Bila usia kandungan sudah memasuki 40 minggu tetapi tanda-tanda bersalin masih belum muncul, ramai ibu mula rasa risau dan tertanya-tanya sama ada perlu menjalani prosedur paksa bersalin atau induced labour.
Menurut perkongsian Dr Aishah Budiman, terdapat beberapa kaedah yang biasa dilakukan di hospital untuk membantu proses kelahiran berlaku dengan lebih selamat.
Namun penting untuk ibu faham, semua kaedah ini bukan dipilih sendiri oleh pesakit, sebaliknya doktor akan tentukan berdasarkan keadaan ibu dan bayi dalam kandungan.
Ada ibu yang masih belum mengalami kontraksi walaupun kandungan sudah cukup bulan. Dalam situasi tertentu, doktor mungkin mencadangkan prosedur paksa bersalin untuk mengurangkan risiko kepada ibu dan bayi.
4 Kaedah Paksa Bersalin Yang Biasa Dilakukan
1. Sweeping Method
Kaedah paksa bersalin ini dilakukan dengan memasukkan jari ke dalam serviks untuk membantu membuka laluan dan memisahkan selaput ketuban daripada dinding rahim.
Tujuannya adalah untuk merangsang hormon semula jadi yang boleh mencetuskan kontraksi. Ada ibu yang terus mengalami tanda bersalin selepas prosedur ini, namun ada juga yang memerlukan kaedah lain jika bukaan masih belum berlaku.
Walaupun mungkin terasa kurang selesa, prosedur ini biasanya dilakukan dengan cepat oleh doktor yang berpengalaman.
2. Memasukkan Belon
Kaedah ini menggunakan sejenis belon kecil yang dimasukkan ke pangkal rahim.
Ads
Apabila belon dikembangkan, ia membantu membuka serviks secara perlahan-lahan dan merangsang proses bersalin. Teknik ini sering digunakan jika serviks masih belum terbuka atau belum bersedia untuk kelahiran.
Ramai ibu menganggap prosedur ini menakutkan, tetapi sebenarnya ia antara kaedah paksa bersalin yang biasa digunakan di hospital dan dipantau rapi oleh petugas kesihatan.
3. Pecahkan Air Ketuban
Dalam prosedur ini, doktor akan menggunakan alat lembut seperti stik kecil untuk memecahkan air ketuban.
Apabila ketuban dipecahkan, ia boleh membantu mempercepatkan kontraksi dan merangsang proses bersalin berlaku dengan lebih aktif.
Ads
Namun prosedur ini hanya dilakukan apabila doktor yakin keadaan ibu dan bayi sesuai. Selepas air ketuban pecah, ibu biasanya akan dipantau dengan lebih teliti bagi memastikan proses kelahiran berjalan lancar.
4. Masukkan Tablet Prostin
Kaedah terakhir ialah memasukkan ubat berbentuk tablet yang dikenali sebagai prostin.
Ubat ini membantu menyebabkan rahim mengecut dan merangsang kontraksi supaya proses bersalin boleh bermula. Ada ibu yang cepat memberi tindak balas terhadap ubat ini, namun ada juga yang memerlukan dos tambahan bergantung kepada keadaan tubuh masing-masing.
Sepanjang proses paksa bersalin ini, bacaan jantung bayi dan keadaan ibu akan dipantau oleh doktor serta jururawat.
Doktor Akan Tentukan Kaedah Yang Sesuai
Menurut Dr Aishah lagi, bukan semua ibu akan melalui kaedah yang sama. Pemilihan prosedur bergantung kepada keadaan kesihatan ibu, usia kandungan, bukaan serviks dan tahap kesiapsiagaan badan untuk bersalin.
Ads
Ada ibu yang sudah 40 minggu tetapi masih belum mengalami kontraksi, malah ada juga situasi yang memerlukan paksa bersalin lebih awal demi keselamatan ibu dan bayi.
Jadi ibu tak perlu terlalu takut jika doktor mencadangkan induce. Yang paling penting adalah keselamatan kedua-duanya dan proses kelahiran dapat berjalan dengan baik.
3 Tip Ringkas Untuk Ibu Bakal Bersalin
Banyakkan Berjalan Ringan
Pergerakan boleh bantu bayi turun ke laluan bersalin dan merangsang kontraksi secara semula jadi.
Belajar Teknik Pernafasan
Tarik nafas perlahan dan cuba relaks ketika contraction supaya ibu tak mudah panik dan lebih tenang.
Cukup Rehat & Siap Awal
Pastikan badan cukup rehat dan beg hospital dah siap supaya ibu lebih bersedia bila tanda bersalin muncul.
Walaupun prosedur paksa bersalin sering menimbulkan rasa takut dalam kalangan ibu hamil, setiap kaedah sebenarnya dilakukan dengan pemantauan rapi oleh doktor dan jururawat. Tujuan utama adalah memastikan ibu dan bayi berada dalam keadaan selamat sepanjang proses kelahiran.
Ibu juga disarankan untuk mendapatkan penerangan jelas daripada doktor sebelum menjalani sebarang prosedur. Dengan pengetahuan yang betul, ibu akan lebih yakin dan kurang cemas ketika menghadapi proses kelahiran.
“Doktor kata bayi saya kecil dan air ketuban kurang.” Intrauterine growth restriction (IUGR) ialah keadaan di mana janin tidak membesar dengan kadar yang sepatutnya. Dengan erti kata lain, pembesaran janin adalah terbantut.
Terdapat pelbagai punca pembesaran janin terbantut. Punca utamanya ialah masalah pada uri “placental insufficiency”. Placental insufficiency ialah keadaan di mana sama ada:
1. Uri/kandungan tidak tertanam elok di rahim ibu (problems with implantation or invasion of the spiral arterioles). Dalam kes sebegini, risiko untuk ibu mengalami komplikasi tekanan darah tinggi (pregnancy induced hypertension, pre eclampsia) adalah tinggi.
2. Uri tidak sihat atau tidak berfungsi dengan sempurna. Kebanyakkan `uri tidak sihat’ berlaku secara kebetulan (punca tidak diketahui). Ada yang disebabkan oleh keadaan di mana darah si ibu adalah `pekat’ seperti Antiphospholipid syndrome (APS). Ada juga yang disebabkan jangkitan kuman/virus seperti Toxoplasma, Cytomegalovirus, Rubella, Herpes Simplex.
Fungsi uri ialah sebagai penghubung di antara ibu dan janin. Uri penting untuk membawa bekalan zat makanan, oksigen dan air kepada janin. Uri juga penting untuk membawa karbon dioksida dan bahan kumbahan daripada janin ke ibu.
Apabila uri tidak berfungsi dengan elok (placental insufficiency), maka bekalan daripada ibu kepada janin terjejas. Janin akan kekurangan zat makanan, oksigen dan air. Bayangkan seorang bayi yang tak cukup makan, tak boleh bernafas dengan sempurna dan tak cukup minum. Sudah tentunya bayi ini akan menjadi kurus, tidak meninggi, kurang aktif dan kurang kencing. Itulah apa yang doktor akan lihat apabila melakukan pemeriksaan ultrasound – ukuran ukurlilit abdomen bayi kecil (kurus), ukuran tulang peha juga mungkin pendek (kurang tinggi) dan air ketuban kurang (kurang kencing). Jika keadaan janin terlalu tidak sihat, pergerakan bayi juga akan berkurangan kerana janin perlu menyimpan tenaga dan mengurangkan penggunaan oksigen.
Punca-punca lain intrauterine growth restriction (IUGR) ialah:
3. Masalah genetik/kromosom seperti Downs Syndrome, Edwards Syndrome, Pataus Syndrome, Turner’s Syndrome dan lain-lain. Janin tidak membesar dengan kadar yang betul kerna semua sel di dalam tubuhnya tidak berfungsi dengan normal.
4. Kecacatan pada janin, contoh jantung berlubang, usus tersumbat, masalah otak dan lain-lain.
5. Masalah kesihatan pada ibu yang menyebabkan ibu tidak membekalkan zat makanan/oksigen/air kepada uri. Contohnya, jika ibu sendiri kekurangan oksigen disebabkan oleh masalah jantung (cyanotic heart disease) atau masalah paru-paru (chronic obstructive pulmonary disease), sudah tentunya dia tidak dapat membekalkan oksigen yang secukupnya kepada janin. Jika ibu mengalami masalah kurang zat yang teruk (severe malnutrition), maka dia tidak akan membekalkan zat yang secukupnya kepada janin. Tetapi harus saya tekankan di sini, bahawa orang Malaysia jarang sekali kurang zat! Semua terlebih makan!! Kencing manis yang tidak terkawal (dari sebelum mengandung), penyakit kanser, merokok, penggunaan dadah berbahaya dll. juga boleh menyebabkan kekurangan bekalan kepada janin.
Jika doktor mendapati bahawa janin anda mengalami IUGR, dia akan mengesyorkan beberapa ujian/pemeriksaan untuk mengenalpasti punca IUGR, Antara ujian-ujian yang akan dilakukan ialah:
1. Ultrasound 2D untuk memantau pembesaran janin dan air ketuban.
2. Ultrasound Doppler untuk memantau aliran darah melalui tali pusat (umbilical artery Doppler), aliran darah ke otak janin (middle cerebral artery doppler) dan aliran darah di salur darah berhampiran hati janin (ductus venosus).
3. Ultrasound detailed scan untuk memastikan janin tiada kecacatan.
4. Amniocentesis & karyotyping untuk mengenalpasti jika ada masalah genetic.
5. Ujian darah TORCH IgM untuk mengesan jangkitan kuman.
Ujian-ujian ini akan membantu doktor membezakan antara janin yang boleh diselamatkan, dan janin yang tidak dapat dibantu. Oleh itu, adalah penting untuk melakukan ujian-ujian yang disyorkan oleh doktor. Seandainya janin anda didapati jenis yang boleh terselamat, doktor akan memantau keadaan janin melalui ultrasound sekurang-kurangnya setiap 2 minggu, sehingga bersalin. Doktor akan terus pantau janin melainkan didapati aliran darah di tali pusat/otak/hati mula terjejas. Jika keadaan ini berlaku, janin anda akan dilahirkan dalam masa terdekat kerana risiko janin meninggal dalam rahim adalah tinggi. Janin/bayi anda berkemungkinan tinggi memerlukan alat bantuan pernafasan setelah lahir, dan perlu dilahirkan di hospital yang mempunyai perkhidmatan NICU.
Saiz/berat janin tidak boleh ditingkatkan dengan memakan lebih banyak. Hanya berat ibu akan bertambah dengan cara ini! Air ketuban tidak boleh ditambah dengan meminum air yang banyak. Air berlebihan yang diminum tidak akan menjadi air ketuban. Air berlebihan hanya akan dikeluarkan daripada badan ibu sebagai air kencing.
Jika janin anda disahkan mengalami IUGR, anda mesti memantau pergerakan janin anda dengan lebih teliti, dan mesti hadir untuk setiap temujanji dengan doktor. Juga, persiapkan emosi dan mental anda untuk kemungkinan tinggi bayi anda perlu dilahirkan secara pembedahan.
Makanan sunah seperti kurma sangat digalakkan untuk diamalkan oleh ibu hamil termasuklah ketika dalam proses bersalin. Dr Zubaidi Hj Ahmad, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM) berkongsi fakta berkenaan kenyataan ini.
Kurma adalah antara makanan jenis buah yang sangat kaya dengan pelbagai nutrien. Ia kaya dengan gula (80%) dan selebihnya adalah protein, serat dan mineral penting seperti kalsium, zat besi, magnesium, manganese, potassium, sodium, phosphorus, selenium dan zink. Kurma juga mempunyai vitamin yang pelbagai. Antaranya vitamin A, B kompleks termasuk folate; C, E dan K.
Di dalam 100gm kurma terkandung 282kcal yang terdiri daripada karbohidrat 75gm, lemak baik 0.4gm dan protein 2.45gm. Ia mempunyai indeks glisemik yang sederhana (bergantung kepada jenis kurma). Sebagai contoh, kurma khalas mempunyai indeks glisemik 35.5, barhi 49.7 dan bo ma’an 30.5.
Jadi, dapat dirumuskan bahawa kurma mempunyai indeks glisemik yang rendah. Walaupun manis, ia mempunyai banyak serat yang melambatkan penyerapan gula dalam darah. Dianggarkan terdapat 8gm serat di dalam 100gm kurma.
Diakui bermanfaat
Secara amnya pengambilan kurma sememangnya bagus untuk orang yang sihat, apatah lagi wanita hamil. Dr Zubaidi berpendapat, pengambilan kurma yang betul (tidak diambil secara berlebihan) memberikan manfaat kepada wanita hamil sama ada di awal kehamilan malah pada minggu terakhir sebelum melahirkan anak.
Ramai pengkaji mendapati bahawa pengamalan kurma terutamanya pada minggu akhir kehamilan membantu proses kelahiran kerana ia meningkatkan tindak balas rahim terhadap hormon oksitosin. Hormon ini bertindak dengan mengecutkan rahim. Dengan itu, ia dapat mengurangkan pendarahan yang biasa berlaku selepas bayi dikeluarkan daripada rahim.
Selain daripada itu, kurma memiliki banyak nutrisi yang sangat penting untuk digunakan semasa proses melahirkan anak. Kurma mengandungi lemak asid tepu dan tidak tepu seperti asid oleic, asid linoleic dan asid linolenic yang mampu membekalkan banyak tenaga di mana anda amat memerlukannya semasa melahirkan anak.
Asid-asid lemak ini juga sangat penting untuk membina bahan prostaglandin (yang digunakan dalam proses pengecutan rahim). Selain itu, tannin dan kalsium dalam kurma juga penting dalam aktiviti pengecutan otot-otot rahim. Mari kenali nutrisi kurma lainnya, yang memberikan kebaikan kepada wanita hamil.
Bantu bukaan servik
Banyak kajian yang menunjukkan pengambilan kurma membantu bukaan pangkal rahim (servik) dengan lebih mudah dan besar. Dalam kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology pada 2011, ia menunjukkan wanita yang mengambil enam biji kurma sehari, sekurang-kurangnya empat minggu sebelum melahirkan anak mengalami proses kelahiran yang lebih mudah.
Mereka yang mengamalkan kurma tidak mengalami pecah selaput ketuban ketika dimasukkan ke hospital untuk melahirkan anak, mudah memulakan proses kelahiran tanpa memerlukan ubat pitocin dan memendekkan fasa pertama dalam proses kelahiran.
Hal ini berlaku kerana pengambilan kurma melembutkan pangkal rahim. Jadi, memudahkan pangkal rahim membuka ‘jalan’ kelahiran bagi bayi dalam rahim untuk keluar. Mereka yang lebih sukar untuk memulakan proses kelahiran juga didapati lebih mudah bertindak balas dengan ubat pitocin berbanding dengan mereka yang tidak mengamalkan kurma sepanjang kehamilan.
Dalam penulisan yang diterbitkan dalam The Journal of Midwifery and Reproductive Health), mereka yang mengamalkan kurma mempunyai bishop scores (satu penilaian terhadap kesediaan wanita yang mahu melahirkan anak dengan mudah), pembukaan ‘jalan’ kelahiran lebih luas kerana pangkal rahim lebih lembut dan mudah bertindak balas terhadap ubat pitocin, jika ia diberikan pada wanita yang mengalami masalah memulakan proses kelahiran.
Pengambilan kurma sememangnya memberikan kesan yang sangat baik. Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obstetrics and Gynaecology pada 2017,pengamalan kurma ketika hamil terutamanya di peringkat akhir kehamilan, memberikan kesan positif kepada proses kelahiran tanpa memudaratkan ibu dan bayi yang dilahirkan.
Cara betul makan kurma
Dalam banyak kajian yang dinyatakan tadi, terbukti pengambilan kurma sangat bermanfaat untuk wanita hamil. Jadi,anda boleh amalkan empat hingga enam biji kurma sehari.
Disarankan ambil dua hingga tiga biji pada waktu pagi dan dua hingga tiga biji pada waktu malam. Kurma boleh dimasukkan ke dalam minuman sebagai pemanis bagi menggantikan gula. Jika tidak pun, campurkan kurma yang dipotong kecil dengan sayur-sayuran atau buah-buahan segar.
Bagi wanita yang tiada masalah kesihatan, boleh ambil enam hingga lapan biji sehari. Jika berada pada minggu akhir kehamilan (36 minggu ke atas), boleh ambil lapan hingga 10 biji sehari, bergantung kepada berat badan, ketinggian dan aktiviti seharian.
Namun begitu, wanita yang ada masalah diabetes semasa hamil, perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu. Dicadangkan agar meninggalkan karbohidrat ringkas seperti kuih-muih dan kek tetapi menggantikannya dengan kurma yang lebih semula jadi dan merupakan karbohidrat kompleks.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak turun temurun lagi orang dulu-dulu sangat menitikberatkan amalan berpantang termasuklah makanan ketika berpantang. Sehingga kini amalan ini masih diteruskan, namun ada sesetengah individu merasakan tiada masalah untuk tidak berpantang dalam pemakanan.
Sejauh manakah berpantang makanan perlu untuk anda? Ikuti perkongsian daripada Dr Fatimah Salim, Makmal Makanan (MaMa).
LAKSA & KUETIAW PANTANG?
Merujuk kepada ss pertanyaan ahli MaMa mengenai memakan laksa yang digantikan dengan mee kue tiaw oleh ibu dalam pantang lepas bersalin.
Isu makanan untuk orang ‘pantang selepas bersalin’ ini sebenarnya sangat sensetif. Boleh buat gaduh kalau masing-masing menegakkan pandangan. Dalam masyarat Melayu, ada dua jenis komen yang biasa kita jumpa iaitu
“ko makanlah, nanti esok-esok ko dah tua baru menyesal”.
atau
“ikut badan masing-masing. Saya makan setakat ni okay je walaupun baru dua hari lepas pantang.”
Umumnya untuk individu yang berubah proses kimia badannya seperti ibu yang baru lepas bersalin, kesesuain apa juga jenis makanan adalah bergantung kepada tahap penerimaan badan individu. TIADA makanan yang patut dielakkan. Selagi tidak membawa mudarat, boleh dimakan dan ini termasuklah kuah laksa tidak kira mi-nya adalah laksa, kuetiaw, mihun atau nasi. Ini kerana bahan asas kepada kesemua mi ini adalah kanji yang berasal daripada tepung beras, tepung gandum dan tepung ubi.
Mari teruskan baca rungkaian saya mengenai kaitan makanan dengan ‘angin’ dalam pantang yang sering diutarakan.
Baiklah.
Kanji terdiri daripada rantaian polimer karbohidrat kompleks iaitu amylose dan amylopectin. Struktur molekul amylose agak PADAT kerana ianya terbentuk daripada rantaian mendatar molekul-molekul kecil glukosa (aka gula) dan setiap rantaian ini terikat antara satu sama lain secara helix melalui ikatan hydrogen (bayangkan tali yang dipintal).
Manakala struktur molekul amylopectin pula agak LONGGAR kerana rantaian molekul-molekul glukosanya ada yang bercabang. Maka, struktur helix yang terbentuk antara rantaiannya akan lebih longgar daripada amylose. Perbezaan pada struktur kedua molekul kanji ini menyebabkan amylopectin lebih mudah larut dalam air jika dibandingkan dengan amylose. Pun begitu, pengecaian (disintegration) molekul-molekul glukosa pada struktur amylose dan amylopectin adalah unik dan berlaku bergantung kepada suhu.
Semakin tinggi suhu, semakan longgar ikatan hidrogen dalam struktur helix molekul amylose dan amylopectin. Ini akan memudahkan molekul-molekul air menyusup masuk membentuk ikatan hidrogen antara rantaian molekul-molekul glukosa tadi. Keadaan ini akan menyebabkan kanji mengembang membentuk gelatin atau dikenali sebagai proses pengelatinan kanji.
Tekstur gelatin yang diperolehi adalah bergantung kepada jumlah kanji jenis amylose dan amylopectin yang wujud dalam formulasi mi. Jika amylose yang akan banyak, tekstur gelatin akan lebih lembut dan legap. Manakala jika amylopectin yang banyak, tekstur mi akan lebih kembang dan likat. Proses pengelatinan ini penting untuk melemahkan ikatan hidrogen antara rantaian molekul glukosa pada kedua struktur kanji. Ini akan memudahkan enzim dalam sistem penghadaman menguraikan kedua kanji ini kepada molekul kecil glukosa agar mudah diserap ke oleh usus kecil ke dalam badan.
Pun begitu, proses pembuatan mi yang mana dimasak dan disejukkan semula juga mempengaruhi struktur molekul amylose dan amylopectin yang mana akan mengalami proses penyusunan semula struktur rantaian helixnya menjadi lebih padat daripada struktur yang asal. Proses ini dikenali dengan retrogradation. Ini akan menukarkan sifat kedua kanji ini kepada kanji degil (resistant starch) yang bermaksud sukar untuk diurai oleh enzim pencernaan.
Maka tugas pencernaan ini akan diambil alih oleh beribu jenis bakteria yang terdapat dalam usus besar kita melalui fermentasi. Semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana. Gas-gas ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut.
Sekiranya gas ini tidak dikeluarkan, ianya akan terus terkumpul/ terperangkap dalam usus yang juga dikenali dengan istilah ‘kembung perut’ atau orang kita bahasakan sebagai ‘angin’. Harus diingat ‘angin’ ini ialah ‘benda asing’ yang berada dalam badan. Maka badan akan seboleh mungkin untuk mengeluarkannya dengan mekanisma yang mampu menggangu keseimbangan proses kimia badan yang lain.
Ketidakseimbangan kimia badan ini akan menyebabkan kita berasa ‘kurang selesa’ atau ‘sakit’ pada bahagian tertentu. Keadaan inilah yang agaknya orang lama istilahkan dengan ‘kembang urat’.
Tujuannya adalah sebagai ‘signal’ untuk kita berbuat sesuatu atau badan akan beradaptasi untuk mengembalikan semula keseimbangan kimia (Self-healing). Bahagian mana yang terkesan dan bagaimana, adalah bergantung kepada tahap kesihatan sedia ada dan mekanisma yang ‘paling’ kurang mudarat kepada system badan.
Untuk mengembalikan keselesaan, ada yang pergi berurut. Ada yang ambil ubat tahan sakit, ada juga yang ambil ubat buang angin. Ada yang baik sendiri hasil daripada pemakanan yang mengandungi pelbagai bahan kimia semulajadi yang membantu menyeimbang punca sakit tadi.
Terdapat juga individu yang TIDAK mengalami masalah ‘angin’ ini disebabkan mereka memiliki kepelbagaian jenis bakteria dalam usus besar yang boleh saling ‘meneutralkan’ gas yang dihasilkan.
Kenapa waktu pantang (lepas bersalin) biasanya menjadi penekanan untuk penjagaan makan dan minum?
Sebenarnya tahap kesihatan wanita lepas bersalin adalah bergantung kepada perubahan kimia dalam badan atau lebih dikenali dengan perubahan physiology bagi mengadaptasi kandungan dan kelahiran baby. Dan hal ini adalah normal.
Sehingga hari ini, tiada siapa yang betul-betul pasti sepenuhnya kenapa sesetengah individu mengalami alahan yang teruk dan sesetengah orang tidak semasa mengandung. Namun, teori yang paling popular dikaitkan ialah dengan tindakbalas badan individu terhadap bahan kimia (hormon) yang dihasilkan semasa mengandung iaitu human chorionic gonadotropin (hCG).
Selepas bersalin juga, bahan-bahan kimia (seperti hormon) dalam badan tidak berada di dalam keseimbangan kerana “proses pemulihan” yang diutamakan, penyesuaian fungsi badan selepas melahirkan (physiological changes after giving birth) atau mungkin juga disebabkan oleh berlakunya tindakbalas disebabkan ketercampuran darah anak ke dalam darah ibu yang tidak sama jenis (maternal-fetal transfusion reaction) semasa proses kelahiran. Dan adaptasi perubahan badan juga bergantung kepada genetik, keaktifan badan dan peningkatan usia.
Disebabkan ini, badan MUNGKIN menjadi lebih sensitif terhadap makanan atau minuman, seterusnya membawa kepada komplikasi lain. Maka, usahlah memperlekehkan jika terdapat individu yang bertegas dengan amalan pantang mereka (baca: TIDAK KERTERLALUAN). Namun, tidak semua orang akan mengalami masalah yang sama kerana sistem badan setiap individu adalah berbeza.
Disamping itu, kesan placebo juga mungkin berlaku kepada mereka yang baru bersalin ini. Kesan placebo ialah keadaan di mana bahan kimia sedia ada otak menjalankan peranan mengikut apa yang kita fikirkan. Contohnya bilamana makanan atau minuman itu telah lama ‘dimomokkan’ boleh menyebabkan ‘angin’ semasa pantang, bilamana kita percaya, maka bahan kimia badan akan bertindak mengikut kepercayaan ini, dan mencetuskan kesan ‘angin’ itu. Orang Putih cakap “you are what you think.” Orang Sabah bilang “dari kau saja tu.” Maka, fikir yang baik-baik saja. Usah menurut tanpa asas.
Saya secara peribadi, pernah berpengalaman dengan ‘angin’ dari kanji ini selepas sebulan bersalin anak ke-2. Setelah meneliti pengambilan makanan dalam tempoh berkenaan, penyebabnya ialah kuetiaw goreng masak sendiri. Pengalaman luar biasa seakan contraction bersalin membuatkan saya memahami ‘angin’ terperangkap dalam usus ini.
Pengalaman adik saya pula yang baru bersalin anak pertama di mana suhu sejuk daripada pendingin hawa menyebabkan dia demam, mengigil dan pengsan. Namun, setelah beberapa hari dia secara perlahan membiasakan diri dengan suhu rendah pendingin hawa, akhirnya badannya boleh beradaptasi. Kami sememangnya tidak mengamalkan cara pantang yang ketat, kami makan semua makanan sihat seperti biasa, namun kami berhati-hati dengan pengambilan makanan kami disebabkan mungkin genetiknya begitu. Kami biasanya cuba sedikit dulu, jika badan boleh terima, kami makan saja. Malahan air berais batu juga kami minum.
Suka diingatkan bahawa mempraktikkan amalan ‘pantang’ kena juga mempunyai ilmu dan pengalaman yang wajar. Janganlah mentidakkan semua jenis makanan kerana badan memerlukan nutrisi yang cukup sepanjang proses pemulihan. Pengambilan air kosong yang cukup juga sangat penting (baca: jangan catu air minuman). Fahami ‘bahasa’ tubuh anda dan teliti dalam pengambilan makanan dan minuman jika anda seorang yang mudah sakit atau mudah terkesan dengan makanan. Usah pukul rata.
NOTA: Mengamalkan ‘pantang’ ini tidak semestinya untuk wanita yang baru lepas bersalin saja. Mana-mana individu (termasuk lelaki juga) yang sakit dan perlu memulihkan badan perlu berpantang. Proses kimia badan kita berubah disebabkan banyak faktor termasuklah usia, sebab itu ada makanan yang kita boleh makan semasa muda namun apabila meningkat usia menjadi sensetif kepada badan. Maka, berpantanglah ikut keperluan ‘semasa’ badan.
Jaslinda ditemui selamat selepas 15 hari hilang di Gunung Batu Putih. Penemuan mangsa membawa kelegaan kepada keluarga dan rakyat Malaysia yang mengikuti operasi pencarian sejak hari pertama.