Memeluk anak adalah salah satu cara ibu bapa menunjukkan kasih sayang pada anak. Tapi berapa kerapkah anda memeluk anak atau hanya waktu tertentu sahaja anda berbuat demikian. Jika anda tahu kelebihannya pasti anda akan menjadikannya sebagai rutin.
Memeluk anak merupakan salah satu ekspresi rasa sayang yang sangat perlu ditunjukkan oleh ibu bapa kepada anak. Galakan, pujian dan penghargaan yang diterima seiring dengan pelukan akan meningkatkan rasa kasih sayang dan keyakinan diri si anak dalam persekitaran yang meyakinkan.
Jika anda tahu kesan daripada kuasa pelukan terhadap si manja pasti anda tak akan melepaskan saat ini.
1.Mengawal emosi anak meragam
Pelukan penting untuk membina kapasiti otak dan memberi ketenangan kepada si manja. Apabila si manja sedang sedih atau mengamuk, peluklah dengan penuh kasih sayang untuk meredakan kesedihan atau kemarahannya.
Ucapan yang dilafazkan juga perlulah seiring dengan gaya bahasa sambil menenangkannya dengan pelukan. Contohnya ungkapan “Kenapa sayang mama ni menangis? Anak mama kan kuat macam mama”. Ini dapat meningkatkan keseimbangan dan kepercayaan anak terhadap ibu selain memberi ketenangan kepada si manja.
Ads
2.Meningkatkan kecerdasan anak
Pelukan dapat merangsang perkembangan sel otak anak. Otak kanak-kanak membesar melalui tindak balas yang diterima dari persekitaran. Ia menghubungkan sendi wayarnya dengan organ pemikiran dan emosi berdasarkan pengalamannya.
Kajian menunjukkan bahawa anak yang sering dipeluk akan menjadikannya lebih kreatif dan cerdas mindanya. Ucapan positif dan diiringi dengan pelukan dapat merangsang si anak untuk lebih berimaginasi dalam sokongan persekitaran yang selamat dan meyakinkan.
3.Meningkatkan harga diri anak
Ads
Sentuhan dan pelukan merupakan ekspresi rasa sayang yang sangat perlu ditunjukkan agar anak rasa kehadirannya dihargai. Ini akan memberi kesan positif kepada kestabilan emosi, pembentukan peribadi yang baik serta meningkatkan kepercayaan diri. Jalinan emosi yang positif ini secara tidak langsung mendidik anak-anak untuk menyayangi, menghargai dan sentiasa berbuat baik dengan orang sekeliling seperti guru, rakan sebaya dan jiran tetangga.
4.Membentuk ikatan emosi yang positif
Pelukan daripada ibu bapa mampu mengurangkan tekanan kepada si anak. Kanak-kanak dan ibu bapanya secara biologi terikat untuk membentuk satu ikatan emosi. Contohnya, bayi yang diletakkan pada dada ibunya dapat merasakan degupan jantung si ibu dan merasakan belaian hangat kasih ibunya hingga wujud jalinan ikatan emosional serta kelekatan yang kuat di antara keduanya. Ini penting bagi merangsang perkembangan emosi positif anak.
Dalam keadaan berbahaya, pelukan sangat diperlukan oleh seorang anak supaya anak tersebut merasakan ketenangan dan menghilangkan ketakutan. Anak yang sedang membesar juga perlu diberi petunjuk mengenai tingkah laku yang selamat untuk ditiru dan tempat yang selamat untuk dituju. Perbuatan yang “tidak dibenarkan” perlulah seiring dengan kuasa pelukan ibu bapa yang dapat meningkatkan keyakinan si anak terhadap ibu bapanya.
Contohnya seperti ungkapan “Sayang… tempat itu berbahaya… kamu tidak boleh pergi ke sana” dengan ton suara si ibu yang lemah lembut tetapi tegas sambil mengusap belakang anak pada masa yang sama. Penggunaan bahasa yang lemah lembut seiring dengan pelukan mesra kepada anak akan membuatkan si anak memahami penerangan dan tujuan kita yang sangat mengambil berat serta mahu melindunginya.
Kesimpulannya, ibu bapa perlulah merasakan kesungguhan di sebalik kuasa pelukan terhadap anak. Ini memberi ketenangan jiwa kepada anak dalam aktiviti seharian yang dilaluinya. Hikmah sentuhan dan pelukan itu sendiri boleh meningkatkan rasa kepercayaan dan keseimbangan anak terhadap ibu bapa dan seterusnya merangsang perkembangan menyeluruh si anak.
Lama tak dengar berita mengenai buah hati rakyat Malaysia, adik Ainul Mardhiah. Selepas mengalami saat kritikal sehingga walid dan mamanya memohon doa orang ramai Ogos lalu, kini dengan izinNya Ainul kembali sihat dan ceria seperti sediakala.
Walaupun diuji sakit sejak dari awal lahir, ternyata semangat Ainul cukup kuat. Malah walid dan mamanya juga mengakui semangat dalam diri Ainul itu buatkan diri mereka juga tak putus asa untuk terus beri rawatan terbaik untuk anak sulung mereka.
Berikut antara perkongsian walid Ainul, Ahmad Safiuddin di Facebooknya.
Assalamualaikum, maaf lama dah saya tak update.
Ainul dah sihat semula. Sihat macam selalu. Hampir sebulan dia di ICU haritu, dalam tempoh tu, 2 kali dia lalui fasa kritikal.
Ainul ni memang Allah SWT jadikan dia anak yang kuat semangat. Banyak perkara besar yang dia dah lalui sepanjang usianya 4 tahun ini. Semua ini atas izin dan kehendakNya.
Saya sentiasa doa Ainul kekal sihat dan boleh menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa. Dan saya turut doakan untuk anak anak lain yang sama keadaannya seperti Ainul ini diberikan kesihatan, kebaikan, dan urusan ibu bapa mereka dipermudahkan dan dicukupkan segala rezeki.
Beruntung kita ada anak begini. Mana tahu, di padang mahsyar nanti anak ini lah yang akan jadi saksi depan Allah SWT yang kita pernah menjaga kebajikan dan bertanggungjawab terhadap mereka dengan ikhas dan penuh kasih sayang.
Mereka ini lah yang akan tarik tangan kita nanti. InshaAllah.
P/s : gambar ni diambil selepas seminggu Ainul discharge. Bawak Ainul berjumpa Tuan Guru Ustaz Zulkifli di madrasahnya dan minta beliau doakan Ainul.
Si manja suka bergambar? Jom, mama papa kongsikan foto aksi bayi anda bertemakan Jungle Cuties untuk peraduan Pencarian Bayi Pa&Ma! Mana tahu ada rezeki boleh menang banyak hadiah menarik. Nak hantar gambar anak klik saja link ini: https://www.majalahpama.my/pencarian-bayi-pilihan-pama/
Anak-anak dilahirkan dengan sifat semulajadi yang membezakan setiap seorang daripada mereka. Kadang-kadang apabila kita membanding-bandingkan mereka, secara tidak sengaja kita menggunakan label yang ‘negatif’ sebagai diskripsi diri mereka contohnya malas, kedekut, lembap, lembik, serabut, cemerkap, degil, buas dan bermacam-macam lagi kosa kata negatif yang sudah sebati dalam masyarakat.
Adakalanya kita menggunakan label negatif ini dengan tujuan untuk memotivasikan anak supaya anak berubah. Ini adalah kaedah yang salah.
Berikut perkongsian dari Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK), Puan Noor Afidah Abu Bakar
“A child will behave better when the child feels better”.
Seorang anak akan berkelakuan baik jika dia merasa senang dengan dirinya dan bukannya dengan merasakan dirinya tidak berguna.
Kepercayaan dan konsep diri seorang anak terbentuk sejak anak berusia lingkungan 5 tahun lagi. Jika label negatif ini diberikan oleh individu yang terdekat dan dipercayai oleh anak, anak akan percaya dengan label tersebut dan akan merasakan diri tidak mempunyai harapan untuk berubah. Berpandukan label-label ini, anak akan percaya apa yang diperkatakan tentang dirinya.
“Itulah saya!”
Lihatlah pembawaan anak dari kaca mata yang positif. Gunakanlah label yang positif untuk menerangkan tentang anak tersebut apabila berada di hadapan anak dan apabila menceritakan perihal anak kepada orang lain di hadapan anak. Ini bukanlah bermakna anda perlu bercerita berlebih-lebihan tentang anak sehingga membosankan orang lain.
‘Be realistic’.
TUKARKAN LABEL:
1) BUAS KEPADA BERTENAGA
Semua kanak-kanak mempunyai banyak tenaga. Malah kita perlu memupuk keupayaan fizikal anak sehingga boleh mencapai tahap yang maksima kerana perkembangan fizikal adalah penting untuk perkembangan-perkembangan yang lain.
Walau bagaimanapun sesetengah anak mempunyai tenaga yang lebih berbanding anak yang lain. Mereka dilahirkan dengan keupayaan fizikal yang berbeza dan luar biasa. Bagi anak yang sebegini, ibubapa perlu membantu anak menyalurkan tenaganya melalui saluran yang betul.
Jika anak suka memanjat, bawalah dia ke taman permainan atau pusat rekreasi yang sesuai. Tahukah anda semua kanak-kanak mempunyai kecenderungan fizikal untuk memanjat, berguling, melompat, dan berlari? Itu sifat yang normal pada kanak-kanak. Jika kecenderungan ini tidak dibimbing dengan betul, sudah tentulah dia melompat atas sofa rumah atau memanjat gril pintu rumah.
Marah atau menengking tidak akan menyelesaikan masalah tersebut. Makin dihalang makin dibuatnya. Ibubapa yang bijak dan kreatif tahu bagaimana mempositifkan setiap cabaran dan situasi supaya dapat dimanfaatkan oleh anak. Ibubapa yang bijak akan melengkapkan diri dengan ilmu perkembangan kanak-kanak kerana mereka ingin memahami kenapa tingkah laku anak mereka sedemikian.
2) SUKA BERKHAYAL KEPADA KREATIF
Keperluan yang penting bagi anak yang suka berkhayal adalah pensil, kertas, blok binaan, berus, warna, kertas lukisan, dan alat muzik.
Mereka selalunya memiliki kecerdasan bahasa atau linguistik, kecerdasan visual atau artistik, atau kecerdasan muzik. Kenalpasti apakah yang mengisi khalayan mereka dan beri anak-anak ini peluang untuk meluahkannya melalui saluran kreativiti. Beri anak peluang untuk meluahkan apa yang dikhayalkan. Mungkin mereka memikirkan satu inovasi atau falsafah yang boleh mengubah dunia satu hari nanti.
Apa yang penting adalah memastikan masa yang diambil untuk anak berkhayal tidak berlanjutan sehingga mengabaikan rutin harian yang perlu dilunaskan. Biarlah khayalan itu ada kandungan dan batasannya.
Kenalpasti potensi anak melalui tingkah laku anak yang mungkin tidak menyenangkan kita. Lihatlah potensi itu sebagai satu kelebihan anak yang harus dipupuk. Jika kita mencari dan melihat yang positif, maka positiflah yang akan kita jumpa sebaliknya jika ia dilihat sebagai negatif, kita akan gagal untuk menyaring potensi anak.
3) DEGIL KEPADA TEGAS (ASSERTIVE)
Satu sifat penting yang perlu ada pada anak-anak kita adalah ‘assertive’. Anak yang ‘assertive’ adalah anak yang teguh mempertahankan pendiriannya dan tidak mudah dipermain-mainkan oleh orang lain.
Anak yang kita labelkan sebagai degil merupakan seorang yang kental apabila berhadapan dengan cabaran dan mempunyai percaya diri yang tinggi.
Bagi anak yang sebegini, peraturan memainkan peranan yang sangat besar untuk memastikan mereka degil bertempat. Ibubapa tidak boleh menjadi permisif iaitu mengizinkan apa saja yang ingin dilakukan anak. Batasan perlu diwujudkan untuk memastikan mereka selamat dari segi fizikal dan mempunyai pemikiran dan amalan yang bersesuaian dengan nilai dan budaya. Tanpa peraturan, anak ini boleh menjadi degil yang biadap dan tidak kena tempat.
Pemikiran mereka harus diasah dan dipupuk supaya mereka berupaya menjadi seorang yang tegas dengan prinsip yang dipegang.
Anak yang ‘assertive’ ini perlu dipuji dan sifat mereka harus digalakkan lagi kerana itulah diri mereka.
Beri mereka peluang untuk membuat keputusan kerana peluang yang sebegini akan membantu memperkayakan proses pemikiran mereka.
Bagi anak yang sering berbeza pendapat dengan kita terutamanya yang sudah remaja, itu adalah perkembangan yang normal kerana peringkat pemikiran mereka melangkah ke tahap ‘Formal operational stage’ dari ‘Concrete operational stage’. Mereka berupaya untuk menganalisa dan mengamati sesuatu yang abstrak.
Jika mereka ‘assertive’, bekalkan mereka dengan adab kiranya tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat dan bimbinglah mereka dengan adab untuk berdebat secara berhikmah.
Anak-anak sebegini perlu dilatih untuk mempunyai empati yang tinggi supaya dapat menjadi seorang individu yang mempertahankan hak dan maruah oleh lain yang ditindas dalam masyarakat.
4) KEDEKUT KEPADA BERJIMAT-CERMAT
Usah terlampau ringan mulut melabelkan anak sebagai seorang yang kedekut jika amalan berbelanja anak tidak sama seperti diri kita. Mungkin anak mempunyai tafsiran yang berbeza tentang berbelanja dan berkongsi. Ingatlah anak-anak bukan kita. Ramai kanak-kanak yang suka menabung walaupun tanpa disuruh oleh ibubapa. Sifat itu seakan-akan lahir dengan sendirinya dalam diri anak. Inilah yang dinamakan pembawaan. Mereka lahir dengan sifat sebegitu walaupun ayah dan ibu adalah dari kalangan mereka yang suka berbelanja tanpa batasan. Mungkin juga anak belajar dari ibubapa dan bertekad mahu mengamalkan sesuatu yang berbeza.
Individu yang berjimat cermat sifatnya tidak membazir. Dia berbelanja untuk keperluan dan bukannya kemahuan semata-mata. Dia berjaya mengekang keinginan untuk memiliki sesuatu dengan ‘delayed gratification’. Dia sabar menunggu ganjaran.
Latihlah anak-anak ini untuk memberi dan menyumbang kepada mereka yang memerlukan. Latih mereka membantu dengan apa saja kelebihan yang dimiliki.
Melabel mereka dengan label ‘kedekut’ hanyalah satu penghinaan buat anak ini kerana mereka mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Cuba fahami agenda mereka walaupun ia mungkin bertentangan dengan agenda kita. Ada pelbagai sebab manusia berjimat cermat.
5) PEMALU KEPADA BERHATI-HATI
Jika dilihat pada otak mereka, anak yang pemalu mempunyai aktiviti yang lebih pada otak kanan mereka. Mereka lebih cenderung kepada aspek kreativiti dan aestetik. Mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri, tidak selesa dalam situasi yang baru dan selalunya sangat sensitif. Mereka berbeza daripada anak-anak yang mudah berkawan dan sesuaikan diri. Mungkin mereka bukan ‘ekstrovert’ seperti ibubapa, namun itu tidaklah bermakna mereka tidak berupaya untuk keluar menyumbang dalam masyarakat. Terimalah diri mereka seadanya.
Ibubapa perlu mengingatkan diri sendiri bahawa anak-anak ini adalah pemerhati yang sangat baik. Itu kelebihan mereka. Anak-anak ini mendekati orang lain dan menyesuaikan diri dengan sesuatu situasi dengan lebih berhati-hati. Mereka tidak terburu-buru dalam mengambil keputusan. Itu juga adalah satu kelebihan. Anak memerlukan peluang untuk melatih diri sendiri untuk lebih ke hadapan. Ramai anak yang pemalu dan tidak banyak bercakap tetapi mereka berupaya berada di atas pentas apabila perlu tanpa sebarang ketakutan.
Mereka memerlukan kaedah latihan yang berbeza. Ibubapa haruslah kreatif dan tidak memaksa mereka untuk menjadi seperti anak yang lain. Paksaan hanya akan meletihkan mereka dan membuatkan mereka berputus asa kerana merasakan diri gagal. Dengan memberi penekanan kepada kelebihan anak, anak akan lebih yakin dengan diri sendiri.
6) CEREWET KEPADA MEMPUNYAI CITARASA
Setiap individu mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menyukai sesuatu yang kita suka. Anak-anak yang cerewet dalam memilih sesuatu adalah anak yang mempunyai citarasa dan gaya yang tersendiri. Mereka mungkin lebih kreatif atau menilai sesuatu dari kaca mata yang berbeza daripada kita. Mungkin juga cara berfikir mereka dan persepsi mereka berbeza. Gaya pembelajaran mereka juga mungkin berbeza daripada orang lain. Perbezaan ini tidaklah menjadikan anak itu anak yang tidak baik. Fahami pemikiran anak tersebut dengan banyak bersoal jawab dan berinteraksi dengan anak.
Jika perspektif mereka cuba untuk difahami, dan berlakunya toleransi dua hala, anak akan menjadi lebih terbuka untuk menerima pilihan dari perspektif orang lain. Anak yang cerewet tentang pemakanan perlu dilatih dengan adab supaya bersyukur dengan rezeki yang ada. Dengan itu walaupun makanan itu bukannya citarasa anak, dia tetap menjamahnya kerana perspektifmya telah berubah.
Anak yang cerewet ini selalunya sukar untuk menjadi seorang pengikut atau ‘follower’ secara membabi buta. Mereka tidak ada perasaan FOMO (Fear of Missing Out) atau takut ketinggalan berbanding orang lain kerana citarasa mereka berbeza. Lihatlah sifat ini sebagai satu kelebihan pada diri anak.
KESIMPULANNYA
Ibubapa perlu positif dan kreatif dalam menilai sifat semulajadi anak. Lebih mudah untuk anak membina jati diri dan keyakinan diri apabila label yang digunakan untuk menerangkan tentang anak adalah sesuatu yang positif seperti kreatif, bertenaga dan berprinsip..
Gigi kekal sudah tumbuh di belakang, perlukah gigi susu dicabut? Hal ini sering menjadi dilema pada mama papa. Perlukah dibawa ke klinik atau biarkan ia tercabut sendiri.
“Mama tengok ni. Ada gigi baru tumbuh kat belakang gigi Anis,” kata Anis sambil mengangakan mulut ke arah ibunya. Setelah diteliti, memang ada gigi baru kekal tumbuh di belakang gigi kacip bawah. Memang sudah agak panjang dan tumbuhnya menyenget. Gigi kacip susunya itu juga sudah mula bergoyang apabila ditolak lembut dengan jari. Timbul kekeliruan pada fikiran si ibu sama ada ingin mencabut gigi susu tersebut untuk memberi laluan kepada gigi kekal tumbuh atau membiarkan sahaja gigi susu tersebut tercabut sendiri. Mama dalam dilema…
Situasi begini biasa terjadi pada kanak-kanak yang mula melalui fasa tumbuh gigi kekal seawal usia enam tahun. Bagaimana untuk membuat keputusan sama ada perlu mencabutnya atau tidak? Sekiranya dibiarkan adalah gigi kekal tersebut akan tumbuh senget dan bertindan.
GIGI SUSU MULA GOYANG
Menurut pandangan profesional pergigian, Dr Mazleen Abdul Rahman dari Klinik Pergigian Dr. Leen mengatakan masalah atau dilema ini biasa berlaku terutama sekali bagi ibu bapa dan anak pertama mereka. Katanya ramai yang mendapatkan perkhidmatan untuk mencabut gigi apabila gigi susu anak mereka mula bergoyang.
“Gigi susu pertama biasanya akan tumbuh apabila umur kanak-kanak berusia sekitar enam bulan dan biasanya apabila kanak-kanak berusia dua setengah hingga tiga tahun, semua gigi susunya telah tumbuh sepenuhnya. Biasanya gigi kacip akan tumbuh terlebih dahulu, diikuti dengan gigi geraham pertama, kemudian gigi taring dan gigi geraham kedua. Gigi bawah akan tumbuh dulu diikuti dengan gigi atas mengikut urutan tetapi ada juga yang sebaliknya gigi atas tumbuh dulu.
“Apabila umur kanak-kanak sekitar enam tahun, biasanya gigi kacip bahagian bawah akan mula bergoyang. Hal ini terjadi kerana akar gigi susu tersebut telah dihakis oleh gigi kekal yang mula bergerak ke permukaan gusi. Jika gigi yang bergoyang dicabut terlalu awal, maka gigi kekal yang bakal tumbuh akan menjadi makin lambat tumbuh kerana akar gigi yang menjadi rujukan telah tiada. Biasanya gigi yang bergoyang akan tanggal dengan sendirinya apabila tiba masanya,” kata Dr Mazleen.
Kanak-kanak akan memiliki 20 batang gigi susu. Warnanya putih dan akan mula luruh apabila mencecah usia lima tahun ke atas dan diganti dengan gigi kekal.
5 KEADAAN GIGI SUSU PERLU DICABUT OLEH DOKTOR
Walau pun begitu, Dr Mazleen memberikan beberapa keadaan yang memerlukan gigi si manja dicabut oleh doktor gigi iaitu:
1. Apabila gigi kekal telah tumbuh di bahagian belakang gigi susu pada bahagian rahang bawah atau gigi kekal telah tumbuh di bahagian hadapan gigi susu bagi rahang atas sedangkan gigi susu masih belum tanggal lagi.
2. Gigi susunya si manja boleh dicabut apabila ia telah rosak teruk dan selalu menyebabkan gusi bengkak dan bernanah serta sakit yang menyebabkan kanak-kanak sukar makan walaupun pernah dirawat beberapa kali oleh doktor gigi.
3. Keadaan gigi susu yang menyekat pertumbuhan gigi kekal atau menghalang gigi kekal dari tumbuh ke tempat sepatutnya.
4. Apabila sudah sampai masanya untuk gigi itu tanggal tetapi tidak tanggal juga pada usia lapan tahun. Hal ini kerana biasanya bila gigi kekal tidak kelihatan kerana berada di bawah gigi susu.
5. Sekiranya ibu dan bapa tidak mampu dan atau tidak berani untuk mencabut sendiri gigi anak yang sudah bergoyang.
MITOS TENTANG GIGI TIDAK TERSUSUN
Selain itu, menurut Dr Mazleen, terdapat mitos yang mengatakan sekiranya gigi susu yang sudah bergoyang tidak dicabut segera, gigi kekal yang tumbuh akan menjadi tidak tersusun dan bertindan. Katanya,hal tersebut adalah tidak benar sama sekali. Terdapat beberapa keadaan dan faktor yang boleh menyebabkan gigi kekal tumbuh menjadi tidak teratur? 1. Keturunan Rahang muka yang kecil dan gigi yang besar menyebabkan gigi tidak mendapat tempat untuk tumbuh jadi tumbuh secara tidak teratur. Jika ibu atau ayah atau kedua-duanya sekali mempunyai gigi yang tidak teratur maka besar kemungkinan anak juga mempunyai masalah yang sama.
2.Gigi yang dicabut terlalu awal Gigi yang rosak atau bergoyang yang dicabut terlalu awal akan menyebabkan gigi lain bergerak mengambil tempat kawasan yang dicabut. Hal ini mengakibatkan gigi yang sepatutnya tumbuh di lokasi tersebut tiada tempat . Biasanya gigi yang berlapis adalah gigi geraham kecil dan juga gigi taring.
3.Gigi susu yang tidak dicabut Gigi tidak teratur biasanya terjadi apabila gigi susu yang tidak dicabut walaupun gigi kekal telah tumbuh. Pada kebanyakan keadaan, gigi kekal menjadi berlapis-lapis dan tidak tersusun.
TIP ELAK ANAK TRAUMA UNTUK PERIKSA GIGI
Dr Mazleen menyarankan ibu bapa agar membawa si manja untuk pemeriksaan gigi dari usia muda iaitu dalam usia dua atau tiga tahun. Bukan sahaja bertujuan cabut gigi, tetapi untuk pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun.
“Hal ini amat penting kerana apabila mereka sudah biasa dan tidak takut dengan doktor gigi maka senang untuk mendapatkan rawatan sama ada tampalan atau cabut. Jangan sesekali memaksa mereka untuk mendapatkan rawatan gigi. Pujuklah dengan cara yang baik. Bimbang sekiranya mereka tidak melakukan dengan rela hati mereka boleh menjadi trauma dan tidak mahu lagi membuat rawatan gigi sehingga dewasa kelak,”.
Katanya lagi, gigi yang bergoyang tidak semestinya terus dicabut. Gigi susu juga tidak semestinya dicabut oleh doktor gigi. Berjumpalah dengan doktor gigi untuk mendapatkan nasihat tentang apa yang perlu dilakukan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penyebab utama anemia di kalangan wanita mengandung adalah kekurangan zat besi. Semasa mengandung, badan manusia akan menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin.