betul.
Kanak-kanak sememangnya dilahirkan dengan fitrah yang baik. Namun apabila timbul kisah kanak-kanak yang terlibat dengan masalah disiplin serius, jenayah atau keganasan, hampir pasti wujud kisah tersembunyi di sebalik tingkah laku tersebut.
“Dalam satu program televisyen, saya pernah menyebut bahawa pendekatan terhadap masalah disiplin kanak-kanak perlu diubah. Kita tidak boleh lagi hanya melihat tingkah laku luaran tanpa memahami punca sebenar.”
Apabila seorang kanak-kanak menunjukkan tingkah laku bermasalah, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memahami apa yang sedang mereka alami. Adakah kemungkinan wujud masalah kesihatan mental atau gangguan perkembangan yang memerlukan rawatan?
Label negatif, herdikan dan sumpah seranah hanya akan memburukkan keadaan jika punca sebenar tidak ditangani.
Salah satu masalah psikiatri yang sering disalah tafsir sebagai “anak nakal” ialah oppositional defiant disorder (ODD). Ia adalah gangguan tingkah laku yang menyebabkan kanak-kanak cenderung untuk melawan, mudah marah dan sukar mengawal emosi.
Gejala ini hanya dikira sebagai sebahagian daripada oppositional defiant disorder (ODD) jika ia berlaku secara ketara sehingga mengganggu kehidupan kanak-kanak dan penjaga, serta berterusan sekurang-kurangnya sekali seminggu selama lebih enam bulan.
Dalam kes yang lebih serius, gangguan ini boleh berkembang menjadi conduct disorder. Pada tahap ini, tingkah laku kanak-kanak mula melibatkan keselamatan orang lain dan harta benda.
Oppositional defiant disorder (ODD) sering berlaku bersama gangguan lain seperti ADHD, anxiety dan depression. Ini menjadikan rawatan dan pengurusan tingkah laku lebih mencabar jika tidak ditangani secara menyeluruh.
Prevalen ODD dianggarkan antara 2–16% dalam kalangan kanak-kanak sekolah. Kanak-kanak lelaki didapati 3 hingga 4 kali lebih ramai terjejas berbanding perempuan, dan simptom biasanya mula dikesan sekitar umur 8 tahun.
Antaranya termasuk perangai yang sukar, mudah moody, sukar menyesuaikan diri, masalah perkembangan seperti IQ rendah, kelewatan komunikasi, masalah motor dan kesukaran pembelajaran.
Masalah semasa kehamilan dan kelahiran, sejarah jenayah atau masalah tingkah laku dalam keluarga, gaya keibubapaan yang bermasalah, kurang pemantauan, konflik rumahtangga, keluarga besar dan tekanan sosioekonomi turut menyumbang.
Kurang minat belajar dan hubungan tidak baik dengan guru juga boleh mencetuskan atau memburukkan tingkah laku bermasalah.
Kesemua faktor ini jarang bertindak secara bersendirian. Biasanya ia berlaku hasil gabungan dan interaksi pelbagai faktor.
Pendekatan terbaik adalah menangani faktor risiko secara konsisten, berkesan dan melibatkan semua pihak yang terlibat.
Perlu diingat bahawa panduan ini bersifat umum dan bukan pengganti kepada penilaian profesional. Jika gejala berterusan, pastikan anak mendapatkan penilaian dan rawatan profesional agar intervensi awal dapat dilakukan dengan berkesan.