Mendidik anak sebenarnya fleksibel. Jika kena formulanya memang berkesan tapi kadang-kadang kesilapan juga boleh berlaku kerana kita sebagai ibu bapa terlalu mengikut perasaan.
Mungkin kita tak boleh nak kawal kemarahan pada waktu itu namun bila keadaan dah kembali reda baru kita rasa insaf dan kasihan pada anak. Inilah lumrah kita sebagai ibu bapa.
Perkongsian dari seorang bapa, Ws Adli W Muhammad ini boleh dijadikan pengajaran bersama dan semoga kita sama-sama menjadi ibu bapa terbaik dalam mendidik anak.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun.
Ads
Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Ads
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul. Katanya:
Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
Ads
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
Setiap anak dilahirkan dengan sifat dan perangai yang berbeza. Daripada anak sulung hinggalah yang bongsu, masing-masing mempunyai sikap berlainan. Ini normal dan pasti akan dilalui oleh semua ibu bapa.
Sebagai contoh ada bayi yang mudah dijaga, jenis yang menangis sepanjang masa atau sesekali sukar nak dibaca caranya. Orang kata tiba-tiba kalau nak menangis dia menagis. Jika ok, ok sangat.
Diam masa tidur je
Melalui perkongsian Siti Nadhirah Shahar, dia berkongsi pengalaman anak sulungnya yang high demand sehingga menyebabkannya stres semasa dalam pantang dan buntu menghadapi keadaan itu. Walapun masa tu ramai yang tolong jaga tetapi disebabkan tangisan bayi itu bukan biasa-biasa memang benar-benar tertekan.
Bayangkan dari pagi sampai ke malam, lepas tu sambung pula ke Subuh. Hanya diam bila tidur sahaja. Tiap kali anak menangis, suamilah selalu cakap tengok muka anak, anak itulah yang di nantikan dulu.
Sini saya nak kongsi pengalaman saya dulu pernah melalui fasa menjaga baby high demand. Inilah babynya, Naira Alysha. Tahun ni dah usia 5 tahun kesayangan mommy.
“Mommy pun menangis sekali”
Saya faham sangat bila ibu-ibu cerita tentang cabaran menjaga baby high demand. Lagi-lagi jika anak sulung. Memang boleh buat kita terkejutlah. Yelah bila lahir je asyik nak melekat, menangis 24 jam dan senyap masa tidur saja.
Menurut Siti Nadhirah, Naira dari lahir balik rumah je dan kebetulan berpantang kat rumah mak memang dia menangis sepanjang masa. Orang kata celik mata menangis. Serba tak kena.
Sampaikan mommy pun join menangis sekali sebab tak tahu nak buat apa dah. Tambah lagi anak sulung yang memang tiada pengalaman. Macam-macam cara dan ikhtiar dah buat. Beli puting kosong dan buai, tapi buai pun tak jalan juga.
Mujurlah suami selalu beri kata-kata semangat dan nasihat yang positif. Dia selalu beritahu saya, insyaAllah nanti baby besar akan jadi anak yang baik dan bijak.
Masuk 2 tahun, Naira dah makin ok
Apabila nak masuk umur 2 tahun lebih tu baru la sedikit demi sedikit high demand dia tu berkurang dan bila Naira dah usia antara 3 hingga 4 tahun alhamdulillah dia dah tak meragam lagi dah.
Kalau ingat semula dulu-dulu dia memang jenis nangis kuat, tak kira siang malam, setiap hari. Puas buat macam-macam cara tak serasi juga. Namun dalam pada itu, saya tetap yakin Naira akan ok bila dia makin besar.
Dah besar anak yang pandai berdikari & rajin
Tambah Siti Nadhirah lagi, kini apabila Naira dah masuk usia 5 tahun alhamdulillah doa saya itu Allah dah makbulkan dan sekarang dia seorang anak yang mudah di jaga dan pandai berdikari.
Jika dikenang kembali pengalaman 5 tahun lalu, memang tersenyum sendiri. Kebetulan pula waktu itu, lepas kahwin saya terus jadi fully housewife. Allah dah atur cantik. Kalau tak, tak tahulah macam mana bila dihantar pengasug sebab dia memang tak nak dengan orang.
Sekarang Naira dah ada dua adik. Mujurlah kedua-duanya bukan kategori itu. Betullah orang kata setiap anak, ragamnya berbeza-beza. Sama ada kita kuat atau tak je bersabar. Tapi saya syukur bila Naira besar ni, dia sangat memudahkan kerja saya kerana rajin menolong mommy dan daddy jaga adik-adik dan senanglah diurus.
Banyak bersabar, sokongan suami penting
Nasihat sata buat ibu-ibu yang melalui fasa seperti saya dan mempunyai bayi high demand, bersabarlah dan kena kuat demi anak-anak. Allah uji kita sebab Allah yakin kita boleh laluinya. Bila tengok anak dah semakin besar kita pun tak akan sangka boleh berjaya hadapi saat yang sukar dulu.
Kredit: Siti Nadhirah Shahar
Ada gambar anak minum susu yang cute-cute? Jom share dengan Pa&Ma dan anda mungkin berpeluang memenangi hamper barangan bernilai RM100. Muat naik gambar anak anda di SINI
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meningkatkan keyakinan diri anak adalah tindakan yang penting supaya menjadi anak yang berani mencuba dan boleh berdikari. Tiada gunanya anak itu seorang cemerlang akademiknya tetapi tidak berani untuk menyuarakan pendapat dan menonjolkan diri dihadapan orang ramai .
Jadi sebagai ibu bapa kita mestilah mendidik anak sejak kecil lagi untuk membentuk keyakinan dalam diri anak anda.
Untuk membina keyakinan diri anak ini ada pelbagai cara. Coretan Puan Sabrina Ismail ini salah satunya yang menggunakan cara Nabi Muhammad SAW yang boleh kita jadikan panduan untuk anak-anak tersayang. Semoga bermanfaat untuk ibu ayah semua.
Keyakinan diri adalah suatu latih tubi yang dipupuk dalam kehidupan seharian. Ia tidak diwarisi atau wujud begitu sahaja. Keyakinan datang apabila anak itu berjaya melakukan sesuatu. Untuk berjaya, mereka harus mencuba. Dalam proses mencuba, pasti ada hari mereka berhadapan dengan cabaran yang menduga. Ketika ini, ibu bapa berperanan untuk menjadi tulang belakang yang sentiasa menyokong dan berdoa untuk setiap kejayaan mereka.
Dalam mewujudkan keyakinan diri dalam jiwa kecil anak kita, ia perlu dilakukan dengan cara bersahaja. Ada beberapa cara yang diguna pakai oleh Baginda Rasulullah SAW untuk umat cilik ini tampil yakin dan membesar dengan jiwa yang kental.
Menguatkan keinginan anak kecil itu. Terutamanya di dalam dua hal,
Menyimpan rahsia. Secara tidak langsung, dengan menyimpan rahsia tanpa membocorkannya dapat memupuk satu disiplin yang indah dalam diri anak kecil. Wujud rasa keinginan untuk menyimpan berita dan menjaganya walau apa jua terjadi akan membuatkan anak yakin dengan kemampuan diri mereka sendiri. Lagi kuat dia simpan rahsia, lagi yakin dia dengan kebolehan dirinya. Ia juga latihan agar anak kecil kita menjadi seorang yang amanah.
Latihan berpuasa. Apabila seorang anak mahu berpuasa, mereka akan redah kelaparan dan kehausan tanpa mengeluh. Ceritakan kebaikan dan hikmah berpuasa, besarkan cerita syurga yang bakal mereka perolehi suatu hari nanti. Apabila mereka benar-benar menginginkan sesuatu, pasti mereka sudi meredah onak duri lapar dahaga itu dengan yakin, tanpa was-was. Keyakinan diri akan meningkat setiap kali berbuka, mereka akan rasa berjaya mengalahkan diri sepanjang hari tidak makan dan minum. Ia satu kejayaan besar yang perlu dirai. Ia keyakinan diri.
Membangunkan kepercayaan sosial
Anak anda perlu pandai berkawan-kawan, samada rakan sebaya, lebih muda atau yang lebih tua. Perspektif mereka akan lebih terbuka apabila sering bertukar pendapat dengan orang lain. Apabila mereka bermain dengan rakan sebaya, percaya diri akan datang secara semulajadi. Apabila dibawa bersama, bergaul dengan sahabat ibu bapa yang lebih matang, mereka akan belajar apa yang mereka dengar. Apabila mereka selesa, terasa diterima oleh masyarakat, mereka akan yakin dengan diri sendiri.
Membangunkan kepercayaan ilmiah
Ilmu mengubah segala. Kita tidak takut untuk bangun hari esok, kerana yakin dengan diri, atas secebis ilmu yang ada di dada. Begitu juga anak kecil kita. Lengkapkan mereka dengan Al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan sejarah hidup Baginda. Cukuplah tiga ini untuk menjadi panduan rohani mereka. Bukan sahaja yakin dengan diri, bahkan hidup mereka akan penuh rahmat dan ilmu ini akan membawa mereka jauh dari dunia khurafat dan khayalan.
Membangunkan kepercayaan kewangan
Sejauh mana anda mempercayai anak kecil anda mampu melakukan transaksi jual beli di pasar? Andai kata ibu bapa tidak mempercayai mereka, maka masih jauh perjalanan mereka untuk mempercayai diri mereka sendiri.
Diriwayatkan oleh Malik dari Sulaiman bin Yasar : Makanan keldai Sa’id bin Abi Waqqash habis. Dia berkata kepada pembantunya yang masih belia, “Ambillah tepung kemudian tukarkan dengan gandum. Timbangannya harus sama.”
Rasulullah SAW melihat Abdullah bin Ja’far yang saat itu masih belia sedang melakukan transaksi jual-beli. Maka, baginda mendoakan keberkatan untuknya. Begitu Rasulullah percaya pada seorang anak belia untuk belajar dan melaksanakan sesuatu yang besar dengan sendirinya. Betapa anak kecil itu akan mula mempercayai kebolehan diri sendiri apabila berjaya melalui fasa jual beli itu.
Kata kunci, ibu bapa harus percaya dan biarkan mereka melakukannya sendiri. Pengalaman mengajar mereka untuk menjadi lebih matang dan berdiri di atas kaki sendiri. Teladanilan cara Rasulullah SAW dalam melentur anak-anak muda Islam suatu masa dahulu. Mereka ternyata kuat di dalam juga di luar.
Pening juga dibuatnya bila anak kecil kita asyik bertanya tanpa henti. Mama papa jangan malas menjawab ya! Ada sebabnya mengapa.
Menurut Noor Asyikin Ahmad, yang mempunyai lebih 14 tahun pengalaman dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak, ada terlalu banyak manfaat bila anak aktif bertanya soalan. Jadi ibu bapa janganlah malas.
Ibu bapa mungkin pernah berhadapan dengan situasi anak yang banyak bercakap dan bertanyakan pelbagai soalan tanpa henti. Dari satu soalan, kemudian kepada soalan dan seterusnya kepada soalan yang lain. Apa? Kenapa? Bagaimana? Di mana? dan Siapa?
Contoh: “Ibu kenapa bunga merah?” “Kenapa tanam di sini?” “Ibu kenapa mesti mandi?” “Kenapa ibu tak mandi?”.
Mengapa kanak-kanak talkative bertanya banyak soalan?
Menurut pakar, kanak-kanak yang aktif atau banyak bercakap mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi. Mereka berada di dalam dunia dewasa di mana mereka memerlukan maklumat setiap hari dan kadangkala pertanyaan mereka itu sebenarnya menunjukkan mereka keliru apa yang berlaku di sekeliling mereka, sekali gus mencetuskan rasa ingin tahu yang tinggi dalam diri. Lalu mereka akan terdorong untuk mengetahui sesuatu perkara.
Cipta Bonding Dengan Anak?
Anak bertanya soalan sebenarnya amat baik dalam hubungan kekeluargaan. Ada banyak kesan positif yang ibu ayah patut tahu.
Bila ibu bapa bapa berhadapan dengan situasi anak talkative, mereka mendengar, memberi idea atau respon setiap pertanyaan anak-anak ke arah kebaikan. Bukankah ni baik dalam hubungan?
2. Anak-anak talkative mampu beri kesan positif komunikasi dan buatkan ‘bonding’ antara ibu bapa dan anak-anak jadi lebih positif. Bila anak ”terjah” dengan soalan demi soalan yang agak mencabar, mak ayah akan berfikir lebih demi untuk anak.
3. Kalau ibu bapa menipu pasti rasa bersalah dan akan sebaiknya menjawab jawapan yang baik dan positif untuk anak. Disini wujudnya komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak.
4. Ibu bapa pun dapat beri panduan, jawapan yang dapat meransang minda anak-anak sekali gus buat hubungan ibu bapa dan anak-anak jadi lebih baik dan akrab.
5. Anak talkative juga sentiasa bertenaga dan bersemangat, ibu bapa harus pandai menyalurkan tenaga dan semangat anak-anak dengan cara yang betul. Dengan ini dapat bantu mereka pelbagaikan sesuatu yang baru.
6. Kepetahan bercakap dan mengutarakan soalan petanda bahawa sel-sel otak mereka berhubung selari dengan perkembangan kognitif mereka.
7. Kebaikan kanak-kanak talkative ini beri kesan pada pencapaian akademik mereka melalui sifat atau perasaan ingin tahu mereka.
8. Ada kajian yang mengatakan bahawa ibu bapa yang sering menggalakkan anaknya bercakap atau bertanya, akan memberi impak yang positif untuk pembelajaran mereka.
9. Mereka akan lebih kreatif dalam menyelesaikan sesuatu perkara dan banyak pertanyaan dan persoalan sebelum mencuba dan mencari jalan penyelesaian. Semua ini bermula dengan sifat ingin tahu serta gemar bercakap dan mengutarakan soalan.
10. Kanak-kanak yang talkative mampu menambah perbendaharaan kata. Contohnya bayi berumur 12 bulan masih tidak mampu bercakap dengan banyak, tetapi mereka mampu untuk memahami sehingga 60 perkataan dalam tempoh sehingga 18 bulan. Perkembangan bahasa mereka berlaku dengan drastik. Oleh itu ibu bapa perlu bersedia dengan soalan-soalan yang bakal ditanya, maka makin banyak bercakap atau bertanya, makin banyaklah mereka tahu dan belajar.
Jika kita menghalang mereka dari bercakap sesuatu, ada kemungkinan akan wujud jurang antara ibu bapa dan anak-anak. Selain itu juga kita akan membunuh semangat dan perasaan ingin tahu mereka. Jadi ibu bapa jangan malas menjawab!!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.