Kedua-dua mangsa dipercayai berkhemah di kawasan berhampiran tetapi pergerakan tanah menolak mangsa berhampiran sungai.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor berkata, penemuan mayat dua beranak itu menjadikan mangsa yang masih dikesan 15 orang.
Ads
Foto: REUTERS
“Seramai 230 pegawai dan anggota JBPM dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan akan meneruskan pencarian sehingga malam ini.
“Operasi mencari dan menyelamat akan dihentikan sekiranya cuaca tidak mengizinkan,” katanya.
Ads
Foto: REUTERS
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah dijadual mengadakan sidang media bagi memberi makluman terkini berkaitan insiden tanah runtuh ini.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman berat terhadap Mohamed Badruldin Mohamed, 40, seorang penganggur yang akhirnya menerima balasan atas kekejaman melampau yang pernah menggemparkan negara.
Lelaki itu dihukum penjara 30 tahun dan 13 sebatan 10 tahun dan satu sebatan bagi kes meliwat, serta 30 tahun dan 12 sebatan bagi kes membunuh seorang bayi berusia 9 bulan. Keputusan ini sekaligus menjadi perkembangan penting dalam kes bayi Afiq yang kembali menarik perhatian rakyat.
Menurut pertuduhan, jenayah ngeri ini berlaku di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang, antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang pada 27 April 2021. Di situlah seorang bayi kecil, Muhammad Afiq Rizqin, menjadi mangsa kerakusan manusia yang langsung tidak berhati perut. Lebih menyedihkan, tragedi berlaku di rumah asuhan tempat yang sepatutnya menjadi ruang selamat buat anak kecil ketika ibu bapa keluar mencari rezeki.
Arwah diliwat hingga mengalami kecederaan dalaman sebelum meninggal dunia. Jenayah ini meninggalkan luka yang mustahil sembuh buat keluarga kecil itu.
Selepas hukuman dibacakan di mahkamah, satu catatan lama kembali tular di media sosial coretan si ibu, Robiatul’ Adawiah Aziz, yang ditulis kira-kira empat tahun lalu.
Luahan itu merakam kronologi penuh bagaimana tragedi itu terbongkar, dan bagaimana seorang ibu melalui saat paling gelap dalam hidupnya.
Perkongsian ini sekali lagi mengingatkan rakyat bahawa kes bayi Afiq bukan sekadar berita, tetapi tragedi kemanusiaan yang merentap hati sesiapa yang membacanya.
Coretan Robiatul’ Adawiah pernah viral suatu ketika dulu kerana setiap ayatnya terasa seperti ditikam perlahan-lahan. Kini, apabila keadilan akhirnya ditegakkan, luahan itu muncul semula mengingatkan orang ramai tentang betapa dahsyatnya penderitaan yang dilalui keluarga ini.
Pada 27 April 2021, jam 3.44 petang, ibu ini menerima panggilan daripada pengasuh, Ida:
“Biey, datang hospital Sungai Buloh sekarang, Afiq tak sedar.”
Dunia terus gelap. Tanpa fikir apa-apa, dia menghubungi suami dan bergegas ke Hospital Sungai Buloh menaiki motosikal dalam keadaan hujan lebat dan jalan sesak.
Satu persoalan mula timbul mengapa pengasuh membawa bayi itu sejauh Hospital Sungai Buloh sedangkan ada hospital jauh lebih dekat? Lebih memeranjatkan, pengasuh tidak menghubungi ibu terlebih dahulu, hanya selepas anak diserahkan kepada doktor.
Sampai di hospital, doktor memaklumkan bahawa jantung Afiq sudah berhenti sebelum sampai. CPR dilakukan selama 10 minit dan jantungnya kembali lemah-lemah.
Ketika jururawat memanggil pengasuh untuk membantu beri maklumat, ibu menghubungi Ida. Jawapannya?
Dia berada di bazar Ramadan.
Di saat bayi asuhan bertarung nyawa, dia masih sempat berjalan-jalan sesuatu yang sukar diterima sesiapa pun.
Yang menghantar bayi ke hospital pula suami pengasuh, seorang penagih dadah.
Doktor menunjukkan keadaan Afiq melalui video. Bayi kecil itu terbaring kaku, dipenuhi wayar dan mesin bantuan hidup. Doktor memberitahu bahawa otak Afiq mengalami kerosakan teruk akibat kekurangan oksigen.
Ibu dan ayah bergilir menjaga sepanjang malam, walaupun berada di zon pesakit COVID-19. Tangisan mereka hanya Tuhan yang dengar.
Keesokan paginya, doktor mengesahkan keadaan Afiq semakin merosot. Jantung semakin perlahan, darah semakin kurang.
Untuk mengurangkan penderitaan, doktor mencadangkan agar ubat dikurangkan sedikit demi sedikit.
Dan tepat 12.18 tengah hari, 28 April 2021, adik Afiq pergi menghadap Pencipta.
Ketika itu, mereka masih tidak tahu punca sebenar kematian.
Pada 30 April 2021, hasil bedah siasat keluar. Dan di situlah segala rahsia yang cuba disorok terbongkar.
Arwah lemas kerana mulut dan hidung ditutup. Dan lebih kejam, ada koyakan pada saluran najis akibat diliwat.
Berita yang tidak mampu diterima akal seorang ibu atau mana-mana manusia waras.
Walau patah, mereka tetap berdiri. Walau hancur, mereka tetap melawan.
Dalam tulisannya, si ibu menegaskan bahawa mereka redha, tetapi mereka tidak akan melepaskan perjuangan untuk menuntut keadilan buat anak syurga mereka.
Empat tahun keluarga kecil ini menanggung rindu, marah, kecewa dan luka yang tidak pernah hilang. Namun dengan hukuman yang akhirnya dijatuhkan minggu ini, ramai yang melihatnya sebagai satu bentuk pembelaan buat arwah Muhammad Afiq Rizqin.
Tiada apa pun yang boleh mengembalikan senyuman kecil itu, tiada apa yang boleh memadam trauma yang dilalui ibu dan ayahnya, tetapi sekurang-kurangnya keadilan itu akhirnya menyebelahi mereka.
Hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan yang dikenakan ke atas pelaku menjadi isyarat jelas bahawa dosa terhadap seorang bayi tidak akan sesekali terlepas daripada undang-undang dan pembalasan.
Kisah adik Afiq mengingatkan seluruh negara bahawa anak kecil bukan sekadar amanah, tetapi nyawa yang wajib dijaga tanpa kompromi. Dan hari ini, walaupun jasadnya sudah lama pergi, perjuangannya tetap hidup melalui setiap baris tulisan seorang ibu yang tidak pernah berhenti berharap. Kes bayi Afiq terus kekal sebagai peringatan tentang pentingnya keselamatan anak kecil.
Keadilan itu mungkin datang lambat, tetapi ia hadir juga akhirnya menjadi penutup luka paling pedih dalam hidup mereka. Arwah Afiq telah pun kembali ke tempat yang paling selamat, dan hari ini, seluruh rakyat Malaysia turut sama menghembuskan nafas lega kerana kematiannya akhirnya terbela.
Impian sepasang suami isteri untuk menyambut cahaya mata sulung hancur berkecai apabila detik kelahiran berakhir dengan tragedi.
Hati mereka luluh tatkala bayi yang dikandung selama sembilan bulan meninggal dunia akibat lemas selepas dilahirkan secara songsang di bilik air rumah sendiri.
Tragedi menyayat hati ini berlaku pada 19 November, sekitar jam 5.40 petang, di kediaman mereka di Puncak Alam.
Menurut pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai, yang berkongsi kisah ini di Instagram, detik cemas bermula apabila ibu tiba-tiba mengalami kontraksi. Suaminya segera berusaha mendapatkan bantuan kecemasan, namun gagal berhubung dengan pihak berkenaan.
Dalam panik, si ibu nekad menuju ke bilik air, merasai tubuh kecil bayinya yang sudah separuh keluar dalam keadaan songsang tanpa sempat mendapat bantuan perubatan di talian 999 namun tidak berjaya disambungkan. Walaupun telah menerima bimbingan dalam talian, takdir telah menetapkan bahawa anak yang dinanti-nanti itu pergi buat selama-lamanya.
“Dalam kesakitan yang semakin memuncak, si isteri berjalan ke bilik air kerana merasakan sudah hendak bersalin.
“Suami yang tidak berputus asa terus mencuba menghubungi talian kecemasan, dan panggilannya dijawab oleh operator namun talian terputus beberapa saat kemudian. Bimbang akan keadaan isterinya, si suami segera menuju ke bilik air.
“Di situ, dia mendapati isterinya sudah terbaring, dan bayi mereka telah keluar dari bahagian kaki hingga ke paras leher dalam keadaan songsang.
“Si suami memegang tubuh bayi yang masih tersangkut pada rahim, tetapi dia tidak berani menariknya keluar walaupun didesak oleh isteri. Dalam keaadan sakit dan lemah, si ibu terus berusaha meneran berulang kali sehingga akhirnya kepala bayi berjaya dilahirkan sepenuhnya.
“Tidak lama kemudian, si bapa dapat menghubungi talian kecemasan. Operator perubatan bertindak membimbingnya melakukan bantuan pernafasan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) ke atas bayi,” kongsinya.
Bagaimanapun, bayi lelaki itu yang diletakkan dipangkuan si ibu tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian mengesahkan bahawa bayi itu telah meninggal dunia.
Ibu dan bayinya kemudian dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk tindakan lanjut, termasuk proses bedah siasat.
Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Mr Wan Chai yang berkongsi kisah berkenaan di Instagram turut memuat naik situasi pilu pengurusan jenazah jasad wildan syurga yang dinamakan Muhammad Amir Faris.
Jenazah si kecil dibawa ke Bilik Wakaf Jannatul Firdaus untuk urusan pengurusan jenazah. Detik paling mengharukan adalah ketika si bapa diberi peluang memandikan dan mengafankan anaknya sendiri, dengan air mata yang tidak henti mengalir.
Sebelum dikebumikan, ciuman terakhir diberikan sebagai tanda perpisahan sementara di dunia. Sementara itu, si ibu menangis dan tidak henti-henti memohon maaf, mungkin dihantui rasa terkilan dan bersalah atas pemergian anak syurga itu yang tidak sepatutnya ditanggungnya.
Difahamkan jenazah si kecil itu disemadikan berhampiran pusana nenek di sebelah ibunya.
“Pengurusan anak tanpa dosa ini dijalankan dalam suasana pilu apabila si bapa diberi peluang memandikan anaknya sendiri.
“Kelihatan berkali-kali si bapa mengalirkan air mata, meratapi kehilangan anak yang dinanti. Alhamdulillah, jasad Muhammad Amir Faris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas solat Zuhur, 20 November.
“Si ibu turun dari kereta dan berdiri di sisi pusara kecil anaknya. Terdengar kata-kata kesal ‘Maafkan mama’ diungkapkan membuatkan kami yang berada di situ tidak dapat menahan sebak. Pemergian anak syurga ini pasti meninggalkan ruang kosong yang tidak mungkin terisi.
“Namun setiap titisan air mata ibu dan ayah adalah bukti cinta yang tidak akan pernah hilang. Percayalah, anak kecil ini kini berada di tempat yang paling aman, dalam jagaan ALLAH SWT,” kongsinya yang turut memaklumkan kos liang lahad dibayar menggunakan dana Wakaf Liang Lahad.
Warga maya tidak dapat menahan pilu menyaksikan kehilangan itu menitipkan ucapan takziah dan kata-kata semangat agar pasangan tersebut terus kuat menemuh hati mendatang.
“Ya ALLAH jadikanlah dia pendahulu dan simpanan pahala bagi ibu bapanya. Beratkanlah timbangan amal mereka dengan sebabnya.”
“Berpantang tanpa bayi di sisi, hanya mak-mak yang faham. Moga pasangan ini tabah.”
“Salam takziah buat kedua ibu bapa wildan syurga.”
Bahaya ada di mana-mana. Tak kira siapa pun kita, anak menteri sekalipun tak terlepas daripada menjadi mangsa serangan.
Kejadian di Putrajaya petang semalam membuktikan bahawa keselamatan anak-anak sentiasa perlu diberi perhatian, walau di tempat awam.
Dalam kejadian sekitar jam 1.45 petang, anak Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang berusia 12 tahun itu dipercayai diserang ketika memasuki kereta untuk meninggalkan pusat membeli belah berkenaan.
Beliau berkongsi kronologi kejadian itu di Facebook miliknya menerusi kenyataan media yang dimuat naik semalam.
𝗞𝗘𝗝𝗔𝗗𝗜𝗔𝗡 𝗦𝗘𝗥𝗔𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗥𝗛𝗔𝗗𝗔𝗣 𝗔𝗡𝗔𝗞 𝗦𝗔𝗬𝗔 Sekitar jam 145 petang ini, semasa anak dan isteri saya memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat membeli belah di Putrajaya, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anak saya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
Semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya.
Pada hemat saya, mereka telah merancang serangan itu lebih awal. Serangan itu melibatkan dua orang lelaki yang berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup muka keseluruhannya.
Mereka telah menunggu lebih awal dan bergegas menyerang anak saya pada ketika yang sesuai.
Anak saya telah dibawa segera ke Hospital UPM untuk rawatan. Pihak polis juga telah berada di tempat kejadian sejurus kejadian. Saya dan keluarga saya telah pun memberi kenyataan kepada pihak polis.
Sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian, siasatan dan keputusan pemeriksaan doktor sewajarnya dikeluarkan oleh pihak polis dan Hospital UPM.
Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PDRM dan Hospital UPM yang telah membantu keluarga saya melalui kejadian ini.
Sepanjang saya menjadi seorang ahli politik berprofail awam, inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini. Saya percaya serangan ini adalah satu amaran kepada saya supaya tidak bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.
Terima kasih kepada semua yang telah menghantar mesej dan bertanya khabar. Insya Allah, sementara saya akan mengambil langkah susulan untuk meningkatkan kawalan keselamatan, saya juga tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dan akan terus menjalankan tugas saya seperti biasa.
Sementara itu menurut laporan Sinar Harian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden serangan terhadap anak kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli di Putrajaya pada Rabu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan menegaskan PDRM akan mengenal pasti serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Kegembiraan sebuah keluarga yang datang untuk berkelah bertukar menjadi tragedi apabila fenomena kepala air melanda secara tiba-tiba, meragut nyawa seorang wanita dan dua kanak-kanak...