
Pasar Kea Farm yang terkenal dengan kunjungan pengunjung di hujung minggu kecoh apabila sebuah kereta merempuh empat pejalan kaki di Kilometer 68 Jalan Kea Farm-Brinchang, Cameron Highlands, pada 12 tengah hari semalam.
Dalam kejadian itu, tiga daripada mangsa merupakan kanak-kanak perempuan berusia 2, 8 dan 10 tahun manakala seorang lagi lelaki berusia 24 tahun turut sama tercedera.
Menurut Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 22 tahun tiba-tiba terbabas ke bahu kiri jalan selepas dikatakan diserang sawan ketika memandu.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu berkenaan diserang penyakit sawan ketika memandu, menyebabkan dia hilang kawalan ke atas kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Semua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom untuk mendapatkan rawatan, namun kesemua mereka disahkan hanya mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Pihak polis turut mengesahkan bahawa pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan mempunyai rekod penyakit sawan yang sedia ada.
Selain itu, pemandu kereta tidak mempunyai rekod saman, bebas pengaruh dadah dan tidak mabuk.
Orang ramai turut dinasihatkan sentiasa berwaspada Ketika berada di tempat awam dan pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini.