
Isu salah laku pelajar yang berlaku di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini bukan sahaja mencetuskan rasa gusar di kalangan ibu bapa, malah membuka semula perdebatan lama perlu ke rotan dalam didikan anak zaman sekarang?
Ramai guru tampil berkongsi pengalaman, meluahkan rasa serik untuk menggunakan rotan selepas ada antara mereka dikenakan tindakan, malah ada yang pernah disiasat polis gara-gara cubaan mendisiplinkan murid. Akibatnya, ramai pendidik mula memilih untuk “tidak mahu ambil risiko”, dan biarkan anak-anak dididik sepenuhnya dengan pendekatan psikologi lembut.
Pendekatan Baharu Pendidikan Tanpa Rotan

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad menegaskan pendirian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa penggunaan rotan bukan lagi kaedah sesuai dalam sistem pendidikan negara.
Menurut beliau, KPM kini memberi penekanan kepada pendekatan berasaskan nilai, adab serta pembentukan karakter melalui teladan dan bimbingan, bukan hukuman fizikal.
“Pendirian kita jelas, kita tidak menggunakan rotan sebagai alat dalam pendidikan. Negara maju lain juga tidak menggunakan rotan, tetapi mereka dapat melahirkan generasi beradab,” katanya dalam satu sidang media baru-baru ini.
Rotan Dalam Didikan Anak: Antara Kasih Sayang dan Ketegasan
Bagi sebahagian ibu bapa, rotan dalam didikan anak tetap dianggap sebagai alat mendidik yang berkesan, asalkan digunakan dengan cara betul dan berhikmah. Bagi mereka, rotan bukan simbol kekerasan, tapi tanda tegasnya kasih sayang seorang ibu dan ayah. Ia bukan untuk menyakitkan, tetapi untuk mengingatkan bahawa setiap perbuatan ada akibat, dan disiplin perlu dipupuk sejak kecil.
“Saya tak pernah rotan anak waktu marah. Tapi bila dia ulang kesalahan yang sama, saya pukul perlahan tapak tangan sambil terangkan kenapa. Kadang anak menangis, tapi lepas tu dia peluk saya. Dia tahu saya sayang dia,” luah seorang ibu dalam komen media sosial.
Perspektif Islam Tentang Rotan Dalam Didikan Anak

Dalam Islam, konsep rotan bukanlah tentang penderaan. Nabi SAW pernah bersabda, “Ajar anak solat pada usia tujuh tahun, dan pukullah mereka (dengan lembut) ketika berumur sepuluh tahun jika mereka enggan melakukannya.” Ini bukan bermaksud untuk menyakiti, tetapi menanam rasa tanggungjawab sejak kecil.
Pakar psikologi keluarga juga berpendapat bahawa disiplin fizikal ringan boleh diterima jika dilakukan dengan kasih sayang, tanpa emosi marah, dan disertai dengan penjelasan yang membina. Yang salah bukan rotannya tapi cara dan niat orang yang menggunakannya.
Didik Anak Dengan Kasih Sayang dan Bimbingan
Dalam dunia keibubapaan moden, mungkin kita tidak lagi bergantung pada rotan semata-mata, tetapi menolak rotan secara total juga bukan penyelesaian. Anak-anak perlukan sempadan, ketegasan dan rasa tanggungjawab dan semua itu perlu bermula dari rumah, sejak kecil lagi.
Rotan bukanlah musuh pendidikan. Yang penting, biarlah ia datang dari tangan yang penuh kasih, bukan tangan yang marah.
Luahan guru – Ini Sebabnya
Namun di sebalik pendirian tegas KPM itu, ramai guru mula meluahkan rasa kecewa dan hilang semangat. Mereka bukan mahu menghukum, tapi hanya mahu mendidik dengan cara yang pernah dianggap berkesan suatu masa dulu.
Sejak rotan tidak lagi dibenarkan, ada guru yang mengaku mereka kini serba salah. Nak marah tak boleh, nak menegur pun takut disalah tafsir. Malah ada yang pernah dimarahi ibu bapa hanya kerana cuba mendisiplinkan anak.
Luahan-luahan seperti ini menggambarkan betapa berat beban emosi seorang pendidik hari ini terhimpit antara amanah mendidik dan risiko disalah erti. Mereka bukan mahu menyakiti, tetapi mahu membentuk generasi yang tahu beza antara kasih dan disiplin. Sebagaimana perkongsian luahan guru-guru di threads Farhad Hassan

Info Tambahan: Didik Anak Tanpa Rotan

Bagaimana pun, didik anak tanpa rotan boleh juga dipraktikan dalam kehidupan seharian. Misalnya seperti berikut:
1. Jangan Didik Ketika Marah
Marah itu normal, tapi jangan jadikan marah sebagai masa untuk mendidik. Bila emosi tinggi, mesej tak sampai. Anak cuma nampak “kemarahan”, bukan “pengajaran”.
Tip: Tenangkan diri dulu — tarik nafas, minum air, baru tegur anak dengan rasional.
2. Sentuh Dengan Kasih, Bukan Rotan
Sentuhan lembut, pelukan, atau usapan di kepala lebih berkesan daripada hukuman. Anak rasa disayangi walau dimarahi, dan itu bantu dia belajar tentang empati.
3. Gunakan Ganjaran Positif (Positive Reinforcement)
Bila anak buat betul, beri pujian atau ganjaran kecil seperti pelekat bintang, extra masa bermain, atau pelukan sambil ucap “Mama bangga dengan kamu”.
Tip: Anak akan kaitkan “buat baik = dapat perhatian baik”.
4. Konsisten Dengan Peraturan Rumah
Anak mudah keliru kalau hari ini boleh, esok tidak. Tetapkan rutin dan batas dari awal — contohnya waktu tidur, waktu skrin, dan tanggungjawab harian.
Tip: Disiplin terbentuk daripada konsistensi, bukan kekerasan.
5. Libatkan Anak Dalam Perbincangan
Bila anak faham konsep betul dan salah, ajak dia berbincang cara penyelesaian. Contohnya, “Abang rasa patut Mama buat macam mana bila abang menjerit tadi?”
Tip: Ini ajar anak accountability dan empati.
6. Jadi Cermin Untuk Anak
Anak kecil belajar dengan meniru. Kalau ibu ayah cepat melatah, anak pun sama. Tapi kalau kita sabar, anak belajar kawal emosi.
Tip: Anak bukan dengar apa kita cakap — dia tiru apa kita buat.
7. Gunakan Teknik ‘Natural Consequence’
Contoh: anak tumpahkan air sebab main-main, biar dia lap sendiri. Anak lambat siap kerja sekolah, biar dia tanggung akibat — kena tegur cikgu.
Tip: Ini ajar tanggungjawab tanpa perlu marah atau rotan.
8. Doa & Istiqamah Itu Senjata Utama
Tiada cara paling mujarab selain doa ibu ayah. Doakan anak setiap kali mereka tidur dan setiap kali kita rasa penat mendidik.
Tip: Disiplin bukan datang dari ketakutan, tapi dari doa yang berterusan.
Sumber: Sinar Harian & Threads Farhad Hassan
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!





