
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67 bilion kepada sektor pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, peruntukan besar itu merangkumi pelbagai aspek penting termasuk pembinaan sekolah baharu serta kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf bangunan sedia ada, termasuk institusi di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas)
.“Peruntukan ini juga menyasarkan pembangunan kemudahan dan fasiliti di institusi pengajian tinggi awam agar kualiti pendidikan negara dapat terus dipertingkatkan,” ujar Perdana Menteri dalam ucapan beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan sekolah akan dijadikan sebagai syarat utama dalam permohonan Kebenaran Merancang
bagi mana-mana projek perumahan berskala besar yang baharu.“Pembinaan sekolah juga akan dijadikan syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar yang baharu,” jelasnya.
Bagi menangani isu kepadatan pelajar dan kekurangan tapak sekolah di kawasan bandar yang padat, kerajaan akan memperluaskan konsep pembinaan sekolah secara vertikal (menegak).
“Manakala, pembinaan sekolah vertikal akan diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak sekolah bersesuaian,” katanya.
Langkah-langkah ini dilihat sebagai satu usaha menyeluruh kerajaan untuk memperkukuhkan sistem pendidikan negara, sejajar dengan aspirasi RMK13 dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat dan melahirkan generasi berilmu.