
Kes terbaharu Januari 2026 sekali lagi merobek emosi masyarakat apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan meninggal dunia selepas ditinggalkan di dalam kereta selama hampir sembilan jam. Insiden ini bukan yang pertama, dan malangnya, masih berulang walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan.
Tragedi seperti ini sering mengundang kecaman, persoalan, dan emosi yang bercampur-baur. Namun pakar menegaskan, kejadian sebegini bukan semata-mata soal kecuaian atau kasih sayang, sebaliknya berkait rapat dengan satu fenomena psikologi yang dikenali sebagai Sindrom Terlupa Bayi.
Cakna mengenai kejadian yang menyentuh hati ini, menerusi perkongsian Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias di Facebook miliknya, beliau berkongsi semula pandangan yang pernah dikongsikan sebelum ini dan masih relevan sehingga hari ini.
Semoga keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan, dan semoga tragedi ini membuka mata kita semua terutama ibu bapa bekerja dan majikan bahawa pencegahan memerlukan usaha bersama, bukan menyalahkan satu pihak semata-mata.
Apa Itu Sindrom Terlupa Bayi?

Sindrom Terlupa Bayi merujuk kepada keadaan di mana seorang penjaga selalunya ibu atau bapa secara tidak sedar terlupa kehadiran anak di dalam kenderaan, walaupun hubungan emosi dengan anak tersebut sangat kuat.
Menurut pakar, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira tahap pendidikan, profesion atau latar belakang keluarga. Malah, terdapat kes melibatkan golongan profesional seperti doktor, guru dan eksekutif korporat.
3 Punca Utama Fenomena Ini (Selain Faktor Memori)
Dalam temubual bersama The Merdeka Times, Dr Alizi Alias menjelaskan bahawa terdapat tiga faktor utama yang meningkatkan risiko berlakunya Sindrom Terlupa Bayi, dan ketiga-tiganya berkait rapat dengan persekitaran kerja.
1. Stres Melampau
Stres bukan sekadar tekanan emosi biasa. Ia boleh berpunca daripada:
- Kerja lebih masa berpanjangan
- Beban tugas yang terlalu tinggi
- Perubahan tugas secara mendadak
- Ketidakamanan pekerjaan
- Kurang autonomi dalam membuat keputusan
- Persekitaran kerja yang tidak kondusif
- Kekurangan sumber dan peralatan kerja
Apabila minda berada dalam keadaan “survival mode”, otak akan mengutamakan perkara yang dianggap paling kritikal selalunya berkaitan kerja dan menutup sementara memori rutin lain, termasuk menghantar anak ke taska.
2. Kurang Tidur Kronik
Kurang tidur memberi kesan besar kepada fungsi kognitif. Antara penyumbangnya ialah:
- Kerja lebih masa hingga lewat malam
- Membawa kerja pulang ke rumah
- Tiada ruang untuk rehat pendek
- Perjalanan kerja yang kerap dan memenatkan
Apabila seseorang bekerja dalam keadaan letih berpanjangan, otak mudah beroperasi secara “auto-pilot”, dan inilah keadaan paling berbahaya untuk rutin yang melibatkan tanggungjawab besar seperti penjagaan anak.
3. Rutin Harian Yang Berubah
Perubahan rutin harian seperti:
- Ibu atau bapa yang jarang menghantar anak tiba-tiba perlu berbuat demikian
- Perubahan waktu kerja
- Keperluan singgah ke tempat lain sebelum ke pejabat
Perubahan kecil inilah yang sering menjadi pencetus kepada Sindrom Terlupa Bayi, kerana otak masih berfungsi berdasarkan “skrip lama”.
Peranan Besar Majikan Dalam Pencegahan
Menurut Dr Alizi, majikan tidak boleh lepas tangan dalam isu ini. Walaupun tidak semua faktor boleh dikawal sepenuhnya, sokongan organisasi mampu mengurangkan risiko secara signifikan.
- Mengurangkan perubahan rutin kerja yang tidak perlu
- Menyediakan taska di tempat kerja atau berhampiran
- Mengamalkan sistem peringatan apabila rutin kerja berubah
- Menawarkan jam kerja fleksibel atau kerja dari rumah
- Menggalakkan amalan mindfulness di tempat kerja
- Membina budaya kerja yang lebih berperikemanusiaan
Apabila pekerja berada dalam keadaan lebih tenang, cukup rehat dan disokong, risiko kesilapan kritikal seperti ini dapat dikurangkan.
Bukan Salah Individu Semata-mata, Tetapi Tanggungjawab Bersama
Dr Alizi menegaskan bahawa usaha mengawal stres, tidur dan rutin bukan sahaja mampu mencegah Sindrom Terlupa Bayi, malah turut meningkatkan kesejahteraan pekerja dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat.
Tragedi yang berlaku bukan untuk dijadikan bahan kecaman, tetapi peringatan bersama bahawa kasih sayang sahaja tidak cukup tanpa sistem sokongan yang betul.
Kerana dalam sekelip mata yang alpa, sebuah nyawa boleh terkorban dan penyesalan itu akan kekal seumur hidup.
Sumber:Dr Alizi Alias, Organizational Psychologis
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





