Ruam adalah perubahan ketara dalam tekstur atau warna kulit. Ruam pada kulit menjadikan kulit bengkak, kerengsaan, atau keradangan. Ia boleh membuatkan kulit anda bersisik, gatal, timbul benjolan seperti jerawat atau rasa kulit terbakar.
Alergen, haba, dan keadaan perubatan tertentu boleh menyebabkan reaksi kulit seperti ini. Sesetengah ruam berlaku dengan segera, namun, terdapat juga yang mengambil masa untuk muncul.
Ia cenderung berlaku di bahagian muka, lengan, kaki atau bahagian tubuh, yang berpunca oleh pelbagai sebab. Kebanyakan ruam tidak mendatangkan bahaya, tetapi ia menyebabkan ketidakselesaan terutamanya kepada anak kecil.
Berikut antara perkara yang boleh mengakibatkan ruam timbul pada kulit:
Krim perlindungan matahari
Produk seperti ini menawarkan perlindungan berharga, tetapi beberapa kandungan yang terdapat di dalamnya boleh mendatangkan masalah jika anda mempunyai kulit sensitif. Pilih pelindung matahari tanpa para-aminobenzoic acid (PABA), bahan yang mungkin menyebabkan kerengsaan.
Untuk anak anda yang berusia lebih 6 bulan, gunakan pelindung matahari yang dapat menghalang sinaran UVA dan UVB yang mempunyai SPF 30 atau lebih. Menggunakan pelindung matahari yang mengandungi zink oksida adalah idea yang baik.
Untuk bayi di bawah usia 6 bulan, sebaiknya anda dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan sebarang produk pelindung matahari.
Ads
Sabun antibakteria
Secara teorinya sabun ini mendatangkan kebaikan. Namun, dari aspek penggunaan, sabun antibakteria mungkin mendatangkan beberapa risiko. Triclosan, kandungan yang biasa terdapat dalam sabun seperti ini, mungkin menyebabkan kerengsaan pada individu berkulit sensitif. Untuk menyingkirkan kuman, membasuh tangan dengan air dan sabun biasa sudah mencukupi.
Losyen pelembap
Kita selalu tertarik untuk menggunakan losyen untuk menjaga kulit, terutama untuk penjagaan kulit bayi. Tetapi losyen pelembap kebiasaannya mengandungi wangian yang boleh merengsakan kulit, khususnya kepada individu dan kanak-kanak yang sudah mempunyai ekzema.
Untuk kulit kering, gunakan sabun lembut, elakkan menggosok kulit kering selepas mandi dan dapatkan nasihat doktor atau pakar pediatrik untuk cadangan losyen bersesuaian.
Tisu basah
Tisu basah pakai buang merupakan antara benda yang wajib ada buat ibu bapa yang memiliki anak kecil. Walau bagaimanapun, tisu seperti ini mungkin mengandungi alkohol dan wangian yang boleh mencetuskan kerengsaan pada kulit. Sebaiknya pilih untuk menggunakan kain lap basah.
Ads
Sabun pencuci detergen
Bahan kimia yang terdapat dalam sesetengah produk pencuci detergen mungkin mencetuskan kerengsaan kulit. Ia cenderung untuk berlaku kepada kanak-kanak yang mempunyai ekzema. Untuk menghindari perkara ini, gunakan detergen yang lembut tanpa penambahan pewangi atau pewarna.
Syampu dan perapi
Semak label bahan sebelum menggunakannya terutama pada anak kecil. Terdapat setengah wangian dan bahan kimia dalam syampu dan perapi boleh mendatangkan masalah kepada yang memiliki kulit kepala sensitif.
Penyelidikan mendapati bahan seperti phthalates, formaldehyde, dan 1, 4 dioxane sebagai antara bahan yang cenderung mendatangkan bahaya. Sebagai langkah selamat, pilih produk semula jadi dengan kandungan wangian, bahan kimia dan keseluruhan bahan lain dalam kuantiti yang sedikit.
Pelembut pakaian
Jika anda atau anak anda mempunyai kulit yang sensitif, anda mungkin perlu menghindari dari menggunakan cecair pelembut pakaian. Produk seperti ini mengandungi bahan kimia dan pewangi, seperti limonena dan benzyl acetate – yang boleh menyebabkan keradangan pada kulit, mata, hidung, dan tekak.
Ads
Sebagai alternatif, anda boleh menambah setengah cawan serbuk penaik atau setengah cawan cuka ke dalam mesin basuhan untuk menjaga kelembutan pakaian.
Produk pembersih rumah
Jangan hanya melihat kepada label ‘tiada toksik’ tidak terkawal, sebaliknya baca label bahan kandungan pada produk pembersihan rumah.
Bahan seperti alkyphenol extocylates (APEs), yang mungkin terdapat dalam produk pencuci dan pembersihan, boleh menyebabkan masalah hormon. Kandungan amonia pula boleh mengakibatkan keradangan pada paru-paru, membakar kulit, dan beracun jika tertelan.
Cari produk yang mengandungi bahan kimia tambahan yang sedikit atau anda boleh mencuci rumah dengan menggunakan air dan serbuk penaik atau cuka.
Bahan pengawet
Sesetengah sabun – walaupun untuk produk yang dilabel khas untuk bayi – mungkin mengandungi formaldehyde, bahan pengawet yang boleh mengakibatkan kerengsaan pada kulit, mata dan paru-paru.
Sabun yang mengandungi bahan pengawet juga boleh mencetuskan ekzema, salah satu keadaan kulit yang kerengsaan dan gatal, yang paling biasa pada bayi dan kanak-kanak, terutama kepada yang mempunyai alahan atau asma.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pernahkah anda sebagai ibu bapa terfikir bahawa terdapat seribu satu makna yang tersirat di sebalik warna najis bayi? Jika tidak, teruskan membaca artikel ini kerana ia bukanlah sesuatu perkara yang boleh ibu bapa ambil mudah!
Para ibu bapa terutamanya yang masih baharu dalam alam keibubapaan pasti akan teruja dan dalam masa yang sama keliru serta takut menerima kehadiran seorang bayi dalam hidup mereka.
Ini kerana anda sebagai ibu bapa perlu tahu serba-serbi mengenai keperluan atau kemahuan si comel mereka. Segala macam perkara mengenai bayi perlu anda tahu bagi memastikan mereka sentiasa kekal tenang dan ceria di samping anda. Antara yang paling perlu diberi perhatian adalah kesihatan, pemakanan, penghidratan, pemakaian, waktu tidur, waktu mandi, waktu bermain dan juga warna najis bayi.
Ya, warna najis bayi juga perlu ibu bapa perhatikan dengan baik kerana ia adalah salah satu daripada indikator yang paling penting dalam menentukan tahap kesihatan si comel anda. Mungkin bagi ibu bapa yang masih baharu, mereka akan sedikit keliru mengenai perkara ini lebih-lebih lagi jika mereka kurang membuat pembacaan mengenainya.
Mungkin selama ini mereka beranggapan bahawa warna najis bayi adalah serupa sahaja daripada segi bentuk, tekstur dan terutamanya warna dan tidak akan berubah-ubah. Ini adalah tidak benar. Bagi mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut, sila ikuti artikel ini.
Antara soalan yang sering ditanya oleh para ibu bapa terutamanya yang masih baharu adalah mengapa warna najis bayi mereka adalah tidak normal? Ini akan menimbulkan tanda tanya yang lain iaitu apakah warna najis bayi yang normal? Sebenarnya, tidak ada warna najis bayi yang tetap untuk dianggap sebagai normal atau tidak normal. Ia akan berubah-ubah mengikut tahap kesihatan seseorang bayi itu sendiri.
Selain itu, terdapat juga beberapa soalan lain yang sering diutarakan berkaitan dengan najis bayi iaitu kekerapan dan konsistensi pembuangan najis kanak-kanak. Selain warna najis bayi, 2 perkara ini juga mampu memberikan indikasi terhadap tahap kesihatan seseorang bayi itu. Dalam pada itu lagi, ibu bapa perlu tahu bahawa ciri-ciri najis itu juga bergantung kepada pemakanan, penghidratan, emosi pengambilan ubat dan lain-lain punca yang wujud.
Secara umumnya, bayi yang baharu lahir akan membuang najis dengan kerap dan banyak. Ketika mereka sedang dalam beberapa hari yang pertama terutamanya, si comel anda mungkin akan membuang najis yang berwarna agak gelap sedikit.
Selepas bayi telah mula menyusu pula, ia akan memberi kesan terhadap ciri-ciri najis bayi. Bayi yang disusukan dengan susu badan secara ekslusif kebiasaannya akan membuang najis lebih kurang 5 ke 6 kali sehari. Selain itu, bayi yang menyusu susu ibu cenderung membuang najis yang lebih cair jika hendak dibandingkan dengan bayi yang menyusu susu formula.
Najis bayi yang berusia 6 bulan ke bawah adalah lebih cair ekoran pemakanan mereka yang hanya mengambil sumber susu sahaja. Konsistensi najis bayi yang disusukan dengan susu ibu adalah lebih berbentuk kepada ketul-ketulan kecil sementara najis bayi yang disusukan dengan susu formula pula adalah lebih pekat seperti campuran sos mustard atau sos keju.
Pasangan ibu bapa sudah pasti sangat obses dengan setiap perkembangan baharu anak mereka. Perkara-perkara seperti berat badan, ketinggian, warna rambut, warna mata dan kesemua mengenai bayi pasti akan menarik perhatian ibu bapa. Namun begitu, apa kata anda jika pasangan ibu bapa itu obses dengan warna najis bayi mereka sendiri?
Sebenarnya, ia bukan perkara yang terlalu aneh atau pelik untuk difikirkan. Warna najis bayi sebenarnya adalah sangat penting untuk diperhatikan kerana selain warnanya, kekerapan, konsistensi, bentuk, tekstur dan bau najis juga akan berubah-ubah bergantung kepada beberapa punca yang tertentu.
Disebabkan itu, anda sebagai ibu bapa sedikit sebanyak boleh cuba untuk mengetahui mengenai kondisi anak anda dengan meneliti warna najis bayi. Persoalannya, bagaimana untuk ‘membaca’ warna najis bayi ini? Sila ikuti panduan yang berikut:
#1. Najis bayi berwarna hitam
Meskipun ia mungkin kelihatan agak menyeramkan, tiada apa yang perlu anda bimbangkan mengenainya. Warna hitam pada najis bayi ini adalah disebabkan oleh mekonium dan terdiri daripada perkara yang si comel anda telan semasa berada di dalam rahim seperti mukus, cecair amnion atau sel-sel kulit. Ia juga kebiasaannya akan terjadi kepada bayi yang baharu lahir sahaja.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang akan menyebabkan najis bayi berwarna hitam. Antaranya adalah kerana bayi anda menyalurkan darah di dalam najisnya. Tidak, anda tidak perlu panik kerana ia adalah darah yang mungkin ditelah dari puting anda yang merekah ketika penyusuan susu badan. Disebabkan itu, anda perlu pastikan bayi anda melekap dengan betul ketika menyusu untuk mengelakkan susu badan bercampur dengan darah anda.
Antara punca lain najis bayi kehitaman adalah disebabkan oleh zat besi. Jangan terkejut melihat najis anak anda berwarna hitam jika anda sendiri yang memberikan mereka supleman zat besi tambahan. Namun begitu, jika najis si comel anda berwarna hitam dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang telah dinyatakan ini, segera berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
#2. Najis bayi berwarna kuning
Ini akan berlaku kepada bayi anda sekiranya mereka minum susu ibu secara eksklusif. Oleh itu, jangan terkejut jika najis bayi anda kelihatan seperti mustard atau keju yang dicampur sekali bersama. Ataupun, ia mungkin akan mengelirukan ibu bapa kerana ia tidak jauh berbeza dengan cirit-cirit. Akan tetapi, anda tidak perlu risau terlebih dahulu terutamanya jika si comel anda langsung tidak menunjukkan gejala ciri-birit yang lain seperti demam atau sakit perut.
Najis jenis ini juga adalah sangat cair dan busuk. Disebabkan itu, ia adalah sangat menjijikkan jika anda berada berhampiran dengannya. Selain itu, ia juga mungkin akan mempunyai sebahagian daripada makanan atau minuman yang si ibu ambil sebelum menyusukan bayi. Pun begitu, anda perlu tahu bahawa najis yang kelihatan menjijikkan ini adalah menunjukkan bahawa bayi anda sedang dalam keadaan yang sihat.
#3. Najis bayi berwarna coklat cair
Najis ini pula lebih biasa ditemui dalam kalangan bayi yang menyusu susu formula. Ia mempunyai bentuk dan tekstur yang tidak terlalu keras atau lembut seakan-akan mentega kacang. Berbanding najis bayi yang menyusu susu ibu, najis bayi yang menyusu susu formula adalah jauh lebih busuk.
Selain itu, warnanya juga agak bervariasi tetapi tetap berkisar pada spektrum warna coklat. Ia mungkin akan berwarna coklat kehijauan atau coklat kekuningan bergantung kepada jenis susu formula yang digunakan. Ataupun, najis bayi yang menyusu susu formula juga mungkin akan kelihatan seperti coklat pekat seperti najis seorang kanak-kanak.
#4. Najis bayi berwarna merah
Ya, warna najis ini adalah sangat menakutkan kerana merah selalunya akan dikaitkan dengan darah. Sudah tentu, najis bayi berwarna merah mungkin disebabkan oleh darah. Pun begitu, anda tidak perlu panik kerana punca najis itu bercampur dengan darah adalah apabila bayi terambil darah ibu melalui penyusuan susu badan yang disebabkan oleh puting merekah atau isu-isu yang lain. Jika ia berlaku, segera berjumpa dengan doktor bersama bayi anda.
Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan najis bayi berwarna kemerahan seperti alahan, jangkitan bakteria, pengambilan ubat bit ataupun disebabkan tebukan di kawasan dubur bayi akibat sembelit. Untuk lebih pasti, dapatkan rawatan dan nasihat daripada pakar kanak-kanak.
#5. Najis bayi berwarna putih
Selain merah, najis bayi yang berwarna putih juga adalah luar biasa dan sangat jarang berlaku. Ada ibu bapa yang berjenaka bahawa bayi yang membuang najis berwarna putih adalah keturunan legenda Pulau Langkawi iaitu Mahsuri yang mempunyai darah berwarna putih. Itu bukan sama sekali halnya kerana najis akan mendapat warnanya daripada organ hempedu. Jadi, punca utama kepada najis yang berwarna keputihan seperti kapur adalah kerosakan atau ketiadaan hempedu.
Selain itu, najih putih juga mungkin disebabkan oleh masalah pada organ hati. Oleh itu, segera bawa si comel anda untuk berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak jika mereka membuang tahi tidak berwarna ini kerana sudah pasti ia adalah berpunca daripada masalah organ dalaman mereka.
#6. Najis bayi berbuih
Sekiranya bayi anda membuang najis yang berbuih seperti susu kocak dan berwarna seakan-akan kehijauan pula, apakah maksudnya? Ia mungkin kerana si comel anda mendapat terlalu banyak susu kolostrum dan kurang menerima susu matang atau susu akhir. Kolostrum terkenal sifatnya yang rendah kalori sementara susu yang keluar pada awal penyusuan susu matang adalah tinggi kalori.
Jadi, sekiranya najis anak anda berbuih dan berwarna kehijauan, ia mungkin bermakna dia tidak menyusu dengan tempoh yang lama sehingga susu matang mula terhasil dalam payudara si ibu. Untuk menyelesaikannya, si ibu perlu mula menyusukan bayi dengan belah payudara yang paling akhir anda gunakan sebelum ini.
#7. Najis bayi berair
Jika najis berair, sudah pasti akan dikaitkan dengan cirit-birit. Namun begitu cirit-birit yang berlaku pada bayi adalah berbeza dengan cirit-birit individu dewasa kerana ia akan terdiri daripada lebih banyak cecair berbanding pepejal. Selain itu, ia juga akan mempunyai warna hijau, coklat atau kuning cair dan sering bocor keluar daripada lampin si comel anda.
Cirit-birit dalam kalangan bayi biasanya adalah berpunca daripada alahan atau jangkitan bakteria. Ia sebenarnya perlu dipandang dengan lebih serius kerana boleh membawa kepada masalah dehidrasi jika tidak dirawat dengan kadar segera. Oleh itu, segera bawa bayi anda berjumpa doktor untuk mengelakkan sebarang masalah lain terhadap mereka.
#8. Najis bayi berwarna-warni
Pernahkah anda terbayang najis bayi yang berwarna-warni? Cuba anda bayangkan campuran sayur-sayuran yang dipotong kecil seperti lobak merah, lobak putih, kacang hijau, terung dan tomato digaul sekali di dalam satu bekas. Ya, ia mungkin kelihatan berwarna-warni dan meriah. Pun begitu, adakah ibu bapa perlu risau mengenainya?
Sekiranya anda mendapati bahawa najis bayi anda dipenuhi dengan tompokan berwarna-warni, anda tidak perlu risau sama sekali. Ini kerana ia mungkin berlaku akibat beberapa jenis makanan yang tidak dapat dicernakan atau dipecahkan sepenuhnya kerana bergerak terlalu pantas melalui sistem pencernaan bayi.
Ia akan terjadi jika si comel anda sangat menyukai makanannya sehingga mereka tidak langsung mengunyah lantas menelan makanan tersebut secara terus. Ini merupakan punca kepada pencernaan yang tidak sempurna lalu menyebabkan kepada masalah najis bayi yang berwarna-warni.
Sebaiknya, bawa anak anda berjumpa dengan doktor untuk mengetahui jika terdapat sebarang masalah terdapat sistem pencernaan bayi anda.
#9. Najis bayi berwarna coklat gelap
Ini mungkin merupakan tahap atau peringkat warna najis bayi yang paling normal. Jika bayi anda sudah mula membuang najis berwarna gelap, mereka sudah berjaya membesar menjadi seorang kanak-kanak yang berjaya.
Anda akan mendapati terdapat perubahan pada warna najis bayi yang berubah menjadi coklat gelap apabila mereka mula mengambil makanan pejal dan sudah mula beransur-ansur ke arah bercerai susu.
Najis bayi yang berwarna coklat gelap juga adalah serupa sahaja dengan warna biasa najis individu dewasa. Jangan risau mengenai perkara ini kerana ia adalah normal dan menunjukkan bahawa tumbesaran bayi anda adalah berada di landasan yang baik.
Warna najis bayi anda mungkin tidak mampu untuk anda ubah dalam tempoh sehari semalam. Jika anda bimbang dengan sesuatu keadaan pada bayi, ada perkara yang boleh anda lakukan iaitu menjaga dan mengawal sistem pencernaan si comel anda.
Ibu bapa perlu cuba untuk mengawal sistem pencernaan yang melibatkan usus dalam perut bayu untuk memberi kesan terhadap seluruh kesihatannya. Berikut adalah beberapa cara anda boleh membantu melindungi sistem pencernaan bayi anda:
Amalkan penyusuan susu ibu
Pertama sekali, anda perlu mengamalkan penyusuan susu ibu kepada bayi anda. Ini kerana ia akan membantu di peringkat awal kehidupan bayi dengan meningkatkan perlindungan imunnya dan pada masa yang sama memastikan imbangan sihat bakteria baik dan bakteria jahat di dalam usus si comel anda.
Susu ibu mengandungi antibodi yang boleh membantu menyalut saluran usus bayi anda sekali gus melindunginya daripada antigen yang berbahaya yang terdapat di persekitaran mereka. Selain mampu meningkatkan imuniti bayi anda, susu ibu juga akan memberi bayi anda nutrien dan khasiat yang seimbang yang khusus untuk tumbesaran mereka.
Elakkan pengambilan antibiotik berlebihan
Selain itu, anda juga perlu mengelak daripada memberi bayi anda apa-apa jenis antibiotik kecuali doktor membenarkannya atas dasar perubatan. Ini kerana antibiotik akan mengganggu imbangan mikroflora dalam usus bayi anda. Jika ubat-ubatan diperlukan, sila rujuk dengan pihak doktor terlebih dahulu.
Anda perlu peka terhadap warna najis bayi anda kerana ia boleh menjadi indikator yang berguna kepada ibu bapa mengenai apa yang sedang berlaku di dalam sistem pencernaan bayi anda. Ketahuilah bahawa bayi yang sihat adalah sangat ceria dan perjalanannya ke arah tumbesaran dan perkembangan yang baik bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa.
Konklusi
Konklusinya, warna najis bayi sememangnya adalah petunjuk kepada tahap sistem pencernaan bayi anda. Sama ada ia hitam, hijau, kuning, coklat, berwarna-warni, berbuih atau berair, anda tidak perlu terlalu risau akannya kerana ia adalah bergantung kepada pemakanan mereka sendiri.
Yang perlu anda risau adalah sekiranya bayi membuang najis yang berwarna putih atau merah kerana ia mungkin menunjukkan si comel anda sebenarnya mempunyai sesuatu kondisi kesihatan yang agak membimbangkan.
Jadi, anda sebagai ibu bapa perlu lebih teliti mengenai perkara ini dan jangan hanya mengambil mudah setiap perkara berkenaan warna najis bayi. Jika terdapat sebarang perubahan yang ketara seperti warna najis bayi kerap berubah-ubah atau apa-apa sahaja kebimbangan mengenai najis bayi, segera bawa si comel anda berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.
Sebelum kembali bekerja selepas bersalin ibu-ibu akan mula sibuk untuk buat stok susu anak untuk ditinggalkan pada pengasuh atau pihak taska.
Bagi ibu yang ada rezeki susu banyak, nak buat stok tiada masalah. Kadang tu dah penuh bahagian sejuk beku sebelum masuk kerja.
Cuma yang jadi masalahnya ramai ibu terutama yang mungkin baru dapat anak pertama belum mahir nak mengendalikan stok susu EBM untuk dihantar ke pengasuh. Perkongsian dari Puan Afiqqah Sani ini sangat mudah dan boleh membantu.
Persediaan Penyediaan EBM ke Rumah Pengasuh
Cara ini adalah rutin harian saya, ibu-ibu boleh gunakan sebagai rujukan sekiranya bersesuaian
Pengasuh adalah insan yang menggantikan peranan ibu bapa menjaga anak-anak ketika kita keluar bekerja, oleh itu amatlah baik sekiranya kita memudahkan urusan beliau untuk menjaga anak kita
Mudahkan urusan orang lain, InshaAllah urusan kita juga dimudahkan
1) Cairkan Ebm malam sebelumnya
? Sekiranya anda menggunakan Frozen Ebm, boleh lah keluar kan Ebm tu malam sebelumnya, contoh pukul 10 malam, keluar kan dari Frozen ke chiller untuk dicairkan
? Sekiranya belum cair sepenuhnya, rendam dalam air paip atau letakkan di bawah aliran air mengalir
2) Sukat susu siap-siap
? Sukat susu mengikut feeding anak dan masukkan dalam botol feeding
? Saya berikan bekalan anak 2oz× 7 botol, alhamdulillah mencukupi, kebiasaannya hanya menggunakan 5/6 botol sahaja
3) Sediakan botol dengan saiz dan puting yang bersesuaian
? Saya menggunakan botol feeding 2 Oz dengan cap, slim neck, setiap botol ada puting sendiri
? Kebiasaannya botol feeding 2 Oz beserta cap banyak yang slim neck, wide neck biasa untuk storage, dan tiada cap
? Jika tak dapat sediakan setiap botol dengan puting, pilih botol feeding dengan saiz kepala yang sama, agar pengasuh boleh tukarkan kepala sahaja
4) Nomborkan botol mengikut aturan
? Ini memudahkan pengasuh untuk memberikan bayi susu mengikut aturan
? Kenapa kena nombor? Sebab susu untuk bekalan anak ada yang fresh, ada yang chill, ada yang Frozen
? Jika menggunakan susu fresh dan chill sahaja, tiada masalah, kerana lebihan botol boleh disimpan dalam chiller semula untuk kegunaan esoknya
? Jika menggunakan susu Frozen, tidak boleh disimpan semula dalam chiller
? Susu Frozen hendaklah dihabiskan dalam tempoh 24 jam
? Jadi nombor itu untuk memastikan anak anda minum susu yang masih dalam aturan masa yang dianjurkan
5) Letakkan botol feeding di dalam cooler bag atau cooler box dengan bilangan ice brick atau ice pack yang mencukupi
? Jadi kita tidak perlu menggunakan peti ais di rumah pengasuh
? Pengasuh tinggal untuk suamkan sahaja dan gunakan bekalan mengikut aturan nombor tersedia
⬛ Cara penomboran botol bekalan anak
? Contoh, jika anda menyediakan 7 botol, anak ditinggalkan di pengasuh dari pukul 7.30 pagi hingga 6.30 petang
Sekiranya susu di botol 5,6,7 tidak habis, maka boleh digunakan semula, kerana susu itu adalah susu fresh (baru diperah) atau susu chill , yang mana bertahan 3-5 hari
Jika susu di botol 5,6,7 susu Frozen, perlu habis kan dalam tempoh 24 jam, bayang kan susu itu telah dicairkan pukul 10 malam sebelumnya, jadi perlu dihabiskan sebelum pukul 10 malam hari berikutnya
Penomboran di atas hanya sekadar rujukan, ibu-ibu boleh bekalkan anak mengikut kesesuaian dan keselesaan, nak yang awal frozen pun boleh, nak bagi semua chill pun boleh, cuma 1/2 botol terakhir elakkan frozen bagi mengelakkan dari pembaziran susu.
Ada anak yang demand tidak terlalu tinggi, jadi agak sayang dan membazir susu itu jika tidak digunakan sehingga habis
Ada anak yang sekiranya ibu telah ada, maka hanya mahu direct feeding, tidak mahu lagi minum susu menggunakan botol, jadi penomboran itu penting supaya dapat mengelakkan pembaziran
Batuk dan selsema bayi antara masalah kesihatan yang kerap menyerang si kecil, terutama bila cuaca tak menentu atau selepas mereka mula dihantar ke taska. Bila anak tak sihat, ibu ayah pasti rasa risau dan serba tak kena melihat si manja sukar tidur, hidung tersumbat dan kerap menangis. Namun, tahukah anda bahawa pemberian ubat batuk dan selsema kepada bayi di bawah usia dua tahun sebenarnya tidak digalakkan?
Menurut pakar pediatrik, ubat batuk dan selsema komersial boleh memberi kesan sampingan yang serius kepada bayi kecil. Ini kerana sistem tubuh mereka masih belum matang untuk memproses bahan kimia yang terdapat dalam ubat tersebut. Malah, kebanyakan ubat ini tidak terbukti berkesan untuk bayi dan boleh menyebabkan masalah seperti gangguan pernafasan, mengantuk melampau atau muntah.
Sebagai gantinya, ibu ayah boleh membantu anak pulih secara semula jadi dengan cara yang lebih selamat dan lembut. Berikut antara empat rawatan semula jadi yang boleh dicuba di rumah:
Bawa bayi ke bilik air dan biarkan wap dari air panas memenuhi ruang selama beberapa minit. Wap ini boleh membantu mencairkan hingus dan melegakan saluran pernafasan bayi. Pastikan anda memantau si kecil sepanjang masa untuk keselamatan.
Apabila hidung bayi tersumbat, gunakan penyedut hingus untuk mengeluarkan lendir dengan lembut. Ia membantu bayi bernafas dengan lebih selesa, terutamanya sebelum tidur atau menyusu.
Larutan garam steril boleh membantu melembapkan hidung bayi dan mencairkan hingus yang pekat. Titiskan 1–2 titis pada setiap lubang hidung sebelum menggunakan penyedut hingus.
Bagi bayi bawah enam bulan, teruskan penyusuan susu ibu dengan kerap. Susu ibu bukan sahaja membekalkan air yang mencukupi, tetapi juga antibodi penting untuk melawan jangkitan. Bagi bayi lebih besar, tawarkan air kosong secukupnya jika sudah mula makan pepejal.
Selain itu, pastikan bilik tidur bayi bersih dan bebas habuk. Elakkan penggunaan penghawa dingin terlalu sejuk dan jauhkan bayi daripada asap rokok atau bau kuat. Persekitaran yang bersih dan udara lembap membantu mempercepatkan pemulihan batuk dan selsema bayi.
Ingat, batuk dan selsema ringan biasanya akan pulih sendiri dalam masa 7–10 hari. Namun jika anak mengalami demam tinggi berpanjangan, sukar bernafas, tidak mahu menyusu atau kelihatan terlalu lemah, segera bawa ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Penjagaan penuh kasih sayang dan kesabaran ibu ayah adalah ubat terbaik buat si kecil. Dengan rawatan semula jadi batuk dan selsema bayi yang betul, anak akan cepat pulih dan kembali ceria seperti biasa. 🌼