Pra eklampsia atau sawan hamil mengancam ibu sejak usia kandungan 20 minggu ke atas. Keadaan ini boleh menyebabkan terjadinya kematian janin. Apakah dia pra eklampsia?
Menurut Dr Nurul Azwa Hasny, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan SALAM Shah Alam Specialist Hospital, pra eklampsia ialah keadaan di mana ibu yang hamil melebihi 20 minggu ke atas, mempunyai tekanan darah melebihi 140/90mmHg, kenaikan berat badan yang mendadak dan mempunyai protein di dalam air kencing.
Lazimnya, ibu yang mengalami keadaan ini akan kembali ke paras normal selepas bersalin (bayi dikeluarkan). Apa yang membezakan tekanan darah tinggi dan pra eklampsia ialah hadirnya protein 2+ di dalam air kencing ibu dan hanya akan berlaku 20 minggu ke atas iaitu selepas uri terbentuk.
Kata Dr Nurul Azwa, tiada jawapan kepada mengapa terjadinya pra eklampsia ini. Ia berkemungkinan kerana plasenta yang tidak terbentuk sempurna yang menyebabkan berlakunya gangguan aliran darah ibu yang mana protein yang sepatutnya ditapis buah pinggang ibu terbebas ke dalam air kencing.
TANDA-TANDA PRA EKLAMPSIA
Antara tanda-tanda pra eklampsia ialah tekanan darah tinggi dan kehadiran protein 2+ di dalam air kencing. Namun gejala-gejala pra eklampsia yang serius adalah seperti berikut;
Sakit kepala yang teruk
Pandangan menjadi kabur.
Pedih pada ulu hati.
Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah dengan tiba-tiba.
Loya dan muntah.
5 WANITA BERISIKO TINGGI ALAMI PRA EKLAMPSIA
Anda lebih cenderung untuk mendapat pra eklampsia jika terdiri daripada golongan ini.
Ads
Kehamilan sulung anda atau jika terdapat jarak yang besar dengan kehamilan yang terdahulu.
Berumur 40 tahun atau lebih.
Mempunyai berat badan berlebihan ketika hamil, BMI 35 atau lebih.
Mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah seperti tekanan darah yang tinggi, lupus,masalah buah pinggang atau diabetes.
Kandungan kembar atau lebih.
Mempunyai sejarah pra eklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya.
Pernah mengalaminya pada kehamilan sebelum ini.
KESAN PRA EKLAMPSIA KEPADA IBU DAN BAYI
Pra eklampsia boleh menjadi ancaman yang kuat kepada ibu dan bayi. Ibu yang mengalami pra eklampsia perlu dipantau dari semasa ke semasa untuk mengesan sekiranya ada komplikasi supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi. Dalam keadaan tertentu, ia boleh memberikan kesan pada ibu seperti berikut :
#1 Eklampsia atau nama lain sawan ketika mengandung, di mana tangan dan kaki tersentak-sentak tanpa ransangan, bebola mata ibu naik ke atas dan kancing gigi. Keadaan yang berterusan ini akan menyebabkan pengurangan aliran darah dan oksigen ke uri dan akan membahayakan nyawa bayi.
#2 Sindrom HELLP. Ini adalah kecelaruan pada hati dan pembekuan darah. HELLP bermaksud:
H:haemolysis atau sel-sel darah merah pecah.
Ads
EL:elevated liver enzymes hati tidak berfungsi dengan baik.
LP:low platelet count atau jumlah platelet rendah menyebabkan darah lambat membeku.
#3 Strok atau pendarahan dalam otak. Ia disebabkan oleh tekanan darah yang terlampau tinggi menyebabkan salur darah pecah, merosakkan sel-sel otak sehingga sebahagian otak itu tidak berfungsi.
#4Tumpah darah atau pendarahan yang berterusan.
#5Kerosakan organ seperti hati, buah pinggang dan wujudnya cecair dalam paru-paru (edema pulmonari).
Ads
#6 Pada bayi yang dikandung pula, tumbesaran bayi boleh terbantut disebabkan pengaliran darah serta kuantiti oksigen dan nutrien yang tidak mencukupi. Ia juga boleh menyebabkan air ketuban berkurangan (oligohidramnios) dan bayi mati secara mengejut di dalam kandungan.
JANGAN CULAS PEMERIKSAAN PRANATAL!
Penting bagi anda menghadiri semua temu janji pranatal kerana ini akan membantu doktor anda mengesan dan mengawal pra eklampsia (jika ada).
Bagi yang berisiko tinggi, ibu akan diberikan ubat aspirin pada dos yang rendah bermula minggu ke-12 sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko anda mengalami pra eklampsia. Suplemen kalsium juga perlu diambil. Tekanan darah, pemeriksaan air kencing dan penambahan berat badan akan dipantau dengan teliti.
URI PERLU DIKELUARKAN SEGERA
Bagi menstabilkan ibu daripada eklampsia, bayi dan uri perlu dikeluarkan segera melalui proses kelahiran. Tetapi sebelum bersalin, tekanan darah tinggi ibu akan distabilkan terlebih dahulu.
Magnesium sulfate akan diberikan sebelum dan selepas bersalin kerana sawan masih boleh berlaku selepas bersalin. Bagi sesetengah hospital kerajaan, ibu akan dipantau selama lima hingga tujuh hari sehingga tekanan darah tinggi stabil dan protein dalam air kencing berkurangan.
Sumber: Majalah Pa&Ma
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Perasan tak pada buku pink kehamilan anda ada ditampal stiker mengikut warna berbeza? Kalau tak perasan boleh cuba periksa sekarang.
Tapi pernah tak anda terfikir kenapa lain ibu hamil, lain stikernya? Ada warna merah, kuning, hijau dan putih. Anda tahu tak apa maksud warna stiker di buku pemeriksaan ibu hamil tersebut?
Penjelasan lengkap oleh Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, Kementerian Kesihatan Malaysia ini dapat membantu anda lebih memahami apa maksud warna stiker tersebut.
PENGENDALIAN KES-KES KEHAMILAN MENGIKUT SISTEM TAG WARNA
Sistem ini mempunyai penggunaan 4 tag warna. Penentuan tag warna ini adalah berdasarkan kepada penilaian faktor risiko ibu semasa lawatan ke klinik/rumah.
TAG MERAH – Rujukan segera ke Hospital dan pengendalian selanjutnya adalah bersama (shared care) Pakar O&G dan Pakar Perubatan Keluarga
TAG KUNING – Rujukan untuk pengendalian oleh Pakar O&G Hospital/Pakar Perubatan Keluarga, dan penjagaan selanjutnya boleh dilakukan bersama (shared care) Pegawai Perubatan dan Jururawat Kesihatan
TAG HIJAU – Pengendalian di Klinik Kesihatan oleh Pegawai Perubatan dan Kesihatan dan pengendalian selanjutnya boleh dilakukan bersama Jururawat Kesihatan/Jururawat Masyarakat di bawah pengawasan Pegawai Perubatan
TAG PUTIH – Penjagaan oleh Jururawat Kesihatan/Jururawat Masyarakat di Klinik Kesihatan dan Klinik Desa (sekiranya tiada terdapat faktor risiko yang disenaraikan dalam kod merah, kuning dan hijau, ibu diberi kod warna putih)
Di dalam situasi yang tertentu khususnya di kawasan pedalaman, di mana tidak terdapat Pegawai Perubatan, pengendalian boleh dilakukan oleh Jururawat Kesihatan/ Jururawat Masyarakat dengan pengawasan dari Pegawai Perubatan yang terdekat atau mudah dihubungi.
Pakar O&G/Pakar Perubatan Keluarga boleh menukarkan kod warna mengikut penilaian tahap risiko semasa ibu hamil. Tag warna yang dilekatkan dapat mempamerkan kod warna yang telah diberikan sebelumnya.
Okay sekarang tengok buku pink memasing. Tengok Tag kaler apa yang tertampal pada bucu kanan atas buku tu. ada tak?
kalau ada, kaji /Tanya doktor kenapa anda di berikan kod warna sedemikian ?
Suntikan Corticosteroid diberikan kepada ibu sebelum bersalin, terutamanya yang mungkin bersalin awal dari tarikh jangkaan. Harap mama tidak menolak suntikan ini.
Menurut Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi, Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, suntikan amat penting untuk ibu yang berkemungkinan melahirkan bayi pramatang.
Corticosteroid adalah sejenis ubat yang diberikan kepada ibu, jika seseorang ibu itu dijangka akan melahirkan bayi pramatang/ tak cukup bulan.
Ubat ini diberikan secara suntikan pada otot, sama ada pada peha, lengan atau pada punggung. Ianya diberikan melalui 2 dos atau ada yang memberikan sebanyak 4 dos dalam tempoh 24 – 48 jam.
Corticosteroid membantu mengurangkan risiko berkaitan dengan bayi pramatang
Ubat ini sudah digunakan bertahun-tahun lamanya, diberikan kepada ibu yang dijangkakan akan melahirkan bayi pramatang, meningkatkan peluang bayi pramatang hidup selepas dilahirkan. Selain itu, ianya mengurangkan risiko bayi pramatang mendapat komplikasi serius seperti masalah pernafasan (disebabkan peparu bayi masih tidak matang), pendarahan di dalam otak, jangkitan kuman yang serius ataupun masalah pada salur pencernaan.
Adakah corticosteroid berbahaya kepada saya dan bayi?
Suntikan sebanyak 2 atau 4 kali dianggap selamat untuk ibu dan bayi. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengatakan suntikan lebih daripada itu adalah selamat.
Berapa lama suntikan corticosteroid ini menjadi efektif?
Suntikan corticosteroid ini membantu jika dos terakhir diberikan antara tempoh 24 jam sehingga 1 minggu sebelum bayi dilahirkan. Ada juga kebaikan sekiranya bayi dilahirkan dalam tempoh 24 jam dari dos yang pertama.
Bilakah suntikan corticosteroid diberikan?
Suntikan diberikan pada minggu kehamilan ke 24 dan 34 minggu 6 hari. Jika anda akan menjalani pembedahan elektif, suntikan corticosteroid amatlah digalakkan jika pembedahan itu akan berlangsung pada 35 hinggga 38 minggu 6 hari kehamilan.
Suntikan corticosteroid boleh diberikan sebelum 24 minggu kehamilan, tetapi bukti corticosteroid dapat membantu bayi seawal ini masih lagi tidak jelas, pakar perunding akan berbincang dengan anda terlebih dahulu.
5 kategori penerima suntikan corticosteroid
Ibu dinasihatkan untuk menerima suntikan ini jika anda berpotensi untuk melahirkan bayi pramatang, sebelum 35 minggu kehamilan. Ini termasuklah :
Ibu sedang mengalami kontraksi pramatang.
Air ketuban sudah pecah, walaupun tiada kontraksi.
Bayi dikehendaki untuk lahir awal, misalnya bayi tidak membesar dalam rahim.
Ibu mempunyai masalah dan bayi perlu dilahirkan awal untuk menyelamatkan ibu, misalnya pre-eclampsia.
Jika ibu akan menjalani pembedahan caeserean elektif sebelum 39 minggu, ibu akan disarankan untuk menerima suntikan corticosteroid.
Kelahiran pramatang ni tak boleh disekat-sekat walaupun doktor guna pelbagai ubat untuk hentikan proses bersalin. Apa yang boleh dibuat, bantu mempersiapkan bayi pramatang yg bakal lahir untuk matangkan peparunya agar kurang komplikasi berkaitan dengan kelahiran pramatang
Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Ini ikhtiar kita
Pengambilan makanan yang sihat dalam diet harian waktu hamil amat penting agar dapat menjamin kesihatan diri sendiri dan perkembangan positif bayi dalam kandungan.
Sebab itulah ibu hamil disarankan untuk makan makanan yang sihat dan segar. Jangan sekali-kali skip waktu makan hanya kerana hendak muntah.
Ketika hamil, apa yang mama kena tahu, lebihkan empat jenis makanan superfood ini untuk tingkatkan kesihatan ibu hamil dan kandungan.
Ikan
Pengambilan ikan ketika hamil selalu menjadi pertikaian kerana ada yang bimbang tentang kandungan merkuri yang tinggi. Biasanya ikan yang hidup di dalam lautan dalam mempunyai risiko sebegini.
Walaupun begitu, anda perlu tahu bahawa ikan sangat kaya dengan sumber protein. Ia juga memiliki kandungan Omega-3 yang tinggi. Oleh yang demikian, ikan sangat diperlukan untuk membolehkan anak dalam kandungan mempunyai sumber yang baik untuk mengembangkan otaknya.
Sayur Berdaun Hijau
Ramai yang sedia maklum bahawa sayur-sayuran adalah sangat penting untuk menjamin tahap kesihatan berterusan. Oleh sebab itulah, adalah penting untuk anda mengambil jumlah hidangan sayur-sayuran yang mencukupi dalam menu harian.
Digalakkan untuk lebihkan sayur-sayuran berdaun hijau terutama sayur bayam kerana ia tinggi dengan kandungan asid folik.
Asid folik adalah sumber yang bagus untuk perkembangan saraf tunjang anak di dalam kandungan.
Brokoli
Selain dari sayur-sayuran berdaun hijau, anda juga perlu memberi perhatian kepada satu lagi sayur yang mempunyai warna hijau iaitu brokoli.
Memasukkan brokoli sebagai salah satu makanan bagi memenuhi keperluan pengambilan sayur harian memastikan anda memperoleh beberapa nutrien makanan penting.
Secara tak langsung ibu dibekalkan dengan potassium. Potassium dapat membantu proses pertumbuhan tulang bayi di dalam kandungan.
Produk Tenusu
Mengambil kandungan kalsium yang cukup ketika hamil adalah sangat penting. Selain menguatkan tulang dan gigi bakal ibu, kalsium juga membantu menguatkan tulang dan pertumbuhan tubuh anak dalam kandungan.
Pastikan anda minum satu hingga dua gelas susu atau boleh juga gantikan dengan melebihkan pengambilan produk tenusu yang lain juga seperti keju dan yogurt.
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.