Pilihan permainan yang betul diberikan kepada anak akan membantunya menjadi bijak dan aktif. Oleh itu, jika anak hendak beli permainan bukan sekadar beli je, tetapi ibu ayah kena ketahui faedah kegunaan barang permainan itu untuk perkembangan anak. Jika salah pilih dan bukan mengikut tahap usianya tentu akan memberi kesan kepada perkembangannya.
Secara umumnya alat mainan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu
-Aktif
-Manipulatif
-Kreatif
-Belajar
-Main peranan
6 KATEGORI PERMAINAN 1.ALAT PERMAINAN AKTIF
Faedah: Membina tubuh badan dan fizikal yang kuat. Dia juga boleh belajar bergaul dan membina jaringan sosial, belajar untuk bertolak ansur dan mengambil giliran, bersabar, memahami orang lain dan kerja berpasukan.
a)Tolak dan tarik
Antara permainan menggunakan mekanisme tolak dan tarik ialah seperti kereta tolak mainan (wagon), troli, kereta sorong bayi mainan dan skuter.
b)Tunggang
Mainan yang boleh ditunggang pada usia ini ialah basikal dengan roda tambahan, kereta mainan yang mempunyai kawalan stereng atau kuda mainan yang bersaiz besar.
c)Alat mainan luar rumah
Gelongsor, buaian dan mainan pengimbang adalah antara yang dicadangkan untuk si manja pada usia ini.
d)Peralatan sukan
Mama dan papa boleh membeli bola, papan luncur, kasut beroda, layang-layang, kolam renang mudah alih, tali skip dan sebagainya.
Ads
2.ALAT PERMAINAN MANIPULATIF
Faedah: Menggalakkan si manja untuk membuat keputusan, menyelesaikan masalah, mempelajari bentuk objek, tekstur, saiz dan perbandingan daripada segi warna, memberikan perhatian dalam masa yang lama dan mempelajari tentang kesan-akibat.
a)Pembinaan
Terdiri daripada blok kiub kayu besar dan kecil, objek plastik yang boleh disambung (interlocking), blok yang boleh membina objek lebih realistik.
b)Puzzle
Pada usia ini, set puzzle yang sesuai tidak lebih daripada 50 keping. Pilih yang diperbuat daripada kadbod keras dan mempunyai warna yang ceria.
c) Reka kreatif
Anda boleh mendapatkan alat permainan manipulatif jenis ini iaitu manik besar yang boleh dicucuk pada tali (Manik perlulah dielakkan jika si kecil suka memasukkan objek ke dalam mulut). Set mainan felt berlubang dan benang untuk menjahit serta getah yang boleh dikaitkan menjadi gelang atau rantai.
d)Alat permainan manipulatif
Suai padan perkataan dengan objek, mengasingkan antara warna dan jenis; nesting toys, objek berkonsepkan geometri dan model mekanikal yang lebih kompleks.
e) Pakaian dan tali
Mainan seperti patung yang mempunyai latihan untuk memakaikan pakaian dan memasang butang. Jarum yang besar dan tumpul serta benang kasar boleh diberikan dengan pemantauan.
f) Mainan pasir dan air
Pasir mempunyai tekstur dan bertindak terhadap merangsang deria sentuhnya. Mainan untuk dimainkan di dalam bilik mandi seperti pam air dan sebagainya.
3.ALAT PERMAINAN KREATIF
Faedah: Boleh memajukan kemahiran intelektual dan pemikiran kritis serta menyeimbangkan emosi si manja. Ia juga menajamkan skil motor halus.
a)Alat muzik
Alat muzik yang mesra kanak-kanak seperti xylophone, harmonika, wisel dan rekoder serta piano.
b)Seni dan kraf
Perkakas seni seperti pensel warna, krayon, tanah liat, gunting kanak-kanak, papan hitam dan kapur, buku mewarna serta peralatan menjahit dengan jarum besar dan tumpul.
c)Audio visual
Kamera untuk merakam apa yang diminati sama ada gambar atau video.
4.BELAJAR
Faedah: Si manja boleh mempelajari perkara asas mengenai sesuatu perkara dan mendapatkan informasi yang tepat. Si kecil juga boleh mempelajari tentang kesan dan akibat.
a)Permainan
Kad, domino atau bingo (bergambar). Permainan seperti ular dan tangga juga boleh diberikan kepada si manja.
b)Skil spesifik
Contohnya seperti mempelajari tentang warna, bentuk, huruf dan nombor. Permainan berbentuk model juga sesuai untuk menunjukkan bahagian tubuh. Magnet, lampu picit, kanta pembesar, stetoskop, akuarium adalah objek sains yang boleh diperkenalkan pada usia ini. Jam boleh digunakan untuk mengajar si kecil mengira masa.
c)Buku
Pada usia lima hingga enam tahun, si manja lebih tertarik kepada buku-buku yang mempunyai kisah yang realistik. Kamus bergambar atau ensiklopedia junior boleh diberikan di samping buku berkisar haiwan (yang bersifat seperti manusia) dan alam semula jadi.
Ads
5.MAIN PERANAN
Faedah: Si manja boleh mengembangkan imaginasi dan membina daya intelek. Ia juga membantu menguatkan memori, pemikiran logik, kreativiti dan melontarkan pendapat. Ia juga latihan untuk si kecil untuk memberikan tumpuan dalam tempoh yang lama.
a)Anak patung
Pada usia ini, anak patung yang lebih realistik yang mempunyai rambut, membuka mata dan kaki dan tangan bersendi.
b) Mainan lembut
Seperti sayur dan buah yang diperbuat daripada kain felt dan diisi serat lembut boleh digunakan untuk masak-masak.
c)Puppet
Patung puppet yang boleh disarungkan pada jari dan tangan dan pentas puppet mini untuk tujuan bercerita.
d)Berlakon
Permainan seperti set dapur kecil untuk bermain masak-masak sesuai dibelikan pada usia ini. selain itu, anda juga boleh menyediakan kostum seperti kostum puteri, kot doktor atau telefon mainan untuk dia bermain peranan sebagai pelbagai watak.
Kanak-kanak yang sedang membesar memang suka bermain. Dari usia setahun sehingga umur pra sekolah, anak-anak suka meneroka alam persekitaran mereka. Kadang kalau tengok mereka sepahkan permainanan tu bukan apa, ada yang tengah berimaginasi dan bereksplorasi.
Kalau nak ikutkan bila si kecil buat sepah, mama papa la yang penat nak kena kemas dan sebagainya tapi itu semua untuk kebaikan perkembangan si kecil anda. Tapi anda juga boleh didik mereka untuk kemas sendiri kerana itu juga boleh jadi sesuatu yang menyeronokkan buat anak-anak.
Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN dalam penulisannya di Pa&Ma mengulas lanjut tentang 5 jenis aktitivi bermain yang papa mama perlu tahu buat si kecil tersayang.
Zaman pendidikan praformal 0-6 tahun seharusnya penuh dengan aktiviti bermain berdasarkan beberapa bukti penyelidikan dan hujah santifik yang jelas. Pertama sekali, penyelidikan demi penyelidikan sains sosial membuktikan bahawa kanak-kanak pada usia pendidikan praformal tidak sesuai diberi pendidikan yang berbentuk akademik sepenuhnya. Kedua, tidak semestinya semakin kita memaksa si kecil dalam lingkungan usia praformal untuk menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira), semakin mereka akan menjadi pintar dan cerdas berbanding kanak-kanak lain!
Sebenarnya pada usia sekitar 10 tahun nanti, segala ‘kelebihan’ kanak-kanak yang diberi pendedahan 3M sepenuhnya akan dapat disaingi oleh si kecil yang banyak belajar melalui aktiviti bermain di taska dan tadika! Ambil contoh negara-negara maju di kawasan Scandinavia, Eropah.
Kita tidaklah perlu mengagungkan sistem pendidikan prasekolah di negara-negara ini, namun pada masa yang sama papa, mama dan pendidik prasekolah di Malaysia khasnya perlu memikirkan secara kritis tentang konsep pendidikan prasekolah yang terlalu memaksa kanak-kanak menjadi ‘pakar’ dalam bidang akademik (intelek) sehingga perkembangan jasmani, emosi dan rohani mereka diabaikan.
Keseimbangan harus menjadi kata kunci di sini, ditambah pula dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang naluri si kecil yang sentiasa ingin bermain dan meneroka dunia di sekelilingnya. Untuk lebih faham tentang naluri yang saya sebutkan ini, bulan ini saya akan berkongsi 5 jenis aktiviti bermain si kecil pada peringkat usia pendidikan praformal yang papa dan mama perlu tahu…
Aktiviti bermain lokomotor lazimnya melibatkan gerak kerja fizikal seperti merangkak, berjalan, melompat, berlari, memanjat dan sebagainya. Aktiviti ini berkait rapat dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Melalui proses tumbesaran semula jadi bermula dari usia bayi hingga usia lewat kanak-kanak dan awal remaja, si kecil semakin menunjukkan perkembangan dan kemajuan dalam kekuatan fizikal dan kemahiran motornya.
Dapatan penyelidikan jangka panjang menunjukkan bahawa aktiviti bermain lokomotor membantu kanak-kanak 0-6 tahun belajar kemahiran koordinasi tubuh badan dengan cepat dan cekap. Aktiviti bermain ini bermula sebaik sahaja seorang bayi sudah pandai meniarap, duduk serta merangkak. Ia berterusan hingga ke usia lewat kanak-kanak dan semakin berkurangan apabila seorang anak kecil mencecah usia awal remaja.
Walaupun kita jarang memikirkan manfaat aktiviti bermain lokomotor selain daripada aktiviti riadah yang amat digemari oleh kanak-kanak, sebenarnya aktiviti bermain ini amat penting untuk mereka. Aktiviti bermain ini membantu mempercepatkan tumbesaran otak dan otot – dua komponen komponen biologi yang akan membantu mereka meneroka dan belajar tentang dunia sekeliling dengan lebih aktif lagi.
Eksperimen dalam jurnal akademik tersohor ‘American Psychologist’ membuktikan bahawa aktiviti bermain lokomotor serta aktiviti bermain aktif di taman permainan dapat meningkatkan tahap tumpuan kanak-kanak 4-6 tahun. Bukan itu sahaja, eksperimen ini mendapati bahawa selepas aktiviti bermain aktif, kanak-kanak dapat menguasai konsep baru dan menaakul ilmu pengetahuan dengan lebih cekap berbanding kanak-kanak lain yang tidak diberikan ruang dan peluang untuk bermain sepuas hati mereka.
Aktiviti bermain berciri sosial bermula pada usia bayi lagi, sebaik sahaja si kecil lahir ke dunia. Umum mengetahui bahawa semasa usia bayi, kanak-kanak sudah mula belajar dan bermain dengan cara yang tersendiri. Beberapa bulan selepas dilahirkan, seorang bayi dapat menggunakan pancaindera untuk memahami alam sekeliling. Bayi itu juga sedang melalui proses perapatan (attachment) dengan papa, mama dan penjaga atau pengasuhnya.
Proses perapatan berlaku secara semula jadi dan salah satu cara proses ini berlaku adalah melalui aktiviti bermain berciri sosial! Bila orang dewasa memberi perhatian kepada seorang bayi dan menyapa (agah) atau mengusiknya sebagai contoh, aktiviti bermain berciri sosial mula berlaku. Kemudian sekitar usia dua tahun dan ke atas, aktiviti bermain berciri sosial pun berubah bentuk. Kalau dahulu kitalah yang menjadi teman bermain, bermula saat ini seorang anak kecil lebih cenderung untuk bermain dengan kanak-kanak lain. Semakin banyak kanak-kanak berinteraksi dan bermain sesama mereka, semakin tinggi frekuensi dan kualiti aktiviti bermain berciri sosial yang mereka rasai.
Apabila usia si kecil meningkat kepada 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain berciri sosial berubah bentuk lagi menjadi aktiviti berkumpulan. Apabila tiga orang atau lebih kanak-kanak merasai pengalaman bermain berciri sosial, mereka dapat menguasai kemahiran sosial dan hidup berkumpulan. Dari titik ini, mereka mula faham dan sedar akan konsep komuniti dan masyarakat walaupun pemahaman mereka masih terhad.
Kanak-kanak juga gemar bermain dengan objek. Suatu hakikat hidup yang kita semua tahu, kanak-kanak pada usia pendidikan praformal amat suka bermain dengan objek biasa atau alat permainan! Seperti juga aktiviti bermain berciri sosial, aktiviti bermain dengan objek pada hakikatnya bermula pada usia bayi lagi. Lihat sahaja telatah bayi yang diberi sesuatu, jika tidak dipantau segala macam benda akan dimasukkan ke dalam mulutnya, dikeluarkan dan dimasukkan lagi. Ini sebenarnya awalan aktiviti bermain dengan objek dalam hidup si kecil kontemporari. Apabila mencecah usia 2 tahun dan ke atas, bayi tadi kini semakin cekap memanipulasi objek di sekelilingnya misalnya apabila dia bermain dengan blok mainan.
Lebih menarik lagi, aktiviti bermain dengan objek kadangkala melibatkan aktiviti bermain berimaginasi juga. Sebagai contoh, blok mainan itu dibina menjadi sebuah ‘rumah’ dan di dalam rumah berkenaan ada pula penghuni olok-oloknya. Semakin meningkat umur si kecil, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi semakin kompleks. Ini disebabkan dia sudah semakin cekap dan semakin cepat memanipulasi objek-objek yang ada di sekeliling.
Malah jika diberi peluang dan ruang secukupnya, aktiviti bermain dengan objek akan menjadi asas pembinaan konsep dan pemikiran saintifik si kecil di samping membantunya mempelajari asas kemahiran penyelesaian masalah dan penaakulan deduktif (deductive reasoning). Walau bagaimanapun, perlu saya tekankan di sini bahawa manfaat aktiviti bermain dengan objek perlu diseimbangkan dengan arahan dan sedikit bantuan daripada orang dewasa, lebih-lebih lagi pada peringkat usia 0-3 tahun.
Aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa adalah antara pencapaian yang paling hebat dalam kehidupan kanak-kanak 0-6 tahun! Aktiviti ini bermula lazimnya apabila mereka menjangkau usia dua tahun. Jika si kecil anda berada dalam lingkungan usia ini, anda boleh memerhatikan permulaan aktiviti bermain yang menarik (lagi melucukan) ini. Sebaik sahaja si kecil menguasai asas-asas berbahasa dan mula bertutur dengan pelatnya, dia akan mula ‘bercakap’ dengan dirinya misalnya sebelum tidur atau apabila dia bangun pagi. Kita yang memerhati sukar untuk faham tutur kata si kecil, namun aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa penuh dengan ulangan bunyi atau perkataan ‘orang dewasa’. Aktiviti ini juga diselang-selikan dengan gelak ketawa si kecil walau hakikatnya dia sedang bercakap dengan diri sendiri (mungkin ini asalnya frasa “mudah terhibur”)! Seperti yang boleh dijangka, semakin usia kanak-kanak meningkat semakin kebolehan berbahasa mereka menjadi kompleks. Dalam lingkungan usia 3 hingga 4 tahun, aktiviti bermain melalui atau menggunakan bahasa juga semakin kompleks apabila si kecil kini mampu menyanyi dengan lebih teratur serta menggunakan bahasa secara lebih kreatif berbanding sebelumnya.
Ini sebabnya pada lingkungan usia sedemikian, si kecil amat suka mendengar cerita atau mahu dibacakan cerita oleh papa, mama atau cikgu prasekolahnya. Dia juga amat suka permainan bahasa seperti teka-teki, lagu-lagu kanak-kanak yang agak lucu dan sebagainya. Ciri humor yang semakin kompleks ini sudah pasti berkait rapat dengan aktiviti bermain dengan bahasa.
Perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat disepadukan melalui aktiviti bermain berimaginasi. Dalam erti kata lain, aktiviti ini adalah aktiviti bermain yang dapat memberi paling banyak manfaat dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia praformal! Aktiviti bermain berimaginasi mula berlaku sekitar usia setahun hingga setahun tiga bulan apabila si kecil semakin pandai mengajuk atau meniru perbuatan orang lain.
Aktiviti yang penuh dengan imaginasi memerlukan si pelaku (kanak-kanak) dan juga si penonton (orang dewasa) untuk berpura-pura bahawa sesuatu objek atau perbuatan sedang melambangkan objek atau perbuatan berbeza. Misalnya pisang yang dipegang oleh si kecil anda itu adalah telefon bimbit dan dia sedang menggunakan ‘telefon bimbit’ itu untuk menelefon anda.
Pada mulanya aktiviti bermain berimaginasi tidak terlalu kompleks, tetapi akan menjadi lebih rumit sejajar dengan usia dan pengalaman hidup kanak-kanak. Aktiviti yang pada mulanya hanya berpura-pura akan berubah menjadi main peranan (role play). Dari hanya satu babak pendek seperti si kecil menidurkan anak patung atau beruang teddy, aktiviti bermain ini akan menjadi babak yang panjang dan memerlukan penggunaan imaginasi yang lebih kreatif.
Yang pasti, melalui aktiviti bermain berimaginasi, si kecil 0-6 tahun dapat mula belajar nilai empati dan simpati dengan memahami perasaan orang lain. Melalui aktiviti bermain ini juga mereka akan mula memantapkan kebolehan berbahasa sesuai dengan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa di sekeliling mereka. Penyelidikan menunjukkan bahawa aktiviti bermain seperti ini membantu si kecil belajar berunding dengan kanak-kanak lain dan memahami asas-asas peraturan dan undang-undang dalam kehidupan sehari-hari.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak yang aktif, kuat kemahuan biasanya akan dilabelkan sebagai anak degil.? Betul atau tidak? Hakikatnya ini yang biasa diucapkan oleh ibu bapa. Sebenarnya tak perlu pun kita ulang perkataan anak degil bila nak suruh anak dengar cakap. Tapi ada cara terbaik boleh dibuat.
Perkongsian dari Pakar Kekeluargaan, Keibubapaan Dan Kasih Sayang, Ibu Rose melalui pengalamannya menghadapi karenah cucu sendiri diharapkan dapat membuka mata ibu bapa untuk memberi didikan terbaik pada anak-anak. Semoga kesilapan kita sebelum ini dapat diperbetulkan. Semasa cucu sulung Ibu, Az-Zahraa masih kecil 2 tahun ke bawah, dia adalah seorang yang sangat aktif, kreatif dan kuat kemahuan. Setengah orang menyamakan ini dengan degil.
Mama Az-Zahraa pernah bertanya Ibu,; “ Mummy macamana nak melarang anak tapi tidak mematahkan semangatnya?” Kerana dia tahu bahawa anaknya itu kuat kehendak dan jika tidak mendapat apa yang dikehendaki akan membuat perangai. Tetapi dia tahu, itu hanyalah kerana anak itu masih kecil dan belum faham banyak perkara. Dia juga faham jika dilarang dengan kasar dan selalu, semangat anak itu juga boleh mati.
Ramai orang mentafsirkan anak -anak begini sebagai agresif. Yalah, memang Ibu tahu cucu Ibu itu memang kuat kehendak dia. Jika dia mahukan sesuatu itu, dia akan buat sampai dapat.
Kami pun berbincang akan caranya. Dan Mama Az-Zahraa pun melakukan apa yang telah kami putuskan. Mama Az-Zahraa bila hendak melarang Az-Zahraa, dia akan menerangkan dengan sabar. Dia akan menerang sehingga Az-Zahraa faham. Dia akan memberi ruang Az-Zahraa melakukan apa yang tidak salah dan tidak membahayakan dan setiap itu dia akan menerangkan dengan sabar. Bukan seminggu atau sebulan dia mendidik dengan sabar tetapi bertahun…menerangkan sedikit-sedikit mengikut kemampuan kematangan seorang anak kecil.
Kesabarannya itulah yang telah membina keyakinan diri, rasa kasih yang mendalam kepada mamanya dan orang lain, mempunyai empati yang tinggi dan sifat bertanggungjawab yang tinggi serta mahu berkelakuan baik di dalam diri cucu Ibu itu.
Kini Az-Zahraa sudah 9 tahun dan mempunyai dua adik lelaki. Dia membantu mamanya menjaga adik, mendodoikan adik, membacakan buku untuk adik dan menyalin lampin adik, memasak dan banyak lagi kerja rumah tanpa disuruh atau dipaksa. Walaupun dia melakukan semua itu, AzZahraa tetap berkelakuan sebagai seorang kanak-kanak yang berusia 9 tahun. Namun seorang anak kecil yang bertanggung-jawab dan suka bertanggung-jawab. Ibu bersyukur sangat bila melihat perkara ini berlaku. Allah memberi Ibu keputusan yang menyakinkan lagi laungan Ibu.
Tujuan Ibu berkongsi cerita Az-Zahraa ini adalah bertujuan untuk menunjukkan, kita tidak perlu berkasar melarang anak untuk anak itu mendengar cakap, menjadi bijak dan seorang yang bertanggung-jawab. Malah jika kita asyik tidak sabar dan suka melarang dengan marah-marah, lagi payah sebenarnya untuk anak itu menjadi matang berfikir dan bertanggung-jawab.
Semoga perkongsian cerita ini memberi suluhan kepada para ibu bapa mengenai mendidik anak-anak yang kuat kehendak agar tidak patah semangat mereka.
Setiap anak yang dilahirkan mempunyai kelebihan masing-masing. Begitu juga dengan bakat terpendam anak yang mungkin ibu bapa sendiri tak perasan sehinggalah suatu hari mereka menunjukkan skilnya tersendiri.
Salah satu contohnya adalah pada seorang kanak-kanak berusia 3 tahun yang begitu berbakat sekali dalam bidang solekan dan tular di TikTok sehingga menarik perhatian ramai.
Menerusi TikTok rahmadanidina1112, jika kanak-kanak lain suka permainan anak patung, lego, kereta dan sebagainya, bagi anak kecil ini, set barangan make up buat dirinya teruja.
Dengan gaya yang bersahaja dan tidak kekok menggunakan bedak, foundation, lipstick, eyeshadow memang cukup buatkan sesiapa sahaja kagum dengan si cilik ni dan video tutorial make upnya itu telah ditonton lebih 7.3 juta.
Tambah pula, cara dia menggunakan barang make up nampak begitu pro sekali dan hasilnya sangat wow!
Dalam perkongsian video si cilik ini, menunjukkan skil dia make up wajah saudaranya sangat sempurna sekali. Kalah kita yang orang dewasa ini.
Menerusi kedua-dua video itu, ramai yang memuji dan yakin jika bakat si kecil ini diasah, pasti akan menjadi jurumekap profesional suatu hari nanti. Tak semua orang mampu lakukan dan ini adalah anugerah Allah.
“Adik boleh buka satu kelas, mesti ramai nak join”
“Part mata tu, jadi pelukis pun lepas adik ni nanti 😁”