
Kapur barus selalu kita dengar tapi tahu tak mak ayah produk yang mengandungi bahan ini seperti di dalam Minyak Cap Kapak atau ubat ‘berangin’ lain sangat bahaya untuk kanak-kanak terutama anak di bawah usia dua tahun.
Menurut perkongsian Dr Redza Zainol, ubat yang mengandungi Camphor atau kapur barus ini boleh menyebabkan sawan pada anak. Ikuti perkongsian beliau.
***********************************************************************
Budak dua tahun ni dah satu jam sawan tak berhenti-henti. Ibu bapanya baru berpindah rumah. Ruang tamu penuh dengan kotak dan barangan yang perlu disusun.
Sambil ibu bapanya sibuk mengemas, anak ni jumpa ubat minyak cap kapak di dalam kotak. Tak lama lepas itu, dia mula muntah-muntah dan tak sedarkan diri.
Tak ada siapa pun nampak dia minum minyak cap kapak itu tapi bau minyak tu kuat sangat dari mulut dia.
Bila sampai di wad, bermacam ubatan diberi untuk hentikan sawan. Tapi dia berterusan sawan hingga 5 jam dan akhirnya meninggal dunia.
“Puan kami dah cuba semua jenis rawatan. Maafkan saya, anak puan dah tak ada lagi.”
Masih terngiang-ngian lagi kata-kata dari doctor pakar saya pada si ibu.
Dia meraung sekuat-kuatnya. Digoncang-goncang badan anaknya. Tak bergerak, tak bernafas dan kulitnya mulai biru sejuk.
Si ayah tersandar di dinding. Masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Kelu tak berkata apa-apa. Kisah benar ini tak akan saya lupakan.
Baca label pada ubat
Ubat minyak cap kapak mengandungi Camphor yang dilarang untuk digunakan pada kanak-kanak bawah 2 tahun.
Camphor atau kapur barus ialah bahan yang banyak digunakan dalam produk sapuan di dalam pasaran untuk melegakan kesakitan, gatal, batuk dan selesema.
Menurut kajian penyelidik dari Kolej Perubatan Albert Einstein Universiti Yeshiva, kanak-kanak sangat terdedah pada kesan toksik Camphor sebab ia mudah terserap melalui kulit dan membrane mucus (mata, bibir, bahagian dalam hidung).
Produk yang mengandungi Camphor atau kapur barus ini jika digunakan pada kanak-kanak bawah 2 tahun boleh menyebabkan sawan dan kematian.
Jika anda perhatikan kotak produk yang berdaftar, ada tanda amaran yang telah diletakkan. Mak ayah hati-hati ya.
Jangan letak pada hidung, mata atau kulit yang luka. Ia akan terserap di dalam darah dan boleh capai tahap toksik di dalam badan.
Apa pun produk yang kalian nak guna pada anak, biasakan diri untuk baca label dulu. Semua dah tertulis pada label. Tinggal kita nak baca dan ambil tahu.
Jadilah mak ayah yang bijak.
Sumber: IG @drredza