“Saya Terlalu Rindukan Mereka” Hafidz Roshdi Kecewa, Hak Jagaan Dua Anak Kekal Pada Bekas Isteri!

Share

Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan perintah hak jagaan dua anak pelakon, Hafidz Roshdi kepada bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Hakim Syarie, Zalinah Said memutuskan demikian selepas meneliti permohonan hadanah iaitu hak penjagaan penuh difailkan Hafidz atau nama sebenar, Muhammad Hafidz Roshdi, 29, selaku plaintif.

Hakim syarie berkata, mahkamah memerintahkan Humairah, 8, dan Umar, 5, diberikan kepada Nurul Shuhada yang juga defendan selaku ibu kandung.

Hafidz bagaimanapun diberikan hak lawatan dan bermalam dengan anak-anaknya pada cuti persekolahan.

“Mahkamah memerintahkan plaintif diberikan hak untuk menghubungi mereka tanpa halangan daripada ahli keluarga mahu pun defendan.

“Pihak polis, Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkaitan perlu memberi kerjasama bagi memberikan perintah ini dapat dipatuhi,” kata hakim syarie.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu meluahkan rasa kecewa kerana gagal mendapatkan hak jagaan penuh terhadap dua anak yang kali terakhir ditemui pada dua tahun lalu.

Katanya, tidak pernah timbul isu dia mengabai anak-anak kerana pelbagai usaha dibuat untuk menemui mereka yang kini berada di luar negara.

“Sangat kecewa kerana mengharapkan keputusan berbeza namun saya menghormati keputusan mahkamah.

“Saya harap dapat jumpa anak-anak dalam masa terdekat, saya terlalu rindukan mereka, ” katanya.

Hafidz yang baharu menimang cahaya mata sulung bersama isteri keduanya, Athira Yuhada pada 13 Februari lalu, diwakili peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.

Published by
SRM