Bila dua insan disatukan dalam perkahwinan, bukan sekadar kongsi rumah dan katil, tapi juga perlu sedia mental dan emosi. Hidup lepas kahwin bukan semua manis—ujian dia boleh tahan hebat, berganda-ganda dari masa kita masih bujang.
Masa bercinta dulu, kita berangan nak jadi pasangan terbaik. Tapi bila dah masuk fasa sebenar—bila anak dah hadir, bila penat tak habis-habis, bila masa untuk pasangan makin sikit—realitinya, semua angan-angan tu mula diuji satu-satu.
Dulu Berdua, Sekarang Bertiga, Berempat…
Awal-awal kahwin, isteri mungkin semangat berkobar. Macam-macam dia buat—masak menu Pinterest, susun sofa ikut fengshui, kemas rumah sambil pasang diffuser lavender. Suami balik rumah senyum lebar, makanan terhidang, rumah wangi, isteri manja.
Ads
Tapi bila rezeki anak datang, semuanya berubah. Masa makin sempit. Dulu boleh masak tiga lauk, sekarang dua pun kira hebat. Dulu sempat sembang pasal kerja suami sambil urut bahu, sekarang belum sempat tanya apa-apa, anak dah panggil nak susu, nak berak, nak peluk.
Suami, Masa Ni Bukan Waktu Untuk Tuding Jari
Tolonglah jangan cepat salah faham. Isteri tak berubah sebab tak sayang, tapi sebab terlalu penat. Emosi dia pun kadang-kadang tak sempat nak keluar. Penat fizikal + penat mental = meletup dalam diam.
Ads
Inilah masa paling tepat untuk suami pinjamkan telinga dan bahu. Jangan tunggu dia merayu, jangan tunggu dia meletup. Kalau suami peka, mesti perasan perubahan kecil tu—muka lesu, suara perlahan, mata bergenang tapi pura-pura ceria.
Tindakan Kecil, Tapi Bermakna Besar
Apa kata malam tu, bila anak dah tidur, tanya isteri perlahan-lahan, “Sayang okay tak? Apa boleh abang bantu?” Atau terus ambil minyak, urut belakang badan dia. Masa tu lah, dia akan mula luah semua. Dari hal kerja rumah, anak, perasaan—semua dia simpan lama.
Lepas dia luah, jangan selit dengan ceramah. Dengar je. Pinjamkan bahu. Biar dia sandar dan rasa selamat. Esok pagi, dia mungkin masak nasi lemak siap sambal kerang—tu tandanya dia rasa dihargai dan disayangi.
Isteri Tak Minta Lebih, Cuma Nak Difahami
Isteri tak perlukan cincin berlian, tak perlu handbag baru tiap bulan (tapi kalau nak bagi, silakan ya). Yang dia perlukan, cuma perhatian kecil. Satu ucapan terima kasih, satu pelukan tanpa sebab, satu soalan “Sayang okay ke hari ni?”—itu pun dah cukup buat hati dia cair.
Yang dia paling perlukan? Telinga dan bahu. Itu je. Tempat untuk dia luah, tempat untuk dia sandar. Bukan setiap hari dia kuat. Kadang-kadang dia cuma nak rasa dia tak keseorangan dalam perjuangan ni.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ada ibu bapa tanpa sedar atau menyedari bahawa mereka sebenarnya pilih kasih pada anak-anak. Anak yang pandai lebih disayangi manakala anak yang kurang pandai selalunya kurang diberi perhatian atau dipandang sebelah mata.
Biarpun anak-anak masih kecil, tetapi mereka juga mempunyai perasaan. Jika dimarahi, tetap akan terasa walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang reaksi kecil hati dan sebagainya. Salah satu keadaan di mana ibu ayah mungkin tidak sedar yang kita sebenarnya sedang menyakitkan hati anak-anak adalah apabila kita bersikap pilih kasih.
Adakah kita dibenarkan untuk pilih kasih antara anak-anak? Salah atau tidak jika kita melayan anak secara berat sebelah? Berikut adalah penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus berkaitan hal ini.
Apakah hukumnya ibu bapa yang pilih kasih kepada anak-anaknya? Hukum ibu bapa pilih kasih di antara anak-anak adalah dilarang oleh agama.
Ada pun hati lebih kasih kepada sebahagian anak maka ia tidak termasuk yang dilarang kerana hati manusia tidak boleh untuk menyamakan perasaan kasih kepada semua.
Telah diriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir r.a. berkata :
Artinya : “Aku berangkat bersama bapaku kepada Rasulullah saw maka kata bapaku : Wahai Rasulullah. Sungguhnya aku telah memberikan pemberian akan Nu’man suatu dari hartaku. Lalu sabdanya : Adakah semua anak-anakmu kamu beri sebagaimana kamu beri kepada Nu’man? Kata bapaku : Tidak. Jawab Rasulullah : Bersaksilah atas ini oleh selainku kemudian berkata : Adakah kamu suka sekiranya semua anak-anakmu sama-sama berbuat baik kepadamu? Jawab bapaku : Ya. Kata Rasulullah : Kalau begitu jangan buat begini.” (Hadith Imam Muslim)
Dan pada riwayat yang lain Rasulullah saw berabda kepada bapa Nu’man :
Maksudnya : “Maka hendaklah kamu takut akan Allah dan hendaklah kamu berlaku adil antara anak-anakmu.”
Menyebut tentang impak sekiranya kita pilih kasih pada anak, mereka mungkin akan mengalami beberapa keadaan ini:
– Kurang keyakinan diri
– Kemurungan
– Cenderung bertindak kasar atau agresif
– Mengalami gangguan pembelajaran
– Berpotensi untuk mempunyai masalah komunikasi dengan orang sekeliling
Selain itu, untuk anak-anak yang terlalu diberi perhatian pula mungkin akan:
– Mengalami masalah dengan adik-beradik yang lain kerana rasa iri hati
– Mudah merasa terkongkong
– Tidak pandai berdikari dan terlebih manja
– Sentiasa memberontak dan tidak pandai untuk bertoleransi dengan orang lain
Sebagai ibu ayah, sebaik-baiknya cubalah mengelak untuk mempunayi sikap pilih kasih ini kerana ia memberi efek yang negatif pada anak-anak. Selain mengganggu proses tumbesaran mereka, keadaan ini akan menyebabkan anak cenderung memberontak dan sentiasa berperangai negatif.
Dewan penuh sorakan, gelak tawa kanak-kanak dan semangat ibu bapa yang luar biasa, itulah gambaran kemeriahan AKE Olympic with Adam & Ayra 2026 yang berlangsung dengan cukup meriah dan penuh warna-warni. Menggabungkan elemen sukan, kesihatan dan edutainment, acara ini berjaya mencipta pengalaman bermakna buat ribuan keluarga yang hadir.
Bukan sekadar hari sukan biasa, AKE Olympic kali ini tampil dengan konsep lebih segar dan bertaraf antarabangsa menerusi tema Olimpik yang benar-benar menghidupkan suasana dewan sejak dari awal acara.
Zumba Energetik Buka Tirai Hari Sukan
Sebelum acara rasmi bermula, pentas AKE Olympic terlebih dahulu dipanaskan dengan sesi Zumba penuh bertenaga daripada Nas Adila Dance Crew yang dikendalikan oleh Zin Yana.
Irama muzik rancak dan gerakan ceria berjaya membuatkan ibu bapa serta anak-anak turut sama bangun menari dan mengikut rentak. Dewan yang pada awalnya dipenuhi rasa teruja terus bertukar menjadi lautan energi positif.
Tidak cukup dengan itu, acara turut diserikan dengan gimik pemecahan belon oleh pengusaha cawangan senior AKE yang menjadi simbolik pembukaan rasmi temasya sukan tersebut ternyata menambahkan lagi debaran dan kemeriahan suasana.
Gimik Olimpik Curi Tumpuan
Antara momen paling mencuri perhatian pastinya upacara perasmian bertemakan Olimpik yang dibuat penuh gah dan simbolik. Seramai 20 pengusaha cawangan AKE tampil memasuki dewan sebagai delegasi kontinjen, lengkap dengan semangat kesukanan yang membangkitkan aura temasya sukan dunia.
Lebih dramatik, salah seorang pengusaha cawangan AKE, Sir Kamal Faridz tampil membawa obor sebagai simbolik perasmian acara, sekali gus menyalakan semangat perpaduan, kerjasama dan gaya hidup aktif dalam kalangan kanak-kanak serta ibu bapa. Obor tersebut kemudiannya bertukar tangan antara kesemua penguasaha cawangan sebelum akhirnya diletakkan di tapak khas oleh Sir Khairul Azmi.
Sorakan demi sorakan daripada para hadirin menjadikan suasana ketika itu benar-benar terasa seperti berada di stadium Olimpik sebenar.
Dua Sesi Perasmian, Raikan Lebih Banyak Keluarga
Menariknya, upacara perasmian AKE Olympic with Adam & Ayra 2026 diadakan sebanyak dua kali bagi meraikan dua kumpulan ibu bapa dan kanak-kanak yang berbeza. Langkah itu bukan sahaja memberi peluang kepada lebih ramai keluarga untuk merasai pengalaman acara secara eksklusif, malah membuktikan komitmen pihak penganjur dalam memastikan setiap peserta dapat menikmati perjalanan program dengan lebih selesa dan tersusun.
Majlis perasmian sesi pagi turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, En. Syamil Fahim Mohamed Fahim manakala untuk sesi petang, kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon sama-sama memeriahkan acara dan memberikan sokongan terhadap penganjuran program berteraskan pembangunan kanak-kanak secara holistik.
Sebagai penutup upacara perasmian, persembahan bertenaga dari murid-murid SK TUDM Subang iaitu Forces Crew, membuatkan ramai yang terpukau dengan kelincahan persembahan Aerodance yang mereka lakukan.
Slot Kesihatan Jadi Perhatian Ibu Bapa
Selain aktiviti sukan dan hiburan, AKE Olympic with Adam & Ayra 2026 turut memberi penekanan terhadap aspek kesihatan kanak-kanak menerusi perkongsian bermanfaat daripada barisan pakar jemputan.
Antara yang mencuri perhatian ialah slot bersama Pakar Pergigian dan Dr. Ain Syuhada dari Redha Dental yang berkongsi pelbagai tip penjagaan kesihatan gigi anak-anak dengan cara santai dan mudah difahami. Turut berbercerita tentang kepentingan penjagaan kesihatan mata anak adalah Pakar Oftalmologi, Dr. Norwazilah yang mewakili Avisena Specialist Hospital.
Bukan itu sahaja, Pakar Perunding Pediatrik, Dr. Nisa Khalil juga turut hadir bagi berkongsi ilmu berkaitan penjagaan kesihatan anak-anak secara menyeluruh. Perkongsian yang padat tetapi santai itu nyata memberi banyak manfaat kepada ibu bapa yang hadir, malah ramai dilihat tidak melepaskan peluang untuk bertanya secara langsung kepada pakar jemputan.
Persembahan Pentas Buat Pengunjung Tak Lekang Dari Duduk
Kemeriahan acara diteruskan lagi dengan pelbagai persembahan pentas yang berjaya mencuri perhatian pengunjung dari awal hingga ke penghujung acara. Antara yang paling memukau pastinya persembahan roti canai terbang oleh Adik Amsyar yang membuatkan ramai kagum melihat kemahirannya mengendalikan aksi tersebut dengan penuh yakin dan bersahaja.
Tambah menarik, persembahan magik daripada Fakhrul Illusionz benar-benar menghidupkan suasana apabila pengunjung, khususnya kanak-kanak, tidak berhenti bersorak setiap kali helah magik dipersembahkan di pentas utama.
Pentas Meriah Dengan Kehadiran Maskot Adam & Ayra
Bertepatan dengan hari sukan yang meraikan kesemua para pengusaha, guru-guru, ibu bapa dan kanak-kanak, antara acara pentas yang mendapat perhatian ramai adalah ketika maskot AKE. Adam dan Ayra membuat penampilan khas bersama barisan tenaga pengajar dengan tarian comel diiringi lagu rasmi Ake iaitu Baby Khalifah.
Bukan itu saja, kehadiran maskot Didi & Friends turut menggamatkan suasana dan membuatkan pentas ‘penuh’ dengan gelak tawa dan sorakan mereka memanggil kesemua watak maskot kartun kegemaran ramai itu.
Kehadiran Catfluencer Buat Anak-Anak Teruja
Suasana bertambah gamat dengan penampilan istimewa Katnis bersama kucing-kucing comel peliharaannya, Elex dan Evian yang menjadi perhatian ramai sepanjang acara berlangsung.
Kanak-kanak dilihat begitu teruja untuk mendekati dan bergambar bersama catfluencer terkenal itu, malah ada yang sanggup beratur panjang semata-mata mahu bertemu dengan ‘si bulus’ kesayangan ramai tersebut.
Momen santai dan mesra itu secara tidak langsung menjadi antara tarikan paling manis sepanjang acara berlangsung.
Aksi Muay Thai Bertenaga Pukau Pengunjung
Tidak hanya dipenuhi aktiviti santai dan hiburan keluarga, AKE Olympic turut menampilkan persembahan Muay Thai penuh bertenaga daripada Raff Teras Gym. Lebih istimewa, persembahan tersebut turut menampilkan bekas Hero Remaja 2017/2018, Alif Muhaimin yang berjaya mencuri perhatian ramai dengan aksi lincah dan penuh karisma di atas pentas.
Sorakan penonton jelas kedengaran setiap kali gerakan dan aksi dipamerkan, menjadikan persembahan itu antara segmen paling mendebarkan sepanjang hari.
Konsert Pa&Ma Serlahkan Bakat Kanak-Kanak
Dalam pada itu, Konsert Pa&Ma turut menjadi salah satu segmen yang paling dinanti-nantikan pengunjung. Pentas konsert dipenuhi dengan persembahan istimewa daripada kanak-kanak berbakat yang tampil menyerlah menerusi nyanyian, tarian, permainan alat muzik dan pelbagai lagi persembahan kreatif. Dazrin Kamarudin berjaya membuatkan suasana ceria dan meriah bersama-sama kanak-kanak yang melakukan persembahan pada hari tersebut.
Melihat keberanian dan keyakinan anak-anak membuat persembahan di hadapan khalayak ramai nyata menjadi momen membanggakan buat ibu bapa yang hadir.
Turut memeriahkan konsert tersebut ialah pemenang tempat ketiga Talk To My Manager 2025, Oddah, yang tampil dengan persembahan penuh bertenaga dan berjaya menghiburkan seluruh dewan.
Gabungan Sukan, Kesihatan & Edutainment Dalam Satu Acara
AKE Olympic with Adam & Ayra 2026 bukan sahaja mengangkat elemen keseronokan dalam bersukan, tetapi turut memberi penekanan terhadap perkembangan fizikal, emosi dan sosial kanak-kanak.
Pelbagai aktiviti interaktif disediakan sepanjang acara bagi menggalakkan anak-anak bergerak aktif sambil belajar berkomunikasi, bekerjasama dan membina keyakinan diri. Dalam masa sama, ibu bapa juga diberi ruang untuk bersama-sama mencipta memori manis bersama anak-anak.
Semangat Kesukanan Jadi Penghubung Keluarga
Lebih daripada sekadar acara tahunan, AKE Olympic with Adam & Ayra 2026 berjaya membuktikan bahawa aktiviti sukan mampu menjadi medium terbaik dalam mengeratkan hubungan keluarga.
Melihat anak-anak berlari penuh semangat, ibu bapa bersorak dan memberi sokongan serta kerjasama semua pihak bagi menjayakan acara, semuanya menjadi momen indah yang sukar dilupakan. AKE sekali lagi membuktikan bahawa dunia pendidikan awal kanak-kanak juga boleh diraikan dengan penuh kreatif, aktif dan menyeronokkan!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebaik anak masuk ke dunia persekolahan, banyak perkara yang anak-anak perlu menghafal. Tidak terkecuali anak-anak perlu menghafal beberapa surah seperti yang diarahkan oleh guru setiap minggu.
Bukan mudah anak hendak menghafal namun ini tip yang dikongsikan oleh Pn Hanis Athirah Rusli bagi memudahkan ibu bapa mengajar anak-anak.
1. Niat dan doa kepada Allah semoga dipermudahkan kita mendidik anak dan semoga mendapat keredhaan Allah sentiasa. Doa yang dipanjatkan bukan satu perkara sampingan tapi antara tunjang kekuatan untuk anak kita berjaya menghafaz Al Quran.
2. Wujudkan suasana menghafal yang konsisten, sekejap pun tak mengapa. Kalau boleh tiap-tiap hari sentiasa konsisten. Otak anak seperti span yang mudah menyerap, ulang dan ulang setiap hari.
3. Bila sudah cuba, tapi anak masih lagi tak dapat-dapat, jangan putus asa. Usaha lagi dan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan kita dalam menghafal surah dalam Al Quran. Perkara baik, yakinlah bahawa Allah akan berikan pertolongan.
4. Ulang secara santai bacaan surah anak. Semasa mereka bermain boleh, semasa jalan-jalan hirup udara segar dengan mereka pun boleh. Tidak ada jalan pintas, yang penting ulang banyak kali. Saya juga suka selitkan penceritaan kepada anak-anak. Barulah mereka faham dengan lebih mendalam apa yang mereka baca dan hafal.
5. Pasang audio Al Quran di rumah semasa anak berada dalam keadaan yang tenang. Boleh juga selang selikan dengan bacaan doa dan zikir. Boleh juga guna headphone untuk menambah keterujaan sambil mereka bertambah fokus anak untuk mendengar bacaan surah.
6. Tasmik dalam keadaan anak dan diri kita berada dalam keadaan tenang. Memarahi atau membentak langsung tidak membantu tapi dapat memalapkan terus niat mereka untuk mendalami ilmu Al-Quran. Sebagai contoh, boleh lakukan dalam kereta ketika dalam perjalanan ke sesuatu destinasi. Anak-anak lebih tenang dan fokus serta tiada medium lain yang boleh mengalih perhatian mereka.
7. Dalam kelancaran anak untuk menghafal, rendahkan expectation dan kurangkan perbandingan. Tanam dalam minda, setiap anak berbeza progress masing-masing. Fokus kelebihan mereka bukan kelemahan. Yang penting nilaikan proses bukan hasilnya.
8. Banyakkan bersabar. Menegur boleh tetapi gunakan suara yang tenang saja. Jangan masukkan emosi sehingga menengking anak. Ambil masa, tegur secara berulang dengan sabar lebih baik insyaAllah lebih berkesan. Tunjukkan cara bacaan yang betul, biar anak nampak mulut kita untuk sebutan huruf yang tepat.
9. Tidur adalah satu aktiviti yang kita lakukan setiap hari dan dalam sehari kita semua akan menghabiskan satu pertiga masa dengan tidur. Buat persediaan sebelum tidur, jadikan rutin mengalunkan ayat suci Al Quran sebelum tidur. InsyaAllah, bila dah menjadi kebiasaaan anak akan mudah mengingati surah lazim yang dibaca bersama.
10. Jaga pemakanan anak-anak dan pastikan mereka makan dari sumber rezeki yang halal. Elakkan makan ringan dan amalkan banyak makanan sunnah seperti madu, kurma, delima dan sebagainya.
Tak perlu rushing sangat untuk hafal semua surah, relaks-relaks janji usaha untuk praktiikan selalu. Yang seronok, bukan anak je boleh menghafal, kita pun boleh.
Yang baik itu datang daripada Allah, yang tidak baik itu adalah atas kesilapan dan kekhilafan saya sendiri. Maaf yaa atas yang kurang. Semoga bermanfaat insyaAllah