Ibu ayah mesti rasa teruja menyambut kelahiran anak kedua dalam keluarga. Tapi jangan abaikan anak sulung. Perasaan mereka juga perlu dijaga. Selalunya papa dan mama akan beranggapan anak sulung sudah besar dan faham tentang kehadiran adik.
Hakikatnya walaupun mereka sudah besar, kehadiran adik walaupun sangat dinantikan tetapi ada sedikit rasa cemburu. Apatah lagi kalau yang sulung itu masih anak kecil yang tidak berapa faham lagi tentang kehadiran adik baru.
Tentu sahaja bila perhatian papa dan mama tertumpu pada adik baru, si sulung akan buat perangai sebagai salah satu cara memberitahu perasaannya.
Papa dan mama yang tidak faham dengan tindak-tanduk anak akan terus memarahi dan memusuhi anak sulung. Inilah yang akan memberi kesan buruk kepada perkembangan mereka.
Ads
Sebenarnya ada cara yang sepatutnya dilakukan oleh papa dan mama terhadap anak sulung ketika menerima kehadiran anak baru. Jom semak apakah dia.
DIA TETAP YANG TERUTAMA
Ads
Lahirnya anak kedua di dalam suatu keluarga, kadang kala membuatkan anak sulung terasa seperti dipinggirkan. Padanya adik itu seakan-akan mengambil tempat di hati, perhatian dan kasih sayang mama dan papa darinya.
Lantas, ada yang berubah sikap dengan kehadiran adik. Kerana mereka kanak-kanak, komunikasi verbal mereka terhad, perubahan kelakuan adalah signal untuk mereka menyatakan apa yang terbuku di hati.
Apatah lagi, bila adik lahir terlalu dekat dengannya. Pada mama dan papa, kasih sayang tidak luak walau setitik pun tetapi anak sulung mungkin tidak beranggapan begitu.
Ads
Bagaimana mengendalikan anak sulung kita ini? Mungkin tips yang saya kongsikan ini boleh membantu:
Sekiranya kita bekerja, dan anak-anak kita tinggal di rumah pengasuh, apabila menjemput anak-anak balik, pastikan kita panggil dan dapatkan anak kita yang sulung dulu. Apa-apa pun, dia dulu yang kita peluk dan cium. Katakan padanya yang kita rindukan dia. Tanyakan apa dia buat hari ini. Kemudian, barulah kita dapatkan adik. Adik kan masih bayi, dia masih belum mengerti sangat apa-apa, tetapi kakak atau abang itu sudah mampu memahami tindakan dan perbuatan kita. Tidak kiralah kita mama atau papa, pastikan kita bagi perhatian kepada anak sulung dulu bila menjemputnya untuk pulang.
Setiap hari, luangkan masa sekurang-kurangnya 15 ke 30 minit hanya dengan anak sulung kita. Tanpa ada gangguan adik. Jadi, katakan lah kita balik kerja jam 6, mama kena berikan masa 15 minit untuk anak sulung. Buatlah apa-apa aktiviti bersama. Contoh, main Playdoh, Lego, mewarna, atau apa sahaja aktiviti yang menyeronokkan. Atau kalau kita kesuntukan masa, kerana anak sulung kita itu macam mana pun mesti tidur awal, 15 ke 30 minit tu boleh digunakan untuk memandikan dia, dan meyiapkannya untuk tidur. Anak sulung kita mahukan perhatian dan pada masa ini, kita berikan dia apa yang dia perlukan untuk merasakan diri dia penting dan mama papa masih sayangkan dia walaupun ada adik. Semasa sesi tersebut, kerjasama dari papa sangat penting. Kerana papa kena tolong jagakan adik. Tidak boleh ada gangguan dari adik. Masa inilah papa ambil masa bersama dengan adik.
Papa pun mesti lakukan perkara yang sama. Luangkan masa 15 ke 30 minit bersama dengan anak sulung kita itu. Dan mama berikan konsentrasi kepada adik.
Apa yang kita nak tunjukkan pada anak sulung kita itu, dia tidak perlu pun berkelakuan tidak sopan untuk mendapatkan perhatian. Kerana kita sudah berikan perhatian yang dia perlukan.
Untuk surirumahtangga, walaupun kita rasa kita ada di rumah sepanjang hari, sebenarnya perhatian kita terbahagi kepada berbagai-bagai tugas dan antara anak-anak. Curilah sedikit masa yang terhad itu, mungkin semasa adik sedang tidur, atau apabila papa sudah pulang ke rumah untuk membantu menjaga adik, untuk meluangkan masa seperti yang saya jelaskan tadi.
Semoga dengan masa yang kita sudah berikan pada anak sulung kita, berkuranglah dia membuat onar dan berkelakuan yang kita tidak senangi.
Seronoknya mama papa bila dengar perkataan pertama si kecil tersayang. Ada yang siap rekodkan video bila anak sebuat perkataan pertama dan ada juga tulis dalam jurnal untuk dijadikan sebagai kenangan bila mereka besar nanti.
Kemahiran anak untuk bercakap merupakan perkara penting dalam tumbesaran si kecil, jadi untuk mendidik mereka supaya cekap bercakap ada beberapa perkara yang boleh dibuat oleh mama papa sendiri.
Seperti yang disebutkan dalam penulisan Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN. Ketahui lebih lanjut dalam artikel di bawah:
8 PETUA MENDIDIK SI KECIL UNTUK CEKAP BERCAKAP
Kemahiran berbahasa atau bercakap merupakan suatu kemahiran yang penting, lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak pada peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun (tahun-tahun sebelum pendidikan formal bemula di sekolah rendah kelak). Kita semua manusia yang hidup dalam dunia sosial sama ada dalam unit keluarga, komuniti atau masyarakat. Kemahiran berbahasa atau bercakap dapat membina jambatan antara si kecil dengan dunia sekeliling seawal usianya.
Untuk memahami betapa pentingnya kemahiran komunikasi lisan ini, anda sebagai papa dan mama hanya perlu membayangkan kepayahan yang dihadapi oleh seorang anak kecil yang tidak boleh bercakap kerana dilahirkan dalam keadaan kurang upaya atau yang lambat bercakap kerana faktor fisiologi, psikologi dan sebagainya. Dalam keadaan seperti, walaupun ia tidaklah bererti dunia sudah pun berakhir, banyak kepayahan yang perlu dihadapi sebelum si kecil dalam memahirkan diri dengan bahasa isyarat misalnya.
Oleh itu, memandangkan betapa pentingnya kemahiran berbahasa atau bercakap dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia sebelum pendidikan praformal bermula, pada bulan ini izinkan saya berkongsi dengan mama, papa dan pendidik prasekolah semua lapan petua yang boleh dicuba supaya si kecil akan cekap bercakap.
Pertama: Cuba gunakan bahasa orang dewasa dalam percakapan seharian
Memang benar, tujuan proses komunikasi lisan ialah untuk memastikan kita memahami maksud yang disampaikan oleh orang lain dan kita dapat pula menyampaikan hasrat, maksud atau menzahirkan perasaan yang kita rasai. Walaupun papa atau mama mahu si kecil memahami anda dengan cepat lagi mudah, itu tidak bermakna anda tidak boleh memasukkan perkataan orang dewasa ke dalam perbendaharaan kata mereka.
Sesekali gunakan perkataan, frasa atau ayat yang anak anda mungkin tidak faham, tetapi yang sering digunakan dalam perbualan orang dewasa. Pastikan anda galakkan si kecil anda untuk meminta penjelasan apabila dia tidak memahami sesuatu dan pastikan anda bersedia memberi penerangan. Penggunaan bahasa bayi (baby talk) memang comel tetapi bila dibiarkan hanya akan menjengkelkan dan mungkin memalukan si kecil anda kelak.
Dua: Berhenti membaca cerita dan minta si kecil anda untuk mula bercerita
Mungkin anda antara mama dan papa yang beruntung kerana dapat membaca cerita dongeng setiap malam kepada anak anda atau bergiliran berbuat demikian. Sudah tentu, ini cara terbaik untuk mengembangkan kemahiran membaca dan berbahasa si kecil. Apa kata selepas ini, anda simpan sahaja buku cerita si kecil dan minta si kecil anda pula untuk merekacipta kisah dongengnya sendiri, dengan bantuan anda pastinya.
Aktifkan skema minda (schema activation) si kecil dengan menunjukkan gambar, permainan atau apa sahaja bahan yang boleh membuatkan dia mula berfikir lantas berimaginasi. Pastikan anda bertanya soalan retorik semasa si kecil bercerita untuk memperkenalkan perkataan dan konsep baharu. Hasilnya kelak, bukan sekadar kemahiran komunikasi lisan si kecil yang akan berkembang maju tetapi juga kemahiran berfikirnya.
Tiga: Banyakkan percakapan bukan sama-sama menatap telefon pintar / tablet
Hari ini kita semua rata-rata seperti tidak boleh hidup tanpa telefon pintar atau tablet, lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini. Memang benar, si kecil boleh belajar berbahasa, menyanyi malah berjoget apabila menonton video di atas talian. Namun, kemahiran bahasa si kecil kesayangan anda sebenarnya lebih cepat meningkat apabila anak anda dan anda bercakap lebih banyak.
Maka, mulakanlah perbualan dengan lebih kerap sebelum si kecil comel anda ke peringkat usia remaja dan dia semakin ‘malas’ bersembang dengan anda. Kanak-kanak pada usia pendidikan praformal sentiasa menyerap semua yang mereka dengar. Semakin mereka mendengar anda bercakap, semakin banyak anda boleh mengajar mereka dan berkongsi masa dan luahan rasa dengan penuh bermakna.
Empat: Cuba main alat permainan bahasa yang sudah sedia ada
Kita semua tahu tentang permainan Sahibba atau Scrabble. Maka, jika ada pendapatan lebih silakan dibeli permainan bahasa seperti ini untuk dimainkan bersama-sama si kecil anda yang lebih tua sekitar usia 5-6 tahun. Untuk yang lebih muda, ada banyak permainan kata lain yang boleh anda cuba dengan si kecil comel anda. Hari ini, aplikasi telefon pintar atau tablet boleh dimuat turun untuk pembelajaran bahasa yang lebih bermakna dan percuma.
Cuma pastikan anda menghadkan masa yang digunakan untuk gajet dan aplikasi elektronik lain. Tidak dapat kita nafikan bahawa si kecil zaman ini teramat suka bermain dengan telefon pintar atau tablet. Oleh sebab itu, petua keempat ini memperkenalkan aplikasi belajar bahasa dengan santai sebagai helah untuk menarik tangan dan minda si kecil ke alam pengajaran dan pembelajaran tanpa dia sedari.
Lima: Tampal label-label untuk memberi nama kepada barangan di rumah
Hujung minggu ini, silakan ambil masa untuk mencetak atau menulis dengan cantik-cantik nama-nama barang rumah dan tampal sebanyak mungkin untuk manfaat si kecil kesayangan anda. Melekatkan label di atas item isi rumah anda ialah suatu cara yang hebat untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada perbendaharaan kata baharu, tidak kira usia mereka. Namun usaha ini amat baik untuk si kecil 0-3 tahun yang baru belajar bercakap.
Lebih menarik lagi, tidak kira usia anak anda walaupun dia masih belum boleh bercakap atau masih pelat dalam percakapan, label-label seperti ini dapat membantu si kecil itu mengaitkan perkataan bertulis dengan item atau barang tertentu. Pastikan papa dan mama sama-sama menyemak setiap item dengan si kecil sambil menyebut, kemudian sama-sama mengeja (apabila dia semakin cekap berbahasa).
Enam: Pantau perbendaharaan kata si kecil dan perkembangan bahasanya
Tidak ada alasan lagi, mama dan papa perlu mengambil peranan proaktif supaya si kecil dapat cepat lagi cekap bercakap serta berkomunikasi. Sekiranya papa dan mama mahu kemahiran berbahasa si kecil menjadi lebih elok dalam tempoh masa yang pendek, sila pantau perbendaharaan katanya secara serius, lebih-lebih lagi untuk si kecil 4-6 tahun yang sedang bersedia untuk memulakan pendidikan secara formal di sekolah rendah.
Apabila si kecil kesayangan anda bertanya tentang sesuatu perkataan yang telah didengar olehnya, pastikan anda mengambil peluang itu untuk mengajar definisi dan sebutan yang betul. Lakukan yang terbaik untuk memudahkan pemahaman definisi berkenaan, tetapi berikan butiran dan contoh yang banyak. Sekiranya anda ditanya oleh si kecil, “Papa, apa maksud ‘raksasa’?” Berilah jawapan dan gambaran yang lebih daripada ‘besar.’ Buat perbandingan misalnya gajah amat ‘besar’ jika dibandingkan dengan manusia, tetapi gajah adalah ‘raksasa’ jika dibandingkan dengan semut.
Tujuh: Tidak perlu diperbetulkan semua kesilapan si kecil dalam percakapan
Memang suatu yang semulajadi bagi kanak-kanak untuk tersalah cakap atau salah dalam penggunaan perkataan baharu. Yang paling utama, anda janganlah pula terus-menerus menegur atau terlalu cepat memperbetulkan anak kecil anda apabila dia membuat kesilapan yang tidak terlalu serius.
Sebaliknya, beri pujian dan sokong usaha si kecil anda itu. Tunjukkan perkataan yang dia sebut dengan betul, kemudian semak cara yang lebih tepat untuk menggunakan atau mengucapkan perkataan tersebut. Semakin menyeronokkan dan positif pengalaman yang dirasai, semakin tinggi minat si kecil untuk bercakap dan berkomunikasi!
pakar 3
Lapan: Banyakkan bersabar dalam mendidik si kecil anda untuk cekap bercakap
Mama dan papa mungkin perlu mengulang perkataan dan makna beberapa kali sebelum si kecil memahami konsep itu. Ini perkara normal dalam peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun. Selanjutnya, jika anak jiran atau anak saudara yang sebaya dengan anak kecil anda sudah boleh bersembang seperti seorang pembaca berita lagaknya, ingatlah bahawa mendidik si kecil bukan suatu peraduan!
Kanak-kanak berkembang maju mengikut acuan dan kadar mereka sendiri. Hormati dan imbangi keperluan mereka supaya pembelajaran tidak menjadi suatu penyeksaan! Walaupun anda mahu si kecil kesayangan anda maju, anda tentu tidak mahu dia merasai perasaan negatif atau tekanan yang tidak wajar, bukan?
Penyelidikan di Universiti Arizona, Amerika Syarikat membuktikan bahawa pendedahan kepada buku, pendedahan kepada bahasa, penjelasan tentang dunia sekeiling – semua ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk cekap bercakap kelak. Apabila papa dan mama melihat si kecil manja lagi comel anda bertambah cekap berbahasa kelak, anda pasti akan lega dan puas hati dengan segala-gala usaha yang dilakukan selama ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila ibu ayah rajin buat aktiviti bersama anak, selain bagus untuk “bonding” ia juga boleh merangsang otak anak lebih bijak. Ia membantu proses pertumbuhan anak terutama pada tahap usia 2 hingga 6 tahun yang sedang memasuki fasa perkembangan otak yang optimum.
Tahukah anda aktiviti yang dilakukan bersama ibu ayah lebih membantu proses pembelajaran si anak. Ini kerana orang dewasa mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman yang boleh dikongsi dan diterangkan pada anak. Sekiranya anak ditemani oleh ibu ayah maka akan berlaku proses memahami dan proses sokongan mengenai apa aktiviti yang mereka lakukan.
Banyak aktiviti menyeronokkan di rumah atau di luar rumah yang boleh ibu ayah buat bersama anak-anak. Selain mendidik mereka jadi rajin dan teruja, aktiviti tersebut juga meningkatkan kemahiran berdikari, sifat bertanggungjawab anak dan paling penting mengukuhkan hubungan erat ibu ayah bersama anak.
Mencuci kereta bersama
Ini antara aktiviti yang akan digemari oleh anak. Maklumlah mereka boleh main air sambil ‘tiru’ ayah mencuci kereta apatah lagi kalau selama ini si kecil dilarang melakukan tugas ini kerana faktor usia masih kecil. Jadi bila dapat peluang mencuci kereta bersama ayah, mereka rasa seronok dan dalam masa yang sama dapat belajar banyak perkara seperti pentingnya menjaga keselamatan, kebersihan dan berjimat cermat menggunakan air dan banyak lagi. Bukankah ia satu bentuk pelajaran yang bagus untuk si kecil.
Memasak bersama
Tak kisahlah sama ada anak anda lelaki atau perempuan, ajak mereka sama-sama membantu tugas memasak untuk keluarga. Aktiviti memasak membantu si kecil meningkatkan koordinasi tangannya melalui tugas mencuci sayur-sayuran, menyusun peralatan dapur, mencuci pinggan kotor.
Membantu ibu memasak juga memberi peluang kepada anak untuk belajar mengenal pelbagai jenis sayur-sayuran, ikan dan bermacam rempah ratus di dapur. Bahkan ia juga cara terbaik untuk mereka mengenal warna dan pelbagai rasa makanan selain mengeratkan hubungan sekeluarga.
Membuat seni dan kraf
Luangkan masa bersama si kecil untuk membuat aktiviti seni dan kraf. Ia bagus untuk menajamkan kreativiti dan daya imaginasi anak. Anda boleh merangsang otak anak untuk mencipta dan bebas berkarya. AKtiviti ini memberi kebebasan kepada anak untuk mencipta apa sahaja hasil seni mengikut imaginasinya. Selain menjadi kreatif anak juga semakin mahir mengoptimumkan koordinasi tangan dan matanya untuk jadi lebih fokus.
Bercucuk tanam bersama
Bagi yang mempunyai tanah di luar rumah apa kata anda cuba bercucuk tanam. Tentu si kecil seronok didedahkan dengan aktiviti menanam pokok di luar rumah. Walaupun ia akan membuatkan si kecil kotor kerana terdedah pada tanah tetapi aktiviti ini dapat menanamkan minat berbudi pada tanah dalam diri anak anda. Selain itu mereka juga berpeluang mengenali kepelbagaian jenis tumbuh-tumbuhan dan paling penting aktiviti ‘hands-on’ sesama bercucuk tanam itu memberi mereka pengalaman paling berharga.
Menonton wayang bersama
Ini cara paling mudah dan ramai yang mempraktikkannya sebagai salah satu cara terbaik bonding bersama keluarga. Paling penting sekali ibu dan ayah mestilah memilih tajuk filem yang sesuai ditonton oleh sekeluarga contohnya filem Ferdinand yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 14 Disember depan.
Filem animasi komedi yang diterbitkan oleh Blue Sky Studios dan 20th Century Fox Animation ini dihasilkan berdasarkan buku kanak-kanak bertajuk The Story of Ferdinand.
Filem ini mengisahkan Ferdinand seekor lembu jantan atau Spanish Fighting Bull yang lebih gemar menghidu bau bunga dan berlatih sesuatu yang tidak berbahaya berbanding mengejar kain merah yang dipegang oleh matadors dalam gelanggang. Tetapi bila bencana datang kepadanya, dia dipaksa untuk bertarung di dalam stadium, dan Ferdinand perlu memilih sama ada dia adalah lembu jantan yang bertarung atau lembu jantan pemurah yang hanya mencium bunga untuk mendapatkan kebebasannya.
Melalui filem ini, anda boleh terangkan kepada anak tentang watak utama filem tersebut iaitu seekor lembu jantan bernama Ferdinand. Walaupun fizikalnya nampak ganas dan besar tetapi sebenarnya ia seekor haiwan yang baik hati dan pemurah.
Antara nilai-nilai murni yang boleh diambil iaitu sifat Ferdinand yang baik hati, kuat semangat, berani, penyayang dan mempunyai nilai persahabatan yang tinggi.
Semua nilai murni dan kebaikan karektor Ferdinand boleh dikaitkan dan dijadikan contoh kepada anak semasa menjalani kehidupan seharian mereka.
Semoga dengan menonton filem ini anak bukan sahaja berseronok dan berhibur tetapi juga dapat pengajaran supaya jangan cepat menilai orang berdasarkan fizikal mereka.
Filem akan ditayangkan di pawagam mulai 14 Disember.
JOM SAKSIKAN TRAILER FILEM FERDINAND YANG MENGHIBURKAN TETAPI PENUH NILAI-NILAI MURNI KEPADA SI KECIL
Untuk banyak lagi info lanjut anda boleh terus tengok di laman facebook 20th Century Fox Malaysia www.facebook.com/foxmovies.my
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memang jadi impian ibu ayah nak anak pintar dan berperibadi tinggi. Walaupun ibu bapa hebat, tapi jika gagal mendidik anak dengan sempurna bermakna tidak lengkap kehidupan.
Tapi dengan keadaan hari ini, ibu bapa perlu memainkan peranan dan tak boleh nak biarkan anak membesar sendiri. Bimbingan berterusan sama ada untuk kepentingan pendidikan dan jati diri anak perlu seiring sejak anak di usia bayi lagi.
Menurut perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad, 10 tip untuk menjadikan anak lebih pintar dan berperibadi tinggi ini boleh diamalkan oleh ibu ayah yang mahukan anak cemerlang.
Pemakanan Sihat
Berikan makanan yang halal dan bernutrisi (toyyiban). Makanan yang natural dan dimasak sendiri. Galakkan mereka minum air mineral dan makan sayur/buah. Elakkan makanan yang mempunyai kalori yang tinggi (manis) seperti kek, coklat dan minuman dalam kotak.
Berkomunikasi
Banyaklah berkomunikasi dengan mereka. Bicara dengan penuh emosi. Jangan malu untuk berkomunikasi dengan cara mereka. Bercakap dengan nada, mimik muka, ketawa dan suara-suara yang mencuit hati mereka.
Bermain Dengan Anak
Bermain dengan mereka. Mereka ibarat anak-anak singa yang memerlukan pergerakan fizikal untuk menguatkan otot-otot tubuh mereka. Kita perlu pantau, dan bukan hanya berada di sisi. Memerhatikan keselamatan dan melihat perkembangan mereka. Mereka juga perlukan permainan minda. Soal jawab dengan mereka dan kita akan kagum dengan jawapan mereka. Kita bukan mahu jawapan yang betul, tetapi jawapan yang logik pada tahap pemikiran mereka.
Cuba bertanya “Kenapa kentut kita busuk?” Tentu kita dapat jawapan yang mencuit hati kita.
Layan Anak
Menyanyi bersama mereka. Dalam perjalanan yang jauh bersama keluarga kita boleh nyanyi bersama-sama, sama ada lagu kanak-kanak, lagu nasyid atau lagu patriotik. Mereka pasti mengenangkan pengalaman ini apabila mereka dewasa.
“Lagu ini lagu kesukaan bapa saya. Kami pernah nyanyi bersama-sama dalam kereta. Itu saat manis yang saya ingat. Selepas itu ayah saya sentiasa sibuk dan tiada lagi masa untuk saya”
Ajar Ilmu Baru
Bawa anak berjalan dan ajarkan ilmu baru. Ajak ke tepi rumah dan tunjukkan tumbuhan/haiwan kecil yang tidak pernah dia lihat. Berjalan di waktu malam, dan bertanyakan “mengapa bulan itu bulat?” Temani anak menonton TV. Bila anak menonton TV, luang masa bersama mereka walaupun hanya cerita kartun. Luangkan sedikit masa 10-15 minit untuk melayan emosi mereka ketika menonton.
Sebut Perkataan Baik-baik
Ucapkan perkataan yang baik-baik saja di hadapan mereka. Tegur mereka jika mereka menggunakan perkataan yang buruk. Selalu sebutkan perkataan “terima kasih, saya sayang awak” apabila dia melakukan perkara yang baik walaupun kecil. Ajar mereka dengan minta mengulangi perkataan baik depan kita.
Peluk Dan Cium
Selalu memeluk dan mencium anak. Peluk dan cium mereka paling kurang sehari sekali. Apabila kita baru balik rumah dan mereka telah tidur, peluk dan cium mereka juga. Jadikan rutin hidup. Mulakan dari kecil. Anak yang sentiasa dipeluk dan dicium selalunya akan mengikut kata kita.
Beri Perhatian
Dengar rintihan mereka dan beri perhatian. Apabila mereka takut, kita dengar dan bantu. Tidak semua kanak-kanak akan memberikan respon yang serupa. Ada kanak-kanak yang menjadi kuat bila dibiarkan, ada kanak-kanak yang semakin lemah.
Kenalpasti Kebolehan Anak
Perhatikan kebolehan anak dan apa bakat dan kekuatan dia. Ada anak yang cemerlang dalam akademik, ada yang cemerlang dalam kemahiran pertukangan, ada yang cemerlang dalam komunikasi, ada yang cemerlang dalam sukan. Jangan memaksa anak untuk memenuhi cita-cita kita. Tetapi bantu anak memenuhi cita-cita mereka.
Ajar Lebih Dari Satu Bahasa
Perkenalkan lebih dari satu bahasa. Bercakap dengan mereka dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab, french, Spain etc. Mereka mudah mengingat perkataan-perkataan itu. Otak mereka seperti sponge.
Yang terakhir selalu doakan anak untuk menjadi manusia yang terbaik. Baca doa depan mereka supaya mereka dapat dengar.
Kecerdasan anak-anak tidak hanya bergantung kepada faktor genetik, tetapi cara kita mendidik mereka. Semoga bermanfaat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kelahiran Chrystan menjadi momen penuh emosi bagi Chryseis Tan dalam kehamilan terakhirnya. Kisah C-section ketiga ini sarat syukur, ketakutan dan kasih sayang seorang ibu.