Gangguan perasaan selepas bersalin sebenarnya dialami oleh ramai wanita iaitu sehingga 85 peratus sewaktu tempoh berpantang. Namun, kebanyakannya hanya mengalami pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan.
Malah ia berlaku sekejap sahaja, biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan. Bagaimanapun, dalam segelintir 10 peratus wanita, gangguan perasaan berlaku lebih mendalam dan berpanjangan.
Ia boleh berlaku selepas kelahiran pertama dan seterusnya kerana setiap kelahiran adalah berbeza. Ibu-ibu yang mendapat perubahan emosi ini mudah merasa penat dan keletihan.
Bagaimana nak tangani masalah ini dan apa harus dilakukan? Perkongsian dari Puan Nad Masrom ini melalui pengalamannya sendiri yang pernah mengalami fasa meroyan ini mungkin boleh membantu.
Tak sanggup rasanya nak baca tentang bayi 3 bulan yang meninggal dunia di tangan ibu sendiri.
Ibu baru pertama kali melahirkan anak, mengalami perubahan hormon yang mendadak selepas kelahiran kemudian mengalami kecelaruan emosi yang tak disedari.
Saya bersyukur ketika saya melalui fasa meroyan 8 tahun yang lalu, suami, keluarga, mak mertua, ayah mertua dan sahabat handai sentiasa di sisi, beri sokongan emosi dan sediakan bahu untuk saya bersandar.
Banyak faktor meroyan ni boleh berlaku; kelahiran pramatang, ibu bersalin kali pertama, ibu alami komplikasi kelahiran, anak sakit dan lain-lain.
Sedikit tips yang saya boleh kongsikan bersama ibu-ibu yang mungkin alami situasi seperti ini berdasarkan pengalaman saya sebelum ini:
1. Amalkan istighfar 1000x
Ads
Tips ni dulu sahabat saya FaaFalina Sanusi yang kongsikan. Alhamdulillah ia berkesan untuk rawat hati saya ketika itu. Tasbih digital sangat membantu. Bila jiwa celaru, cepat-cepat buat. Percayalah, ia dapat merawat hati yang lara.
2. Elakkan bersendirian
Bersendirian ni bukan maksudnya duduk seorang diri. Kadang-kadang kita dengan anak-anak tapi fikiran melayang jauh. Pastikan kita ditemani orang yang lebih matang dan sedar perubahan diri kita.
3. Solat Dhuha
Cuba amalkan setiap pagi. In shaa Allah solat dhuha dapat menjadikan hari kita bermula dengan lebih baik.
4. Baca Surah Yassin
Ads
Setiap kali lepas solat fardu, amalkan baca surah yassin. Tak lama pun baca yassin ni. Dalam 10-15 minit macam tu. Lama-lama akan rasa keringanan pada beban yang dialami.
5. Solat tahajud
Jika belum istiqamah untuk bangun tahajud, setiap kali terjaga malam, tadahlah tangan dan berdoa apa sahaja yang diinginkan. In shaa Allah, Allah akan kira usaha awal kita ini. Tahajud menjadikan jiwa kita lebih kuat.
6. Kurangkan / elakkan media sosial
Kita kerap membandingkan diri dengan wanita lain. Kita akan rasa diri tak sempurna bila melihat perbandingan maya ini. Sebelum hati benar-benar kental, kurangkan interaksi mesia sosial ini untuk elakkan diri hilang motivasi dan merasakan kita banyak kekurangan.
Ads
7. Pilih circle
Tak apa circle kita mengecil. Tapi kita kena pilih mereka yang betul-betul dipercayai dan bersedia ada di sisi kita bila kita benar-benar memerlukan. Jauhkan mereka yang boleh memberi aura negatif.
8. Cari jawapan dari tafsir
Saya kerap lakukan ini. Dalam keadaan keliru, ambillah tafsir al-qur’an, pegang dan berdoa dalam hati dengan keadaan yakin (YAKIN tu macam kita order pizza dan dalam masa 15 minit pizza tu akan sampai pada kita).
Berdoalah minta Allah beri petunjuk dan bukalah mana-mana muka surat secara rawak. In shaa Allah dalam salah satu ayat di muka surat tersebut, ada jawapan untuk persoalan kita.
9. Luah perasaan
Kalau kita sukar nak percaya orang lain, luahkan perasaan melalui penulisan. Tulis di buku sebagai jurnal setiap hari. Kalau nak tulis di facebook tapi tak nak orang baca, set ONLY ME.
Tak yakin nak menulis? Contenglah apa-apa sahaja lakaran. Saya lebih suka buat seni terapi. Lukis apa sahaja yang mewakili perasaan saya ketika itu.
Luahkan dengan cara yang betul dan carilah bantuan bila diperlukan. In shaa Allah bila kita yakin yang kita akan dibantu, bantuan tu akan benar-benar tiba. Jangan biarkan jiwa kita bergolak dan akhirnya memakan diri sendiri.
Sumber: Nad Masrom
Certified Lactation Counselor
Art Therapy in Breastfeeding
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rupa-rupanya sebelum usia 4 tahun, kanak-kanak perlu menjalani pemeriksaan gigi sebanyak 3 kali. Penting untuk elak masalah gigi rosak.
Menjadi kewajipan ibu ayah untuk menunaikan hak anak-anak yang masih kecil. Mereka masih belum tahu melakukannya sendiri terutama sekali pemeriksaan gigi.
Banyak masalah berkaitan gigi anak, belum pun usia dua tahun gigi dah mula rongak gara-gara kurangnya kepekaan ibu bapa kepada pemeriksaan gigi anak. Sepatutnya sebelum usia 4 tahun, gigi anak sudah diperiksa 3 kali!
Ibu ayah jangan ambil mudah bab gigi anak. Bawa mereka buat pemeriksaan bila tiba masanya untuk elak masalah gigi rosak. Kecuaian ibu ayah boleh menyebabkan mereka tidak mampu untuk makan/ mengunyah berkhasiat dengan baik dan keluar masuk hospital sebab sakit gigi.
Sumber gambar: Bahagian Kesihatan Pergigian Selangor
PEMERIKSAAN GIGI MENGIKUT TAHAP USIA
Banyak perkara berkenaan gigi anak yang akan diperiksa mengikut tahap usia. Ia telah tertulis di dalam buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak (0-6 tahun) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti;
Pada usia 0-9 bulan, bayi akan diperiksa sama ada menghisap susu botol, menghisap puting tiruan atau bayi tidur dengan menghisap botol susu atau susu ibu.
Pada usia 10 hingga 23 bulan pula, antara soalan yang ditanya semasa pemeriksaan ialah adakah anak dibiar tertidur dengan botol sus di mulut atau ketika menyusu badan, ibu bapa pernah mendengar tentang karies gigi dan sebagainya.
Manakala pada usia 2-4 tahun pula, antara perkara yang diselidiki ialah ibu bapa/ penjaga menyelia anak semasa memberus gigi, anak memberus gigi sebelum tidur, menggunakan ubat gigi berflourida semasa memberus gigi dan lain-lain.
Keperihatinan ibu bapa boleh membantu si manja mengelakkan masalah berkaitan gigi sepanjang proses pembesarannya. Amalan baik seperti memberus gigi sebelum tidur juga boleh diterapkan sejak awal lagi sebenarnya.
Hak untuk mendapatkan pemeriksaan gigi mengikut waktu yang sewajarnya.
Ramai ibu bapa yang tidak peka mengenai pemeriksaan pergigian bagi anak-anak di bawah umur 4 tahun.
Belek-belek sedikit buku kesihatan anak anda itu..
Cuba lihat muka surat 68,96 & 115. Jarang sekali dilihat lengkap semuanya. Tahniah buat yang peka.
SEBELUM 4 TAHUN DIPERIKSA SEKURANG-KURANGNYA 3 KALI
Untuk makluman ibu bapa sekalian, anak berumur bawah 4 tahun giginya perlu diperiksa sekurangnya 3 kali :
0 – 9 bulan
10 – 23 bulan
2 – 4 tahun
GIGI SUSU SAMA PENTINGNYA DENGAN GIGI KEKAL
Kesihatan pergigian perlu seiring dengan kesihatan tubuh badan yang lain.Jangan di anggap remeh walaupun hanya gigi susu yang ada. Gigi susu sama pentingnya seperti gigi kekal.
KESILAPAN IBU AYAH BOLEH BUAT ANAK MERANA
Mahukah anda lihat anak kecil itu tak lena tidurnya kerana kesakitan gigi?
Sanggup anda lihat anak kecil itu kekurangan zat kerana tak mampu mengunyah makanan dgn baik?
Ada juga anak kecil terpaksa keluar masuk hospital kerana jangkitan kuman akibat kerosakan gigi susu.
BAWA ANAK KE KLINIK PERGIGIAN SEAWAL BOLEH
Bawa anak anda ke klinik pergigian seawal yang boleh. Pasti ada nasihat dan celoteh dari doktor atau nurse yang merawat nanti.
Membentuk tubuh langsing dan mendapatkan semula berat badan ideal selepas bersalin adalah idaman setiap ibu. Namun, pastinya ia tidak semudah disangka dan lebih sukar terutama buat ibu yang memberikan susu badan kepada bayi mereka.
Bahagian perut yang buncit serta kehadiran selulit dan tanda regangan membuatkan ramai ibu yang gelisah. Lemak yang terkumpul di perut mendedahkan ibu kepada masalah yang serius seperti diabetes dan penyakit jantung.
Masalah perut buncit, ‘Spare Tyre’ atau perut menggeleber selepas bersalin adalah perkara normal bagi setiap ibu selepas bersalin. Namun, jika dibiarkan sahaja tanpa sebarang tindakan susulan ianya akan berkekalan dan boleh menjejaskan penampilan ibu. Atas faktor kesihatan, saiz ukuran pinggang ibu disarankan tidak melebihi 35 inci. Saiz lingkaran pinggang berlebihan mendedahkan ibu kepada pelbagai risiko penyakit.
Individu dengan kadar lemak yang tinggi di perut cenderung mempunyai nafsu makan yang besar. Lemak berlebihan dalam tubuh menghalang pelepasan hormon yang mengendalikan nafsu makan. Justeru membuatkan individu sukar mengawal nafsu makan mereka dan makan dalam jumlah yang banyak. Akibatnya, masalah perut buncit sukar diatasi.
Tubuh yang langsing sememangnya menjadi idaman setiap ibu. Ada segelintir ibu yang ingin langsing cepat dengan mengambil ubat-ubatan tanpa memikirkan kesannya terhadap kesihatan diri dan bayi. Apakah rahsia untuk kekal langsing secara sihat? Kak Engku ingin berkongsi tip yang lebih selamat untuk menghilangkan masalah perut buncit selepas bersalin dengan kaedah yang mudah dan murah. Ikuti 10 tip berikut:
1. Penyusuan
Penyusuan bukan hanya memberi manfaat kepada bayi sahaja, malah ianya juga sangat membantu Ibu untuk langsing semula. Ibu digalakkan menyusukan anaknya hanya dengan susu ibu sebaik sahaja bayi dilahirkan. Sebaik-baiknya lakukan penyusuan secara ekslusif sehingga bayi berumur 6 bulan tanpa memberi makanan dan minuman tambahan selain dari susu ibu. Juga disarankan agar penyusuan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun.
Ibu yang menyusukan bayi akan cepat berasa lapar dan dahaga. Ini disebabkan air dan banyak kalori diperlukan untuk menghasilkan susu ibu. Oleh sebab itulah, ibu menyusu dinasihatkan mengamalkan pemakanan seimbang terutama makanan yang rendah lemak dan tinggi serat. Diet ideal ialah makanan yang tinggi kandungan protein dan vitaminnya. Kalori juga harus dikira supaya ada penyusutan berat badan. Perlu diingat, kalori yang sesuai bagi ibu menyusu adalah sekitar 2500 kcal. Kalau terlalu kurang, dikhuatiri kualiti susu yang dihasilkan tidak memuaskan.
Penyusuan dan pemakanan seimbang mampu membantu menurunkan berat badan. Setiap kali sesi penyusuan 85kcal akan di bakar bagi 100ml susu badan yang dihasilkan. Untuk 6 bulan pertama, purata susu badan dihasilkan sehari adalah sebanyak 750ml. Ini bermakna sebanyak 650kcal akan dibakar hanya dengan menyusukan susu badan. 650kcal kalori yang dibakar adalah bersamaan dengan naik tangga berterusan selama 90 minit. Penyusuan juga membantu mengecutkan rahim ibu dan bantu mengembalikan bentuk badan asal dengan cepat. Jadi teruskanlah menyusukan anak dengan susu ibu.
2. Pemakaian Bengkung
Aspek penjagaan diri bagi ibu-ibu bersalin semakin dipandang remeh dan diambil ringan oleh ramai wanita hari ini, terutama amalan berurut, bertuam, bertungku, bertangas dan berbengkung atau berbarut. Tidak dinafikan amalan tersebut agak leceh dan remeh tetapi kesan dan hasilnya berpanjangan. Amalan berbengkung yang dilakukan secara berdisiplin boleh membantu seseorang ibu mengembalikan bentuk badan asal secara semulajadi. Pemilihan dan penggunaan bengkung yang sesuai serta cara pemakaian yang betul mampu merampingkan pinggang Ibu.
Di samping itu, berbengkung bertujuan untuk memejalkan semula otot-otot badan, perut dan pinggul. Ia juga mengempiskan semula perut yang menggeleber dan mengetatkan peranakan agar tidak jatuh. Ibu perlu berbengkung untuk mendapatkan kembali tubuh yang langsing kerana fizikal badan berubah semasa mengandung. Otot menjadi kendur dan perlu ditegangkan semula agar tubuh menjadi kemas dan langsing semula.
Waktu sesuai berbengkung adalah selepas mandi pagi dan setelah di urut. Ulangi semula pada sebelah petang selepas mandi hinggalah pagi keesokannya. Ibu pasti tersenyum melihat hasilnya.
3. Amalan Bertungku
Bertungku adalah amalan tradisional ibu-ibu untuk memecahkan darah beku selepas bersalin. Amalan ini semakin kurang mendapat sambutan kerana khasiat dan kebaikan bertungku sudah tidak dititikberatkan. Tujuan bertungku adalah untuk membantu mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku, memecahkan lemak dan mengecutkan rahim bagi ibu selepas bersalin.
4. Kawal Diet Pemakanan
Untuk 6 bulan pertama, Ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif dinasihatkan mengamalkan pemakanan sihat yang rendah lemak dan tinggi serat. Manakala bagi Ibu yang sudah tidak menyusukan bayi, Ibu boleh mengawal diet pemakanan secara teratur. Kurangkan pengambilan karbohidrat, lemak dan minyak. Lebihkan pengambilan protein bagi membina otot tubuh dan menganjalkan semula perut yang menggeleber. Tingkatkan juga pengambilan makanan yang dapat mempercepatkan proses pembakaran lemak seperti oat, kekacang, bayam dan madu.
Ingin sentiasa kenyang pada masa yang sama mampu mengecilkan saiz pinggang? Cuba amalkan oat, cendawan, asparagus, bawang dan pisang. Ini kerana makanan tersebut menghasilkan lebih hormon yang mengawal selera yang membuatkan Ibu sentiasa berasa kenyang.
5. Kepentingan Sarapan Pagi
Bagi Ibu yang ingin kembali langsing, jangan pandang remeh akan perkara ini. Bersarapan dapat meningkatkan metabolisma dalam badan dan menyebabkan kadar pembakaran tenaga berlaku dengan lebih cepat. Namun, cuba ambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi makan dengan lebih kerap. Amalkan makanan tinggi serat, kurangkan gula ringkas dan makan lemak yang sihat.
6. Teh Hijau Dan Jus Limau Nipis
Untuk mengempiskan perut, selain menjaga pemakanan dan bersenam secara teratur, Ibu boleh mempercepatkan proses tersebut dengan mengamalkan minum teh hijau. Sejak dahulu lagi, teh hijau disebut sebagai minuman pelangsing kerana memiliki kandungan Catechin yang berupaya meningkatkan pembakaran lemak, sekali pun sewaktu Ibu tidak bergerak. Catechin adalah sejenis polifenol yang terdapat di dalam daun teh yang memiliki sifat sebagai antioksidan. Ibu disarankan meminum teh hijau selepas makan makanan yang berlemak. Kaedah ini sesuai untuk ibu yang tidak menyusukan bayi dengan susu ibu.
Selain mengamalkan minum teh hijau, minum minuman yang masam akan menggalakkan pembakaran lemak di dalam tubuh. Amalkanlah minum air limau nipis atau jus oren segar sebaik-baiknya tanpa gula.
7. Minum Air Sebelum Makan
Pelik tapi benar. Menurut satu kajian, Ibu yang minum 2 gelas air sebelum sarapan, makan tengahari dan malam mampu mengurangkan berat badan sebanyak 12kg setahun. Ibu yang minum 2 gelas air mendapat 75 kalori berbanding yang tidak minum air. Ia juga meningkatkan metabolisma tubuh.
Elakkan makan bersulam air. Ramai yang gemar menikmati makanan dengan ditemani segelas air. Mungkin sudah terbiasa makan diselangi minum air agar tidak tercekik dan tersedak. Sebenarnya minum bersulam air boleh memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman dan meningkatkan insulin dengan cepat. Bukan sahaja masalah kesihatan, tetapi turut membuatkan lemak berkumpul di bahagian perut dengan cepat.
8. Selepas Makan, Gerak 25 Langkah
Kurangkan segera kalori selepas makan! Setiap 25 langkah anda berjalan, satu kalori akan digunakan. Lebih-lebih lagi jika anda menaiki tangga. Lakukan dengan santai kerana perut baru diisi. Selain memberi peluang makanan untuk hadam, amalan berjalan-jalan sesudah makan membantu menghabiskan sebahagian kalori daripada makanan yang diambil.
9. Senaman Secara Teratur
Sebaik sahaja bersalin, senaman kurang sesuai dilakukan kerana ibu perlu berehat bagi menyembuhkan luka pada vagina (kelahiran normal) atau perut (kelahiran caesarean). Selepas 3 bulan bersalin, pemulihan ibu sudah sempurna. Usaha untuk merampingkan pinggang perlu dititikberatkan. Pelajari cara dan panduan untuk menurunkan berat badan yang betul dan jangan lakukan diet secara membuta tuli, ini boleh menjejaskan kesihatan anda.
Senaman hendaklah dilakukan dengan betul dan teratur agar ia dapat memberi manfaat. Senaman mestilah sesuai dengan individu yang melakukannya. Sebagai contoh, individu yang mempunyai perut geleber haruslah melakukan senaman yang boleh membakar lemak.
Senaman juga mestilah seiring dengan diet yang betul. Tisu lemak akan hanya digunakan oleh badan apabila kita membakar kalori melalui senaman lebih tinggi daripada jumlah kalori yang diambil pada hari sebelumnya. Sebagai contoh; sekiranya kita mengambil 2,500 kalori pada hari sebelumnya, kita mesti bersenam untuk membakar 3,000 kalori pada hari berikutnya.
Ibu yang ingin kembali ramping, mesti melakukan senaman setiap hari untuk membakar kalori yang cukup agar lemak yang tersimpan dapat digunakan. Diet makanan yang sihat mestilah diteruskan supaya tiada lebihan lemak yang boleh disimpan kembali oleh badan.
Senaman kardio vaskular dan abdomen tertentu boleh membantu mengempiskan perut. Senaman yang dilakukan secara konsisten boleh mendapatkan kesan terbaik. Untuk mengempiskan perut juga, gerakan punggung secara perlahan boleh dilakukan contohnya dengan melakukan tarian gelek, dangdut atau hula-hula.
10. Petua Tradisional
Selain daripada berbengkung, masalah perut buncit selepas bersalin boleh juga diatasi dengan mengamalkan petua tradisional. Caranya, dua hari selepas bersalin, ambil kapur sirih, perahkan sebiji asam limau kepada kapur sirih tadi, lumurkan campuran tersebut di permukaan perut Ibu sehingga rata, biarkan seketika sehingga kering. Sapuan ini akan menyebabkan perut terasa hangat kerana kesan kapur. Oleh itu jangan sapu terlalu banyak.
Tujuannya adalah untuk mengempiskan perut yang membuncit dan membakar lemak. Namun rawatan ini mengambil masa yang lama untuk perut kembali kempis. Amalkan petua ini selama tempoh berpantang (44 hari) berturut-turut. Kebiasaannya jika dilakukan secara berdisplin selepas tempoh berpantang, perut Ibu beransur kempis, kelihatan licin, anjal dan tidak berkedut-kedut. Keadaan perut kembali menarik seperti sebelum Ibu bersalin.
Tisu basah bayi merupakan antara ‘aksesori’ wajib ada bagi kebanyakan ibu bapa yang ada bayi dan anak kecil. Kebiasaannya ia menjadi pilihan apabila berada di luar rumah bagi memudahkan urusan menukar lampin dan membersihkan sisa makanan pada mulut dan wajah bayi.
DIY Tisu Basah Untuk Bayi, Jimat Tak Perlu Beli
Tetapi selamatkah penggunaan tisu pada bahagian tubuh seperti muka bayi?
Tisu basah bayi
Tisu bayi adalah tisu lembap yang direka untuk membersihkan kulit bayi dengan berkesan semasa menukar lampin.
Biasanya tisu ini akan menggunakan bahan sensitif untuk mengelakkan kerengsaan pada kulit si manja dan sekurang-kurangnya mengandungi satu bahan pelembap dan menenangkan.
Disebabkan itulah, tisu basah bayi ini sesuai digunakan untuk membersihkan bahagian sulit si kecil terutamanya selepas kencing dan berak.
Bahan dalam tisu basah bayi
Tisu lembap ini biasanya menggabungkan air, minyak, pembersih dan pengawet.
Terdapat juga tisu yang mempunyai formula lebih ringkas, contohnya hanya menggunakan air dan pengawet ringan. Sesetengah tisu basah juga mungkin mempunyai formulasi lebih kompleks yang menggunakan pelbagai jenis minyak, agen pembersih dan pengawet.
Anda akan menggunakan tisu ini beberapa kali sehari, jadi amat penting untuk memberi perhatian terhadap bahan yang digunakan.
Berikut adalah bahan yang paling biasa digunakan dalam tisu bayi:
Air, bahan utama dalam tisu basah bayi
Tidak menghairankan, kebanyakan tisu bayi mengandungi sekurang-kurangnya 95% air – biasanya ditapis, ditulenkan atau disuling.
Minyak dan pelembap
Minyak membantu menanggalkan kotoran pada bahagian sulit si kecil, mengelakkan tisu mudah kering dan memberikan pelembap nipis untuk kulit.
Antara jenis minyak yang sering digunakan adalah minyak zaitun, minyak sayuran, minyak kelapa, minyak kastor atau minyak bijian seperti daripada bunga matahari, tomato atau kranberi.
Bahan pembersih dalam tisu basah bayi
Dalam kebanyakan tisu lembap, bahan ini adalah seperti setitik sabun dan sudah tentu bahan di dalam sabun itu yang harus diperhatikan.
Bahan pengawet
Pengawet digunakan untuk membantu memastikan tisu basah ini sentiasa segar dan menghalang pertumbuhan bakteria atau kulat.
Perhatikan bahan pengawet keras yang harus dielakkan seperti phenoxyethanol, benzyl alcohol, sodium benzoate atau methylchloroisothiazolinone.
Bahan pewangi
Oleh sebab wangian merupakan punca yang boleh menyebabkan iritasi pada kulit bayi yang sensitif, jadi sebaiknya pilihlah tisu basah yang tidak dicampur bahan ini. Kebanyakan tisu bayi sensitif tidak mengandungi sebarang pewangi.
Penggunaan tisu basah bayi, selamat ke?
Penggunaan tisu basah dianggap perkara biasa dan sering menjadi pilihan untuk membersihkan badan si manja daripada kotoran. Bahkan tisu basah juga sering digunakan untuk membersihkan muka bayi, ini kerana ia dianggap selamat untuk kulit bayi.
Tetapi adakah benar tisu basah selamat dan boleh digunakan pada bahagian muka si manja?
Kebenarannya, penggunaan tisu basah untuk muka bayi adalah tidak selamat sepenuhnya – terutama jika digunakan secara intensif.
Tisu lembap ini biasanya hanya disyorkan untuk membersihkan bahagian kemaluan bayi selepas membuang air besar, apabila berada di luar rumah atau dalam keadaan terdesak lain.
Penggunaan kerap tisu basah baby ini tidak disarankan, lebih-lebih lagi jika digunakan untuk mengelap muka bayi anda.
Ia dianggap tidak selamat jika tisu digunakan mengandungi alkohol dan pewangi – bahan yang cenderung menyebabkan kerengsaan pada kulit bayi, ruam merah dan kegatalan. Malah, penggunaan untuk jangka masa lama dan konsisten, berisiko menyebabkan kulit pada bahagian muka bayi rosak.
Cara selamat menggunakan tisu basah bayi
Tetapi bagaimana jika berada dalam keadaan terdesak untuk mengelap muka bayi dan hanya mempunyai tisu basah?
Bertenang, ada cara selamat untuk menggunakan tisu lembap ini pada muka si kecil, iaitu dengan menggosok tisu secara minimum. Idea yang disarankan adalah untuk mengelap tisu pada muka bayi sekali sahaja bagi mengelakkan kerengsaan.
Umumnya, bahagian paling selamat untuk menggunakan tisu basah adalah pada bahagian alat sulit si manja, tangan, kaki dan belakang badan mereka.
Sebaiknya, pilihlah tisu yang mengandungi alkohol dan wangian dalam jumlah yang kecil. Atau lebih baik lagi adalah memilih tisu basah yang langsung tidak menggunakan bahan-bahan tersebut bagi mengelakkan reaksi alahan pada kulit bayi.
Kadangkala, agak sukar untuk mendapatkan tisu basah tanpa penggunaan alkohol, jadi anda boleh membuatnya sendiri di rumah. Ingin tahu bagaimana caranya? Jom!
Nak Buat Pun Senang
CARA MEMBUAT TISU BASAH DI RUMAH:
Berikut adalah bahan-bahan dan cara membuat tisu basah bayi:
2 cawan air panas – supaya tisu tidak berkulat
1 sudu besar minyak bayi
2 sudu besar sabun mandian bayi
1 gulung tisu dapur
Tempat bersih untuk menyimpan tisu
Cara membuat tisu basah bayi:
Potongkan tisu dapur kepada 2 bahagian menggunakan pisau tajam.
Campurkan air panas bersama sabun mandian dan minyak bayi, kacau sebati.
Masukkan tisu yang dipotong tadi ke dalam bekas simpanan. Kemudian tuangkan campuran cecair ke atas tisu. Pastikan tisu basah secara rata.
Tutup bekas dan biarkan seketika.
Buka bekas mengandungi tisu basah dan keluarkan kertas pada bahagian tengah tisu. Kini tisu basah DIY anda sedia untuk digunakan.
Cara penyimpanan tisu basah bayi DIY
Perlu diingatkan penghasilan tisu lembap DIY adalah tidak menggunakan bahan pengawet. Ini bermakna kemungkinan jangka hayat tisu adalah tidak sama seperti yang dibeli di kedai.
Sebelum menggunakan tisu basah DIY, pastikan anda memeriksa tiada kulat pada tisu.
Manakala untuk kaedah penyimpanan tisu buatan sendiri ini, gunakanlah bekas bersih dan kedap udara.
Penggunaan tisu basah bayi
Jika anda mempunyai masa dan keinginan, adalah berbaloi untuk menghasilkan tisu basah sendiri.
Ia bukan sekadar dapat menjimatkan duit untuk tempoh jangka masa panjang, tetapi bagi ibu bapa yang mempunyai bayi dengan kulit sensitif, membuat tisu basah sendiri membolehkan anda mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas bahan yang digunakan.
Secara tidak langsung penggunaan tisu basah DIY akan dapat mencegah iritasi pada kulit si kecil yang lembut. Selamat mencuba!
Kredit: Hello Doktor
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Baru-baru ni, Fattah Amin sempat buat satu sesi live santai bersama keluarganya. Pada awalnya, ramai yang sangka ia cuma sesi biasa artis berkongsi masa...