“Merajuk teruk nampaknya anak aku yang seorang tu. Aku ada tersalah cakap ke masa marah dia tadi? Ish, tapi takkan marah sikit pun tak boleh. Apa tips komunikasi dengan anak supaya dia lembut hati ya?”

Sebagai ibu bapa, biasanya kita menganggap apa yang kita lakukan adalah betul dan bertujuan untuk mengajar anak-anak. Tapi sebenarnya tentu ada masa kita terlepas pandang terhadap beberapa perkara yang mungkin memberi kesan kepada jiwa anak-anak, terutamanya dalam hal berbicara.

PAKAR PSIKOLOGI LARANG IBU BAPA GUNAKAN 7 AYAT INI PADA ANAK

Mari kita semak semula dan cuba fahami kenapa para psikologis melarang ibu bapa menggunakan ayat-ayat ini.

Pakar Psikologi Larang Ibu Ayah Guna Ayat Ini Semasa Cakap Atau Marah Anak

1. “JANGAN KACAU MAMA, PERGILAH MAIN DEKAT SANA.”

Sebagai ibu bapa, kita tak dapat lari daripada berasa letih. Tentulah ada masanya kita menginginkan sedikit ‘me time’ dan tidak mahu diganggu. Tetapi, seeloknya cari masa yang sesuai dan jangan asyik terus-menerus memberitahu si anak supaya menjauhi anda.

Menurut Suzette Haden Elgin, founder di Ozark Center for Language Studies, anak-anak akan mentafsirkan mesej tersebut dengan mempercayai bahawa anda tidak berminat untuk bercakap dengan mereka. Malah, sehingga mereka besar nanti lebih sukar untuk mereka meluahkan perasaan dan menganggap tiada gunanya mereka berkongsi apa-apa dengan anda.

Maka, jika anda benar-benar kesuntukan masa atau sedang stres untuk bermain dengan anak, beritahu mereka dengan baik dan set kan masa lain untuk ‘temujanji’ tersebut. Biasanya mereka boleh dilatih untuk menunggu. Tapi ingat, janji mesti ditepati ya!

2. “SIKIT-SIKIT MENANGIS. CENGENG BETUL KAMU NI.”

Setiap anak mulanya belajar berkomunikasi dengan menangis. Mereka memerlukan sedikit masa untuk bertutur menggunakan perkataan dan menjelaskan emosi dengan baik kerana kebolehan tersebut perlu dilatih.

IKLAN

Seeloknya, jika anak menangis peluklah dia dengan erat. Sambil itu, ajarkan anak untuk menjelaskan apa yang berlaku. Terangkan padanya bahawa melalui kata-kata, anak dapat memberitahu apa yang diingini dengan lebih jelas dan cepat berbanding menangis. Dengan cara ini, mereka juga belajar mengendalikan emosi dengan lebih terkawal.

3. “JANGANLAH TAKUT-TAKUT, KAMU KAN ANAK LELAKI.”

Tidak kiralah anak lelaki atau perempuan, ibu bapa perlu faham bahawa setiap manusia mempunyai perasaan – apatah lagi anak kecil yang masih belum tahu-menahu tentang dunia luar. Mereka masih kecil dan tentulah ada banyak perkara yang mereka tak tahu. Unfamiliarity ini tentunya menimbulkan rasa curiga, bimbang, dan takut dalam banyak hal. Jadi, kenapa perlu mereka menyembunyikan perasaan sendiri dan dipaksa menjadi ‘lelaki’?

Sebuah artikel dalam Psychology Today menerangkan bahawa perbuatan menghalang anak lelaki untuk menangis, memaksa mereka menjadi ‘macho’, kuat, dan sebagainya boleh memberi implikasi buruk kepada kesihatan mental si anak. Dikhuatiri dengan cara ini, mereka akan menjadi seorang yang lebih agresif, kurang sifat empati, dan menyalahgunakan kekuatan fizikal mereka.

4. “TENGOK ANAK AUNTY TU. BARU 4 TAHUN DAH PANDAI MEMBACA. KAMU DAH NAK MASUK SEKOLAH MASIH MERANGKAK-RANGKAK.”

Ibu bapa mana yang tak teringin tengok anaknya naik ke pentas, hebat di padang, menang anugerah, dan sebagainya. Kadangkala, secara tidak sedar, kita membanding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain yang lebih hebat. Walaupun tidak bertujuan membuat anak kecil hati, sebenarnya pada saat itu kita sudahpun menjatuhkan semangatnya.

Anak kita mungkin telah mencuba sedaya-upaya. Malah, segala usaha dilaburkan demi membuat kita bangga dan gembira. Apabila ayat sedemikian meluncur dari mulut orang yang paling disayangi dan dipercayai, tentulah mereka akan berasa sangat kecewa dan hilang keyakinan diri. Bahkan mereka mungkin akan takut mencuba lagi pada masa akan datang.

Pakar Psikologi Larang Ibu Ayah Guna Ayat Ini Semasa Cakap Atau Marah Anak

IKLAN

5. “MARI SINI BIAR MAMA BUATKAN.”

Niat kita memang murni kerana kita rasa tak selesa tengok anak terkial-kial melakukan sesuatu perkara. Tapi, pertolongan ini boleh bertukar menjadi sesuatu yang buruk jika ia menjadi rutin dan kerapkali ditawarkan terlalu awal sehingga tidak memberi peluang langsung kepada anak untuk cuba menyelesaikan sesuatu hal.

Myrna Shure, seorang profesor psikologi di Drexel University dan penulis buku Raising a Thinking Child berpendapat bahawa sikap ini akan mempengaruhi sifat independence iaitu kemandirian anak. Jadi, jangan ‘curi peluang’ anak untuk mengerahkan usahanya sendiri melainkan mereka benar-benar buntu dan terpaksa meminta pertolongan.

6. “KENAPA DEGIL SANGAT NI?”

Orang selalu cakap, ‘panggilan itu adalah doa’. Secara saintifiknya, penjelasannya mungkin boleh kita kaitkan dengan situasi yang dijelaskan oleh Maureen Smith menerusi Telegraph. “Apabila kita memanggil anak dengan gelaran ‘degil’ atau ‘nakal’, perkataan itu akan terakam oleh otak bawah sedarnya sehingga membuatnya percaya bahawa dia adalah anak yang benar-benar ‘degil’ atau ‘nakal’.”

Sepatutnya, apabila anak melakukan sesuatu yang salah, kita boleh katakan, “Mama tak suka cara kamu bermain dengan kasar.” Ayat sebegini lebih positif, tepat, dan tidak ‘melabel’ seseorang dengan gelaran tertentu.

7. “SIAPA BUAT KAMU MENANGIS? MARI SINI ABAH PUKUL DIA…”

Biasanya ini dilakukan kepada anak-anak kecil. Contohnya anak menangis kerana bergaduh dengan adik-beradikyang lain. Atau ada juga gelagat ibu bapa yang memukul tembok atau batu kerana membuat anak jatuh.

Menurut psikologi, sebaiknya cara ini tidak diteruskan kerana sikap seperti ini hanya akan membuat anak kita mudah menyalahkan pihak lain pada setiap kejadian.

Jika anak terjatuh, katakan padanya bahawa rasa sakit yang dirasakan adalah kerana geseran kakinya dengan tanah yang keras. Dia perlu berhati-hati semasa berjalan supaya tak jatuh. Atau, berjalan di atas rumput yang lembut supaya tidak sakit apabila jatuh. Dengan ini, anak belajar untuk menghadapi sesuatu situasi yang sukar tanpa perlu mencari salah sesiapa.

IKLAN

Kesimpulannya menjadi ibu bapa sememangnya meletihkan dan memerlukan kesabaran khusus. Penting untuk ibu bapa mengajarkan anak tentang emosi dan kejujuran sejak kecil melalui bahasa yang mudah difahami.

Jika dibiasakan begini, anak akan mampu mengenalpasti pelbagai perasaan yang menimpanya sehingga mereka mampu memilih tindakan yang sesuai dengan nilai-nilai positif yang anda praktikkan sendiri.

Sumber: (Sirap Limau-Nazurah Hassan)

Pakar Psikologi Larang Ibu Ayah Guna Ayat Ini Semasa Cakap Atau Marah Anak

Jom, join Gathering Ibu Hamil Menawan sekarang! Banyak aktiviti dan hadiah menarik menanti dan penampilan istimewa Pn. Nad Masrom. Klik DAFTAR segera di sini https://toko.ideaktiv.com/product/gathering-mama-hamil-menawan-pama-x-numom/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)

 

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI