
Isu keibubapaan di media sosial sering menjadi ruang perkongsian ilmu, sokongan emosi dan pengalaman sebenar ibu bapa. Namun, tidak semua perkara yang dikongsi mampu diterima semua pihak. Terbaharu, satu perbincangan hangat tercetus di laman Threads apabila seorang jururawat meminta para ibu tidak menormalisasikan perbuatan mempamerkan hasil perahan susu badan di media sosial.

Topik berkaitan papar susu badan di media sosial ini mencetuskan perdebatan panjang yang melibatkan soal sokongan sesama ibu, sensitiviti sosial serta kefahaman agama.
Media Sosial Sebagai Ruang Sokongan Ibu
Sebagai ibu, sudah tentu ramai yang terbuka untuk belajar perkara baharu demi memastikan yang terbaik buat anak-anak. Media sosial, khususnya Threads, kini menjadi platform popular untuk ibu berkongsi pengalaman menyusukan anak, masalah susu badan kurang, teknik mengepam dan juga menyimpan stok susu.
Namun, dalam keterbukaan berkongsi itu, timbul persoalan tentang batas dan sensitiviti apabila kandungan berkaitan papar susu badan di media sosial menjadi semakin biasa.

Jururawat Tegur: “Boleh Tak Pam Diam-Diam Di Rumah?”
Menerusi satu hantaran, jururawat berkenaan menyuarakan rasa kurang selesa terhadap trend memuat naik gambar stok susu badan yang dipam.
“Pam susu dan tunjuk, ‘Oh rezeki anak hari ni banyak ni’. Weh aku tak boleh la. Panggil la aku old school. Tapi boleh tak pam diam-diam dekat rumah? Susu tu cecair yang keluar dari badan,” tulisnya.
Pandangan tersebut nyata mencetuskan reaksi bercampur-baur dalam kalangan warga maya, khususnya ibu-ibu yang aktif berkongsi pengalaman penyusuan.
View on Threads
Ada Yang Anggap Sebagai Sumber Semangat Sesama Ibu
Menjengah ke ruangan komen, ramai ibu tampil mempertahankan tindakan berkongsi stok susu badan. Bagi mereka, perkongsian itu bukan bertujuan untuk menunjuk, sebaliknya sebagai suntikan semangat kepada ibu lain yang hampir berputus asa.
Ada juga yang berkongsi bagaimana kandungan berkaitan papar susu badan di media sosial membuka ruang perbincangan, pertanyaan dan perkongsian ilmu penyusuan sehingga membantu ramai ibu berjaya menyusukan anak secara eksklusif.
Namun dalam masa sama, ramai juga mengakui bahawa menyusu badan bukan rezeki semua wanita, dan perkongsian sebegitu boleh memberi kesan emosi kepada sesetengah ibu.

Dakwaan Susu Badan Adalah Aurat Undang Kekeliruan
Dalam perdebatan tersebut, segelintir individu mendakwa bahawa memaparkan susu badan, walaupun dalam botol, adalah memalukan dan dikaitkan dengan aurat wanita.
Malah, ada yang menyuarakan kebimbangan tentang imaginasi dan fetisy sesetengah lelaki terhadap kandungan sebegini, sekali gus menjadikan isu papar susu badan di media sosial lebih sensitif.
Penjelasan Mufti WP: Susu Badan Bukan Aurat
Untuk meluruskan salah faham, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini telah menjelaskan bahawa susu badan tidak termasuk dalam kategori aurat.
Aurat merujuk kepada anggota tubuh badan, manakala cecair yang keluar secara tabii seperti susu atau air kencing bukan aurat dari sudut hukum.
Namun begitu, pihak mufti turut menasihatkan agar stok susu disimpan tanpa dipamerkan kepada umum bagi mengelakkan salah faham dan reaksi negatif masyarakat.
Sensitiviti Sosial Perlu Diambil Kira
Beberapa netizen, termasuk wanita sendiri, berkongsi kebimbangan bahawa tayangan susu badan boleh disalah tafsir dan menarik perhatian tidak sepatutnya, memandangkan imaginasi dan nafsu manusia berbeza-beza.
Walaupun niat ibu adalah murni, realiti dunia digital hari ini menuntut lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian berkaitan papar susu badan di media sosial.
Kesimpulannya
Perkongsian pengalaman menyusu badan sememangnya penting untuk sokongan sesama ibu. Namun, dalam era media sosial tanpa sempadan, setiap perkongsian wajar ditimbang dari sudut agama, emosi ibu lain dan sensitiviti masyarakat.
Sokonglah sesama ibu dengan cara yang paling selamat, beradab dan tidak mengundang salah faham. Kerana akhirnya, matlamat utama tetap sama memastikan anak membesar dengan sihat, dan ibu kekal sejahtera dari segi fizikal serta emosi.
BACA LAGI : “Susu Badan Atau Formula Tak Kisah” – Nina Ismail Sabri Minta Ibu Jangan Tertekan
Sumber : Threads Pejabat Mufti WP
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





