Perempuan ni, bab fizikal memang sangat sensitif. Tak kisahlah kurus ke berisi ke, usik sikit pun boleh buat hati terguris. Kadang-kadang orang buat lawak, konon gurau manja… tapi hakikatnya, boleh buat hati perempuan jadi muram sampai hilang keyakinan diri.
Ramai wanita sanggup telan pil kurus, minum jamu entah dari mana, semata-mata sebab takut suami dah tak tertarik, takut ‘hilang selera’, takut jadi tak cukup di mata orang yang dia paling sayang.
Kajian Kata Wanita Berisi Lebih Membahagiakan
Tapi tahu tak sebenarnya, satu kajian dari UNAM’s Department of Psychology mendapati lelaki yang berkahwin dengan wanita berisi adalah 10 kali lebih bahagia? Bukan sikit tu! Sebabnya, kebanyakan wanita yang berisi ni pandai urus emosi, tahu selesaikan masalah, dan lebih matang dalam banyak hal.
Ads
Mereka lebih tenang, tak cepat melatah dan lebih mudah menerima perubahan dalam hidup. Tak hairanlah hubungan pun boleh bertahan lama — dengan izin Tuhan, pastinya.
Senyum, Positif & Subur — Lengkap Satu Pakej
Ads
Lebih menarik, ramai responden dalam kajian tu juga mengaku isteri mereka yang berisi ni selalu positif, suka senyum dan lebih subur. Macam satu pakej lengkap isteri mithali — ada body, ada hati, ada kasih sayang yang tulus. Jadi bila ada yang pandang wanita berisi ni sebagai ‘kurang’, sebenarnya mereka tak tahu apa yang mereka rugi.
Bila Isteri Rasa Tak Cukup, Suami Jangan Diam
Ads
Dan ya, normal sangat kalau seorang isteri rasa risau bila tengok tubuh makin berisi. Rasa kurang menarik, rasa cepat letih, selalu sakit badan… semua tu main dalam kepala. Tapi dalam masa yang sama, suami jangan duduk diam. Jangan biar isteri melawan semua tu seorang diri. Suami kena jadi support system nombor satu. Kena tunjuk yang awak peduli.
Dan jangan lupa — puji selalu. Puji usaha dia, senyuman dia, masakan dia… semua tu akan buat dia rasa dihargai. Kalau nak berdiet pun, cari maklumat sama-sama. Biar dia tahu, awak ada di sisi setiap langkah.
Cinta Tak Pernah Ukur Saiz
Kalau isteri mengadu, tolong jadi pendengar yang baik. Jangan dismiss perasaan dia. Kalau ada orang gurau atau body-shaming, awak la orang pertama kena lindungi dia. Kalau dia nak bersenam, jangan kritik — temankan dia, buat sama-sama. Bukan sebab dia tak cantik, tapi sebab nak sihat sama-sama.
Cinta sejati tak pernah nilai berdasarkan saiz. Bila suami ikhlas sayang isteri tanpa syarat, tanpa bandingkan dengan orang lain, itu yang paling mahal. Dan itulah yang akan buat isteri terus yakin, terus kuat, dan terus rasa cukup — bukan untuk orang lain, tapi untuk dirinya sendiri.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka seorang kanak-kanak yang baru berusia enam tahun mampu menjawab puluhan soalan sifir dengan begitu pantas sehingga berjaya mencipta rekod kebangsaan? Kehebatan luar biasa inilah yang dimiliki oleh T. Vishakan apabila namanya kini tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hasil kebolehannya menyelesaikan soalan matematik dalam tempoh yang sangat singkat.
Minat Vishakan terhadap nombor sebenarnya sudah mula terserlah sejak dia berusia tiga tahun lagi. Apa yang dianggap biasa oleh kebanyakan kanak-kanak seusianya menjadi sesuatu yang cukup menarik buat dirinya apabila setiap nombor yang dilihat sering dikaitkan dengan pengiraan dan sifir.
Pada 12 Jun lalu, Vishakan berjaya mencipta rekod MBOR bagi kategori “Most Multiplication Completed By A Child In One Minute” selepas berjaya menyelesaikan sebanyak 53 soalan sifir dalam masa hanya satu minit.
Menurut bapanya, K. Thanarajan, minat mendalam anaknya terhadap nombor mula disedari sejak kecil. Ketika dalam perjalanan bersama keluarga, Vishakan gemar memerhatikan nombor plat kenderaan, nombor rumah dan papan tanda di lebuh raya.
Lebih mengagumkan, setiap nombor yang dilihat bukan sekadar dihafal, malah sering digunakan untuk membuat pengiraan atau mengaitkannya dengan sifir yang telah dipelajari.
Keunikan Vishakan tidak terhenti di situ. Jika kebanyakan kanak-kanak mengenali ahli keluarga atau saudara-mara melalui nama mereka, Vishakan pula lebih mudah mengingati mereka berdasarkan nombor rumah.
Menurut bapanya, kebolehan tersebut membuatkan mereka mula menyedari bahawa anak mereka mempunyai kecenderungan yang istimewa dalam bidang matematik dan pengiraan sejak usia yang sangat muda.
Minat yang mendalam terhadap matematik terus berkembang apabila Vishakan kerap menonton program pendidikan berkaitan nombor dan pengiraan.
Pendedahan itu membantu meningkatkan pemahamannya terhadap konsep matematik sehingga dia mampu menguasai tahap yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak seusianya. Malah, menurut bapanya, Vishakan sudah mampu menjawab sifir yang lebih mencabar termasuk jadual sifir 21.
Melihat potensi besar yang dimiliki anak mereka, ibu bapanya mengambil langkah mendaftarkannya ke kelas aritmetik bagi membantu mengembangkan lagi bakat tersebut.
Melalui penyertaan dalam pelbagai program dan pertandingan matematik, kemahiran Vishakan semakin menyerlah sehingga akhirnya berjaya menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.
Menurut ibunya, J. Mira Sharvina, kejayaan yang dikecapi anaknya hari ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan.
Sejak Vishakan berusia sekitar tiga tahun, keluarga mereka telah mengamalkan rutin pembelajaran yang konsisten dengan memperuntukkan satu jam setiap malam untuk aktiviti belajar tanpa gangguan telefon pintar atau peranti elektronik.
Ketika usia tersebut, Vishakan mula didedahkan kepada aktiviti membaca dan mewarna sebelum rutin pembelajaran itu diteruskan secara lebih teratur.
Pada hari Isnin hingga Jumaat, masa diperuntukkan untuk pembelajaran mengikut jadual yang ditetapkan, manakala hujung minggu pula dikhaskan untuk bermain dan berehat.
Bagi Mira Sharvina, setiap kanak-kanak dilahirkan dengan bakat dan kelebihan yang berbeza.
Beliau percaya peranan ibu bapa sangat penting untuk mengenal pasti minat anak-anak serta menyediakan peluang yang sesuai agar potensi tersebut dapat berkembang dengan baik.
Kisah Vishakan membuktikan bahawa gabungan sokongan keluarga, disiplin yang konsisten dan persekitaran pembelajaran yang positif mampu membantu anak-anak mencapai kejayaan luar biasa sejak usia muda.
Pengiktirafan MBOR tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Rasmi Malaysia Book of Records, Siti Hajar Johor dan V. Menaga kepada Vishakan pada Jumaat lalu.
Masalah kesihatan kanak-kanak prasekolah merupakan perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap ibu bapa. Setiap ibu bapa pasti menginginkan yang terbaik untuk anak-anak, terutamanya dari aspek kesihatan. Anak yang sihat bukan sahaja dapat membesar dengan baik, malah lebih aktif belajar, bermain dan meneroka dunia di sekeliling mereka.
Namun, apabila si kecil mula memasuki alam prasekolah, mereka akan lebih banyak berinteraksi dengan rakan sebaya serta terdedah kepada pelbagai persekitaran baharu. Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan risiko mereka dijangkiti penyakit dan mengalami pelbagai gangguan kesihatan yang lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Oleh sebab itu, ibu ayah perlu mengetahui beberapa penyakit yang sering berlaku agar langkah pencegahan dan rawatan awal dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Dengan pemantauan yang baik, kebanyakan masalah kesihatan dapat dikenal pasti lebih awal sebelum menjadi lebih serius.
Selesema merupakan antara penyakit yang paling kerap menyerang kanak-kanak. Sistem imun mereka yang masih berkembang menyebabkan mereka lebih mudah dijangkiti virus.
Antara gejala yang sering dialami termasuk hidung berair, bersin, batuk, sakit tekak dan badan yang lesu. Walaupun biasanya tidak serius, selesema boleh menyebabkan anak berasa tidak selesa, kurang aktif dan hilang selera makan untuk sementara waktu.
Jangkitan telinga atau otitis media sering berlaku selepas anak mengalami selesema atau jangkitan saluran pernafasan.
Keadaan ini berlaku apabila terdapat pengumpulan cecair di belakang gegendang telinga yang menyebabkan keradangan. Anak mungkin mengadu sakit telinga, demam atau menjadi lebih mudah meragam daripada biasa. Pemeriksaan doktor penting jika simptom berlarutan.
Gastroenteritis ialah jangkitan usus yang menyebabkan cirit-birit, muntah, sakit perut dan loya.
Penyakit ini mudah merebak melalui tangan atau permukaan yang tercemar dengan virus. Bagi mengelakkan dehidrasi, pastikan anak minum air secukupnya, mendapatkan rehat yang mencukupi dan mengamalkan kebersihan tangan dengan baik.
Konjunktivitis berlaku apabila lapisan nipis yang melindungi bahagian putih mata mengalami keradangan atau jangkitan.
Mata anak akan kelihatan merah, berair dan kadangkala mengeluarkan lelehan. Keadaan ini mudah berjangkit jika anak menyentuh mata yang dijangkiti dan kemudian menyentuh individu lain atau berkongsi barangan peribadi.
Asma adalah penyakit yang menjejaskan saluran pernafasan dan boleh menyebabkan kesukaran bernafas.
Serangan asma boleh dicetuskan oleh habuk, alahan, perubahan cuaca atau jangkitan pernafasan. Simptomnya termasuk batuk berpanjangan, sesak nafas dan bunyi berdehit ketika bernafas. Walaupun tiada penawar khusus, asma boleh dikawal dengan rawatan dan pemantauan yang betul.
HFMD sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun dan mudah merebak di pusat asuhan atau tadika.
Anak yang dijangkiti biasanya mengalami demam, ulser dalam mulut serta ruam atau lepuh pada tangan dan kaki. Kebanyakan kes akan pulih dalam masa beberapa hari dengan penjagaan yang sesuai serta pengambilan cecair yang mencukupi.
Beguk merupakan jangkitan virus yang menyebabkan pembengkakan pada kelenjar air liur berhampiran rahang.
Anak yang mengalami beguk biasanya mempunyai pipi yang kelihatan bengkak dan mungkin mengalami demam, sakit kepala serta kurang selera makan. Penyakit ini mudah merebak melalui titisan air liur ketika batuk atau bersin.
Campak ialah penyakit berjangkit yang sangat mudah menular.
Ia biasanya bermula dengan demam, batuk dan selesema sebelum muncul ruam merah pada muka yang kemudian merebak ke seluruh badan. Vaksinasi merupakan langkah terbaik untuk melindungi anak daripada komplikasi serius akibat penyakit ini.
Masalah kutu kepala sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang bersekolah kerana ia mudah merebak melalui perkongsian sikat, tudung atau sentuhan kepala.
Kehadiran kutu akan menyebabkan kulit kepala gatal dan tidak selesa. Rawatan yang sesuai perlu dilakukan segera bagi mengelakkan ia merebak kepada ahli keluarga lain serta mengganggu aktiviti harian anak.
Jangkitan cacing jarum berlaku apabila telur cacing memasuki badan melalui makanan, minuman atau tangan yang tercemar.
Antara tanda yang biasa berlaku ialah kegatalan pada bahagian dubur terutama pada waktu malam. Keadaan ini boleh dirawat dengan ubat yang diberikan oleh doktor serta penjagaan kebersihan diri yang baik.
Selain mendapatkan rawatan apabila anak sakit, langkah pencegahan juga memainkan peranan penting. Ibu bapa disarankan memastikan anak mencuci tangan dengan sabun sebelum makan dan selepas menggunakan tandas. Amalan ini dapat mengurangkan risiko penyebaran virus, bakteria dan parasit.
Pemakanan yang seimbang turut membantu menguatkan sistem imun. Pastikan anak mendapat pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, protein dan air yang mencukupi setiap hari. Tidur yang mencukupi serta aktiviti fizikal yang sesuai juga menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik.
Selain itu, jadual imunisasi perlu dilengkapkan mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia. Vaksin terbukti berkesan dalam mengurangkan risiko pelbagai penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan komplikasi serius kepada kanak-kanak.
Kesihatan anak sentiasa menjadi keutamaan setiap ibu bapa. Walaupun pelbagai penyakit dan jangkitan mudah berlaku apabila anak mula bergaul dengan rakan sebaya di prasekolah, kebanyakan keadaan ini boleh dicegah melalui amalan kebersihan yang baik, pemakanan seimbang dan vaksinasi yang lengkap.
Pengetahuan mengenai masalah kesihatan kanak-kanak prasekolah dapat membantu ibu bapa mengenal pasti simptom lebih awal dan mendapatkan rawatan yang sesuai. Dengan langkah pencegahan yang betul, anak dapat terus membesar dengan sihat, aktif dan ceria setiap hari.
Anak-anak walaupun sudah semakin membesar dan punya adik-adik namun jauh disudut hatinya, dia pasti rindukan belaian dari ibu dan ayah.
Terkadang mak ayah tak perasan akan hal yang semacam ini. Menurut perkongsian Mohd Fhais Salim, mak ayah jangan terlepas beberapa tanda ini. Anak rindukan belaian dari kedua orang tuanya.
7 tanda-tanda anak sedang nak bagitahu yang dia rindu & mahukan perhatian kita
1. Dia kerap panggil kita dan minta kita tengok dia buat apa.
2. Dia ajak kita teman dia bermain.
3. Dia tiba-tiba boleh datang peluk kita.
4. Dia minta kita suap dia makan walaupun dah besar.
5. Dia nak bercerita sesuatu pada kita. Kadang kisah kawan dia, kadang kisah dia masa kecil.
6. Dia kemas mainan sendiri tanpa di suruh lepas tu tanya kita “bangga tak?”
7. Dia bawa sikat datang minta kita sikatkan rambut dia.. setiap anak ada bahasa rindu masing masing.
Jadi mak ayah jangan buat tak kisah bahasa badan yang ditunjukkan anak ini. Kadang mereka tidak pandai meluahkan rasa hati namun perhatikan tanda-tanda ini.
Biar kasih sayang tetap sama biarpun anak sudah besar!