Makan

Anak Jemu Asyik Nasi Waktu Berbuka? Peniaga Ini Kongsi Resipi Bihun Goreng Lembut, Tak Melekat & Tahan Lama Tak Cepat Basi

Share

Resipi bihun goreng lembut ini sesuai untuk ibu bapa yang mahu tukar selera anak ketika berbuka puasa. Anak jemu asyik nasi waktu berbuka? Setiap hari lauk bertukar, tapi tetap berasaskan nasi. Lama-lama bukan anak saja rasa bosan, mak ayah pun mula blur nak fikir menu apa lagi yang boleh buat mereka berselera.

Apa kata kali ini tukar selera dengan bihun goreng. Nampak ringkas, tapi kalau salah cara, memang jadi lembik, melekat dan mudah hancur. Silap-silap baru lepas Isyak dah berbau, tak sempat simpan untuk moreh.

Bukan tak nak ke bazar Ramadan, tapi bila kesuntukan masa, tambah pula setiap hari ada urusan sekolah dan komitmen keluarga, memang ramai ibu lebih selesa masak sendiri di rumah. Air tangan ibu tu lain macam rasanya. Anak-anak pun selalunya lebih berselera bila makan masakan mak sendiri.

Jadi, bagi yang nak tahu petua masak meehon (bihun) goreng supaya lembut, tidak hancur dan tidak putus, ini petuanya hasil perkongsian seorang wanita, Norizbaked dari Shah Alam. Ikuti perkongsiannya tentang resipi bihun goreng lembut yang tahan lama dan tak cepat basi.

Petua Penting Resipi Bihun Goreng Lembut Supaya Tak Melekat

“Lepas tumis garing bahan-bahan, letak cili sos. Letak air agak-agak. Didihkan betul-betul sampai mendidih. Rasa garam dan gula cukup rasa, baru letak meehon. Gaulkan sehingga rata.

Perlahankan api untuk bihun jadi lembut

“Kita boleh agak meehon jenis keras atau lembik. Kalau keras, letak air panas lebih dan perlahankan api, memang perlahan sangat api untuk lembutkan meehon dan tak nak bawah berkerak. Kacau sampai sekata.

“Saya selalu goreng 4 bungkus meehon, saya ambil masa 1 jam baru elok masak dan sebati rasa meehon itu sebab saya guna api perlahan. Dah agak lembut baru saya letak sayur sawi.

Taugeh sebab bihun cepat basi.

Taugeh memang tak letak sebab cepat basi. Meehon saya dari pagi sampai malam pun tak basi sebab masak lama. Saya tak pergi kelas pun, saya belajar sendiri sambil-sambil masak untuk makan keluarga.

Ini gambar meehon goreng saya lain-lain masa, tapi rupa dan rasa insya-Allah sama.

Kenapa Resipi Bihun Goreng Lembut Ini Tahan Lama?

“Pengalaman dan pemerhatian saya, rendam dengan air sejuk walau lama pun tak melembikkan meehon. Maksud saya, meehon tak lembik dalam air sejuk itu.

“Rahsia utama resipi bihun goreng lembut ini adalah teknik masak perlahan dan kawalan air yang tepat. Bila kuah dididihkan dahulu sebelum memasukkan bihun, rasa akan lebih sekata dan bihun tidak mudah hancur.

Bahan-Bahan Untuk Tumis

  • Bawang putih
  • Bawang merah
  • Bilis
  • Udang kering
  • Cili kering blend

(Saya blend guna chopper, guna chopper dia tak berair)

Kena letak udang kering atau bilis, baru ada rasa meehon itu.

Tumis bahan-bahan di atas sampai garing.

Bahan Lain Untuk Lengkapkan Resipi Bihun Goreng Lembut

  • Fish ball
  • Fish cake
  • Isi ayam bahagian dada untuk berniaga
  • Untuk makan sendiri boleh guna udang dan sotong
  • Cili sos
  • Garam
  • Gula sikit
  • Sawi

Kobis dan taugeh cepat basi, untuk makan sekejap boleh guna.

Kicap saya tak guna, suka meehon warna merah-merah macam itu.

Good luck. Dengan teknik resipi bihun goreng lembut ini, insya-Allah bihun tak melekat, tak hancur dan boleh tahan lama sampai malam tanpa cepat basi.

Sumber: Norizbaked Shah Alam

Published by
Nor Yusoff