Figura cantik ini bukan sekadar dikenali sebagai isteri kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek), tetapi juga sebagai seorang wanita yang memiliki aura lembut, matang dan penuh keibuan.
Leuniey Natasha sering tampil sederhana namun elegan, mencerminkan keperibadiannya yang tenang dan bersahaja.
Di sebalik raut wajah manis dan gaya yang sentiasa kemas, Leuniey adalah seorang isteri yang setia dan ibu yang tidak pernah culas dalam tanggungjawabnya.
Bukan sahaja penyokong setia di belakang kejayaan Apek, malah menjadi tulang belakang keluarga kecil mereka yang penuh kasih sayang.
Dalam episod istimewa sempena Hari Ibu untuk program Top Mom Influencer Pa&Ma 2025, Leuniey Natasha berkongsi perjalanan hidupnya yang telah menjangkau lebih 13 tahun bersama suami tercinta.
Bukan sekadar pasangan selebriti, mereka juga ibu dan bapa kepada tiga cahaya mata yang menjadi penyeri hidup Kayla Elayna (11), Khaleel Emir (10), dan Ebrahim Fayaaz (7).
Di sebalik senyuman manis dan kehidupan yang tampak sempurna di mata umum, tersimpan seribu satu cerita tentang pengorbanan, kesetiaan dan kekuatan seorang wanita bergelar isteri dan ibu.
Cinta Hubungan Jarak Jauh (PJJ)
Walaupun berdepan dengan hubungan jarak jauh (PJJ), cinta mereka tetap utuh, berpaksikan kepercayaan dan sikap positif.
Memahami komitment suami yang merupakan penjaga gol bagi Sabah, tidak mematahkan semangatnya untuk menguruskan anak-anak seorang diri.
Kata Leuniey antesipara ri utama untuk bahagia ialah jangan biarkan fikiran dihantui perkara negatif biarpun dalam tempoh PJJ.
Ads
“Alhamdulilah, saya seorang yang positif tak nak fikir bukan-bukan walaupun PJJ.”, luah Leuniey berterus terang dengan penuh makna.
Cinta mereka tidak bermula dengan lamaran di taman bunga atau mesej DM Instagram. Sebaliknya, jodoh mereka disusun cantik oleh bapa saudara Luni, seorang kontraktor rumah yang secara tidak langsung menjadi orang tengah.
Ketika itu, Apek baru membeli rumah di Kelantan dan takdir menemukan mereka di titik paling tidak disangka. Hanya selepas setahun berkenalan, mereka nekad mendirikan rumah tangga. Tiada drama, hanya yakin dan takdir.
Wedding of the Year
Majlis perkahwinan mereka suatu ketika dahulu dianggap antara yang paling meriah dan indah malah dikenali sebagai “wedding of the year”. Berasal daripada keluarga yang menjalankan perniagaan bridal, persiapan majlis jadi lebih teratur dan penuh gaya. Mereka diraikan dalam tiga resepsi; dua di Kelantan dan satu di Kuala Lumpur, memuatkan kasih dan restu daripada kedua-dua belah keluarga.
Ketika usianya baru 21 tahun, Luni sudah bergelar isteri kepada pemain bola sepak terkenal. Beliau pula ketika itu aktif sebagai model minyak wangi untuk Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Muda bukan penghalang jika niat dan asasnya betul. Mereka bukan sahaja mencipta nama dalam kerjaya, tetapi juga berjaya membina rumah tangga dengan jiwa besar.
Cabaran Kehamilan
Luni tidak malu berkongsi betapa sukar fasa kehamilan yang dilaluinya. Alahan trimester pertama yang teruk, muntah berpanjangan, malah sampai tak tahan bau suami sendiri semuanya pernah dialami. Namun, kasih ibu mengatasi segalanya. Setiap kandungan mengajar perkara berbeza dan membentuk Luni menjadi ibu yang lebih kuat dan tabah.
Ads
Satu momen yang mengundang air mata ialah apabila anak sulungnya tidak dapat tidur bersamanya semasa kehamilan kedua akibat alahan. Walaupun anak tidak merajuk, perasaan bersalah itu tetap menghantui hati seorang ibu. Tapi Luni percaya, kekuatan mental memainkan peranan besar dalam mengurus emosi dan kesihatan.
“Ketiga-tiga ada alahan. Muntah teruk, First trimester. Tak boleh bau. Anak pertama tak boleh bau Apek. Hamil anak kedua, tak boleh bau anak sulung. Anak ketiga saya kuat makan. berat badan naik. Alhamdulillah selepas trimester kedua dah tak ada alahan.”
Namun dari berat 63kg selepas melahirkan, Leuniey tidak menyerah. Dengan pilates, kawalan pemakanan dan rawatan tradisional serta herba Cina, beliau kembali ke bentuk badan yang sihat. Disiplin dan sayang diri menjadi kunci. Memang langsing macam anak dara!
FULL VIDEO DI SINI
Pernah mengidam manisan India
Lucu tapi penuh makna Leuniey pernah mengidam manisan India, ketika hamil. Suaminya Apek berusaha mencari hingga ke hotel dan rakan-rakan di KL walaupun akhirnya tak jumpa juga. Namun, usaha itu sudah cukup menggambarkan kasih dan sokongan suami dalam momen-momen mencabar.
Perjuangan Breastfeeding & Anak Istimewa
Penyusuan susu ibu adalah kasih sayang, pengorbanan dan kekuatan luar biasa seorang ibu. Di sebalik perjuangan itu, ada cerita tersendiri, pengorbanan bangun malam, sakit belakang, dan air mata yang tidak selalu orang nampak.
Ads
Namun bagi kebanyakan ibu, saat itu jugalah yang paling indah dalam perjalanan membesarkan anak. Bagi Leuniey Natasha, pengalaman itu menjadi antara momen paling bermakna buat dirinya.
Berkat semangat dan kesungguhan berjaya menyusukan anak sulung lebih setahun sebelum hamil anak kedua. Walaupun tempoh itu tidak mencecah dua tahun penuh, Leuniey tetap bangga dengan usahanya.
Untuk anak kedua dan ketiga, beliau mengambil pendekatan campuran dengan menyusu badan dan juga susu formula atas faktor kekangan fizikal dan mental. Namun baginya, tiada ibu yang sempurna. Apa yang paling penting ialah usaha, keikhlasan, dan kasih yang dicurahkan sepenuh hati.
Dalam pada itu, Leuniey turut berkongsi bahawa anak ketiga mereka disahkan speech delay dalam spektrum autisme. Ini menjadikan perjalanan keibuan Leuniey lebih mencabar, namun juga lebih bermakna. Setiap hari adalah pembelajaran, setiap detik adalah peluang memperbaiki diri sebagai ibu dan manusia.
Titip Pesanan Buat Anak
Momen paling menggetarkan ialah saat Leuniey menitip pesanan buat anak-anak. Harapnya mereka akan saling menyayangi dan menghargai pengorbanan ibu bapa.
Buat ibu lain, jangan bandingkan diri dengan orang lain. Setiap ibu ada cara, ada kisah, dan semua ibu adalah luar biasa.
“Kakak, abang dan baby, mummy sayang sangat. Untuk masa depan jaga adik beradik. Mummy dan Daddy dah bagi yang terbaik. Kakak dan abang jaga baby.”
Apa yang pasti, biar pun berjauhan, mereka kekal erat. Perkahwinan mereka membuktikan bahawa cinta yang disulam dengan kesetiaan, doa dan komunikasi mampu menangkis jarak dan cabaran. Bagi Leuniey, keluarga ialah segalanya dan segala pengorbanan itu berbaloi.
Program digital Top Mom Influencer Pa&Ma tahun ini memang tepat memilih Leuniey Natasha sebagai salah seorang penerima pengiktirafan kerana pengorbanannya sebagai seorang ibu tak pernah lelah demi memberikan yang terbaik buat anaknya, dengan harapan agar satu hari nanti, anak itu membesar menjadi insan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Amaran bahawa fenomena El Nino melanda tahun depan, pemilik sawah dinasihatkan mengusahakan tanaman padi huma sebagai langkah proaktif menghadapi fenomena itu.
Menurut Laporan Sinar Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman, menjelaskan bahawa padi huma atau padi darat merupakan pilihan alternatif yang berpotensi besar untuk menjamin bekalan beras keluarga jika berlaku krisis makanan.
Katanya, tanaman padi huma juga lebih mudah dijaga dan tidak memerlukan air yang banyak seperti tanaman padi biasa.
“LZNK sudah cuba tanam sebanyak dua hektar di Sik dan kita sedang tanam lagi empat hektar di kawasan Bendang Man, Sik,” Katanya ketika ditemui selepas proses tuaian pertama padi darat di halaman kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini pada Ahad.
Turut hadir menyaksikan proses tuaian itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurutnya, musim kering yang dijangka akan berlaku nanti meyakinkan orang ramai untuk memilih padi darat sebagai tanaman alternatif.
“ ia boleh ditanam walaupun di tapak sawah, malah pengalaman saya padi ni senang diurus apabila di tanam di tapak sawah yang terbiar,” katanya.
Jelasnya, rakyat di negeri ini turut disaran menanam padi darat di halaman rumah seperti yang diusahakan di halaman rumah menteri besar.
“Tanaman padi jenis bario di halaman rumah menteri Besar itu mengambil masa empat bulan untuk dituai selepas di tanam pada 28 Jun lalu.
“Apa yang kita nak cerita padi darat atau padi huma ini dia berpotensi di tanam oleh semua orang kerana mudah diurus, maknanya siapa yang ada tanah kosong dia boleh tanam,” ujarnya.
Zakaria berkata, kaedah jarak yang diguna pakai antara satu pokok ke satu pokok adalah 12 inci.
“Pengalaman kita boleh tanam lapan hingga 12 inci, sebab pertumbuhan dia tak sama dengan padi air, hendak tanam lagi rapat lagi baik bagi mengelak rumpai tumbuh dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata tempoh tuaian padi huma adalah antara tiga hingga enam bulan mengikut variati.
“Sekilogram benih boleh menghasilkan 80 kilogram (kg) padi. Daripada setiap kg padi akan dapat menghasilkan 60 peratus beras dan ia dijual dengan harga RM26 sekilogram.
“ Rasanya sedap dan ada variati yang mengeluarkan aroma yang wangi,” katanya.
Pada Mac lalu, media melaporkan negara perlu bersedia mulai sekarang bagi berdepan kemungkinan hasil pertanian tempatan berkurangan pada 2025 akibat fenomena El Nino yang mengakibatkan cuaca panas berpanjangan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata kesan fenomena itu dapat dilihat ketika ini, apabila pengeluaran padi negara kekal pada kadar 62 peratus menyebabkan Malaysia perlu mengimport 38 peratus beras.
Setiap kali tibanya musim ibadah korban, pasti ramai antara kita yang tertanya-tanya tentang cara terbaik dan paling afdhal untuk mengagihkan daging korban.
Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pertama kali menyertainya, atau ingin memastikan ibadah ini dilaksanakan sebaik mungkin mengikut tuntutan syarak.
Seorang individu telah mengajukan soalan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
“Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Alhamdulillah, saya berkemampuan untuk menyertai ibadah korban pada tahun ini. Saya ingin bertanya, bagaimanakah cara pembahagian yang afdhal untuk saya bahagikan daging korban ini? Mohon pencerahan Tuan Mufti. Terima kasih.”
Pembahagian Daging Korban Yang Lebih Afdal
Berikut merupakan penjelasan yang diberikan oleh pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi persoalan ini:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Allah SWT telah mensyariatkan ibadah korban kepada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Dalil pensyariatannya adalah berdasarkan firman Allah SWT:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik RA:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing.
Hadith riwayat al-Bukhari: (5233)
Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2:478)
Selain itu, daging korban itu wajib untuk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
(Surah al-Hajj: 28)
Menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa hal ini hendaklah terlebih dahulu melihat sama ada korban tersebut merupakan korban sunat atau korban nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban.
Jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban sunat, maka sunat juga baginya untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut.
Walau bagaimanapun, harus untuk dia mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:
Maksudnya: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya.
Hadith riwayat Muslim: (1218)
Oleh itu, daging korban tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa cara, antaranya:
Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.
Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.
Namun cara yang afdhal ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)
Sebaliknya, jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan sebagai korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)
Oleh itu, al-Sheikh Muhammad Bin Ahmad al-Syathiri di dalam kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis, mengatakan bahawa:
Maksudnya: Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 826)
Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa jika sekiranya korban tersebut merupakan nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban, maka wajib untuk dia menyedekahkan kesemua daging tersebut dan tidak boleh dia memakan sebahagian daripadanya.
Manakala, jika sekiranya ia merupakan korban yang sunat, maka cara yang afdhal bagi pembahagian daging korban tersebut ialah menyedekahkan kesemuanya bagi mencapai tujuan korban tersebut, serta memakan sedikit daripadanya untuk beramal dengan zahir nas al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariat agamaNya dengan sebaiknya. Amin.
Semasa bercinta seorang wanita berperwatakan lembut. Manja dan sopan-santun. Mahu dengar suara pun susah kerana sangat menjaga tutur kata. Awal perkahwinan juga begitu, segala keperluan suami disediakan tanpa merungut. Bila suami pulang dari pejabat, wajahnya manis menyambut di muka pintu. Lama-kelamaan hilang segala kelembutan. Tambahan lagi kalau sudah beranak banyak, mulalah naik angin saja.
Marah sana-sini. Suami jadi bosan, anak-anak ketakutan. Sebenarnya si isteri tak tahu pun yang tindakannya itu sudah jauh sama sekali dari dirinya yang sebenar. Sebagai seorang suami, carilah masa yang sesuai untuk beri teguran kepada isteri. Di dalam perkongsiannya di laman Facebook, Ustaz Ebit Lew menerangkan mengapa hal sebegini boleh berlaku.
Kenapa isteri yang baik lemah lembut berubah menjadi isteri yang garang dan kuat marah-marah…
Tadi selesai beri ceramah ada seorang tahan saya sebelum sampai rumah. Saya terkejut juga. Abang tu stress. Katanya isterinya kuat suka marah-marah. Anak-anak asyik kena marah jer. Cepat naik angin. Suka masam jer muka. Berubah perangai. Dah lama juga perangainya. Ramadhan ini semakin menjadi-jadi. Tak nak layan suami. Dah tak nak bercakap..ustaz tolonglah saya. Apa saya perlu buat..
ISTERI BERUBAH KERANA RINDUKAN SUAMI
Abang, sayang abang kerana Allah. Nak tahu tak sebab apa isteri kita jadi begitu. Dulu isteri yang baik dan lemah lembut. Suka bermanja. Bergurau sama-sama. Kini semuanya berubah..lagi teruk ada yang sampai stress dan kemurungan..mereka cuma manusia macam kita.
Sebabnya ialah,mereka rindu suami mereka. Mereka perlukan suami yang beri perhatian pada mereka. Mereka penat abang. Dari pagi sampai waktu tidur cuma untuk keluarga. Mereka perlu rehat. Mereka nak suami dengar mereka. Bantu kerja-kerja rumah. Urus anak-anak..kasihan mereka..
Dari pagi sahur. Asyik terjaga-jaga nak siapkan sahur buat suami dan anak-anak. Mereka rindu nak solat dan baca Al-Quran bersama suami…mereka dahaga bimbingan dan kasih sayang..
Saya nak tanya abang ada tak buat semua tu. Kita para suami gagal bimbing mereka.
SUAMI TAK BANTU ISTERI
Erm betul lah ustaz. Saya sibuk kerja. Balik rumah saya sibuk dengan telefon tak berhenti. Tak tolong basuh berak anak. Tak tolong buang sampah. Tak tolong ajar anak-anak sekolah. Semua isteri saya buat. Dah lama tak berbual-bual dengan isteri. Dia cakap, saya lambat jawab. Sebab tengok tv dan main telefon. Ya Allah tuhanku..lepas tu kadang-kadang lepak mamak malam-malam. Pergi bersukan dengan kawan-kawan. Mesti wife saya stress..
Betul ler tu abang. Itulah sebabnya. Bukan tak boleh buat semua tu. Tapi jika kita nak rehat. Tengok dulu isteri kita dah rehat ke belum. If kita nak beli apa-apa untuk hobi kita tengok dulu isteri kita pencuci muka pun takde duit. Sebelum kita pergi berurut tengok isteri kita dah berurut dah ke belum. Kita solat tarawih bantu juga supaya isteri kita sempat tarawih..mereka juga manusia dan perlu masa nak solat dan zikir pada Allah..buat Taklim sama-sama dengan isteri dan anak-anak..
Gitulah abang. Baru betul suami soleh. Ayah yang baik. Hamba Allah yang disayangi Allah. Barulah hidup rezeki kita berkat. Barulah Ramadhan ini telah mengubah kita. Kita berjaya dalam sekolah Ramadhan ini. Asas dia mula di rumah. Bagaimana layan suami atau isteri.
Abang tu kata,ustaz izin saya peluk ustaz. Doakan saya ustaz. Saya nak jadi hamba Allah yang baik. Teringin nak buat dakwah dengan ustaz.
Saya doakan abang bahagia sampai syurga bersama isteri dan semua anak menjadi anak soleh dan solehah-ebitlew
Semoga dengan perkongsian dari Ustaz Ebit Lew ini dapat memberi penjelasan kepada para suami mengapa isteri berubah sedemikian rupa. Mungkin anda boleh membantunya dari segi emosi dengan menjadi suami yang lebih peka dan mengambil tahu soal isteri. Sebenarnya manja isteri ni tak pernah hilang, cuma terkambus dek kesibukan dan tekanan yang dialaminya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Doktor bantu buat laporan penderaan. Tapi segalanya tak sempat. mangsa menghembuskan nafas terakhir di hospital. Masih kecil, baru 9 tahun.Dia dihantar ke hospital oleh...