
Setiap ibu bapa pasti mahukan perkembangan fizikal anak-anak berkembang dengan baik, sama ada dari segi pergerakan, postur badan ataupun kesihatan. Namun, tanpa disedari, tabiat kecil seperti cara anak duduk ketika bermain boleh memberi kesan besar terhadap tumbesaran mereka.
Salah satu posisi yang sering diamalkan kanak-kanak adalah duduk kaki membentuk huruf W atau lebih dikenali sebagai W-sitting. Walaupun nampak selesa, tabiat ini sebenarnya tidak sihat untuk postur dan pergerakan si kecil dalam jangka masa panjang.
W-sitting ialah posisi di mana kanak-kanak duduk dengan punggung di antara kaki, lutut menghala ke depan manakala kaki terlipat keluar ke sisi. Dari pandangan atas, bentuknya menyerupai huruf W.
Kanak-kanak biasanya suka posisi ini kerana rasa lebih stabil ketika bermain dan tidak perlu banyak menggunakan otot teras. Namun, pakar mengingatkan bahawa jika terlalu kerap diamalkan, ia boleh menjejaskan perkembangan fizikal anak.
Menurut pakar pendidikan awal kanak-kanak, Aishah, W-sitting adalah postur yang salah dan boleh menjejaskan perkembangan si kecil jika tidak dibetulkan segera. Risiko yang mungkin berlaku termasuk:
Lemah otot & keseimbangan – anak kurang menggunakan otot perut dan belakang yang penting untuk kawalan postur.
Gangguan koordinasi – menyukarkan aktiviti seperti menulis, melompat atau berlari kerana otot pinggul tidak dilatih dengan baik.
Tekanan pada sendi – pinggul, lutut dan buku lali menerima beban berlebihan, lebih-lebih lagi pada anak yang ada masalah pinggul.
Kekejangan otot – boleh menyebabkan otot hamstring dan pinggul menjadi pendek, menjejaskan fleksibiliti anak.
Pakar obstetrik dan ginekologi, Dr. Vaishalee Patil, turut menegaskan bahawa W-sitting tidak wajar dibiarkan berlarutan kerana ia boleh mengundang risiko jangka panjang pada tumbesaran kanak-kanak.
Segera betulkan posisi anak – ajar anak duduk bersila, melunjurkan kaki ke depan atau duduk di atas kerusi kecil.
Pantau ketika bermain – jika nampak anak mula duduk dalam posisi W, tegur dengan lembut dan tunjuk cara lain.
Galakkan aktiviti fizikal – biarkan anak banyak merangkak, melompat atau bermain permainan yang melatih otot pinggul dan kaki.
Rujuk pakar fisioterapi pediatrik – jika tabiat ini berterusan, dapatkan pemeriksaan awal untuk memastikan tiada masalah perkembangan.
Kesimpulannya, W-sitting nampak remeh tetapi boleh menjejaskan postur dan keseimbangan anak jika dibiarkan. Ibu ayah boleh bantu si kecil dengan membetulkan posisi duduk sejak awal supaya perkembangan fizikal mereka lebih sihat dan seimbang.