Penuh Emosi & Syukur, Sally Whoo Kongsi Momen Selepas Selamat Bersalin Anak Kembar

Share

Tiada yang lebih indah bagi seorang ibu selain momen pertama mendakap zuriat yang sekian lama dinanti. Itulah yang dirasai pempengaruh media sosial dan usahawan, Sally Whoo, apabila selamat melahirkan cahaya mata kembar pada awal pagi Sabtu lalu.

Sally, atau nama sebenarnya Nur Salihah Aimuni, berkongsi berita gembira itu menerusi satu hantaran di Threads, menyatakan betapa dirinya dilimpahi rasa syukur dan sebak sebaik selamat menimang dua permata hatinya.

“Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.
Saya tak tahu nak mula dari mana, cuma air mata ni macam tak nak berhenti,” tulisnya dengan penuh emosi.

Menurut Sally, kelegaan dan keletihan bercampur dengan rasa takut dan syukur perasaan yang hanya seorang ibu benar-benar faham ketika melalui detik melahirkan.

“Rasa lega, penat, takut, syukur semua datang sekali. Allah, terima kasih. Dua nyawa kecil ini sudah selamat dalam pelukan mommy dan daddy.”

Dalam perkongsian sama, Sally turut memaklumkan perkembangan dirinya serta bayi kembarnya selepas bersalin.

“Finally pain killer tu dah habis, dari 6 pagi sampai sekarang baru bangun, baru makan. Alhamdulillah both baby sihat, baby girl je kena kuning for now.”

Katanya lagi, hari kedua selepas bersalin sudah mula menunjukkan perubahan positif apabila dirinya perlahan-lahan mampu bergerak sendiri.

“Harini second day dah boleh jalan sendiri pergi toilet, dah boleh jalan-jalan pusing dalam bilik. Harap by tomorrow tak rasa sakit sangat dah.”

 

Sally turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan dirinya dan bayi kembar yang baru dilahirkan.

“Again, terima kasih yang mendoakan Sally. Harap doa dan kata-kata baik tu berbalik pada kalian juga.”

Untuk rekod, Sally mendirikan rumah tangga bersama suaminya yang dikenali sebagai Toq, dan hasil perkahwinan mereka sebelum ini dikurniakan seorang anak lelaki, Ean Maleeq. Kini, kehadiran dua cahaya mata baharu ini melengkapkan lagi kebahagiaan kecil keluarga mereka.

Tahniah buat Sally dan suami atas kehadiran dua bidadari kecil yang membawa sejuta makna. Semoga ibu dan bayi terus sihat serta dipermudahkan segala urusan berpantang.

 

Published by
Nor Yusoff