
Pneumonia merupakan sejenis jangkitan pernafasan akut yang berlaku pada kawasan paru-paru. Antara punca pneumonia kanak-kanak ialah mikroorganisma seperti bakteria, kulat dan virus. Sebagai ibu bapa, penting untuk kita ketahui apakah punca penyakit pneumonia supaya rawatan awal dapat diberikan dengan segera.
Pneumonia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tetapi lebih lazim dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya yang berusia di bawah lima tahun.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pneumonia merupakan punca utama kanak-kanak meninggal dunia disebabkan jangkitan.
Pada tahun 2019, pneumonia telah membunuh hampir 740 orang kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS), 180 daripadanya berusia bawah lima tahun.
Negara seperti Bangladesh, India, Kenya, Uganda dan Zambia memandang serius mengenai pneumonia dan cirit-birit dalam kalangan masyarakat mereka.
Malah, mereka telah merangka pelan kesihatan yang sangat ketat untuk mengelakkan pneumonia dalam kalangan kanak-kanak.
Pneumonia merupakan penyakit yang boleh dirawat. Dengan intervensi awal, kanak-kanak yang dijangkiti pneumonia boleh sembuh dan dapat meneruskan hidup seperti biasa.
Apa Itu Pneumonia?
Pneumonia adalah jangkitan paru-paru. Paru-paru manusia terdiri daripada kantung kecil yang dipenuhi dengan udara. Walau bagaimanapun, bagi penghidap pneumonia, kantung angin tersebut dipenuhi dengan nanah atau cecair lain.
Pneumonia sering berlaku pada musim sejuk. Ketika ini, anak-anak banyak menghabiskan masa di dalam rumah atau bersama kanak-kanak lain. Ini boleh menyebabkan risiko jangkitan semakin meningkat.
Kanak-kanak yang berusia dua tahun ke bawah mempunyai risiko pneumonia yang paling tinggi.
Antara punca pneumonia kanak-kanak ialah jangkitan bakteria atau virus. Dengan rawatan yang betul, pneumonia yang berlaku disebabkan bakteria akan sembuh dalam masa satu hingga dua minggu.
Pneumonia yang berlaku disebabkan jangkitan virus pula mungkin memakan masa lebih lama iaitu sekitar empat hingga enam minggu untuk sembuh sepenuhnya.
Antara simptom pneumonia bayi ialah sukar untuk makan dan minum. Mereka juga boleh tiba-tiba tidak sedarkan diri, mengalami hipotermia dan sawan.
Oleh itu, rawatan awal sangat penting untuk memastikan kanak-kanak dapat sembuh sepenuhnya daripada jangkitan yang disebabkan oleh pneumonia.
Punca Pneumonia Kanak-Kanak Yang Ibu Bapa Perlu Tahu

Pneumonia boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai jenis bakteria dan virus. Berikut merupakan antara punca pneumonia kanak-kanak yang paling kerap berlaku:
1. Streptococcus pneumoniae
Bakteria ini adalah antara punca pneumonia tertinggi dalam kalangan kanak-kanak.
2. Haemophilus influenzae
Bakteria ini boleh menyebabkan pneumonia, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang tidak menerima vaksin lengkap.
3. Virus Respiratory Syncytial Virus (RSV)
Ini adalah salah satu virus utama yang menyebabkan pneumonia dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya bayi.
4. Virus Influenza
Virus ini boleh menyebabkan pneumonia yang serius dalam kalangan kanak-kanak jika tidak dirawat dengan segera.
5. Mycoplasma pneumoniae
Bakteria ini merupakan antara punca penyakit pneumonia dalam kalangan kanak-kanak yang lebih berusia dan remaja.
Simptom Pneumonia Kanak-Kanak
Antara simptom pneumonia kanak-kanak yang ibu bapa perlu perhatikan ialah:
- Demam panas
- Batuk berkahak
- Kesukaran bernafas atau pernafasan yang cepat
- Sakit dada terutama semasa batuk
- Hilang selera makan
- Keletihan atau kelesuan
- Bibir atau kuku kebiruan akibat kekurangan oksigen
- Muntah atau cirit-birit
Simptom pneumonia dewasa adalah hampir sama dengan simptom kanak-kanak.
Sekiranya anak mengalami pneumonia, jangan berikan aspirin kerana ia mungkin berkait rapat dengan satu penyakit serius yang dikenali sebagai Sindrom Reye. Aspirin boleh menyebabkan anak mengalami kegagalan hati.
Kanak-kanak yang menghidap pneumonia perlukan rehat yang mencukupi. Mereka juga perlu minum banyak air untuk membantu melawan jangkitan.
Siapa Yang Lebih Berisiko?
Kanak-kanak yang mempunyai penyakit tertentu lebih berisiko untuk mengalami pneumonia. Antara golongan yang berisiko tinggi adalah:
- Kanak-kanak dengan sistem imun yang lemah seperti penghidap HIV atau kanser
- Kanak-kanak dengan masalah paru-paru kronik seperti asma atau fibrosis sista
- Bayi pramatang atau bayi dengan berat kelahiran rendah
- Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok atau pencemaran udara
Bagaimana Pneumonia Menjangkiti Kanak-Kanak?
Pneumonia boleh merebak dengan pelbagai cara. Virus dan bakteria yang berada di dalam hidung atau tekak kanak-kanak boleh menjangkiti paru-paru.
Selain itu, kuman juga boleh merebak melalui titisan air daripada batuk atau bersin orang lain.
Pneumonia juga boleh merebak melalui darah, lebih-lebih lagi ketika atau selepas kelahiran.
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk mengenal pasti patogen yang menyebabkan pneumonia serta cara jangkitan berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Dengan mengenal pasti punca pneumonia kanak-kanak, rawatan dapat diberikan dengan lebih efektif dan berkesan.
Cara Mencegah Pneumonia Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Pencegahan adalah kunci untuk melindungi kanak-kanak daripada pneumonia. Berikut adalah beberapa langkah pencegahan yang boleh ibu bapa ambil demi keselamatan anak-anak.
Pertama sekali, ibu bapa boleh melindungi kanak-kanak daripada bakteria yang menyebabkan pneumonia dengan memastikan anak divaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.
Selain itu, pastikan anak sentiasa mencuci tangan dengan sabun terutama selepas batuk, bersin atau menyentuh permukaan yang mungkin tercemar.
Ajar mereka untuk menutup mulut dan hidung menggunakan tisu atau lengan ketika batuk atau bersin bagi mengelakkan penyebaran kuman.
Ibu bapa juga perlu mengelakkan anak terdedah kepada asap rokok kerana ia merupakan salah satu punca pneumonia kanak-kanak yang sering terlepas pandang.
Asap rokok boleh merosakkan paru-paru kanak-kanak dan meningkatkan risiko mereka untuk mendapat pneumonia. Oleh itu, pastikan rumah anda bebas daripada asap rokok.
Dalam pada itu, pastikan anak mengamalkan diet yang seimbang dan berkhasiat untuk meningkatkan daya tahan tubuh terhadap jangkitan.
Dengan mengambil langkah-langkah pencegahan ini, kita boleh melindungi anak-anak daripada risiko pneumonia dan memastikan mereka
membesar dengan sihat.
Sumber: hellodoktor.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


