
Pelakon jelita, Fasha Sandha menjadi inspirasi buat ibu-ibu di luar sana apabila kekal langsing biarpun sudah bergelar ibu kepada tiga cahaya mata.
Fasha atau nama lengkapnya Nur Fasha Sandha Hassan berkata selepas menimang cahaya mata berat badannya bertambah dan dinasihatkan oleh doktor untuk mengubah cara pemakanan yang betul.
Katanya lagi, dia memilih untuk mengamalkan gaya pemakanan sihat dan seimbang demi menjaga kesihatan secara menyeluruh.
“Saya kurangkan pengambilan gula, jaga makan dan kurangkan pengambilan nasi.
“Dalam sehari, saya hanya makan dua sudu nasi sahaja bukan dua senduk iaitu pada waktu pagi. Kalau saya makan lebih daripada itu, saya akan rasa menyesal.
“Selepas melahirkan anak, saya mudah naik badan tapi tipulah jika saya tak ambil sumplemen macam detox keluaran saya dan jaga makan buatkan saya lebih ringan dan yakin,” kata Fasha.
Gemar tampil sederhana
Walaupun bergelar selebriti popular, Fasha lebih selesa memilih gaya hidup yang sederhana dan tidak berlebih-lebihan.
“Saya merupakan orang yang sederhana, tidak meletakkan diri saya sebagai selebriti. Gelaran itu saya hanya guna bila bekerja sahaja.
“Jika tidak bekerja, hidup saya umpama orang biasa sahaja. Saya mengemas, bawa kereta, pergi pasar jadi mungkin perkara itu yang membuatkan saya lebih dekat dengan orang sekeliling.
“Saya hanya mengekalkan apa yang ada terus jadi diri sendiri terus merendah diri supaya orang dekat dengan kita tapi tidaklah terlalu sempurna, ada juga kekurangan,” jelasnya.