Membedung bayi telah diamalkan dalam masyarakat kita sejak berabad lamanya. Kebanyakannya bersetuju bahawa dengan membedung bayi, ia akan memberi rasa aman kepada bayi.
Ada juga yang menganggap bahawa membedung bayi adalah salah satu cara untuk mendapatkan bentuk kaki bayi yang lurus dan tidak ‘kengkang’.
Dr. Nicholas Clarke, melalui Archives of Disease in Childhood menekankan bahawa setiap ibu bapa perlu mengetahui cara membedung bayi dengan betul. Masih ramai yang mungkin kurang sedar mereka melakukan cara yang salah semasa membedung bayi.
ENAM PERKARA IBU MESTI TAHU TENTANG CARA BEDUNG BAYI
Beberapa perkara yang harus diperhatikan dalam cara bedung bayi adalah seperti berikut.
1. BIARKAN ADA RUANG UNTUK KAKI BAYI BERGERAK
Mungkin kebanyakan ibu yang menarik dan menekan kaki bayinya sebelum melilitkan kain bedung kerana mempercayai cara ini mengelakkan kaki bayi ‘pengkar’.
Menurut pakar, apabila kaki dan pinggul bayi tidak bebas untuk bergerak, ia akan meningkatkan risiko bayi terkena hip dysplasia, iaitu gangguan pembentukan sendi pinggul di mana bahagian atas tulang peha tidak berada tepat di soketnya. Untuk jangka masa panjang, ia dapat menyebabkan masalah perkembangan pada persendian kaki dan pinggul bayi.
2. PENTINGNYA MENGEMASKAN BAHAGIAN ATAS BEDUNGAN
Ads
Sesetengah ibu terlalu memberi perhatian kepada bedungan bawah (bahagian kaki) dan memberi kelonggaran pada bahagian atas. Sebenarnya, cara ini adalah terbalik daripada yang sebetulnya.
Sepatutnya, ibu perlu memastikan lengan bayi dibedung dengan kemas dan terlilit rapi. Hal ini penting kerana bedungan atas yang terlepas tanpa disedari boleh menjadi faktor bayi lemas atau risiko SIDS (sudden infant death syndrome).
3. PASTIKAN SEMUA KEPERLUANNYA TELAH DIPENUHI TERLEBIH DAHULU
Jika anda mahu membedung bayi, pastikan dahulu bahawa bayi sudah menyusu dan lampinnya tidak basah.
Ads
Apabila keperluan ini tidak dipenuhi, bayi mungkin akan meragam dan tidak rasa selesa ketika dibedung.
4. SAMPAI BILAKAH BAYI PATUT DIBEDUNG?
Menurut The American Academy of Pediatrics, bayi sebenarnya tidak perlu dibedung lagi apabila mereka sudah boleh berguling, iaitu sekitar usia 2-3 bulan. Apabila bayi sudah kuat untuk berguling, mereka mungkin boleh tertiarap sendiri tanpa dapat melepaskan lengan, lalu menghalang pernafasan.
Dalam usia ini juga, biasanya refleks ‘terkejut’ atau ‘startle reflex’ akan berkurang dan bayi akan dapat tidur dengan lebih lena.
5. ELAKKAN MEMBEDUNG TERLALU LAMA
Ads
Namun jika bayi kelihatan tidak selesa dan sukar tidur tanpa dibedung, bolehlah anda terus membedungnya untuk beberapa bulan lagi untuk membantunya tidur. Apapun, elakkan membedung terlalu lama kerana sesetengah sumber berpendapat selepas usia tersebut, bedung mungkin menghalangnya daripada bergerak-gerak dan mengganggu perkembangannya.
Tanpa bedung, skin-to-skin contact antara bayi dan ibu dapat berlaku dengan lebih kerap, lalu membantu mengeratkan hubungan serta memberi rasa selesa kepada bayi.
Kini telah terdapat pelbagai produk yang dijual di pasaran khas untuk membedung bayi. Dengan rekaan dan corak yang comel, ibu-ibu mesti rambang mata untuk memilih!
Perlu diingat, faktor penting dalam pemilihan kain bedung ini antaranya adalah kesesuaian fabrik tersebut dengan suhu di negara kita. Pastikan kain tidak terlalu tebal sehingga membuat bayi terlalu panas dan tidak selesa apabila dibedung.
Pengalaman menyusukan anak buat kali pertama terasa amat menyukarnya. Dihimpit waktu demi waktu, masa tidur yang tidak mencukupi ditambah pula dengan rasa kerisauan melampau kerana tidak cukup susu. Makin stress bila mana anak menangis kerana susu yang dibekalkan tidak mencukupi.
Namun indahnya menyusu menjadi detik paling manis saat melihat anak kekenyangan apa lagi tertidur ketika menyusu. Pergi sahaja ke peti ais, hati makin berbunga bila melihat stok susu buat anak-anak teramatlah meriah. Kegembiraan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Satu kejayaan.
Perkongsian daripada Puan Widiyana Ali ini patut dijadikan contoh. Bukan hanya berjaya menyusukan kesemua anak-anaknya bahkan juga berjaya menyusukan anak kembarnya sehingga usia mereka 3 tahun. Bekerja bukan halangan asalkan niat dan usaha seiring. Barulah stok susu anak berjaya diperolehi. Ikuti perkongsian ibu hebat ini.
Motivasi untuk fully breastfeed
Motivasi untuk fully breastfeed baby sehingga dua tahun.
Alhamdulillah semua anak-anak saya berjaya fully breastfeed hingga dua tahun. Malah anak kembar Dhia dan Fina saya breastfeed hingga sampai tiga tahun. Walaupun masa tu bekerja sebagai pensyarah di KUIS.
Menyusukan bayi sangat mencabar. Ada masa susu drop ada masa stok susu frozen rosak. Ada masa bayi reject frozen ebm.
Saya sendiri kalau ikut pengalaman menyusukan kembar sehingga dua tahun memang banyak memori suka dan duka. Antaranya bila stok susu yang dikumpul semasa berpantang habis sebelum kembar berusia enam bulan. Cuba bayangkan macam mana saya survive pump on daily basis, hasil perahan harini untuk dibawa ke nursery esok?
Selepas habis maternity leave,saya bekalkan susu sebanyak 2 oz untuk 5 kali menyusu kepada kembar bermakna demand setiap orang ialah 10 oz dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. So saya perlu supply setiap hari at least 20oz untuk bekalan hari esok. Bila kembar dah nak masuk 4 bulan saya up kan setiap orang 3oz sekali minum. Jadi saya perlu supply 30oz setiap hari untuk esok.
Bila stok susu dah makin menyusut dan lama kelamaan habis, saya punyalah risau tak tahu macam mana nak survive.
Walaupun kembar minum susu sangat banyak tapi alhamdulillah susu tetap cukup, bahkan selepas betul-betul jaga emosi dan disiplin, stok ebm berlebihan hingga saya sedekahkan kepada anak susuan kami. Semua saya berjaya lakukan tanpa perlu ubat supplement.
Alhamdulillah saya bertemu dengan rakan- rakan alam maya yang sama-sama berjuang menyusukan kembar sambil bekerja. Kami banyak bertukar ilmu dan saling beri semangat antara satu sama lain. Saya juga join group facebook Kumpulan Ibu Menyusukan (KIM). Dalam group itu, kami diajar untuk tidak stress nak fully breastfeeding sampai dua tahun.
Caranya macam ini, bahagikan tempoh dua tahun kepada empat peringkat mengikut umur bayi:
Mula-mula peringkat pertama iaitu (0-6bulan) ini seboleh- bolehnya diusahakan untuk dapat sampai habis. Okay sekejap sahaja baby dah umur 6 bulan. Alhamdulillah, kalau ikut pengalaman saya masa ni menyusukan kembar memang sangat meletihkan sebab menyusukan dua bayi serentak. Bila Dhia nak susu, Fina tidur.
Jadi saya susukan Dhia sampailah dia tertidur kekenyangan. Okay settle seorang. Kemudian Fina pula merengek hendak susu, haaaa masa tu Dhia pun tersedar dan menangis jadi bila Fina minum of course lah Dhia pun minum kan ?? Tu belum campur pulun nak buat stok,pump di ofis,pump waktu malam dan sebagainya.
Bila dah sampai 6 bulan, rasa bersyukur sangat sebab Allah Maha Mencukupkan dan memudahkan seiring dengan usaha.
Peringkat kedua (6-12 bulan)
Peringkat ni masa tu sangat kritikal di mana saya perlu pump hari ini untuk bekalan esok. Demand ialah sebanyak 30oz untuk kembar.
Masa ini jugalah mama rasa stress, down, juga demam teruk sebab emosi pun tak berapa stabil. Termenung depan peti ais sambil tengok berapa oz susu ebm. Cukup ke untuk esok? Malam ni kena bangun pump. Nak pump pun susah sebab kembar kuat menyusu sampai mama pun tak tahu bila masa mama tidur. Tahu-tahu dah pagi ?
Bila down sebab susu tak cukup. Saya akan bukak peti ais dan termenung sambil tengok susu. Kadang-kadang menangis. Bila solat selalu merayu-rayu dengan Allah “Ya Allah tolonglah hambaMu yang lemah ini. Tolonglah Ya Allah bagilah susu mama cukup untuk Dhia dan Fina”.
Ada hari yang saya tak dapat supply sampai 30oz. Saya pernah bekalkan 6oz sahaja kepada kembar satu hari ini. Saya bahagikan dalam 4 botol untuk dua kali minum si kembar.
1. 5oz x 4botol saya hantar ke sekolah pagi sebelum ke pejabat. Saya cakap dengan cikgu nursery. “Cikgu, saya dapat bekalkan ini sahaja untuk kembar. Nanti saya ambil seawal mungkin ya” Hati memang berat tapi kuatkan sahaja lah sambil fikir tak apalah Dhia Fina dah makan banyak mama bekalkan homemade food Insha Allah cukup susu itu.
Konsep tawakal saya kepada Allah memang lebih daripada 100% sebab saya tahu tiada siapa boleh tolong saya melainkan Dia. Allah Maha Pemberi Rezeki dan Maha Mencukupkan.
Alhamdulillah walaupun banyak ujian termasuk saya demam panas sampai tidak boleh bangun tiga hari. Belum campur nipple luka berdarah dan infected. Sampai bila check kat klinik doktor pun cakap “Aduh sakitnya macam manalah awak boleh tahan?!”
Allahuakbar. Pengalaman semua itu. Indah bila dikenang. Sekejap sahaja kembar dah setahun rasa macam tak percaya boleh survive fully breastfeeding walaupun susu sudah habis stok.
Peringkat ketiga 12-18 bulan
Okay masuk ke fasa/ peringkat ketiga. Masa ini sedapkan hati sebab tak mahu stress. Saya selalu cakap dengan diri sendiri “Takpa boleh ni sampai 18 bulan sahaja. Lepas itu kalau dah tak larat cari alternatif lain untuk susukan kembar”
Bila suami tanya ok ke? Saya akan jawab ” Allah memang akan bagi susu tu cukup. Kalau kembar susu pun banyak dan cukup untuk kembar. Kalau kembar tiga susu pun cukup untuk tiga orang Insha Allah”
Masa cakap tu memang ala-ala ustazah tapi dalam hati Allah sahaja yang tahu macam mana rasa risau nak cukupkan susu si kembar. Nak tidur malam pun fikir susu esok cukup ke.
Lupa nak bagitahu, masa ni kembar masih lagi consume 3oz setiap kali minum di nursery untuk 5 sesi penyusuan.
Memang saya catu habis-habis sebab saya takut tak dapat penuhi demand kalau ajar anak sekali minum 5oz.
Ajaibnya dalam tempoh ini deep freezer saya boleh penuh sampai tak muat nak letak susu kat mana. Kat ofis pump memang pulun empat sesi dua kali sebelum lunch dan dua kali sebelum pukul 5 petang. Malam di rumah pun bangun pump malam.
Subhanallah. Hebatnya kuasa Allah. Allah sangat membantu saya.
Bila susu drop saya akan troubleshoot kat mana silap. Saya stress ke? Saya skip pumping session ke? Saya kurang minum air ke? Tarik nafas dalam-dalam dan pump sambil tengok gambar anak dalam handphone. Senyum sorang-sorang dan gelak bila tengok video anak.
Alhamdulillah habis peringkat ni kembar dah berusia 18 bulan.
Peringkat keempat (18-24 bulan)
Dah sampai ke peringkat terakhir. Hati rasa gembira sebab tak sangka boleh survive sampai kembar setahun setengah fully menyusukan. Hati kena kuat dan ada sikit degil nak teruskan sampai kembar dua tahun.
Alhamdulillah, susu walaupun taklah mencurah tapi masih cukup untuk penuhi demand si kembar.
Total susu dihantar ke nursery masih sama, 3 oz satu botol 5 botol seorang. Stok susu frozen juga bergerak. First in first out (FIFO) juga diamalkan macam biasa.
Tak sangka deep freezer boleh penuh sekali lagi dan susu saya sangat meriah pada masa bulan puasa. Subhaanallah!
By the time kembar dah setahun 10 bulan mereka dah taknak EBM di nursery. Bila cikgu panaskan susu dan letak dalam botol kembar akan cakap “Eeeeeee taknak susu putih” Tak tahulah dapat idea dari mana. Jadi di sekolah akan tidur dengan minum air kosong dan peliknya cikgu cakap kembar suka. Saya tak pernah bekalkan susu formula kepada kembar.
Saya masih pump macam biasa walaupun tahu tiada siapa nak minum. Saya ada serahkan susu kepada anak susuan juga. Bila petang lepas kerja ambil kembar kat nursery memang habislah mama diserang sebab nak qadha minum susu. ?
Situasi ini berlarutan sampailah kembar berusia 3 tahun dua bulan baru betul-betul wean off. Masa tu nisreen dah ada dalam perut mama.
—————————— Fully breastfeeding banyak cabaran. Kita perlu jadi kuat kental dan degil untuk menjayakannya sampai dua tahun. Konsep tawakkal kepada Allah sangat diperlukan sebab rezeki susu tu Allah yang beri.
Tak perlu susu banyak melimpah ruah untuk fully breastfeeding. Hanya perlu fahami konsep demand vs supply dan keep on pumping dengan cara yang betul.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Memulakan langkah untuk menyusu ketika memulakan proses berpantang sememangnya agak sukar. Tanpa pengalaman menyusu, kurangnya ilmu pengetahuan, buat berpantang dan proses penyusuan anak menjadi sedikit sukar. Pun begitu, jangan jadikan tempoh ini sebagai tempoh yang begitu sulit sebaliknya mulakan langkah demi langkah untuk menyusukan anak dengan baik.
Tempoh berpantang 44 hari yang diamalkan oleh ibu-ibu di negara kini sememangnya satu tempoh untuk berlatih menyusukan anak sepenuhnya dan juga berehat daripada melakukan kerja rumah yang berat.
Menurut Pn Suraya Ali, Konsultan Susu Ibu daripada Lunatots, inilah masa untuk ibu belajar. Jangan mudah rasa tertekan. Ambil masa anda sebaiknya untuk memulakan menyusu anak dengan baik dan lancar. Bagi ibu berpantang, jadikan tip ini sebagai panduan.
Utamakan Proses Penyusuan
Ketika berpantang, menyusukan bayi adalah keutamaan berbanding aktiviti yang lain. Ramai ibu sudah merangka aktiviti yang akan dijalankan semasa dalam tempoh berpantang namun ibu perlu utamakan penyusuan. Ini tempoh paling penting untuk ibu dan bayi sepanjang kehidupan kita. Semasa di dalam pantang, ibu mungkin mengalami dua keadaan ini.
Keadaan pertama ialah susu ibu terlalu banyak. Ada juga yang runsing kerana setiap kali menyusu bayi dengan sebelah payudara, sebelah lagi turut mengeluarkan susu. Namun ibu jangan risau, semasa di dalam pantang, susu ibu dihasilkan dua atau tiga kali ganda lebih banyak dari keperluan. Ketika ini badan ibu belum dapat mengandaikan jumlah bayi yang bakal lahir lalu susu lebih dihasilkan jika ibu melahirkan lebih dari seorang bayi.
Selepas tempoh berpantang, badan ibu akan mula pandai menghasilkan susu secukupnya untuk jumlah bayi yang dilahirkan. Keadaan kedua ialah susu yang dihasilkan terlalu sedikit. Keadaan ini dialami ibu pada awal kelahiran iaitu di minggu pertama usia bayi.
Ini berlaku kerana susu awal iaitu kolustrum dihasilkan berbanding susu ibu matang. Cara mengendalikan perkara ini ialah ibu perlu menyusukan bayi tanpa melihat berapa jumlah kuantiti yang dihasilkannya.
Perut bayi semasa di hari ketiga kelahiran masih kecil anggaran saiz guli, jadi ibu tidak perlu menghasilkan susu yang banyak malah tidak perlu risau susu tidak mencukupi untuk bayi. Sekiranya ibu masih merasakan susunya sedikit selepas bayi berusia dua ke tiga minggu, ibu boleh berjumpa konsultan susu ibu untuk menyemak semula keadaan penyusuan mereka. Ibu boleh memeriksa samada jumlah susu sedikit ataupun tidak menerusi jumlah bayi kencing kurang daripada enam kali setiap hari.
Mula Menyimpan Stok Susu
Stok susu ibu sudah mula disimpan bermula dari hari keempat kelahiran. Ada juga ibu memulakan sesi mengepam stok sejak bayi berusia dua minggu ke atas dan ini bergantung kepada jadual kesesuaian masa ibu. Ibu digalakkan mengepam tiga kali sehari semasa dalam pantang untuk membiasakan badan ibu menghasilkan susu yang banyak dan selebihnya secara terus kepada bayi.
Elakkan mengepam susu seminggu atau dua minggu sebelum masuk bekerja kerana pada ketika ini susu ibu sudahpun cukup-cukup untuk keperluan bayi minum sepanjang dalam tempoh berpantang. Jika ibu baru membuat keputusan untuk mengepam dikhuatiri ibu akan merasa kecewa dengan jumlah dan kuantiti yang bakal diperolehi. Jadi mulakan lebih awal supaya susu makin berganda.
Jika ibu konsisten mengepam sepanjang dalam pantang, ibu akan menghasilkan stok susu yang mencukupi untuk bayi. Anggaran susu sehari yang diperlukan oleh bayi adalah dari 12 ke 15 oz sepanjang 10 jam ibu bekerja. Jadi ibu perlu mengepam susu untuk stok sekurang-kurangnya 7 hari. Ini bermakna 15 oz x 7 hari iaitu 105 oz. Bagi ibu yang sering outstation perlu simpan stok susu yang lebih banyak.
Makan dengan Sihat
Ramai ibu menjaga pemakanan dengan cara memilih sesetengah makanan sahaja seperti tidak berkuah atau hanya ikan sahaja tanpa sayur dan buah.
Ibu hamil yang menyusu memerlukan khasiat yang cukup untuk memelihara bayi dan menghasilkan susu ibu. Ibu seharusnya makan lima warna berbeza dalam pinggan ibu iaitu sayur, nasi, ayam, buah dan daging atau ikan.
Minum setiap kali terasa dahaga dan usah dibiarkan kering tekak tanpa air. Tanda-tanda kurang nutrisi ialah bila ibu merasa lesu dan kulit kering terutama di bahagian kuku. Air kencing yang terlalu pekat warnanya dan berbau juga adalah tanda ibu kurang air dan nutrisi.
Berlatih Menyusu di Tempat Awam
Ianya adalah a must-have-practise. Lebih awal ibu berlatih, ibu akan menjadi lebih cekap. Ibu mesti pastikan apabila bahagian hadapan baju diangkat untuk menyusukan, bahagian belakang baju tidak terangkat. Mulakan dengan latihan di depan cermin di rumah terlebih dahulu.
Untuk permulaan, ibu boleh ke lokasi yang mempunyai bilik menyusu terlebih dahulu seperti di beberapa buah pasaraya.
Kemudian ibu boleh mula menyusu di kerusi awam yang disediakan dengan kain penghadang ketika menyusu. Kemahiran menyusu bayi di tempat awam ini penting kerana bayi akan menyusu selama 2 tahun dan jika setiap kali ibu menyusu perlu ke bilik menyusu, ibu mungkin akan merasa sukar jika tidak dibiasakan. Ada juga ibu yang malu menyusu di tempat awam lantas menyingkatkan tempoh penyusuan bayi dengan memberikan susu formula. Elakkan perkara sebegini berlaku dengan cara berlatih terlebih awal. Lama kelamaan ibu akan terbiasa.
Berhubung dengan Konsultan Susu Ibu
Ibu seharusnya ambil perhatian akan teknik dan posisi penyusuan dan boleh membuat temujanji dengan konsultan susu ibu sekiranya menghadapi masalah untuk menyusu. Bertemu dengan konsultan secara terus dapat membantu ibu yang sedang menghadapi masalah penyusuan berbanding semakan di internet sahaja.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pusat bayi menonjol keluar & benjolan pada ari-ari, itu mungkin hernia. Hernia berkomplikasi perlu dibedah segera!
Anak menangis sudah ditukar lampin & disusukan serta didukung namun tidak berkesan meredakannya. Cuba periksa alat kelaminnya sama ada mengalami bengkak atau tidak. Jika ya, anak anda mungkin diserang hernia!
DEFINISI HERNIA
Hernia ini adalah gangguan masalah kesihatan yang melibatkan masalah penonjolan keluar organ atau tisu yang lembut melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Ia kelihatan seperti benjol kecil pada kulit dan akan jelas kelihatan semasa meneran, batuk atau menggeliat. Hernia berasal daripada perkataan Latin.
Hernia tiada kaitan dengan masalah angin, tetapi mendapat jolokan di kalangan masyarakat kita sebagai penyakit angin pasang. Masalah hernia dianggarkan 5% dalam populasi. Kejadian adalah lebih tinggi di kalangan lelaki, Lebih separuh dari hernia terjadi pada sebelah kanan. 10% daripada kes hernia ia berlaku pada kedua-dua belah.
HERNIA PADA KANAK-KANAK LELAKI & PEREMPUAN
Hernia yang berlaku kepada bayi dan kanak-kanak lelaki disebabkan oleh lubang dalam abdomen yang tidak normal. Ia berlaku semasa terjadinya tekanan fizikal seperti menangis, menjerit, berlari atau batuk dan ia akan kembali mengecut kemudiannya. Hernia selalunya dihidapi oleh bayi lelaki berbanding bayi perempuan. Pada kebiasaan hernia mengandungi usus. Jika bayi perempuan, hernia mungkin ada pada ovari.
Jika bayi masih menangis, segera berjumpa doktor kerana dibimbangi isi hernia (usus) mungkin terjerut sehingga menyebabkan gangguan peredaran darah yang boleh mengancam nyawa bayi anda. Ianya lebih kritikal jika benjol menjadi keras pesakit masih menangis serta muntah. Pada masa yang sama perut menjadi buncit serta bayi tidak akan membuang air besar atau angin(kentut).
Hernia kerap terjadi pada bayi pramatang dan bayi berumur kurang dari satu tahun.
3 TANDA-TANDA HERNIA
1.Pada peringkat awal jika terdapat benjolan dan ia tidak menyebabkan rasa sakit. Benjolan kelihatan semasa menangis atau mengeliat kemudian ia hilang. Tetapi lama-kelamaan, apabila hernia bertambah besar, kesakitan akan mula dirasai.
2.Benjolan pada ari-ari serta bukaan lubang pada kantung telur. Biasanya terjadi kepada kanak-kanak di bawah umur setahun tapi ada juga lebih umur setahun apabila ibu bapa baru menyedari anak menghidapi hernia.
3.Keadaan yang teruk iaitu pesakit muntah,perut buncit serta benjolan keras serta sakit. Pesakit juga tidak buang angin (kentut) serta air besar.
JENIS HERNIA
Antara jenis hernia yang biasa terjadi pada kanak-kanak ialah seperti berikut;
#1.Hernia inguinal yang terjadi di sekitar pangkal paha
Hernia jenis ini berlaku di mana abdomen bertemu bahagian atas paha. Hernia inguinal pula, selalunya disebabkan oleh penonjolan gelungan usus atau lipatan membran daripada abdomen. Bagi kanak-kanak perempuan berkemungkinan ovari atau saluran fallopian masuk dalam hernia. Bengkak dalam bahagian groin timbul terutamanya apabila kanak-kanak menangis, batuk atau berdiri.
#2.Hernia umbilikal pada bahagian pusat
Hernia pusat berlaku pada sesetengah bayi yang memang dilahirkan dengan kelemahan atau bukaan pada bahagian otot-otot abdomen di sekitar pusat di bawah kulit. Usus kecil mungkin menjulur keluar melaluinya. Bengkakan lembut yang terjadi ini boleh dilihat dengan jelas apabila bayi menangis, meneran, batuk atau menggeliat.
#3.Hernia tercekik
Ia merupakan hernia yang terputus bekalan darah. Ia menjadi sakit dan akhirnya bergangren.
Info penting!
Hernia tidak boleh diurut. Tindakan mengurutnya sangat berbahaya. Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ-organ berkenaan pecah yang boleh menyebabkan jangkitan kuman dan membawa maut. Begitu juga jika tuam dengan daun sirih, apabila panas ia akan menyebabkan usus melekat di bahagian hernia. Segera dapatkan rawatan apabila mendapati anak anda mengalami hernia.
RAWATAN
Rawatan Untuk Hernia Umbilikal (pusat)
Kebiasaannya dirawat secara konservatif (rawatan ulangan) kerana majoriti dari kes ini akan sembuh dalam masa dua tahun.
Pembedahan boleh dilakukan atas kehendak penjaga kerana ia tidak cantik dipandang. Jangan tampal duit siling pada hernia kerana ia mungkin tergelincir dan menyebabkan usus tersepit antara syiling dan kulit. Ia kemudian akan menyebabkan usus tersumbat.
Rawatan Untuk Hernia Inguinal
Semua hernia harus dibedah. Usus boleh menonjol keluar melalui lubang hernia, mengakibatkan usus tersumbat. Pengaliran darah ke usus terganggu dan akhirnya usus bocor dan mati. Hernia patut dibedah awal selepas berjumpa doktor, biasanya dalam masa beberapa hari atau minggu.
Bagaimanapun, hernia yang berkomplikasi mesti dibedah secara kecemasan. Masalah hernia seeloknya dilakukan pembedahan secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Sesetengah bayi memang dilahirkan dengan bukaan kecil pada tubuh yang sepatutnya tertutup sebelum kelahirannya. Tetapi pada sesetengah kanak-kanak, keadaan tersebut tidak berlaku sedemikian, menyebabkan organ-organ berhampiran seperti usus dan ovari menembusi bukaan tersebut dan menjadi hernia.
Hernia dapat diatasi dengan rawatan moden. Bayi yang mempunyai masalah hernia perlu dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan. Pembedahan tidak mengambil masa lama iaitu kira-kira 20 minit sekiranya hernia tersebut tidak berada di tahap risiko yang tinggi.
Doktor akan mendiagnosis hernia selepas mengambil sejarah kesihatan pesakit serta melakukan pemeriksaan pada bahagian ari-ari dan skrotum. Rawatan yang akan dilakukan bergantung daripada pemeriksaan tersebut.Pembedahan boleh ditangguhkan kecuali bagi hernia inkarserat dan tercekik. Ini kerana ia harus segera dilakukan untuk mengelak bahagian isi hernia yang terjerut boleh bocor dan menjadi sumber infeksi ke seluruh dinding usus (peritonitis).
Bahagian usus yang bocor akan dipotong serta menyebabkan pembedahan sukar serta mengambil masa yang lama. Akibat yang lebih buruk akan mengakibatkan kematian. Jika anak anda telah di diagnos mengalami hernia dan telah diberi tarikh untuk pembedahan, pemeriksaan sendiri hendaklah dilakukan bagi mengelakkan kejadian inkarserat. Sekiranya terjadi anak anda hendaklah dibawa ke bahagian kecemasan dengan segera.
Pembedahan laparoskopi untuk hernia
Selain pembedahan konvensional, kini terdapat rawatan menggunakan teknik bedah laparoskopi yang menawarkan beberapa kelebihan, antara lain, luka surgeri yang kecil sehingga mempengaruhi penyembuhan yang lebih cepat. Laparoskopi menggunakan kamera dan peralatan untuk menebuk bahagian abdomen. Peralatan laparoskopi untuk menjahit serta benang akan dimasukkan. Lubang hernia akan dijahit. Cara baru ini jarang dilakukan kerana tidak ramai pakar pembedahan pediatrik mempunyai kemahiran dalam bidang laparoskopi.
KOMPLIKASI
Terdapat pelbagai komplikasi hernia antaranya Irreducible Hernia, di mana usus tidak dapat dikembalikan ke kedudukan asal. Manakala, hernia inkarserat (Obstructed Hernia) pula berkemungkinan boleh menyebabkan berlakunya penyumbatan yang akan menyekat makanan daripada memasuki sistem pencernaan.
Jika usus yang tidak dapat dikembalikan pada kedudukan asal iaitu dalam abdoman, hernia tidak boleh dikurangkan dan memerlukan pembedahan segera. Komplikasi hernia yang paling bahaya terhadap kanak-kanak adalah hernia tercekik atau terjerut (Strangulated Hernia) di mana ia boleh menyebabkan kematian.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keputusan untuk memiliki anak bukanlah sesuatu yang mudah bagi kebanyakan pasangan hari ini. Selain perlu bersedia dari segi emosi dan fizikal, ibu bapa turut memikirkan kos sara hidup, penjagaan anak, kestabilan pekerjaan serta kemampuan untuk membesarkan keluarga dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.