
Satu insiden cemas membabitkan sebuah bas sekolah yang membawa 30 murid Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ampang dan lima orang guru pengiring telah mencetuskan panik apabila bas terbabit terbabas di kawasan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Kejadian yang berlaku pada hari Sabtu sekitar jam 12.18 tengah hari itu turut menjadi bualan hangat di media sosial selepas rakaman video kemalangan tersebut tular.
Apa yang lebih mengejutkan, siasatan awal mendapati pemandu bas berusia 40-an itu tertidur ketika memandu akibat tidak cukup rehat, sekali gus membawa kepada tragedi yang hampir meragut nyawa kanak-kanak kecil yang tidak bersalah.

Kronologi Detik Cemas Bas PASTI Terbabas Di UPM
12.18 tengah hari: Bas sekolah yang membawa murid-murid PASTI dalam perjalanan dari sebuah kilang coklat menuju ke G2G Animal Garden di MAEPS, Serdang. Ketika melalui Jalan Persiaran Universiti 1, pemandu dipercayai terlelap, menyebabkan bas hilang kawalan.
Bas terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan. Rempuhan itu mencetuskan jeritan panik daripada kanak-kanak yang ketakutan. Guru-guru pengiring segera bertindak memastikan semua murid selamat dan dikeluarkan daripada bas.
Rakaman kejadian tular di media sosial dalam masa singkat, mencetuskan pelbagai reaksi dan kebimbangan orang ramai terutama ibu bapa.
Tiga murid dan seorang guru pengiring cedera di bahagian kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Serdang. Kesemua mangsa telah dibenarkan pulang selepas rawatan.
Pemandu Direman, Ada 13 Saman Terdahulu
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad mengesahkan bahawa pemandu bas mengaku tidak cukup tidur dan rehat, menyebabkan dia terlelap semasa memandu. Beliau juga didapati mempunyai 13 saman lalu lintas terdahulu atas namanya sendiri.
Hasil ujian saringan mendapati pemandu bebas daripada pengaruh dadah dan alkohol. Namun, beliau telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ibu Bapa Terkejut Dan Trauma: “Saya Terus Menangis Bila Dapat Tahu”
Ramai ibu bapa yang dihubungi pihak sekolah terus bergegas ke lokasi kejadian. Sebahagian mereka tidak mampu menahan air mata melihat keadaan bas yang remuk dan membayangkan apa yang dilalui oleh anak-anak mereka.
“Saya terus menangis bila dapat tahu bas anak terbabas. Syukur dia selamat, tapi saya tahu dia masih takut. Malam tadi dia tak nak tidur sendiri,” luah seorang ibu kepada mangsa yang terlibat.
Keselamatan Anak-Anak Jangan Dipandang Remeh
Insiden ini membuka mata banyak pihak tentang betapa pentingnya keselamatan pengangkutan kanak-kanak. Tidak kira untuk lawatan sekolah mahupun perjalanan harian, pihak sekolah dan pengusaha bas perlu memastikan:
Pemandu berada dalam keadaan fizikal dan mental yang stabil
Tiada rekod saman atau kesalahan lalu lintas berulang
Bas dalam keadaan baik dan diselenggara secara berkala
Polis Minta Bantuan Orang Ramai
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut. Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut tentang kejadian diminta menghubungi IPD Serdang di 03-8074 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Tragedi ini mungkin tidak meragut nyawa, tetapi trauma yang dialami anak-anak, guru serta ibu bapa pasti mengambil masa untuk sembuh. Semoga kejadian ini menjadi peringatan buat semua pihak agar tidak ambil ringan soal keselamatan kanak-kanak. Mereka masih kecil, masih belum mengerti bahaya justeru kita sebagai orang dewasa bertanggungjawab menjaga mereka sebaiknya.
Pa&Ma mengajak semua ibu bapa untuk lebih cakna dan bertindak proaktif demi keselamatan anak-anak kita. Jangan tunggu tragedi berlaku baru mahu ambil tindakan.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Allahuakbar! Kes Jatuh Bangunan Asrama Lagi, Pelajar Tingkatan Tiga Kritikal

Belum lagi kes Zara Qairina selesai, terbaru berita meruntun jiwa apabila seorang pelajar tingkatan tiga jatuh bangunan asrama tingkat tiga dan didakwa menjadi mangsa buli.
Hati seorang ibu mana yang tidak luluh bila melihat anak sendiri kini terlantar di hospital dalam keadaan kritikal. Itulah yang sedang ditanggung oleh Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, apabila anak kesayangannya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, pelajar Tingkatan Tiga, kini ditidurkan dan masih dalam pemantauan rapi selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Ibu mangsa, Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, berkata, anaknya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi kini sedang ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi pihak perubatan, lapor SH Online.
Tanbahnya, keputusan imbasan CT scan mendapati anaknya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli,” katanya.
Susulan kejadian, Siti Muhaini berkata, pihaknya telah buat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam.
Beliau kemudiannya memberitahu, dia dimaklumkan lima pelajar telah ditahan polis untuk siasatan, namun setakat ini masing-masing enggan memberikan keterangan.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.
“Keluarga hanya dimaklumkan pukul 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi.
“Warden kata Irfan jatuh dari tingkat tiga selepas makan mi segera. Tapi dalam laporan perubatan, dalam perutnya langsung tiada sisa makanan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada Ahmad Irfan pernah mengadu mengenai perkara tersebut, Siti Muhaini memberitahu anaknya sentiasa ceria malah aktif di sekolah.
“Sebelum ini dia tidak pernah tunjuk ada sebarang masalah dengan rakan-rakan. Ahmad Irfan memang aktif, dia ada jawatan dalam biro agama asrama,” katanya lagi.
Terlalu awal kaitkan kes buli – Ketua Polis Selangor

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, terlalu awal untuk mengesahkan punca kejadian, termasuk spekulasi mengaitkannya dengan unsur buli.
“Pihak polis menyeru orang ramai agar tidak membuat andaian yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan emosi keluarga mangsa.
“Polis Selangor komited untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau mengesahkan polis menerima satu laporan polis berhubung kejaduan berkenaan.
Sehubungan itu Shazeli berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Harian Metro & malaysiagazette
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak Ego Mengaku Tumpang Tuah Anak, Patutlah Rezeki Ajak Makin ‘Meriah’

Ketika ditemui semasa mereka sedang menjalani penggambaran untuk rancangan TV Pa&Ma, pasangan suami isteri Ajak Shiro dan isterinya, Afifah Amin banyak berkongsi cerita tentang keluarga mereka. Tidak malu mengakui kehidupan mereka pernah susah dahulu, bahkan hari ini Ajak memberitahu segala kesenangan yang ada ini adalah rezeki anak-anak. Dia dan isteri hanya menumpang tuah anak-anak. Ikuti kisah mereka yang pernah suatu ketika dulu tidak mampu untuk belikan alat mainan buat anak pertama mereka, Mohd Jad Thaqif yang kini sudah berumur sembilan tahun.
Ditanyakan tentang hubungan jarak jauh mereka, Afifah memberitahu dua kali dia memohon untuk ditukarkan. Pada waktu itu, Ajak baharu sahaja memulakan tugasannya sebagai penyampai radio dan cuti mereka tidak sama. Memandangkan Afifah mengajar di Johor, dia cuma bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Dimurahkan rezeki mereka sekelurga, akhirnya permohonan Afifah berjaya dan mereka dapat tinggal bersama.

Afifah Keluar Awal Pagi, Ajak Siapkan Anak
Seperti mana penyayangnya Ajak terhadap Afifah, begitulah juga dia sebagai seorang bapa. Amat menyayangi anak-anak mereka dan sentiasa berusaha untuk mencari masa agar mereka sekeluarga dapat meluangkan masa bersama. Bapa kepada tiga orang anak, Mohd Jad Thaqif, 9, Mohd Had Thaqif, 6, dan Nada Soffea, 4, ini bertanggung jawab untuk menyiapkan anak-anak ke sekolah setiap hari jika dia ada di rumah.
Memandangkan mereka sekeluarga tinggal di Nilai dan Afifah pula mengajar di Kota Damansara, dia sudah keluar seawal jam enam pagi. Jadi Ajaklah yang akan menguruskan anak-anak. Bukan sahaja memandikan anak, tetapi Ajak tidak kekok untuk mendandan anak bongsu mereka, Nada. “Saya tocangkan yang biasa-biasa saja. Janji anak saya kemas dan selesa,” kata Ajak mengiyakan cerita isterinya itu.
Tak Mampu Beli Mainan Jad
Mengimbau kembali kenangan sewaktu hidup mereka tidak sesenang hari ini, Ajak mengatakan dia banyak diuji sehingga pernah merasa diri gagal sebagai seorang bapa. Selepas tamat tingkatan enam, Afifah melanjutkan pelajarannya ke universiti manakala Ajak memohon untuk menyertai Tentera Laut. Waktu itu Ajak direkrut dari Johor dan dihantar ke kem di Lumut, Perak.

Ketika Afifah di semester enam, mereka berdua memutuskan untuk berkahwin. Tidak lama selepas itu, ketika Afifah di semester tujuh, anak sulung mereka dilahirkan. Tidak dinafikan kehidupan mereka agak sukar pada waktu itu. Bergantung hanya pada gaji Ajak, ternyata tidak mencukupi. “Pernah satu masa tu, Jad minta belikan mainan. Tapi Ajak tak mampu nak belikan. Dia rasa gagal sangat waktu itu,” cerita Afifah. Bukan itu saja, pernah juga mereka tidak ada duit untuk membelikan nestum untuk Jad. Dek kerana itulah, Ajak bersemangat untuk mengubah nasib keluarga mereka.
Menyertai pertandingan Raja Lawak dan memenanginya, mereka dapat satu lagi berita gembira. Afifah pula mendapat tawaran sebagai seorang guru. Ketika itu Ajak ambil keputusan untuk berhenti dari kerjanya dan fokus pada bidang seni. Sebagai pendukung suami, Afifah menyokog keputusan suaminya itu.
Tak Ada Masa Dengan Anak, Berhenti Jadi Penyampai Radio
Bekerja sebagai penyampai radio memang sesuatu yang menyeronokkan. Selama tiga tahun, banyak yang dapat Ajak pelajari. Namun dia membuat keputusan untuk meletakkan jawatan kerana kekangan masa. “Waktu saya jadi DJ dulu, memang tak ada masa dengan anak-anak. Sebab saya kerja awal pagi, jadi saya keluar dahulu dari orang lain. Selama tiga tahun, sekalipun saya tidak pernah berkesempatan nak hantar Jad ke sekolah,” kata Ajak. Oleh itu, Ajak mengambil keputusan untuk berhenti agar dapat meluangkan masa bersama anak-anaknya.

“Saya tidak nampak di mana lawaknya saya. Kalau orang kata saya lawak, mungkin itulah pinjaman Allah SWT pada saya. Ini sebenarnya rezeki anak-anak. Semakin besar rezeki apabila anak kami bertiga ni. Saya dan Afifah hanya menumpang rezeki mereka,” sambung Ajak. Menurutnya lagi, tujuan asal dia menyertai program Raja Lawak sebenarnya lebih kepada untuk memberi kemudahan kepada Jad. Tak sangka rezeki tak henti-henti selepas kelahiran dua orang anaknya yang lain.

Tidak hairanlah mengapa Ajak sangat disenangi peminat, orangnya sederhana dan mudah didekati. Benarlah tagline yang selalu dia ungkapkan, “Saya Ajak dan saya tidak sombong.” Pa&Ma doakan agar keluarga Ajak dan Afifah terus dilimpahi rezeki berlipat ganda. Semoga mereka sekeluarga sentiasa berbahagia dan terus berkasih sayang antara satu sama lain.
Sumber Foto: Ajak Shiro & Afifah Amin
Saksikan pasangan Ajak Shiro & Afifah Amin dalam Pa&Ma Musim Kelima dengan kupasan topik episod ke-5 ‘Cabaran Expose Anak Di Media Sosial’ pada 31 Julai 2019, Rabu jam 9 malam disaluran Astro Prima (ch 105) , Prima HD (ch 121) dan Astro Go (apps).

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Comelnya Baby” Kini Bergelar Bapa, Aqil Zulkiflee Kongsi Nama & Wajah Anak!

Tahniah diucapkan buat pempengaruh, Aqil Zulkiflee dan isterinya, Nur Iliyaa Jasmina Roslan yang telah selamat menimang cahaya mata pertama mereka pada 12 September yang lalu.
Aqil menerusi Instagramnya berkongsi perkhabaran gembira itu buat semua pengikutnya malah amat bersyukur kerana kelahiran anak perempuan yang sihat dan dipermudahkan.

“Alhamdulillah terima kasih semua yang doakan. Harini 12/9/2025 baby girl kita selamat dilahirkan berat 2.4kg.
“Aqil dah jadi papa, Iliya dah jadi mama,” tulisnya ringkas.

Semalam Aqil yang kini bergelar papa juga turut berkongsi wajah buah hati tersayangnya malah sempat berkongsi pilihan nama zuriat pertama mereka.
“Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur kami menyambut kelahiran puteri kecil kami, Ayana Aqila.
“Namanya membawa maksud “cahaya yang indah, bunga yang mekar, berakal dan penuh hikmah”.
“Semoga Ayana membesar dalam iman, sihat tubuh badan, menjadi anak solehah serta penyejuk hati mama & papa 🤍.
“Kami mohon doa yang baik-baik daripada semua,” tulisnya lagi.

Menerusi video itu, Aqil juga turut berkongsi wajah Ayana yang cukup comel malah memiliki raut wajah gabungan ibu dan ayahnya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian warganet yang tidak putus-putus menitipkan ucapan tahniah serta doa buat keluarga kecil itu.
Rata-rata peminat dan pengikut mendoakan agar ibu dan bayi sentiasa sihat serta membesar dengan penuh kasih sayang.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


