Pernah Turun Berat Ke 40kg, Amyra Akui Sibuk Urus Anak, Rumah Tangga &  Kerjaya Jadi Punca

Share

Turun berat badan selepas bersalin, ia jarang kedengaran. Lazimnya mama-mama akan naik berat badan lepas bersalin.

Menurut aktres cantik, Amyra Rosli ia terjadi tanpa disedari. Tapi bila sedar berat turun, dia terus mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik kerana bimbang masalah kesihatan. Tapi ternyata keputusan pemeriksaan tidak menunjukkan sesuatu yang buruk kecuali tekanan darah yang agak rendah yang telah dihadapinya sebelum ini. Ia berlaku ketika bulan Ramadan lalu dan kini dia bersyukur kerana beratnya telah naik ke 43kg.

Amyra sempat memberitahu, yang ajaibnya, semasa mengandungkan Anaqi, tekanan darahnya menunjukkan bacaan yang baik, tidak rendah seperti sebelumnya. Beratnya sebelum bersalin pulas ialah 58kg.

Aqeef Anaqi, 10 bulan yang sedang aktif juga salah satu ‘pembakar kalori’ buat Amyra. Walau pun tinggal dengan dengan ibu bapanya, Amyra tidak pernah menyerahkan tugas menguruskan anak dan suami kepada orang lain. Semuanya dilakukan sendiri.

Malah setiap hari dia memastikan untuk memasak sendiri sajian makan tengah hari dan malam untuk Aqeef Anaqi dan menguruskan makan pakai suami Amar Baharin. Katanya ia adalah kepuasan bila boleh melakukannya sendiri.

Kini dengan berat badan 43kg, ibu muda ini akui faktor pemakanan juga salah satu sebab berat tidak naik mencanak. Dia yang gemar makanan berkuah, sup dan dimasak secara kukus. Amyra kurang gemar makanan yang bergoreng dan minuman manis.

Aktres 27 tahun ini juga mengamalkan makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap. Ia juga salah satu sebab kenapa dia sentiasa tampak langsing walau pun sudah bergelar ibu. Senaman ringan di rumah juga dilakukan untuk menjaga kecergasan diri.

Amyra amat berterima kasih kepada ahli keluarga yang banyak membantu dalam menguruskan Anaqi setiap kali dia perlu bekerja diluar. Anaqi juga memberikan kerjasama yang baik kerana tidak banyak meragam serta mudah diuruskan.

Sumber: Amyra Rosli

 

IKLAN