Pantang Selepas Bersalin: Trend Moden vs Tradisi & Apa Yang Ramai Ibu Tak Sedar

Share

Kebanyakan wanita Melayu masih mengekalkan amalan berpantang selepas bersalin, satu tradisi yang sudah berakar umbi dalam masyarakat kita sejak turun-temurun. Namun dalam dunia moden hari ini, semakin ramai ibu mula memilih cara yang lebih fleksibel malah ada yang tidak mengikuti pantang langsung. Perbincangan tentang pantang selepas bersalin kembali menjadi tumpuan apabila ramai ibu berkongsi pengalaman berbeza di media sosial.

Fenomena ini mula menarik perhatian apabila beberapa wanita tampil berkongsi pengalaman masing-masing di platform Threads. Walaupun kisah mereka kelihatan ‘berjaya’, pakar perubatan tetap menegaskan bahawa pemulihan selepas bersalin bukan diukur pada apa yang kita rasa, tetapi apa yang sedang berlaku di dalam tubuh.

“Saya Czer, Tapi Tak Pantang Macam Orang Melayu” – Ibu Kongsi Pengalaman Berbeza

Seorang wanita berkongsi kisahnya yang tidak berpantang ketat selepas menjalani pembedahan caesarean.

Katanya, ramai ibu Barat cepat sihat walaupun tidak berpantang, dan dia sendiri mencuba pendekatan serupa.

“Masa lepas beranak czer, saya tak ada pantang macam orang Melayu sangat. Mak hanya masak normal, cuma tak pedas. Saya makan lima hingga enam kali sehari, seimbang dan cukup protein. Luka saya sembuh dalam tiga ke lima hari. Lepas tujuh hari, saya dah boleh turun naik tangga dan cuci baju.”

Wanita itu turut berkongsi tip peribadi:

“Makan buah oren, jangan makan ikan haruan.”

Walaupun pengalaman ini kedengaran meyakinkan, penting untuk diingat bahawa setiap tubuh ibu berbeza, dan kadar penyembuhan bergantung kepada banyak faktor.

Perkongsian Ibu Lain: “Saya Minum Coke, Kopi Ais… Tak Ada Masalah Pun”

Di ruangan komen, seorang lagi wanita tampil berkongsi kisah serupa. Selepas dua kali bersalin caesarean, dia mengakui tidak berpantang makanan langsung.

“Saya makan cincau, Coke, kopi ais, semua makanan sedap. Alhamdulillah, sekarang umur 45 dah sertai marathon, daki gunung, diving.”

Baginya, berpantang yang terlalu ketat boleh menjadi tidak sihat.

“Ibu dan anak perlukan nutrien sebenar. Yang penting saiz makanan dan keseimbangan. Ini bukan pasal adat saja, ini tentang logik dan cara jaga badan.”

Ada Ibu Tidak Pantang Makan, Tapi Tetap Pantang Cara Lain

Selain aspek pemakanan, beberapa ibu menekankan bahawa pantang bukan semata-mata tentang makanan.

“Pantang tak semestinya bab makan. Yang penting cukup rehat, tidur, emosi stabil, dan sokongan. Saya hanya faham perkara ini selepas anak ketiga.”

Seorang netizen yang sudah enam kali bersalin pula berkata:

“Saya tak pernah pantang makan. Makan macam biasa, buat kerja rumah macam biasa. Tapi saya tak pernah skip bertungku dan pakai bengkung.”

Ada juga nasihat lembut, tapi penuh makna:

“Betul, makan je sepuasnya. Tapi janganlah terus melantak ayam gepuk pedas. Berpantang tu jaga makan minum, bukan tak makan langsung.”

Gambar Hiasan AI

Pa&Ma Pesan: Cara Pantang Mungkin Berbeza, Tapi Tubuh Ibu Tetap Perlukan Pemulihan

Tak kira ibu memilih pantang tradisi atau pantang moden, satu perkara tak boleh dinafikan: tubuh selepas bersalin berada dalam fasa pemulihan mendalam selama 6 minggu. Rahim mengecut, hormon berubah, otot lantai pelvis lemah, dan luka dalaman terutama bagi ibu czer yang memerlukan masa untuk benar-benar sembuh.

Apa pun pilihan, pastikan tiga perkara asas dijaga:

  • Rehat secukupnya
  • Pemakanan seimbang dan berkhasiat
  • Elak aktiviti berat yang boleh mencederakan tubuh

Pakar juga menegaskan bahawa pantang selepas bersalin bukan sekadar adat, tetapi satu bentuk penjagaan diri yang memberi kesan kepada jangka masa panjang. Pemulihan dalaman yang tidak dijaga boleh menyebabkan masalah berlarutan seperti sakit pinggang, luka dalaman tidak sembuh sempurna, atau masalah lantai pelvis.

Akhirnya, pantang bukan untuk menyekat ibu tetapi untuk menjaga tubuh yang telah bekerja keras selama sembilan bulan. Apa jua pendekatan yang dipilih, pastikan ia berasaskan ilmu, kesedaran dan keperluan tubuh sendiri.

BACA LAGI : Gaya ‘Have-Have’ Berpantang Datin Intan Najuwa, Netizen Banding Cara Berpantang Dulu-Dulu

Published by
Nana