
Rambut gugur selepas bersalin? Selepas melahirkan anak, tubuh ibu akan melalui pelbagai perubahan. Selain emosi yang tidak stabil dan badan cepat penat, ramai ibu turut berdepan masalah rambut gugur yang kadang-kadang membuatkan rasa risau dan hilang keyakinan diri.
Ada ibu yang mendapati rambut mula gugur dengan banyak ketika mandi, menyikat rambut atau bangun tidur. Malah ada yang melihat rambut menjadi semakin nipis terutama di bahagian depan kepala.
Namun ibu jangan terlalu panik kerana masalah rambut gugur selepas bersalin sebenarnya sangat normal dan dialami oleh kebanyakan wanita.
Ketika hamil, hormon estrogen meningkat dan membantu rambut kekal lebih lama pada kulit kepala. Sebab itu ramai ibu perasan rambut jadi lebih lebat dan cantik sepanjang kehamilan.
Tetapi selepas bersalin, paras hormon mula menurun secara mendadak. Keadaan ini menyebabkan rambut yang sebelum ini “tertahan” mula gugur dalam jumlah yang banyak.
Biasanya masalah ini berlaku sekitar 3 hingga 6 bulan selepas melahirkan bayi dan akan beransur pulih dalam tempoh setahun.
Rambut gugur selepas bersalin sebenarnya tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan perkembangan bayi atau anak.
Ia lebih berkaitan dengan perubahan hormon, tekanan, kurang tidur dan keletihan yang dialami oleh ibu selepas melahirkan anak.
Namun begitu, jika ibu terlalu stres, tidak cukup rehat atau kurang nutrisi, keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan tubuh secara keseluruhan. Bila badan terlalu penat, emosi juga mudah terganggu dan secara tidak langsung boleh mempengaruhi cara ibu menguruskan anak.
Sebab itu penting untuk ibu menjaga kesihatan diri sendiri supaya tubuh kembali bertenaga dan emosi lebih stabil ketika membesarkan si kecil.
Sememangnya agak mustahil untuk menghentikan keguguran rambut selepas bersalin sepenuhnya. Namun ibu masih boleh mengawal masalah ini daripada menjadi lebih teruk dengan penjagaan yang betul.
Langkah terbaik yang boleh dilakukan ialah meningkatkan penjagaan rambut serta mengambil vitamin tambahan bagi membantu menguatkan akar rambut dari dalam tubuh.
Berikut antara perkara yang perlu dielakkan:
Ketika rambut masih basah, ia berada dalam keadaan paling rapuh. Menyikat rambut secara kasar boleh menyebabkan rambut lebih mudah putus dan gugur.
Sebaiknya keringkan rambut perlahan-lahan terlebih dahulu sebelum menyikat menggunakan sikat bergigi jarang.
Pengering rambut, alat pengeriting dan alat pelurus rambut boleh menyebabkan rambut menjadi lebih kering dan rosak.
Buat sementara waktu, biarkan rambut kering secara semula jadi supaya akar rambut tidak menjadi semakin lemah.
Mewarnakan, meluruskan atau mengeriting rambut menggunakan bahan kimia boleh memburukkan lagi masalah keguguran rambut.
Jika boleh, tangguhkan dahulu sebarang rawatan kimia sehingga keadaan rambut kembali sihat.
Selain mengelakkan perkara di atas, ibu juga boleh mencuba beberapa amalan ini bagi membantu memulihkan rambut:
Pilih produk rawatan rambut yang sesuai untuk masalah rambut gugur. Produk yang mengandungi vitamin A dan vitamin E boleh membantu menjadikan rambut lebih sihat dan kuat.
Apa yang ibu makan sangat mempengaruhi kesihatan rambut. Pastikan pengambilan makanan harian mengandungi:
Nutrien ini penting untuk membantu pertumbuhan rambut yang lebih sihat.
Walaupun sukar bagi ibu yang baru bersalin, cuba curi masa untuk berehat apabila bayi tidur. Kurang tidur dan stres boleh menyebabkan rambut gugur menjadi lebih serius.
Jangan berhenti mengambil vitamin yang disarankan doktor terutama jika ibu menyusukan bayi. Vitamin membantu tubuh mendapatkan nutrien mencukupi dan menguatkan akar rambut.
Jika rambut gugur berlaku terlalu lama, semakin teruk atau disertai simptom lain seperti kulit kepala gatal dan botak berpatch, ibu disarankan segera mendapatkan pemeriksaan doktor atau pakar dermatologi.
Kadang-kadang masalah rambut gugur juga boleh berlaku disebabkan kekurangan zat besi, masalah tiroid atau faktor kesihatan lain yang memerlukan rawatan khusus.
Yang penting ibu perlu tahu, rambut gugur selepas bersalin adalah perkara biasa dan kebanyakannya akan kembali pulih dengan sendirinya. Beri masa untuk tubuh menyesuaikan diri semula selepas melalui proses kehamilan dan kelahiran yang besar.
