Intoleransi makanan adalah berkaitan dengan tindak balas makanan harian yang diambil dan langsung tidak berkaitan dengan alahan.

Intoleransi makanan?

Intoleransi melibatkan reaksi terhadap makanan harian yang anak ambil. Tindak balas tak tolerans itu mungkin disebabkan tubuh tidak dapat memecahkan makanan dengan betul.

Sebab lain terjadinya keadaan ini kerana badan mengalami iritasi terhadap bahan kimia yang terdapat dalam makanan tersebut.

Ada sesetengah kanak-kanak boleh mengambil jenis makanan yang tak tolerans dalam jumlah yang sedikit.

Pastinya ada ibu-ibu yang terfikir bahawa intoleransi makanan ini adalah sama seperti alahan makanan, betul tak? Hakikatnya ia berbeza sama sekali.

Alahan makanan berlaku apabila sistem imun anak bertindak balas terhadap makanan yang dimakan. Sedangkan keadaan tak tolerans makanan ini langsung tidak melibatkan sistem pertahanan tubuh.

Secara umumnya, alergi makanan adalah lebih teruk dan mempunyai banyak gejala berbanding intoleransi makanan ini.

Simptom intoleransi makanan

Jika anak mengalami masalah tak tolerans makanan, mereka akan berdepan ketidakselesaan sejurus selepas makan makanan harian tertentu.

Gejalanya bervariasi dan sering melibatkan sistem pencernaan. Antara simptom umum yang mungkin dialami anak adalah seperti:

  • Perut kembung
  • Cirit-birit
  • Sakit kepala atau migrain
  • Ulser mulut
  • Perut berangin atau gas berlebihan
  • Hidung berair

Untuk individu dengan masalah ini, jumlah makanan harian yang diambil akan menentukan tahap gejala mereka.

Simptom kesan intoleransi makanan ini boleh mengambil masa agak lama sebelum muncul.

Permulaannya mungkin boleh berlaku beberapa jam selepas mengambil sesuatu jenis makanan dan gejalanya akan berlanjutan hingga berhari-hari.

Memang tidak dinafikan wujud kesukaran untuk menentukan sama ada anak mempunyai keadaan tak tolerans terhadap makanan atau alahan. Ia adalah kerana tanda dan gejala kedua-duanya adalah bertindih.

Jika anda berasa anak mempunyai isu tak tolerans makanan atau tidak pasti punca yang mendasari, lakukan pemeriksaan doktor untuk kepastian.

IKLAN

Jenis makanan harian

Ada bahan dalam makanan harian tidak boleh dicerna menyebabkan terjadinya keadaan tak tolerans ini. Ia mungkin disebabkan oleh kekurangan enzim pencernaan atau kepekaan terhadap bahan kimia tertentu.

Antara jenis makanan harian biasa yang boleh menjadi punca adalah:

  • Laktosa – gula dalam produk tenusu
  • Gluten – dalam bijrin termasuk gandum
  • Bahan penambah rasa dan pewarna, termasuk MSG
  • Fruktosa – gula dalam buah-buahan
  • Sebatian lain – termasuk kafein

Tubuh menggunakan enzim pencernaan untuk memecahkan makanan. Jika seseorang kekurangan enzim tertentu, fungsi pencernaan makanan mungkin tidak efisien.

Laktosa adalah gula yang terdapat dalam produk tenusu seperti susu dan keju.

Mereka dengan keadaan tak tolerans laktosa tidak mempunyai cukup enzim laktase – berfungsi memecahkan laktosa menjadi molekul lebih kecil, agar mudah diserap tubuh melalui usus.

Laktosa yang kekal dalam saluran pencernaan, boleh menyebabkan kekejangan, sakit perut dan kembung, cirit-birit serta perut berangin.

Fruktosa adalah gula yang terdapat dalam madu, buah dan beberapa jenis sayuran.

Keadaan tak tolerans ini juga berkaitan dengan kekurangan enzim, namun keadaan ini jarang untuk terjadi. Dalam kebanyakan kes, ia dikenali sebagai tak tolerans fruktosa keturunan.

Antara simptom yang boleh dialami adalah seperti perut berangin, kembung, kekejangan dan cirit-birit.

#Intoleransi gluten

IKLAN

Gluten adalah protein yang terdapat dalam kebanyakan makanan harian seperti bijirin, termasuklah gandum dan barli.

Anak dengan keadaan ini boleh mengalami ketidakselesaan abdomen seperti sakit perut, kembung atau loya.

#Bahan penambah rasa makanan

Berikut antara bahan dalam makanan harian yang menyebabkan tindak balas ketika proses pencernaan:

Nitrat

Bahan pengawet ini biasa digunakan pada daging yang diproses. Simptom yang boleh dialami adalah sakit kepala dan kegatalan.

Monosodium glutamate (MSG)

Penambah rasa ini boleh menyebabkan sakit kepala, sesak dada, loya dan cirit-birit pada mereka yang mengalami intoleransi makanan.

Sulfit

Bahan pengawet ini terdapat dalam wain, buah kering, udang segar dan sesetengah sapuan roti.

Antara simptom yang boleh terjadi adalah sesak dada, gatal-gatal, cirit-birit dan adakalanya anafilaksis – reaksi alahan serius.

IKLAN

Diagnosis intoleransi makanan

Keadaan tidak tolerans dan alahan makanan boleh mempunyai simptom yang sama, jadi sukar untuk mendiagnosis keadaan ini.

Ia akan bertambah rumit jika seseorang itu mempunyai lebih daripada satu tak tolerans makanan.

Cara diagnosis yang akan dilakukan adalah:

Diet penyingkiran

Ujian yang paling biasa untuk masalah tidak tolerans makanan. Melibatkan proses penyingkiran makanan harian tertentu terutamanya yang menyebabkan intoleransi. Tempoh proses ini biasanya memakan masa berminggu-minggu.

Kemudian, anda perlu memperkenalkan semula makanan satu demi satu untuk mengenal pasti punca masalah ini.

Ujian pernafasan bantu kesan intoleransi makanan

Dalam kes berkaitan tidak tolerans fruktosa atau laktosa, doktor boleh menggunakan ujian nafas yang menguji jumlah gas hidrogen dalam nafas kanak-kanak.

Kanak-kanak dengan masalah intoleransi laktosa akan mempunyai tahap hidrogen yang lebih tinggi dalam nafas mereka.

Namun untuk mendiagnosis keadaan tak tolerans laktosa boleh menimbulkan kesukaran kerana gejalanya serupa dengan alahan makanan.

Sekiranya anda mempunyai kebimbangan dan berasakan anak mengalami masalah intoleransi terhadap makanan harian tertentu, berbincanglah dengan doktor.

Kredit: Hello Doktor

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Pa&Ma BF VIP Eksklusif mengalu-alukan ibu yang sedang hamil dan menyusu anak mendaftar sebagai peserta. Harga promosi pendaftaran peserta hanya RM20 sahaja. Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/pama-bf-vip-eksklusif/