Penglihatan Bayi Baru Lahir, Kenapa Hitam Putih Lebih Menarik Perhatian?

Share

Penglihatan bayi baru lahir memang menarik untuk diperhatikan. Bila bayi membuka mata dan mula memandang wajah ibu atau ayah, memang rasa teruja melihat si kecil seolah-olah sedang cuba mengenali dunia di sekelilingnya.

Walaupun bayi sudah mempunyai deria penglihatan sejak dilahirkan, kemampuan mata mereka sebenarnya masih jauh berbeza berbanding orang dewasa. Pada peringkat awal kehidupan, mata dan otak bayi masih belajar untuk memproses apa yang dilihat, termasuk bentuk, jarak, pergerakan dan warna.

Sebab itulah stimulasi visual yang diberikan kepada bayi perlu sesuai dengan tahap perkembangannya.

Kalau ibu ayah perasan, banyak flashcard, buku bayi atau permainan untuk newborn menggunakan gabungan warna hitam dan putih. Bukan sekadar mengikut trend atau mahu nampak minimalis, warna berkontras tinggi memang lebih mudah menarik perhatian bayi yang masih kecil.

Jadi, sebelum memenuhi ruang bayi dengan warna pastel yang cantik, ini beberapa perkara tentang perkembangan penglihatan bayi yang ibu ayah perlu tahu.

1. Penglihatan Bayi Baru Lahir Masih Kabur Pada Awal Kelahiran

Dalam tempoh awal selepas dilahirkan, bayi belum mampu melihat objek yang berada jauh dengan jelas. Mereka lebih mudah memberikan fokus kepada sesuatu yang berada kira-kira 20 hingga 30 sentimeter daripada wajah.

Menariknya, jarak ini hampir sama dengan jarak antara wajah ibu dan bayi ketika menyusu, mendukung atau menenangkan si kecil.

Tidak hairanlah bayi sering kelihatan begitu fokus memandang wajah ibu atau ayah apabila berada dekat dengannya.

Momen bayi ‘merenung’ wajah anda sebenarnya bukan sekadar comel. Si kecil sedang belajar mengenali bentuk wajah, pergerakan mata, ekspresi dan suara insan yang selalu berada di sisinya.

Interaksi bersemuka seperti bercakap, tersenyum dan membuat mimik muka juga merupakan antara rangsangan mudah yang boleh dilakukan setiap hari.

2. Kedua-Dua Mata Masih Belajar Bekerjasama

Pada minggu-minggu pertama kehidupan, koordinasi mata bayi juga masih dalam proses berkembang.

Ada kalanya ibu ayah mungkin melihat mata bayi seperti tidak berada pada arah yang sama atau kelihatan sedikit juling untuk seketika.

Ini boleh berlaku kerana bayi masih belajar menggunakan kedua-dua matanya secara serentak untuk memberikan fokus kepada sesuatu objek.

Apabila usia bertambah, kawalan dan koordinasi mata biasanya semakin baik.

Ibu ayah boleh membantu memberikan stimulasi secara sederhana dengan beberapa aktiviti mudah seperti:

  • berada dekat dengan wajah bayi ketika bercakap
  • bergerak perlahan dari kiri ke kanan supaya bayi cuba mengikuti wajah
  • menunjukkan objek atau permainan dengan corak yang jelas
  • menggunakan kad visual berwarna hitam putih

Tidak perlu terlalu banyak aktiviti dalam satu masa. Beberapa minit ketika bayi sedang berjaga, tenang dan selesa sudah memadai sebagai stimulasi awal.

3. Kenapa Mereka Suka Warna Hitam Dan Putih?

Kalau diberi pilihan antara corak pastel yang lembut dengan corak hitam putih yang besar dan jelas, bayi kecil biasanya lebih mudah memberikan perhatian kepada corak yang mempunyai kontras tinggi.

Hal ini berkaitan dengan perkembangan sistem penglihatan mereka yang masih belum matang sepenuhnya.

Menurut Dr. Sears menerusi perkongsian mengenai stimulasi visual bayi baru lahir, objek dengan perbezaan warna yang ketara lebih mudah dilihat oleh bayi pada peringkat awal.

Antara visual yang biasanya lebih mudah menarik perhatian bayi ialah:

  • hitam dan putih
  • warna gelap bersebelahan warna cerah
  • bentuk geometri yang besar
  • garisan dan corak yang jelas
  • gambar wajah manusia

Sebab itu ibu ayah sering melihat flashcard newborn, buku kain atau permainan bayi menggunakan konsep hitam putih.

Corak berkontras tinggi membantu bayi memberi perhatian kepada sesuatu objek dengan lebih mudah berbanding warna yang terlalu lembut.

Dalam tempoh awal ini, stimulasi visual yang sesuai boleh membantu penglihatan bayi baru lahir berlatih mengikuti objek dan memberikan fokus.

Jadi, permainan hitam putih bukan sekadar cantik atau menjadi trend dalam kalangan ibu ayah. Ia boleh menjadi salah satu pilihan rangsangan visual yang mudah untuk dilakukan bersama bayi.

4. Penglihatan Warna Akan Berkembang Secara Berperingkat

Ini tidak bermaksud bayi hanya boleh melihat hitam dan putih sepanjang beberapa bulan pertama.

Keupayaan membezakan warna sebenarnya berkembang sedikit demi sedikit apabila sistem penglihatan bayi semakin matang.

Apabila bayi semakin membesar, mereka akan mula lebih tertarik kepada warna yang terang dan jelas seperti merah, kuning, biru dan hijau.

Pada ketika itu, ibu ayah boleh mula mempelbagaikan stimulasi melalui buku bergambar, blok permainan, sensory toys atau objek berwarna-warni yang selamat untuk bayi.

Namun, lebih banyak warna tidak semestinya lebih baik.

Terlalu banyak permainan, cahaya berkelip, bunyi serta corak yang padat pada satu masa boleh menyebabkan sesetengah bayi menjadi terlalu terangsang atau overstimulated.

Perhatikan reaksi si kecil. Jika bayi mula memalingkan muka, meragam, menguap atau kelihatan tidak selesa, mungkin sudah tiba masa untuk menghentikan aktiviti dan memberinya ruang untuk berehat.

 

Tak Perlu Semua Barang Bayi Cantik Dan Pastel

Bila menyediakan ruang untuk bayi, memang mudah untuk ibu ayah tertarik dengan dekorasi nursery yang cantik, warna pastel dan permainan yang sedondon.

Tidak salah memilih barang yang cantik, tetapi dalam tempoh awal kehidupan, apa yang menarik pada mata orang dewasa belum tentu memberikan rangsangan paling sesuai kepada mata bayi.

Kad bercorak hitam putih, buku dengan gambar besar atau sekadar wajah ibu ayah yang berada dekat dengannya sudah cukup memberikan pengalaman visual yang bermakna.

Malah, stimulasi bayi tidak semestinya memerlukan permainan mahal.

Ibu ayah boleh menunjukkan flashcard hitam putih ketika tummy time, meletakkan buku bercorak kontras berhampiran ruang bermain atau menggerakkan kad secara perlahan supaya mata bayi cuba mengikutinya.

Paling penting, lakukan ketika bayi berada dalam keadaan berjaga dan selesa tanpa memaksa mereka memberikan perhatian terlalu lama.

Setiap perkembangan penglihatan bayi baru lahir berlaku secara berperingkat. Jadi, nikmati sahaja proses melihat si kecil mula mengenali wajah, mengikuti pergerakan dan akhirnya semakin tertarik meneroka dunia yang penuh dengan warna.

Baca lagi: MamaKerja2026: Ibu Bekerja Selangor Layak Mohon Insentif RM1,000 Mulai Ogos!

Sekat Video Indonesia Di Youtube, 7 Cara Berkesan Elak Anak Terpengaruh Bahasa Indonesia

MamaKerja2026 Dibuka 17 Ogos Ini, Ibu Bekerja Selangor Dapat RM1,000! 

Sumber: www.playlogy.co.nz & blog.lovevery

Published by
SRM