Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mencatat keuntungan pelaburan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM118.46 juta bagi tempoh setengah tahun pertama tahun 2020. keuntungan pelaburan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 19.66 peratus berbanding RM99 juta bagi tempoh yang sama tahun 2019.

Dalam satu kenyataan, PTPTN mengumumkan peningkatan keuntungan itu disokong kaedah dan pemantapan strategi pelaburan yang dijalankan.

“Peningkatan keuntungan ini disokong oleh kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif.

“Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang berjaya mengurangkan tekanan daripada pasaran ekuiti yang tidak menentu di peringkat global.

“Ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut kenyataan tersebut juga, impak pandemik Covid-19 ke atas ekonomi negara menjadi cabaran bagi PTPTN dalam menguruskan pelaburan dana SSPN demi melindungi kepentingan pendeposit.

IKLAN

“PTPTN telah mengambil langkah mengenal pasti kesan Covid-19 ke atas pelaburan melalui pemantauan berkala. Di samping itu, strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemah juga dilakukan bagi memastikan kadar pemberian dividen yang kompetitif berbanding institusi-institusi kewangan yang lain,” katanya.

Menurutnya, penularan wabak Covid-19 telah memberikan impak yang ketara terhadap ekonomi dan pasaran kewangan dunia termasuk ekonomi dan pasaran kewangan tempatan.

“Namun begitu, kepercayaan dan sokongan pendeposit SSPN kekal utuh dan sentiasa berterusan menyimpan di dalam SSPN bagi tujuan pendidikan anak-anak walaupun dalam situasi yang mencabar ini.

IKLAN

“Buktinya rekod pencapaian SSPN bagi tempoh setengah tahun pertama tahun ini terus meningkat. Jumlah deposit yang diterima adalah sebanyak RM682.02 juta berbanding RM425 juta pada tempoh yang sama tahun 2019. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM257.02 juta atau 60.48 peratus sekali gus menjadikan deposit SSPN keseluruhan sehingga Jun 2020 berjumlah RM6.57 bilion,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, peningkatan yang berlaku merupakan adalah hasil usaha dan kerjasama daripada semua pihak serta usaha PTPTN dalam mendepani cabaran-cabaran baharu termasuk menyesuaikan diri dengan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Ia merangkumi usaha memperkasakan pemasaran SSPN secara digital atau dalam talian (online), pembudayaan normal baharu dalam pengoperasian serta penyampaian perkhidmatan dan maklumat kepada para pelanggan.

IKLAN

“SSPN merupakan instrumen simpanan yang diwujudkan oleh PTPTN, dijamin sepenuhnya oleh kerajaan serta produk patuh syariah yang menggunakan konsep Wakalah Bil Istithmar di samping menawarkan pelbagai manfaat penabungan seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000, geran sepadan sehingga RM10,000, perlindungan takaful dan dividen yang kompetitif,” katanya.

Jelasnya, dengan pelbagai manfaat dan insentif yang ditawarkan serta peningkatan kesedaran masyarakat terhadap penabungan bagi tujuan pendidikan sehingga 30 Jun 2020 sebanyak 184,992 akaun baharu SSPN telah dibuka.

“Secara keseluruhan, sejak SSPN dilancarkan pada tahun 2004 sehingga setengah tahun pertama 2020 sebanyak 4.57 juta akaun SSPN telah dibuka,” katanya.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI