
Ramai ibu, terutama yang baru melahirkan bayi, sering berasa risau apabila mendengar tentang jaundis bayi atau penyakit kuning. Kebimbangan ini memang ada asasnya kerana keadaan ini berlaku apabila hati bayi masih belum cukup matang seperti orang dewasa untuk memproses bilirubin dengan baik.
Proses berulang-alik ke hospital untuk ujian darah sememangnya memenatkan, lebih-lebih lagi jika ibu dan bayi perlu ditahan bagi menjalani rawatan fototerapi. Namun begitu, ibu bapa tidak perlu terlalu panik kerana kebanyakan kes jaundis bayi adalah jenis fisiologis, iaitu keadaan normal yang tidak berbahaya.
Fahami Kitaran Normal Jaundis Bayi
Jaundis fisiologis biasanya muncul selepas 24 jam kelahiran. Parasnya akan meningkat sekitar hari ketiga hingga kelima, sebelum mula menurun pada hari keenam atau ketujuh. Dalam kebanyakan kes, ia akan pulih dengan sendirinya tanpa komplikasi serius.
Namun, ibu bapa perlu lebih berhati-hati jika jaundis bayi berlaku dalam tempoh 24 jam pertama selepas kelahiran atau tidak menunjukkan tanda berkurang walaupun selepas seminggu. Jika disertai simptom seperti demam, bayi kelihatan lesu, atau tidak mahu menyusu, pemeriksaan segera sangat diperlukan.
3 Cara Mudah Kesan Jaundis Bayi Dari Rumah

Sebab itu penting untuk mak ayah tahu cara mudah mengenal pasti tanda-tanda awal jaundis bayi di rumah:
1. Perhatikan mata bayi (sclera)
Lihat pada bahagian putih mata bayi. Jika nampak kekuningan, ini mungkin tanda awal jaundis bayi.
2. Tekan bahagian hidung bayi
Gunakan jari telunjuk dan tekan perlahan selama tiga hingga empat saat, kemudian lepaskan. Jika kawasan tersebut kelihatan kekuningan, kemungkinan bayi mengalami jaundis bayi.
3. Periksa gusi bayi
Gunakan kaedah yang sama pada bahagian gusi. Warna kekuningan juga boleh menjadi petunjuk awal.
Apa Perlu Buat Jika Bayi Kena Jaundis?
Jangan panik. Bawa bayi ke hospital atau klinik kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut. Jika bacaan bilirubin masih di bawah 280 mikromol/L, biasanya bayi dibenarkan pulang.
Yang paling penting, pastikan bayi menyusu dengan kerap, sekitar 8 hingga 12 kali sehari. Penyusuan yang baik membantu mengurangkan paras jaundis bayi dengan lebih cepat. Selain itu, perhatikan juga kekerapan bayi kencing dan berak sebagai tanda dia mendapat susu yang mencukupi.
Kepentingan Ilmu Untuk Ibu Bapa
Ilmu seperti ini sangat penting untuk bakal ibu bapa. Simpan dan kongsikan supaya lebih ramai tahu dan bersedia. Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi serius baru ingin mendapatkan rawatan.
Peringatan Penting Tentang Jaundis Bayi
Jaundis bayi yang terlalu teruk boleh menyebabkan kernicterus, iaitu kerosakan otak akibat pengumpulan bilirubin dalam tisu otak. Keadaan ini sangat berbahaya dan perlu dielakkan.
Sumber: taufiqrazif.com
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





