
Gambar hiasan AI
Kenyataan kontroversi bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 22 September lalu telah mencetuskan kebimbangan besar di seluruh dunia, khususnya dalam kalangan wanita hamil. Trump mendakwa bahawa penggunaan paracetamol semasa kehamilan boleh meningkatkan risiko anak menghidap autisme. Satu dakwaan yang ternyata tidak disokong bukti saintifik dan segera disangkal oleh pakar perubatan global.
Menurut laporan The Star, Trump dalam ucapannya turut mengatakan bahawa Food and Drug Administration (FDA) akan memberi amaran kepada doktor berhubung perkara itu serta menyarankan wanita hamil untuk “bertahan tanpa ubat”. Namun, dakwaan tersebut dianggap berbahaya kerana boleh menyebabkan ibu hamil mengabaikan rawatan penting yang diperlukan semasa kehamilan.
Pakar perubatan menegaskan bahawa paracetamol masih kekal selamat untuk ibu hamil, jika diambil mengikut dos dan tempoh yang disarankan doktor. Ubat ini digunakan untuk meredakan demam dan kesakitan ringan, dan sudah digunakan selama beberapa dekad tanpa bukti menunjukkan kaitan langsung dengan autisme.
Menurut pakar obstetrik dan ginekologi, demam yang tidak dirawat semasa hamil boleh membawa risiko lebih besar seperti keguguran, kecacatan pada janin atau masalah jantung bayi. Dalam situasi ini, menahan diri daripada mengambil ubat boleh memudaratkan ibu dan bayi.
Ubat alternatif seperti kumpulan NSAIDs (contohnya ibuprofen, diclofenac dan naproxen) tidak digalakkan untuk ibu hamil, terutama selepas minggu ke-20 kehamilan kerana boleh menyebabkan masalah buah pinggang pada janin serta menjejaskan salur darah penting dalam rahim.
Hasil kajian besar dari Sweden yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association (JAMA) pada April 2024, melibatkan 2.48 juta kanak-kanak, membuktikan bahawa tiada kaitan antara pengambilan paracetamol semasa kehamilan dengan autisme, ADHD atau kecacatan intelektual.
Kajian itu juga menggunakan kaedah perbandingan antara adik-beradik, satu pendekatan saintifik terbaik untuk mengawal faktor genetik dan persekitaran keluarga. Penulis kajian menyimpulkan bahawa penggunaan paracetamol semasa kehamilan tidak menambah risiko autisme apabila faktor keluarga diambil kira.
Sebaliknya, kajian yang dijadikan sandaran oleh Trump dikritik hebat oleh komuniti saintifik kerana bergantung pada laporan kendiri, tidak menyatakan dos dengan tepat dan gagal mengawal pemboleh ubah penting yang boleh mengelirukan hasil kajian.
Antara organisasi perubatan yang tampil menolak kenyataan Trump termasuk:
Di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan turut mengesahkan bahawa paracetamol masih dianggap ubat paling selamat untuk ibu hamil jika digunakan dengan betul.
Pakar menjelaskan bahawa punca sebenar autisme sangat kompleks dan melibatkan faktor genetik, biologi serta persekitaran dan bukan semata-mata disebabkan ubat-ubatan.
Ramai pakar turut menegaskan bahawa Trump telah mengelirukan orang ramai dengan gagal membezakan antara association (hubungan) dan causation
(punca sebenar). Dua perkara boleh berlaku serentak, tetapi tidak semestinya satu menjadi punca kepada yang lain.Ibu hamil tidak perlu panik dengan kenyataan sensasi yang tular di media sosial. Paracetamol masih selamat digunakan jika diambil dengan betul dan atas nasihat doktor. Yang penting, kekal tenang, jaga kesihatan dan rujuklah sumber perubatan yang sahih bukan kata orang, tapi kata pakar.
BACA LAGI : Terapi Bedung: Pakar Dedah Bahaya Rawatan Palsu Untuk Autisme dan ADHD