Kebanyakan wanita Melayu masih mengekalkan amalan berpantang selepas bersalin, satu tradisi yang sudah berakar umbi dalam masyarakat kita sejak turun-temurun. Namun dalam dunia moden hari ini, semakin ramai ibu mula memilih cara yang lebih fleksibel malah ada yang tidak mengikuti pantang langsung. Perbincangan tentang pantang selepas bersalin kembali menjadi tumpuan apabila ramai ibu berkongsi pengalaman berbeza di media sosial.
Fenomena ini mula menarik perhatian apabila beberapa wanita tampil berkongsi pengalaman masing-masing di platform Threads. Walaupun kisah mereka kelihatan ‘berjaya’, pakar perubatan tetap menegaskan bahawa pemulihan selepas bersalin bukan diukur pada apa yang kita rasa, tetapi apa yang sedang berlaku di dalam tubuh.
“Saya Czer, Tapi Tak Pantang Macam Orang Melayu” – Ibu Kongsi Pengalaman Berbeza
Seorang wanita berkongsi kisahnya yang tidak berpantang ketat selepas menjalani pembedahan caesarean.
Katanya, ramai ibu Barat cepat sihat walaupun tidak berpantang, dan dia sendiri mencuba pendekatan serupa.
“Masa lepas beranak czer, saya tak ada pantang macam orang Melayu sangat. Mak hanya masak normal, cuma tak pedas. Saya makan lima hingga enam kali sehari, seimbang dan cukup protein. Luka saya sembuh dalam tiga ke lima hari. Lepas tujuh hari, saya dah boleh turun naik tangga dan cuci baju.”
Wanita itu turut berkongsi tip peribadi:
“Makan buah oren, jangan makan ikan haruan.”
Walaupun pengalaman ini kedengaran meyakinkan, penting untuk diingat bahawa setiap tubuh ibu berbeza, dan kadar penyembuhan bergantung kepada banyak faktor.
Ads
Perkongsian Ibu Lain: “Saya Minum Coke, Kopi Ais… Tak Ada Masalah Pun”
Di ruangan komen, seorang lagi wanita tampil berkongsi kisah serupa. Selepas dua kali bersalin caesarean, dia mengakui tidak berpantang makanan langsung.
“Saya makan cincau, Coke, kopi ais, semua makanan sedap. Alhamdulillah, sekarang umur 45 dah sertai marathon, daki gunung, diving.”
Baginya, berpantang yang terlalu ketat boleh menjadi tidak sihat.
“Ibu dan anak perlukan nutrien sebenar. Yang penting saiz makanan dan keseimbangan. Ini bukan pasal adat saja, ini tentang logik dan cara jaga badan.”
Ads
Ada Ibu Tidak Pantang Makan, Tapi Tetap Pantang Cara Lain
Selain aspek pemakanan, beberapa ibu menekankan bahawa pantang bukan semata-mata tentang makanan.
“Pantang tak semestinya bab makan. Yang penting cukup rehat, tidur, emosi stabil, dan sokongan. Saya hanya faham perkara ini selepas anak ketiga.”
Seorang netizen yang sudah enam kali bersalin pula berkata:
“Saya tak pernah pantang makan. Makan macam biasa, buat kerja rumah macam biasa. Tapi saya tak pernah skip bertungku dan pakai bengkung.”
“Betul, makan je sepuasnya. Tapi janganlah terus melantak ayam gepuk pedas. Berpantang tu jaga makan minum, bukan tak makan langsung.”
Gambar Hiasan AI
Pa&Ma Pesan: Cara Pantang Mungkin Berbeza, Tapi Tubuh Ibu Tetap Perlukan Pemulihan
Tak kira ibu memilih pantang tradisi atau pantang moden, satu perkara tak boleh dinafikan: tubuh selepas bersalin berada dalam fasa pemulihan mendalam selama 6 minggu. Rahim mengecut, hormon berubah, otot lantai pelvis lemah, dan luka dalaman terutama bagi ibu czer yang memerlukan masa untuk benar-benar sembuh.
Apa pun pilihan, pastikan tiga perkara asas dijaga:
Rehat secukupnya
Pemakanan seimbang dan berkhasiat
Elak aktiviti berat yang boleh mencederakan tubuh
Pakar juga menegaskan bahawa pantang selepas bersalin bukan sekadar adat, tetapi satu bentuk penjagaan diri yang memberi kesan kepada jangka masa panjang. Pemulihan dalaman yang tidak dijaga boleh menyebabkan masalah berlarutan seperti sakit pinggang, luka dalaman tidak sembuh sempurna, atau masalah lantai pelvis.
Akhirnya, pantang bukan untuk menyekat ibu tetapi untuk menjaga tubuh yang telah bekerja keras selama sembilan bulan. Apa jua pendekatan yang dipilih, pastikan ia berasaskan ilmu, kesedaran dan keperluan tubuh sendiri.
Seperti kita ketahui yang susu ibu adalah makanan terbaik untuk anak kecil, namun tidak semua ibu mampu atau berpeluang untuk menyusukan anak atas sebab-sebab tersendiri.
Oleh itu ada yang menggantikan dengan susu formula untuk memastikan si manja dapat khasiat secukupnya untuk membesar.
Tetapi dalam membancuh susu formula si bayi, ramai ibu bapa melakukan perkara salah sehingga menyebabkan zat dan nutrisinya susu berkenaan hilang di mana mereka akan mula membancuh susu dengan air panas dahulu.
Bagaimana anda membacuh susu formula❓❓
Selalunya cara di bawah ini bukan❓❓
1) Masukkan susu formula yang disukat dalam botol.
2) Tuang air panas.
3) Selebihnya tuang air masak yang sejuk.
4) Goncang sehingga sebati
5) Rasa suhu sebelum diberi minum.
Sebenarnya langkah-langkah di atas adalah salah!
Kenapa❓❓
✔️✔️ Ini kerana air panas dengan suhu lebih 70 darjah Celsius jika dicampur dengan susu formula akan mematikan nutrisi-nutrisi yang ada dalam susu tersebut.
✔️✔️ Malah air yang terlampau panas juga akan bertindak balas dengan botol susu jika botol bukan bebas BPA yang mana pengewapan yang berlaku mungkin akan membebaskan bahan kimia (material botol susu) itu.
✔️✔️ Adalah sangat merugikan jika anak yang diberi minum susu formula apatah lagi yang mahal tapi tidak mendapat apa-apa khasiat. Oleh itu ada baiknya kita membaca dahulu langkah-langkah penyediaan susu formula seperti yang terdapat pada label kemasan agar nutrisi-nutrisi dapat diserap dengan elok.
Oleh itu disini kami titipkan langkah-langkah yang betul untuk penyediaan susu si manja iaitu:-
1) Tuangkan dahulu air masak yang telah disejukkan ke dalam botol susu anak.
2) Kemudian tuangkan sedikit demi sedikit air panas sehingga air dalam keadaan suhu suam. Contoh sukatan: 4oz air masak, 1oz air panas untuk susu 5oz.
3)Tambah susu formula mengikut sukatan yang telah diberikan pada tin dengan menggunakan sudu yang dibekalkan.
4) Tutup botol dan goncangkan sehingga larut dan sebati.
5) Uji suhu dengan menuang botol dan biarkan sedikit susu jatuh ke atas pergelangan tangan anda di sebelah dalam. Ia seharusnya terasa suam, bukan panas.
Betullah orang kata, pengalaman bersalin setiap anak lain-lain. Hanya yang melalui saja akan faham betapa hebatnya untuk melalui saat ini. Disebalik kelemahan seorang wanita, bila tiba saat ini, automatik boleh jadi kuat biarpun berjam-jam atau berhari-hari menunggu kelahiran bayi.
Begitu juga yang dilalui oleh Sari Yanti, 36. Walaupun dah ada pengalaman melahirkan tiga orang anak sebelum ini tetapi kelahiran keempat ini dianggap pengalaman bersejarah juga baginya pada 6 Jun lalu.
Sari Yanti yang selamat melahirkan bayi lelaki bersama pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu berkata, dia menahan sakit agak lama juga sebelum selamat bersalin.
Bersalin secara normal, bayi lelaki seberat 3.34 kg adalah yang ditunggu-tunggu Jep selepas mendapat seorang anak perempuan, Dariya Inara dua tahun lalu.
Assalammualaikum.. hari ni kakak ada masa terluang sikit nak share pasal kelahiran baby baru kakak – dah hari ke 10 hari ni., tadi pun dah pegi first hospital visit dengan Baby.
6 june 2020 hari bersejarah lagi sekali dalam hidup kakak.. Hari deliver baby yang ke 4 dari kandungan yang ke 6. Huhu.. boleh faham tak?
Sebelum ini Sari Yanti pernah alami keguguran sebanyak dua kali.
Menangis tahan sakit
Selepas sepuluh hari melahirkan, Sari Yanti telah berkongsi momen semasa hari dia ingin bersalin yang dianggap bersejarah baginya. Mana tidaknya, dia telah melahirkan ketika negara masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB).
Susulan daripada itu, dia hanya ditemani suami, iaitu Jep Sepahtu dan tidak seperti kelahiran sebelumnya apabila ibu dan bapanya turut setia berada di depan wad bersalin di hospital.
Ceritanya kakak masuk labour room lepas subuh. Tapi sang putera decided nak keluar lambat sikit.. bertarunglah kakak nak keluarkan dia. Menangis tahan sakit. Dalam sakit sakit tu bersyukur sangat dengan nurses yang bantu kakak… terima kasih kakak ucapkan untuk kak Has.,Kak Riza, kak Bedah dan team. – (ada nama yang tak ingat sebab tengah tahan sakit kan maafkan saya) .
Suami kakak. Punyalah gusar suami tunggu. Sebab kakak memula confident jugak mungkin boleh bersalin tengahari.. ternyata walau dah banyak kali deliver baby pun belum tentu senang. Lama jugak kali ni kena bertarung nyawa. Syukur semuanya dah selamat. Ingat balik wajah suami tunggu tu priceless. Risau campur sedih , macam dia nak ikut nangis sekali.., agaknya apatah yang dia rasa. – terima kasih sayang. Sebab sentiasa ada n bagi semangat untuk I.
Mak ayah keluarga, Biasanya bila keluar je dari labour room ramai dah tunggu kat luar… mak ayah , aunties, cousins, kawan kawan rapat semua ada belaka.. kali ni lain . Suami sorang je yang boleh ada.
Dalam suasana pandemic ni Mama kakak kena tunggu kat rumah je. Kali ni kiriman doa je ikut sama. Doa mama doa baba.. doa mak abah, seluruh keluarga dan sahabat handai. . Pukul 11.44pm Baby pun selamat dilahirkan. – Subhanallah walhamdulillah walaillahaillallah Allahuakbar.
Syukur semua selamat
Walau bagaimanapun, Sari Yanti tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur atas segala kelancaran ketika bersalin dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dia dipermudahkan urusan tempoh hari.
Alhamdulillah untuk semuanya Ya Allah Ya Rabb.
Untuk kesakitan, Untuk pengalaman, Untuk setiap titik keringat dan air mata, Untuk satu lagi anugerah, Untuk cinta dan sayang suami, Untuk doa dan kasih ibu bapa, Untuk sokongan keluarga dan sahabat .. Untuk keselamatan dan kesihatan . Untuk berjuta nikmat mu Ya Rahman Ya Rahim .
Alhamdulillah. .
Delivery type : normal
Birth Weight : 3.34kg
Time : 23.44pm
Sumber : Sari Yanti
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak turun temurun lagi orang dulu-dulu sangat menitikberatkan amalan berpantang termasuklah makanan ketika berpantang. Sehingga kini amalan ini masih diteruskan, namun ada sesetengah individu merasakan tiada masalah untuk tidak berpantang dalam pemakanan.
Sejauh manakah berpantang makanan perlu untuk anda? Ikuti perkongsian daripada Dr Fatimah Salim, Makmal Makanan (MaMa).
LAKSA & KUETIAW PANTANG?
Merujuk kepada ss pertanyaan ahli MaMa mengenai memakan laksa yang digantikan dengan mee kue tiaw oleh ibu dalam pantang lepas bersalin.
Isu makanan untuk orang ‘pantang selepas bersalin’ ini sebenarnya sangat sensetif. Boleh buat gaduh kalau masing-masing menegakkan pandangan. Dalam masyarat Melayu, ada dua jenis komen yang biasa kita jumpa iaitu
“ko makanlah, nanti esok-esok ko dah tua baru menyesal”.
atau
“ikut badan masing-masing. Saya makan setakat ni okay je walaupun baru dua hari lepas pantang.”
Umumnya untuk individu yang berubah proses kimia badannya seperti ibu yang baru lepas bersalin, kesesuain apa juga jenis makanan adalah bergantung kepada tahap penerimaan badan individu. TIADA makanan yang patut dielakkan. Selagi tidak membawa mudarat, boleh dimakan dan ini termasuklah kuah laksa tidak kira mi-nya adalah laksa, kuetiaw, mihun atau nasi. Ini kerana bahan asas kepada kesemua mi ini adalah kanji yang berasal daripada tepung beras, tepung gandum dan tepung ubi.
Mari teruskan baca rungkaian saya mengenai kaitan makanan dengan ‘angin’ dalam pantang yang sering diutarakan.
Baiklah.
Kanji terdiri daripada rantaian polimer karbohidrat kompleks iaitu amylose dan amylopectin. Struktur molekul amylose agak PADAT kerana ianya terbentuk daripada rantaian mendatar molekul-molekul kecil glukosa (aka gula) dan setiap rantaian ini terikat antara satu sama lain secara helix melalui ikatan hydrogen (bayangkan tali yang dipintal).
Manakala struktur molekul amylopectin pula agak LONGGAR kerana rantaian molekul-molekul glukosanya ada yang bercabang. Maka, struktur helix yang terbentuk antara rantaiannya akan lebih longgar daripada amylose. Perbezaan pada struktur kedua molekul kanji ini menyebabkan amylopectin lebih mudah larut dalam air jika dibandingkan dengan amylose. Pun begitu, pengecaian (disintegration) molekul-molekul glukosa pada struktur amylose dan amylopectin adalah unik dan berlaku bergantung kepada suhu.
Semakin tinggi suhu, semakan longgar ikatan hidrogen dalam struktur helix molekul amylose dan amylopectin. Ini akan memudahkan molekul-molekul air menyusup masuk membentuk ikatan hidrogen antara rantaian molekul-molekul glukosa tadi. Keadaan ini akan menyebabkan kanji mengembang membentuk gelatin atau dikenali sebagai proses pengelatinan kanji.
Tekstur gelatin yang diperolehi adalah bergantung kepada jumlah kanji jenis amylose dan amylopectin yang wujud dalam formulasi mi. Jika amylose yang akan banyak, tekstur gelatin akan lebih lembut dan legap. Manakala jika amylopectin yang banyak, tekstur mi akan lebih kembang dan likat. Proses pengelatinan ini penting untuk melemahkan ikatan hidrogen antara rantaian molekul glukosa pada kedua struktur kanji. Ini akan memudahkan enzim dalam sistem penghadaman menguraikan kedua kanji ini kepada molekul kecil glukosa agar mudah diserap ke oleh usus kecil ke dalam badan.
Pun begitu, proses pembuatan mi yang mana dimasak dan disejukkan semula juga mempengaruhi struktur molekul amylose dan amylopectin yang mana akan mengalami proses penyusunan semula struktur rantaian helixnya menjadi lebih padat daripada struktur yang asal. Proses ini dikenali dengan retrogradation. Ini akan menukarkan sifat kedua kanji ini kepada kanji degil (resistant starch) yang bermaksud sukar untuk diurai oleh enzim pencernaan.
Maka tugas pencernaan ini akan diambil alih oleh beribu jenis bakteria yang terdapat dalam usus besar kita melalui fermentasi. Semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana. Gas-gas ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut.
Sekiranya gas ini tidak dikeluarkan, ianya akan terus terkumpul/ terperangkap dalam usus yang juga dikenali dengan istilah ‘kembung perut’ atau orang kita bahasakan sebagai ‘angin’. Harus diingat ‘angin’ ini ialah ‘benda asing’ yang berada dalam badan. Maka badan akan seboleh mungkin untuk mengeluarkannya dengan mekanisma yang mampu menggangu keseimbangan proses kimia badan yang lain.
Ketidakseimbangan kimia badan ini akan menyebabkan kita berasa ‘kurang selesa’ atau ‘sakit’ pada bahagian tertentu. Keadaan inilah yang agaknya orang lama istilahkan dengan ‘kembang urat’.
Tujuannya adalah sebagai ‘signal’ untuk kita berbuat sesuatu atau badan akan beradaptasi untuk mengembalikan semula keseimbangan kimia (Self-healing). Bahagian mana yang terkesan dan bagaimana, adalah bergantung kepada tahap kesihatan sedia ada dan mekanisma yang ‘paling’ kurang mudarat kepada system badan.
Untuk mengembalikan keselesaan, ada yang pergi berurut. Ada yang ambil ubat tahan sakit, ada juga yang ambil ubat buang angin. Ada yang baik sendiri hasil daripada pemakanan yang mengandungi pelbagai bahan kimia semulajadi yang membantu menyeimbang punca sakit tadi.
Terdapat juga individu yang TIDAK mengalami masalah ‘angin’ ini disebabkan mereka memiliki kepelbagaian jenis bakteria dalam usus besar yang boleh saling ‘meneutralkan’ gas yang dihasilkan.
Kenapa waktu pantang (lepas bersalin) biasanya menjadi penekanan untuk penjagaan makan dan minum?
Sebenarnya tahap kesihatan wanita lepas bersalin adalah bergantung kepada perubahan kimia dalam badan atau lebih dikenali dengan perubahan physiology bagi mengadaptasi kandungan dan kelahiran baby. Dan hal ini adalah normal.
Sehingga hari ini, tiada siapa yang betul-betul pasti sepenuhnya kenapa sesetengah individu mengalami alahan yang teruk dan sesetengah orang tidak semasa mengandung. Namun, teori yang paling popular dikaitkan ialah dengan tindakbalas badan individu terhadap bahan kimia (hormon) yang dihasilkan semasa mengandung iaitu human chorionic gonadotropin (hCG).
Selepas bersalin juga, bahan-bahan kimia (seperti hormon) dalam badan tidak berada di dalam keseimbangan kerana “proses pemulihan” yang diutamakan, penyesuaian fungsi badan selepas melahirkan (physiological changes after giving birth) atau mungkin juga disebabkan oleh berlakunya tindakbalas disebabkan ketercampuran darah anak ke dalam darah ibu yang tidak sama jenis (maternal-fetal transfusion reaction) semasa proses kelahiran. Dan adaptasi perubahan badan juga bergantung kepada genetik, keaktifan badan dan peningkatan usia.
Disebabkan ini, badan MUNGKIN menjadi lebih sensitif terhadap makanan atau minuman, seterusnya membawa kepada komplikasi lain. Maka, usahlah memperlekehkan jika terdapat individu yang bertegas dengan amalan pantang mereka (baca: TIDAK KERTERLALUAN). Namun, tidak semua orang akan mengalami masalah yang sama kerana sistem badan setiap individu adalah berbeza.
Disamping itu, kesan placebo juga mungkin berlaku kepada mereka yang baru bersalin ini. Kesan placebo ialah keadaan di mana bahan kimia sedia ada otak menjalankan peranan mengikut apa yang kita fikirkan. Contohnya bilamana makanan atau minuman itu telah lama ‘dimomokkan’ boleh menyebabkan ‘angin’ semasa pantang, bilamana kita percaya, maka bahan kimia badan akan bertindak mengikut kepercayaan ini, dan mencetuskan kesan ‘angin’ itu. Orang Putih cakap “you are what you think.” Orang Sabah bilang “dari kau saja tu.” Maka, fikir yang baik-baik saja. Usah menurut tanpa asas.
Saya secara peribadi, pernah berpengalaman dengan ‘angin’ dari kanji ini selepas sebulan bersalin anak ke-2. Setelah meneliti pengambilan makanan dalam tempoh berkenaan, penyebabnya ialah kuetiaw goreng masak sendiri. Pengalaman luar biasa seakan contraction bersalin membuatkan saya memahami ‘angin’ terperangkap dalam usus ini.
Pengalaman adik saya pula yang baru bersalin anak pertama di mana suhu sejuk daripada pendingin hawa menyebabkan dia demam, mengigil dan pengsan. Namun, setelah beberapa hari dia secara perlahan membiasakan diri dengan suhu rendah pendingin hawa, akhirnya badannya boleh beradaptasi. Kami sememangnya tidak mengamalkan cara pantang yang ketat, kami makan semua makanan sihat seperti biasa, namun kami berhati-hati dengan pengambilan makanan kami disebabkan mungkin genetiknya begitu. Kami biasanya cuba sedikit dulu, jika badan boleh terima, kami makan saja. Malahan air berais batu juga kami minum.
Suka diingatkan bahawa mempraktikkan amalan ‘pantang’ kena juga mempunyai ilmu dan pengalaman yang wajar. Janganlah mentidakkan semua jenis makanan kerana badan memerlukan nutrisi yang cukup sepanjang proses pemulihan. Pengambilan air kosong yang cukup juga sangat penting (baca: jangan catu air minuman). Fahami ‘bahasa’ tubuh anda dan teliti dalam pengambilan makanan dan minuman jika anda seorang yang mudah sakit atau mudah terkesan dengan makanan. Usah pukul rata.
NOTA: Mengamalkan ‘pantang’ ini tidak semestinya untuk wanita yang baru lepas bersalin saja. Mana-mana individu (termasuk lelaki juga) yang sakit dan perlu memulihkan badan perlu berpantang. Proses kimia badan kita berubah disebabkan banyak faktor termasuklah usia, sebab itu ada makanan yang kita boleh makan semasa muda namun apabila meningkat usia menjadi sensetif kepada badan. Maka, berpantanglah ikut keperluan ‘semasa’ badan.
Imun ibu hamil mengalami perubahan semula jadi sepanjang kehamilan. Ketahui punca sistem imun menjadi lemah, risiko jangkitan serta cara berkesan untuk menguatkan daya tahan badan ibu dan melindungi kandungan.